© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-

Hakikat Persahabatan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday, 23 June 2015


Manusia adalah makhluk yang hidup berkumpulan dan bermasyarakat. Manusia perlu berkawan, berkenalan dan berinteraksi. Manusia tidak boleh mengasingkan diri dan bersikap seperti kera sumbang. Walaupun begitu dalam berinteraksi dan mencari kenalan, manusia yang beriman perlu mempunyai pedoman yang tertentu. Mereka perlu mengenali hakikat orang yang mereka berinteraksi dengan mereka. Mereka wajar memahami perbezaan antara apa yang dipanggil sebagai kenalan, teman, rakan atau sahabat. Jadi dengan kefahaman yang jelas tentang perbedaan perkataan-perkataan tersebut mereka boleh berinteraksi dengan cara dan etika yang betul dan sesuai. 
الأَخِلاَّء يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلاَّ الْمُتَّقِينَ
“(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (al-Zukhruf: 67)

Kenalan ialah figure yang anda kenali dalam apa jua kesempatan. Ia belum tentu boleh menjadi rakan atau sahabat. Ia adalah peringkat perkenalan pertama; di mana manusia terdedah dengan pertemuan yang di rancang atau tidak dirancang.

Manakala teman pula ialah mereka yang menemani anda dalam sesuatu fungsi atau acara. Ia mungkin kenalan anda atau insan yang berpotensi untuk menjadi rakan atau sahabat atau mungkin juga berpotensi menjadi musuh anda. Ia lebih merujuk kepada fungsi menemani seseorang dalam situasi tertentu.

Rakan ialah figure yang anda selalu berinteraksi dengannya sama ada kerana jawatan atau tempat seperti rakan sejawat, rakan setempat tinggal dan sebagainya. Lumrahnya terdapat pertemuan dan perulangan interaksi dengannya kerana pekerjaan atau kerana lokasi dan kejiranan.

Manakala sahabat pula ialah orang yang anda mempunyai hubungan yang sangat akrab dengannya; di mana anda dapat mengharapkan pertolongannya ketika berhadapan dengan kesulitan. Sahabat adalah rakan karib yang dapat membantu anda. Sahabat mempengaruhi sikap seseorang. Sahabat mempunyai martabat yang lebih khusus dan tinggi dalam hieraki perkenalan. Sahabat adalah bagaikan cermin untuk anda dapat membetulkan kecacatan diri, penampilan rupa diri, mendapat kritikan dan teguran yang membina dan sebagainya.

Islam memang menggalakkan manusia membentuk hubungan kemanusiaan dengan orang lain dalam segala peringkat dan darjatnya. Islam menggalakkan umatnya berkenalan dan memberi salam kepada orang yang mereka kenal atau tidak kenal. Ini adalah tradisi hidup yang bertamadun. Manusia perlu menghargai orang lain dan menampilkan penghargaan dan penghormatan antara satu sama lain kerana mereka adalah setaraf sebagai manusia dan makhluk Allah. Sahabat adalah harta dan senjata bagi seseorang.

Walaupun Islam menggalakan persahabatan dan menganggap manusia itu adalah makhluk saraan Allah yang mempunyai martabat yang sama, yakni semuanya berasal dari Adam, namun Islam menggesa supaya umatnya berhati-hati dalam memilih sahabat. Rasulullah saw bersabda:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
“Seseorang lelaki itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah (bersikap bijaksana-lah) dalam memilih sahabat.” (Riwayat Abi Daud)

Dalam al-Quran Allah berfirman:
وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلا. يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلانًا خَلِيلا. لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإِنسَانِ خَذُولا
“Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia.” (al-Furqan: 27-29)

Rasulullah saw bersabda:
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ، كَمَثَلِ الْعَطَّارِ، إِنْ لَا يُحْذِكَ يَعْبَقُ بِكَ مِنْ رِيحِهِ، وَمَثَلُ الْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْكِيرِ
“Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang yang soleh persis seperti berkawan dengan saudagar minyak wangi, paling tidak ia akan memberikan anda bau-bau wangiannya. Manakala bersahabat dengan orang yang buruk perangainya seperti berkawan dengan tukang besi (menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak).” (Riwayat Ahmad)

Justeru, persaudaraan Islam perlulah berlandaskan atas lunas-lunas berikut:-

(1). Persaudaraan hendaklah semata-mata kerana Allah. Persahabatan sewajarnya dijalinkan bukan atas dasar kebendaan dan kepentingan tertentu, tetapi hendaklah didasarkan kepada keimanan dan kerana Allah semata-mata. Ini adalah agar persahabatan tersebut diberkati oleh Allah.

(2). Persaudaraan hendaklah digandingkan dengan iman dan taqwa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dalam Ithaaf al-Mahrah:
 لا تَصْحَبْ إِلا مُؤْمِنًا، وَلا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلا تَقِيٌّ
“Jangan kamu bersahabat kecuali dengan orang beriman, janganlah kamu makan suatu hidangan melainkan orang yang bertaqwa.”

(3). Persaudaraan hendaklah dilandaskan atas manhaj Islam. Hal itu sesuai dengan maksud hadith yang menerangkan bahawa antara orang-orang yang akan dinaungi oleh lembayung Allah pada hari kiamat kelak ialah: dua orang yang bersahabat dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah, bersatu kerana Allah dan berpecah kerana Allah.

(4). Persaudaraan hendaklah mengamalkan dasar saling nasihat-menasihati. Rasulullah saw bersabda:
الْمُؤْمِنُ مَرْآةُ الْمُؤْمِنِ، وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ، مِنْ حَيْثُ لَقِيَهُ يَكُفُّ عَنْهُ ضَيْعَتَهُ، وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ
“Orang Mu’min adalah ibarat cermin bagi Mu’min yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya.” (Riwayat Abi Daud)

Jika temannya itu enggan menerima nasihat, sebaliknya terus melakukan maksiat maka dia hendaklah menjauhinya. Rasulullah saw mengingatkan dalam sebuah hadis:
أَوْثَقَ عُرَى الإِيمَانِ: الْوِلايَةُ فِي اللَّهِ، وَالْحُبُّ فِي اللَّهِ، وَالْبُغْضُ فِي اللَّهِ
“Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrantasi demi Allah, kasih demi Allah, bencipun demi Allah.” (Riwayat Tabarani fi al-Kabir dan al-Awsat)

(5). Persaudaraan hendaklah dihayati dengan semangat tolong menolong ketika senang dan susah. Rasulullah saw bersabda:
مَنْ كَانَ مَعَهُ فَضْلُ ظَهْرٍ فَلْيَعُدْ بِهِ عَلَى مَنْ لَا ظَهْرَ لَهُ ، وَمَنْ كَانَ لَهُ فَضْلٌ مِنْ زَادٍ فَلْيَعُدْ بِهِ عَلَى مَنْ لَا زَادَ لَهُ
“Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah ia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah ia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan.” (Riwayat Muslim)

Di antara cara mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan ialah:

(1). Memberitahu saudara kita bahawa kita sayang kepadanya. Rasulullah saw mengingatkan dalam hadithnya:
إِذَا أَحَبَّ الرَّجُلُ أَخَاهُ، فَلْيُخْبِرْهُ أَنَّهُ يُحِبُّهُ
“Jika seseorang itu sayang pada sahabatnya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia menyayanginya.” (Riwayat Abi Daud)

(2). Apabila kita berpisah dengannya kita mengharapkan do’a daripadanya dari jauh. Umar Ibn al-Khattab meriwayatkan bahawa beliau pernah memaklumkan pemergiannya kepada Rasulullah saw untuk menunaikan umrah. Baginda mengizinkannya dan berpesan;
لَا تَنْسَنَا يَا أُخَيَّ مِنْ دُعَائِكَ
“Jangan lupa mendo’akan kami wahai saudaraku.”.

Mendengar ucapan Rasulullah saw tersebut membuatkan Umar ibn al-Khattab rasa seronok dan berbesar hati. (Riwayat Abi Daud)

(3). Memaniskan wajah apabila bertemu. Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ
“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat.” (Riwayat Muslim)
   
(4). Segera menghulurkan tangan untuk berjabat apabila bertemu. Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا
“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abi Daud)

(5). Kerap melakukan ziarah dari semasa ke semasa. Rasulullah saw bersabda bahawa Allah Taala berfirman:
حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلْمُتَحَابِّينَ فِيَّ، وحَقَّتْ محبتي للمتزاورينَ في، وَحَقَّتْ محبتي لِلْمُتَبَاذِلِينَ فِيَّ، وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلْمُتَصَادِقِينَ فِيَّ، وَالْمُتَوَاصِلِينَ
“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayang-Ku (Allah).” (Riwayat Ahmad)

(6). Mengajukan ucap selamat, tahniah dan menyukakan hatinya dalam kesempatan dan hari-hari tertentu seperti ketika mendapat anak:
بُورِكَ لَكَ فِي الْمَوْهُوبِ وَشَكَرْتَ الْوَاهِبَ وَرُزِقْتَ بِرَّهُ وَبَلَغَ أَشُدَّهُ
“Semoga Allah memberkati anda dengan kelahiran anak ini. Semoga anda bersyukur terhadap kurniaan Allah, mudah-mudahan anda dikurniakan kebaikan setelah ianya membesar.” (Diriwayatkan daripada Hussein Saidina Ali)

Ketika pulang dari medan jihad:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَصَرَكَ وَأَعَزَّكَ وَأَكْرَمَكَ
“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadamu kejayaan, kehebatan dan kemuliaan.” (Riwayat Muslim, Nasa’ie daripada Saydatina A’isyah)
   
Ketika pulang dari menunaikan Haji;
تَقَبَّلَ اللَّهُ نُسُكَكَ وَأَعْظَمَ أَجْرَكَ وَأَخْلَفَ نَفَقَتَكَ
“Semoga Allah menerima ibadah hajimu, mengampunkan dosamu, serta menggantikan semula harta yang telah anda belanjakan.” (Riwayat Ibnu Sunni daripada Ibnu Umar)

(7). Memberikan hadiah dalam kesempatan tertentu apabila perlu. Sabda Rasulullah saw:
تَهَادَوْا تَحَابُّوا
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kelak kalian akan lebih mesra dan kasih.” (Riwayat Tabarani)

(8). Bersikap prihatin dan suka menunaikan hajat serta keperluan sahabat.

(9). Menyempurnakan segala hak-hak ukhuwwah dengan sempurna. Persaudaraan dalam Islam menuntut hak-hak tertentu. Diriwayatkan oleh Imam Jaafar al-Sadiq:
للمؤمن على المؤمن سبعة حقوق واجبة من الله عزّ وجّل: الإجلال له في غيبته، والود له في صدره، والمواساة له في ماله، وأن يحرم غيبته، وأن يعوده في مرضه وأن يشيع جنازته، وأن لا يقول فيه بعد موته إلا خيرا 
“Tiap orang Mu’min telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang Mu’min yang lain: iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan, menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya, menghulurkan simpati dengan harta sendiri, mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya, menziarahinya ketika sakit, mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja sepeninggalannya.”

Biodata Penulis

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Pernah melanjutkan pengajian ke Mesir antara 1965-1974 di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan di Jabatan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan dalam universiti yang sama. Bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan menjadi Presiden NGO itu pada tahun 1999-2003. Selain dari PUM beliau turut memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Lajnah IT PAS Pusat.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-