© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Prinsip-Prinsip Ketika Berikhtilaf

Prinsip-Prinsip Ketika Berikhtilaf

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 8 October 2014


Secara fitrah, manusia diberikan kekuatan dan cara pemahaman yang berbeza antara satu sama lain. Atas perbezaan pendapat tersebut, ia menerbitkan banyak ikhtilaf seterusnya membentuk pelbagai aliran.
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
“Manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi khabar berita gembira dan peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan diantara menusia tentang perselisihan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana kedengkian sesama sendiri, maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya, dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang lurus.” (surah al-Baqarah: 213)

Ayat di atas, Allah telah menerangkan perkembangan sosial manusia. Pada asalnya, manusia berasal dari Nabi Adam kemudian membentuk satu masyarakat yang saling berinteraksi antara satu sama lain. Seterusnya berkembang membentuk jenis dan kepelbagaian ras yang meramaikan lagi variasi masyarakat serta ketamadunan umat manusia.

Mereka pada asalnya menjalankan syariat Islam yang dibawa oleh utusan-utusan Allah. Lama-kelamaan masing-masing menimbulkan pelbagai persoalan dan masalah, justeru menyumbang percanggahan serta perbezaan pendapat antara mereka. Muncul pelbagai pemikiran dan idea, aliran dan kefahaman, dalam pada masa yang sama lupa bahawa Allah sebagai Pencipta yang telah menyediakan cara hidup yang sempurna.

Oleh kerana perbezaan pendapat semakin membarah, membuatkan mereka semakin jauh menyimpang dari syariat Islam yang diiktiraf oleh Allah sebagai satu-satunya cara hidup, maka diutuskan para Nabi dan Rasul untuk membimbing manusia menuju keredhaan Allah. Kehadiran utusan-utusan Allah ini diiktiraf sebagai guru, murshid dan pembimbing kepada umat manusia. Mereka menceritakan khabar gembira kepada yang taat mengikuti Islam secara syumul, dan memberi peringatan azab pembalasan di akhirat kelak kepada yang ingkar.

Dengan itu, disertakan bersama utusan-utusan Allah, kitab yang menjadi rujukan buat manusia. Sehinggalah kita umat akhir zaman dikurniakan nikmat bimbingan al-Quran sebagai pimpinan sejagat mempraktikkan kehidupan seharian berlandaskan al-Quran di segenap aspek. Menerusia kitab Allah itulah sebagai penyelesaian terhadap percanggahan dan perbezaan pendapat antara manusia dalam membentuk ketamadunan.

Pada permulaan ayat di atas, Allah menerangkan perkembangan khilaf dikalangan manusia, sistem manakah yang perlu diteladani dalam membina ketamadunan manusia. Kemudian Allah menjawab, bahawasanya telah diutuskan para Nabi dan Rasul bersama kitab demi membimbing manusia. Hanya dengan kitab itu, manusia mampu bersatu seperti sediakala seperti mana zaman awal perkembangan masyarakat Nabi Adam.

Barangsiapa yang mencari kebenaran, maka mereka tidak akan berpecah selagi mana tetap berpegang dengan kitab yang dikurniakan. Untuk umat akhir zaman, kita dengan al-Quran menjadi hujjah kearah mempertahankan kebenaran Islam. Malangnya, ada di antara manusia yang tetap berpecah akibat tidak berpegang dengan syariat Islam. Allah telah menyatakan tiada lain puncanya melainkan kedengkian dan kejahatan manusia itu sendiri.

Maka, keadaan sedemikian menarik kita supaya mengikuti al-Quran, ikhlas menuruti acuan Islam. Kita tidak pernah lupa dan putus asa, bahawa hanya Allah mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Justeru, peranan kita adalah berusaha mengejar kelayakan semoga Allah mengurniakan hidayah dalam pencarian terhadap kebenaran yang hakiki. Dengan kesungguhan itu, moga dibimbing kejalan yang lurus, mencakupi aspek aqidah, ibadat, cara hidup dan syiar syariat Islam yang ulung.

Secara umum, perbezaan pendapat ataupun khilaf antara manusia dikenal pasti terbahagi kepada tiga bahagian.

Pertama : Khilaf yang terjadi sesama manusia dalam menguruskan urusan dunia mereka. Manusia secara umum menghadapi perbezaan pendapat dalam memilih cara yang paling baik untuk urusan perniagaan dan sosial mereka. Perkara ini sejajar dengan perkhabaran Allah;

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ
“Manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi khabar berita gembira dan peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan diantara menusia tentang perselisihan mereka.” (surah al-Baqarah: 213)

Ayat ini sangat berkaitan dengan perbezaan manusia dalam menentukan sistem pentadbiran dalam urusan dunia mereka. Didatangkan para Nabi bersama mereka Kitab sebagai rujukan demi menyelesaikan khilaf sesama mereka dalam memilih sistem pentadbiran dunia yang paling efektif serta sealiran dengan kehendak syara’. Bagi setiap umat, telah disediakan syariat mereka yang tersendiri. Umat Nabi Musa dengan syariat Nabi Musa, umat Nabi Isa dengan syariat Nabi Isa, begitu juga kita dengan syariat Nabi Muhammad, perlu dilaksanakan tanpa keraguan. Hanya dengan syariat yang telah ditentukan inilah, mampu menyatukan manusia serta membimbing mereka ke arah ketamadunan yang ideal dengan kehendak Islam.

Kedua : Khilaf yang terjadi di kalangan umat yang telah diberikan syariat melalui kitab-kitab yang telah diberikan. Pertembungan sebegini berlaku di antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang kafir dan mereka yang mempunyai penyakit hati, dengki terhadap kebenaran yang telah diutuskan. Inilah yang dikenali sebagai pertembungan antara haq dan batil.

Manusia bercanggahan sesama mereka dalam penerimaan kitab yang telah diutuskan. Golongan yang menolak bimbingan kebenaran dari kitab, hanyalah bertuhankan nafsu.

وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ
“Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana kedengkian sesama sendiri.” (surah al-Baqarah: 213)

Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah s.a.w sebagai pembawa hidayah dan Din yang Haq. Bagi mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Maka dengan ini, terpisahlah dua golongon iaitu antara haq dan batil, antara hidayah dan kesesatan, antara cerdik dan dungu, antara kebenaran dan pendustaan, antara ilmu dan jahil, antara ma’ruf dan munkar, antara jalan awliya Allah dan musuh-musuh Allah yang sentiasa menimbulkan pertembungan.

Golongan inilah yang berperanan merubah dan menyeleweng kebenaran didalam kitab mereka. Sejarah telah membuktikan contoh bangsa Israel merubah kitab dan syariat mereka. Seterusnya berperanan menyebarkan virus merubah syariat Nabi Isa yang telah diamalkan oleh pengikut-pengikut baginda. Agama kristian yang ada sekarang tidak boleh sama sekali disandarkan kepada Nabi Isa.

Syariat Nabi Isa telah dirubah. Angkara kedengkian yahudilah, timbulnya agama kristian yang tiada kaitan langsung dengan ajaran Nabi Isa a.s. Pengasas kepada agama Kristian adalah seorang lelaki Yahudi bernama Paul. Beliau yang hidup pada zaman kegelapan agama al-Masih (Nabi Isa) telah mengarahkan penulis-penulis seperti Luke, Mark, Matthew dan John untuk membukukan agama tersebut daripada hilang begitu sahaja. Sebagaimana yang termaktub di dalam sejarah, ketika zaman Trojan, orang-orang Yahudi kembali semula ke Jerusalem. Mereka mula membanjiri kota Jerusalem. Namun kehidupan mereka di sana tidak bertahan lama apabila mereka menampakkan perangai mereka yang jahat dan berlakulah huru-hara di sana sini. Agama al-Masih diharamkan dan diperangi oleh pemerintah Rome pada ketika itu dengan alasan mampu menggugat pemerintahannya.

Malangnya Paul telah mencampur-adukkan aqidah samawi (agama yang telah diturunkan kepada al-Masih) dengan aqidah ardhiyah wasaniah yang dicedok daripada agama yang sezaman dengannya seperti Mesir Kuno, Hindu dan Babylon. Aqidah ardhiyah wasaniah ini telah dibentuk menjadi doktrin utama bagi agama kristian hari ini.

Inlah contoh penyelewengan manusia yang berpenyakit hati, hasad terhadap syariat Allah, merubah apa yang telah disediakan oleh Allah buat manusia. Di dalam contoh di atas, jelaslah bahawa peringatan dan perkhabaran Allah tentang penyelewengan sebegini telah berlaku. Benarlah firman Allah di dalam ayat terakhir surah al-Fatihah;

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
“(Tunjukkanlah) jalan yang engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukanlah (jalan) mereka yang dimurkai dan (bukan pula) jalan mereka yang sesat.”

Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda;

إن المغضوب عليهم اليهود وإن الضالين النصارى
“Sesungguhnya yang dimurkai adalah Yahudi, dan golongan yang sesat adalah Nasrani (Kristian).”

Hadith ini membenarkan lagi sejarah angkara Yahudi menyesatkan pengikut Kristian. Yahudi berperanan menyesatkan manusia, manakala orang-orang Kristian sesat terpengaruh dengan acuan agama Kristian yang dicipta Yahudi. Mereka sesat tidak sedar akan kesesatan yang dipertahankan, sementara Yahudi lebih teruk dengki menyesatkan manusia dalam masa yang sama mereka mengetahui kebenaran Islam. Tetapi kerana mempertahankan keegoan dan kedengkian yang tinggi, sanggup melakukan apa sahaja asalkan mempertahankan kedegilan mereka.

Kita selaku umat Islam yang beriman sepenuhnya diseru agar berlepas diri dan tiada toleransi jika berlaku pertembungan dalam khilaf seperti ini. Ini kerana mereka sanggup menjual kebenaran demi meraih keuntungan dunia yang sementara, mereka jugalah yang membunuh utusan-utusan Allah daripada Para Anbiya dan orang-orang soleh yang berdakwah kepada syariat Allah.

Pertembungan inilah yang berlaku antara golongan kuffar serta penentang syariat Allah dan golongan yang beriman dengan Islam yang syumul.

وَلَكِنِ اخْتَلَفُواْ فَمِنْهُم مَّنْ آمَنَ وَمِنْهُم مَّن كَفَرَ
“Akan tetapi mereka berselisih, di antara mereka ada yang beriman, ada pula yang kafir.” (surah al-Baqarah: 253)

Penulis ingin menjelaskan di sini bahawa kita perlu memerangi mereka yang terang-terangan mengikuti kekufuran. Begitupun terdapat juga kelompok yang Islam berdasarkan keturunannya, tetapi ingkar serta mempertikaikan syariat Islam. Maka golongan ini berada di dalam kelompok yang membawa panji kebatilan. Islam mereka hanyalah pada nama, bersifat dengan sifat munafiq, membuatkan mereka terjerumus ke lembah kesesatan.

Jelas di zaman kita, pada kurun ke-15 hijrah, apabila munculnya kumpulan yang mengajak kepada kekufuran, maksiat. Mereka mempergunakan nama Islam dalam melaksanakan promosi dakyah tersebut. Menzahirkan kononnya bahawa merekalah kelompok muslimin. Apabila berhadapan dengan pertembungan ini, maka kita tidak punya pilihan melainkan tetap teguh mempertahankan prinsip Islam yang syumul. Walaupun menerima pelbagai tekanan, hakikatnya ia adalah kayu ukur keimanan kita. Kerana pertembungan ini adalah pertembungan usul yang merupakan prinsip yang wajib dipelihara.

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا
“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah berpecah belah.” (surah ali-Imran: 103)

Mungkin ada sesetengah golongan yang terkeliru, dengan membawa ayat di atas sebagai hujjah supaya jangan berpecah. Pendirian yang diajar oleh Islam adalah pendirian yang teguh. Membezakan antara yang haq dan batil. Allah memerintahkan kita supaya optimis berpegang dengan tali Allah, iaitu al-Quran. Makna bagi tali Allah adalah al-Quran dijelaskan oleh sabda Baginda s.a.w:

القرآن حبل الله المتين
“Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh.”

Ayat ini mendahulukan perintah berpegang dengan al-Quran, kemudian baru disebut jangan berpecah. Memberi kefahaman bahawa al-Quran sahaja yang mampu menyatukan manusia, dan apabila tidak berpegang dengan al-Quran maka manusia akan berpecah.

Justeru, perpecahan antara golongan yang berpegang dengan al-Quran dan golongan yang meninggalkan al-Quran tidak dapat dielakkan. Ini kerana seolah-olah perpecahan ini sengaja diundang berikutan tindakan golongan yang meninggalkan al-Quran, tetap dengan keingkarannya.  Bagaimana hendak bersatu sedangkan golongan tersebut jelas ingkar meninggalkan al-Quran? Allah menyatakan jangan berpecah apabila sama-sama berpegang dengan Islam. Sebaliknya jika berpecah dengan golongan yang meninggalkan Islam, tidak mengapa bahkan itulah prinsip pemisahan antara yang haq dan batil.

Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda mengenai prinsip yang harus dipegang apabila berlaku pertembungan antara haq dan batil;

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ وَلَيْسَ فِي حَدِيثِ قُتَيْبَةَ وَهُمْ كَذَلِكَ
“Akan sentiasa ada golongan dari umatku yang zahir terhadap kebenaran, mereka tidak boleh diperapa-apakan oleh orang yang meninggalkan mereka, (keadaan ini akan berterusan) sehinggalah tiba hari kiamat, dan pendirian golongan tersebut tetap sedemikian (thabat dan istiqamah).”

Berdasarkan hadith ini, Rasulullah mengingatkan agar kita menjadi golongan pembela kebenaran. Apabila berlaku pertembungan, biarlah kita berada di pihak benar untuk menzahirkan risalah Islam. Cuma ingin dijelaskan, apabila mereka tidak membawa sebarang mudharat dan ancaman kepada kita, ketika itu mereka adalah mad’u yang perlu disampaikan penerangan dakwah secara bijak. Sebaliknya apabila mereka membawa mudharat dan ancaman kepada kita, maka ketika itu mereka adalah ‘aduw (musuh) yang perlu ditentang mengikut strategi yang paling efektif.

Jika diimbas kembali sirah Rasulullah s.a.w, inilah cara yang dilaksanakan. Apabila bukan di medan peperangan, Baginda memandang orang-orang kafir sebagai mad’u yang perlu disampaikan dakwah Islam kepada mereka. Tetapi dalam erti kata selagi mereka tidak memudharatkan atau memberikan ancaman kepada Islam. Manakala ketika dimedan tempur, baginda beraksi melawan mereka atas nama musuh.
  
Ketiga : Khilaf yang terjadi antara orang-orang yang beriman. Mereka tidak bercanggah pendapat dan berbeza pendirian dalam menerima syariat yang terkandung didalam al-Quran dan kebenaran syariat Rasulullah s.a.w. Sebaliknya mereka hanyalah berbeza pandangan dalam memahami nas-nas syara’ seterusnya memberi kesan dalam pengistinbatan hukum. Mereka keseluruhannya beriman dengan syariat yang datang dari kitab, cuma pemahaman sahaja yang berbeza.

فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
“Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya, dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya kejalan yang lurus.” (surah al-Baqarah: 213)

Ikhtilaf antara mazhab dan kumpulan Islam, sesungguhnya pada perkara kefahaman cabang furu’ sahaja. Fenomena sebegini pasti terjadi kerana ia tercetus dari ijtihad, kefahaman dan istinbat para Mujtahidin. Khilaf di kalangan ulama’ mujtahidin dalam mengistinbat hukum yang terkandung di dalam nas-nas syara’. Khilaf ini sama sekali jauh dari unsur kedengkian dan kekufuran, ia adalah khilaf yang masyru’, khilaf yang berbentuk rahmat kepada umat Islam dalam memahami seterusnya melaksanakan ibadat yang disyariatkan.

Biodata Penulis

Abdul Mu’izz bin Muhammad mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Syariah Islamiyah di Kaherah. Anak muda bersemangat waja ini berasal dari Kajang dan kini memangku jawatan sebagai Ketua Urusan Ulamak Kawasan Klang. Beliau banyak menulis buku-buku ilmiah antaranya berjudul "Khilaf : Prinsip dan Disiplin". Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-