Headlines Articles :
Home » » Sanggahan Kesatuan Ulama Islam Sedunia Terhadap ISIL

Sanggahan Kesatuan Ulama Islam Sedunia Terhadap ISIL

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 10 July 2014


Kesatuan Ulama Islam Sedunia - The International Union for Muslim Scholars (IUMS) menyatakan bahawa deklarasi “Khilafah Islamiyyah” yang dikumandangkan oleh kelompok Daulah Islamiyah Iraq dan Syria - State in Iraq and the Levant (ISIL) beberapa hari lalu adalah “deklarasi yang terbatal dan menyimpang daripada dasar ilmu syariah”.

Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyenaraikan sebab untuk menolak pegisytiharan tersebut di mana langkah yang dilakukan oleh kumpulan itu dilihat tidak berdasarkan kepada perundingan dan konsensus umat Islam di negara tersebut. Kerana pincangnya kesepakatan, maka umat Islam sewajarnya mengabaikan penabalan Khilafah Islamiyah yang batil daripada sudut penegakan syariatnya. Berikut adalah kenyataan penuh sikap Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa terhadap Kekhilafahan ISIL yang dikeluarkan oleh Syeikh Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi, presiden IUMS dan setiausahanya, Syeikh Prof Dr. Ali al-Qarra Daghi:

Pada awalnya, Kesatuan Ulama Islam Sedunia melihat pengisytiharan “Daulah Islamiyah” yang dilaungkan oleh gabungan organisasi-organisasi jihad dengan kumpulan-kumpulan tentera pembebasan di Iraq adalah satu usaha murni untuk mempertahankan kestabilan masyarakat Sunni di Iraq dan mereka yang tertindas di negara tersebut. Kami mengalu-alukan gerakan jihad seumpama itu dan melihat kewajaran mobilisasi tersebut dilaksanakan untuk menolak ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku di Iraq.

Namun, tidak lama kemudian gabungan kumpulan jihad ini berpecah apabila timbulnya pembentukan Khilafah Islamiyah yang dilakukan ISIL. Mereka mengisytiharkan pertabalan “Khalifah bagi sekalian umat Islam” dan menuntut masyarakat Islam di seluruh dunia berikrar untuk menyatakan kesetiaan (baiah) kepadanya dalam setiap arahan yang dikemukakan. Kesatuan Ulama Islam Sedunia menilai enigma ini sebagai salah satu bentuk kejahilan terhadap neraca syariah dan realiti yang menimpa keseluruhan rakyat di Iraq. Pengisytiharan tersebut menimbulkan lebih banyak kemudharatan daripada manfaat.

Mengenai isu ini, Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menegaskan perkara-perkara berikut:

Pertama: Semua umat Islam mengimpikan terbentuknya semula institusi Khalifah Islam, iaitu kriteria kepimpinan yang mengikuti petunjuk Nabi, di mana hasrat tersebut begitu sarat dan berkobar-kobar agar ia dapat dibentuk secepat mungkin. Namun, Islam secara gradual - menerusi kematangan sejarahnya - mengajar kita bahawa pembinaan projek sebesar ini perlu didahului oleh mekanisme dan rangka perancangan yang panjang terutamanya dalam menyediakan plan bagi mendepani risiko dan perlumbaan dengan kuasa-kuasa besar, memandangkan keupayaan kita sekarang jika dibandingkan keupayaan musuh-musuh, sekutu kita dan mereka, kita begitu ketinggalan jauh.

Tidak dinafikan kita wajib mewujudkan negara yang memerintah berlandaskan syariat Islam, dalam masa yang sama negara itu mestilah berjaya mengekalkan perpaduan di kalangan penduduknya, serta menguasai sumber-sumber pemilikannya, meraih kemuliaan dan moral penduduknya yang secara tidak langsung akan melindungi integriti dalamannya dan menjaga negara daripada campur tangan asing. Pembinaan ini berupaya mengasaskan pencerahan kepada masyarakat dunia terhadap hakikat Islam, memperkenalkan gagasan, objektif, dan pendiriannya secara umum termasuk kepada orang Islam, bukan Islam dan mereka yang memusuhi Islam.

Khilafah daripada sudut perspektif syariat bermakna pengutusan, dan Khalifah secara literal dan teknikalnya adalah ejen yang dipersetujui oleh Ummah dinobatkan melalui ikrar taat setia (baiah) mereka kepadanya. Lantikan ini secara rasional dan lazimnya tidak akan sah (terbatal) kecuali apabila keseluruhan Ummah menyatakan kesetiaan (menyerahkan baiah) kepada Khalifah, sama ada secara representatif (perwakilan) atau melalui wakil-wakil yang diistilahkan sejak dahulu sebagai Ahl al-Hal wa al-Aqdi di kalangan Ulul Amri terdiri daripada para ulama, orang yang kompeten dalam urusan audit, para pemimpin, penggubal undang-undang dan kumpulan-kumpulan Islam (jamaah Islam yang tinggal di negara tersebut).

Oleh kerana itu, deklarasi Khalifah yang semata-mata dilakukan oleh sekumpulan tunggal (ISIL) tidak memadai dan ia sekaligus membelakangi perundangan serta bercanggah dengan kehendak syariat.

Kedua: Segala hal ehwal negera dan politik yang berlandaskan syarak menurut Islam mestilah berdasarkan syura (perundingan), Allah berfirman:
وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ
Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; (Syura: 38)

Allah juga berfirman:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. (Aali-Imran: 159)

Sekalipun dalam masalah penyusuan bayi, Islam meletakkan syarat bahawa ia perlu diputuskan melalui konsultansi (perundingan). Bagaimanakah pula masalah dalam menguruskan pentadbiran di sebuah negara yang besar dan institusi khalifah yang unggul?!

Sirah Rasulullah s.a.w membuktikan kepentingan syura (perundingan) sebagai resam kepimpinan baginda. Begitu juga ketika pemilihan khalifah sewaktu pemerintahan Khalifah al-Rasyidin berlangsung, ia diselesaikan melalui meja rundingan. Apabila kaum Muhajirin dan Ansar saling bercanggah dalam urusan mencari pengganti (khalifah), masing-masing berkumpul melakukan rundingan di Saqifah Bani Sa'idah sehingga mereka berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih Abu Bakar al-Siddiq r.a. Kemudian mereka pergi Masjid mengusulkan persetujuan kepada rakyat, serta Ahl al-Hal wa al-Aqdi menyatakan taat setia (baiah) kepada Abu Bakar r.a. Setelah itu baharulah institusi kekhalifahan berjaya ditubuhkan sepenuhnya.

Khalifah berikutnya seperti Umar al-Khattab r.a, Uthman ibn Affan r.a dan Ali ibn Abi Talib r.a turut melalui sistem pelantikan khalifah mengikut kaedah yang sama. Dinaqalkan di dalam Sahih Bukhari bahawa ketika pemilihan Uthman ibn Affan r.a sebagai khalifah, Abd al-Rahman ibn Auf mendekati jamaah kaum lelaki dan berunding bersama mereka di tempat-tempat perhimpunan, manakala jamaah kaum wanita melalui bilik-bilik mereka.

Oleh itu, apabila kumpulan tertentu mengisytiharkan kebangkitan khalifah, pengisytiharan itu nyata sekali terbatal, tidak sah, dan ia membelakangi perakuan ijtihad semasa terhadap konteks syariat. Bahkan ia memberikan kesan yang lebih dahsyat kepada masyarakat Islam Sunni di Iraq, dan menguburkan revolusi di Syria. Sebaliknya, kesan itu akan membawa kepada penyatuan kuasa-kuasa musuh yang masing-masing berbeza latar belakang untuk menggagalkan kedua-dua revolusi sah untuk mengembalikan hak rakyat di Syria dan Iraq. Oleh kerana itu, kami menyeru agar masyarakat Islam lebih bersikap realistik dan mengambil kira kesan pengisytiharan itu terhadap rakyat di kedua-dua negara ini.

Ketiga: Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menegaskan:

(1)- Pengisytiharan Khalifah Islam yang di dakwa ISIL menunjukkan kurangnya pengetahuan mereka terhadap fekah berasaskan realiti itu. Perbuatan mereka ini sebenarnya adalah rampasan terhadap revolusi rakyat yang terdiri daripada masyarakat Islam Sunni, termasuklah suku-suku yang berbeza puak di beberapa kawasan di Iraq. Sekarang, mengapa tiba-tiba muncul sebuah organisasi (ISIL) mengisytiharkan pemerintahan Khilafah Islamiyah dengan memilih salah seorang pengikut di dalam organisasi tersebut sebagai khalifah, dalam ketiadaan institusi umat Islam melengkapi Ahl al-Hal wa al-Aqdi di kalangan ulama, individu-individu yang kompeten, para pemimpin, penggubal undang-undang dan komuniti jamaah Islam?

(2)- Perbuatan ISIL sama sekali tidak boleh diterima dan wajib ditolak sepenuhnya oleh seluruh organisasi Islam di seluruh dunia akibat daripada pengisytiharan “Khilafah Islamiyyah” dan “Khalifah” oleh organisasi tunggal (ISIL) yang membelakangi kepentingan rundingan dan persetujuan ummah.

(3)- Pengisytiharan ini membuka lebih banyak lagi pintu huru-hara, ia membolehkan mana-mana organisasi mendakwa sebagai Khalifah, iaitu sebagai penjaga hal ehwal umat Islam, tanpa persediaan yang rapi, keseragaman koordinasi dan penyelarasan matlamat. Dengan cara ini, konsep Khalifah Islam dilihat sebagai institusi yang gagal di kalangan rakyat, sekaligus memberikan ancaman yang lebih serius kepada penduduk di negara tersebut, dalam masa yang sama musuh-musuh Islam yang akan meraih manfaatnya.

(4)- Konsep Khilafah Islamiyah tidak seharusnya dihubungkan kepada organisasi-organisasi tertentu yang dikenali sebagai kumpulan yang berorientasikan kekerasan (tasyaddud). Ini kerana imej negatif tersebut selamanya tidak mungkin dapat membina projek Islam yang hebat ini dan melakar generasinya dengan baik.

(5)- Mengembalikan kegemilangan Khilafah Islamiyah adalah satu projek yang besar dan ia memerlukan usaha berlipat kali ganda melibatkan seluruh umat Islam. Kita semua merindui dan berhasrat menikmati zaman kegemilangan tersebut dan bercita-cita untuk menegakkannya. Namun, ia memerlukan pemahaman terhadap peraturan syarak di semua peringkat terhadap bentuk, model dan kandungan yang berasaskan kepada persetujuan sebulat suara di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Khilafah Islamiyah bukanlah boleh ditegakkan hanya pada deklarasi yang dilaungkan di sana sini tanpa mempunyai apa-apa asas yang berpijak pada dunia nyata dan undang-undang yang mengukuhkannya.

اللهم هب لنا عقولا راشدة لا تضل السبيل، وضمائر حية لا تتبع الهوى
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami fikiran yang dipandu (kebenaran-Mu) dan tidak sesat dari jalan (Islam), (berikanlah kepada kami) suara hati yang benar dan tidak mengikut hawa nafsu.

وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ
Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (lantaran sikap tergesa-gesa atau putus asa). (Yusuf :21)

>> BACA TEKS ASAL

Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia