© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tahaluf Siyasi : Bukan Ambil Kesempatan

Tahaluf Siyasi : Bukan Ambil Kesempatan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 24 June 2015

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan beliau di Muktamar Tahunan PAS ke 61 di Kuala Selangor ada menyebut bahawa PAS bertahaluf siyasi dengan bukan Islam ataupun kumpulan bukan Islam adalah bukan untuk mengambil kesempatan ke atas mereka untuk Islam mencapai kemenangan tetapi adalah untuk menunjukkan rahmat dan keindahan Islam sekaligus bersedia bersama dalam perkara kebaikan dan kemanusiaan.

Tahaluf siyasi adalah perjanjian persefahaman antara Islam dengan Kafir di atas tujuan tertentu yang tidak melibatkan Aqidah dan Dasar Islam seperti bersatu dan bekerjasama dalam penentangan terhadap unsur penyelewengan dan kezaliman dan juga isu kemanusiaan yang bersifat sejagat.

Para ulamak berselisih pendapat dalam hal ini. Ada yang berpendirian Haram Secara Mutlak dan ada berpandangan Diharuskan Apabila Menepati Syarat-Syarat Tertentu. Syarat-syarat bertahaluf inilah yang selalu terlepas pandang dan ada juga yang tidak mempedulikannya.

Atas sebab inilah wajar juga dilihat bahawa hukum asal bertahaluf itu merujuk kepada isu Aqidah bukannya sekadar kepentingan dan aspek taktik dan startegi organisasi sahaja. Ini supaya jangan sampai kita bertahaluf sehingga menggadaikan prinsip dan matlamat perjuangan Islam iaitu mendirikan Daulah Islamiyyah dan juga melaksanakan Syariat Islam berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Marilah kita merujuk dan meneliti ayat al Quran, Allah s.w.t berfirman dalam Ali Imran ayat 51:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

Ayat ini datang sesudah ayat ke 50 dan 51 al-Maidah, di mana perintah Allah s.w.t kepada orang beriman agar berhukum dengan hukum Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t.


وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.”

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

Imam Qurtubi menyebut dalam tafsirnya menyatakan bahawa diturunkan ayat ke-51 berkenaan golongan Munafik yang menzahirkan iman mereka tetapi menyembunyikan kekufuran lalu mereka berwala' dan meminta pertolongan daripada Yahudi dan Nasrani serta mendedahkan rahsia orang Islam kepada mereka. Ada pendapat mufassirin yang lain menyatakan bahawa diturunkan ayat ini iaitu larangan memberi ketaatan dan wala' pada peristiwa Perang Uhud dimana sebahagian orang Islam merasa kebimbangan akan kekalahan sehingga tercetus idea untuk meminta pertolongan daripada musuh.

Atas dasar kefahaman menerusi ayat diatas, bahawa Tahaluf Siyasi bukanlah batu loncatan yang digunakan sebagai pelapik kaki kita untuk mencapai destinasi yang dituju. Dalam berTahaluf Siyasi, aspek yang paling penting perlu diperlihara adalah Aqidah Islam. Ini penting untuk difahami dan diingati oleh kita. Maka dengan sebab yang demikian, dalam inisiatif untuk Tahaluf Siyasi, perlu dipertahankan prinsip iaitu Islam hanya akan meminta dan bersedia mendapat pertolongan daripada bukan Islam ketika dalam keadaan kuat, dan tidak menerima atau meminta pertolongan dalam keadaan lemah.

Diceritakan bahawa dalam Perang Badar ketika Islam dan keadaan lemah dan serba kekurangan, Nabi s.a.w ditawarkan pertolongan daripada orang yang kafir untuk membantu peperangan di pihak Islam, Rasulullah s.a.w menolak tawarannya berkali-kali sehinggalah dia mengucapkan syahadah. Nabi s.a.w diberi syarat pertolongan dan bantuan dari kafir untuk tidak menyatakan Islam dan menyuarakan Islam dan dakwah. Pertolongan dan bantuan seperti ini ditolak oleh Nabi s.a.w walaupun Baginda amat berhajat kepada sokongan dan bantuan.

Sebaliknya dalam Peristiwa Hijratur Rasul s.a.w ke Madinah yang telah dijamin kejayaan dengan pertolongan Allah s.w.t, Nabi s.a.w meminta dan menerima seorang penunjuk jalan dari kalangan bukan Islam sehingga berjaya Nabi s.a.w sampai ke Madinah. Ini menunjukkan bahawa mana-mana Gerakan Islam dan perjuangan Islam sememangnya perlukan kekuatan dan strategi yang baik, namun kekuatan Aqidah adalah elemen utama dan paling penting yang perlu dipertahankan. Lihatlah firman Allah dalam Ali Imran 160:
إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”

Ketahuilah bahawa kemenangan Islam adalah daripada pertolongan dan bantuan daripada Allah s.w.t bukannya daripada makhluk dan material semata-mata. Maka disimpulkan disini bahawa Tahaluf Siyasi bukanlah boleh diambil hukum sebegitu mudah apabila melibatkan aspek Wala' dan Aqidah serta dasar Islam dan kaedah اﻷصل في الاشيأ اﻹباحة iaitu, ((asal hukum bagi sesuatu perkara ialah harus)) tidak boleh dijadikan hujjah dan asas dalam berTahaluf Siyasi.

Para ulamak yang mengharuskan Tahaluf Siyasi seperti Sheikh Dr Yusof Qardawi dan selainnya dari kalangan contemporary scholar bukan menggunakan kaedah  اﻷصل في الاشيأ اﻹباحة   iaitu ((asal hukum bagi sesuatu perkara ialah harus)) dalam mengharuskan Tahaluf Siyasi tetapi mereka mengharuskannya daripada hukum asalnya dilarang dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan tegas. Ini mesti difahami oleh para ahli dan pemimpin PAS.

Oleh kerana itu PAS khasnya Majlis Syura Ulamak MSU yang memberi idea Tahaluf Siyasi ini dan mengharuskannya dengan 6 syarat berikut yang mesti dipegang oleh kita semua. Enam perkara tersebut adalah seperti berikut:
  1. Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.
  2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.
  3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf.
  4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
  5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.
  6. Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa. 

Marilah ahli dan pemimpin PAS disemua peringkat, kita berilmu dan memfakehkan diri kita dengan ilmu Islam dan feqahnya agar kita berada di medah perjuangan ini dan sebagai penyambung perjuangan terdahulu di ataa jalan Islam yang sebenar menuju Redha Ilahi.

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Najhan bin Halim merupakan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-