© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Mempercayai Ramalan Horoskop

Mempercayai Ramalan Horoskop

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 14 July 2014

 
Ramalan horoskop berdasarkan zodiak, atau yang sejalan dengan cara-caranya adalah tilikan yang dibuat berdasarkan konfigurasi bintang-bintang di langit atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek di angkasa seperti matahari, bulan dan planet. Sebagai contoh, apabila posisi gugusan bintang di arah “A” lalu kebetulan ada bayi yang lahir tepat pada malam bintang itu muncul maka diramalkan bayi itu akan menjadi orang terkenal setelah dewasa nanti. Kepercayaan terhadap tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan keuntungan, kerugian mahupun keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi orang yang suka majalah hiburan, adakalanya diselit ruangan horoskop sehingga ramai menyangka ramalan tersebut seakan ada benarnya. Lebih parah lagi jika ada yang menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan. Ada juga yang melanggan ramalan horoskop melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui untung nasib mereka atau perkara bakal dilalui setiap hari, minggu atau bulan. Perbuatan itu bukan sahaja merosakkan akidah malah menyebabkan kehidupan tidak keruan kerana ramalan mempengaruhi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka sehari-hari.

Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘melihat jam’ di dalam bahasa Arab budaya ramalan ini wujud dalam istilah (ما حظك اليوم). Untuk memperolehi horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada salah satu satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada. Pemerhatian terhadap lambang zodiak, seolah-olah si pengamal horoskop mengetahui hal-hal ghaib, seakan-akan mereka mampu membaca dan menentukan nasib seseorang. Dengan dasar ini dia memerintah dan melarang berbuat sesuatu, bahkan kadang-kadang menakuti seseorang meskipun akhirnya memberi khabar gembira atau hiburan semata-mata.

Sesungguhnya perkara-perkara ghaib hanyalah Allah milik-Nya. Dan ini adalah hak prerogatif Allah secara mutlak. Dalam hal ini, Allah berfirman:
قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
“Katakanlah: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (surah al-Naml: 65)
قُلْ لا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلا ضَرّاً إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (surah al-‘Araf: 188)
عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا. إِلاَّ مَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا
“(Dia adalah Rabb) Yang mengetahui yang ghaib. Maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya. Maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (Malaikat) di muka bumi dan di belakangnya.” (surah al-Jin:26-27)

Barangsiapa mengaku mengetahui perkara ghaib selain insan yang dikecualikan sebagaimana ayat di atas (Rasul yang diredhai-Nya), maka keimanannya telah rosak. Baik mengetahuinya dengan perantaraan membaca garis-garis tangan, di dalam takar, sihir atau selain itu. Kepercayaan terhadap ramalan horoskop termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Hadis Rasulullah s.a.w:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal dan menanyakan tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya 40 malam.” - Riwayat Muslim

Allah Taala memberitakan bahawa penciptaan bintang-bintang itu ialah hiasan langit, penunjuk jalan kepada para musafir, dan pelempar syaitan yang mencuri-curi khabar dari langit yang diucapkan di hadapan para malaikat. Sebagaimana firman-Nya:
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاء الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ
“Dan sungguh, Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan.” (surah al-Mulk: 5)
إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاء الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ. وَحِفْظًا مِّن كُلِّ شَيْطَانٍ مَّارِدٍ
“Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan bintang-bintang, dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) daripada setiap syaitan yang sangat derhaka.” (surah al-Shaffat: 6-7)
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ لِتَهْتَدُواْ بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ قَدْ فَصَّلْنَا الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (kami) kepada orang-orang yang mengetahui.” (surah al-Ana’am: 97)

Di antara kejadian bintang-bintang itu ada yang tetap dapat dilihat, dan tidak bergeser pada tempatnya, ada pula yang terus beredar, orang yang ahli dalam bidang itu akan tahu peredarannya yang menandakan arah. Ayat di atas (surah al-Ana’am: 97) menunjukkan keharusan mempelajari ilmu peredaran bintang yang dinamakan dengan Ilmu Tasyir. Diriwayatkan daripada Umar al-Khatthab r.a bahawa beliau berkata:
تَعَلَّمُوا مِنَ النُّجُومِ مَا تَهْتَدُونَ بِهِ فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ، ثُمَّ أَمْسِكُوا
“Pelajarilah ilmu falak sekadar untuk mengetahui arah kiblat dan arah jalan. Tahanlah dirimu dari perkara selain itu.”

Hal ini dapat disimpulkan sebagaimana berikut:
  1. Mempelajari peredaran bintang untuk maslahat agama, seperti menentukan arah kiblat ketika solat. Ilmu ini boleh dipelajari bahkan menjadi fardhu kifayah untuk dipelajari.
  2. Mempelajari peredaran bintang untuk maslahat kehidupan dunia, contohnya gugusan bintang yang berbentuk pedang, maka hujung pedang sentiasa menunjukkan arah selatan. Atau gugusan bintang yang berbentuk senduk, dua bintang di hujung selalu menunjukkan arah utara.
Ilmu seumpama ini boleh dipelajari untuk kemaslahatan kehidupan manusia. Imam Khattabi mengatakan, “Ilmu bintang yang dilarang adalah apa yang diyakini oleh ahli falak tentang ramalan kejadian yang akan berlaku di masa yang akan datang, seperti waktu bertiupnya angin, turunnya hujan, perubahan harga dan yang sejenisnya mengenai perkara yang mereka sangka bahawa kejadian itu dapat diketahui dengan peredaran bintang di orbitnya, berkumpul dan berpisahnya, menyangka bahawa bintang itu dapat mempunyai pengaruh (menentukan) apa yang akan terjadi.”

Sesungguhnya kekuasaan Allah yang terukir dan terlukis pada alam, menandakan rahmat dan kasih sayang-Nya wujud pada setiap detik kehidupan. Demikianlah sebahagian bukti kekuasaan Allah, betapa indah dan sempurnanya setiap ciptaan-Nya itu. Suntikan-suntikan al-Quran begitu banyak mendorong manusia berfikir kerana dengan itu akal tidak dibekukan dengan mistik dan tahyul, malah petunjuk al-Quran berdaya memantapkan iman serta menjana kesempurnaan sebagai hamba-Nya.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-