© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , , » Memahami Falsafah Kenegaraan Menerusi Ibadat Puasa

Memahami Falsafah Kenegaraan Menerusi Ibadat Puasa

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 4 July 2014


Puasa merupakan salah satu daripada rukun Islam, iaitu bermaksud menjadi dasar-dasar utama bagi Islam. Bagaimana, tidak seperti rukun-rukun Islam yang lain yang selalu dikaitkan dengan cara hidup perseorangan hingga cara hidup bernegara, puasa selalu dilihat dari perspektif cara hidup perseorangan. Kalaupun ada usaha mengaitkannya dengan cara hidup bernegara, ia dilihat daripada sudut merasai kelaparan sebagaimana golongan fakir miskin. Dengan tidak menafikan perkara itu sebahagian daripada cara hidup bermasyarakat, tetapi ia tidak menggambarkan keseluruhannya dasar-dasar Islam dalam kehidupan bernegara.

Sepertimana yang sedia dimaklumi, puasa diwajibkan oleh Allah melalui ayat ke 183, surah al-Baqarah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga dengan berpuasa kamu bertakwa.

Kewajipan puasa ini diturunkan pada tahun ke-2 selepas hijrah, iaitu selepas terbentuknya pemerintahan Islam di Madinah. Tidak seperti solat yang diwajibkan sebelum hijrah, kewajipan-kewajipan yang lain termasuk puasa diwajibkan selepas terbentuknya pemerintahan Islam. Dengan pengertian lain, kewajipan puasa ini mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan pemerintahan Islam, bukan sekadar amalan perseorangan. Malah begitu menarik sekali, apabila ayat berhubung kewajipan puasa ini berserangkai dengan ayat-ayat yang lain berkaitan dengan perundangan seperti Qisas dan Wasiat.

Taqwa Sebagai Asas Pembinaan Negara

Tujuan utama daripada kewajipan berpuasa ialah membentuk individu yang bertaqwa. Secara umumnya, taqwa bermaksud takut dan kasih kepada Allah dengan sentiasa peka kepada perintah-perintah-Nya dan sentiasa berawas daripada larangan-larangan-Nya. Sifat taqwa ini menjadi prinsip penting bagi kehidupan perseorangan sebagai tahap yang tertinggi di sisi Allah, sebagaimana Firman-Nya dalam ayat ke 13 Surah al-Hujurat:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita, dan menjadikan kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain, sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa di kalangan kamu, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya.

Sifat taqwa ini jelas menjadi asas terpenting dalam pembentukan seseorang warganegara di bawah pemerintahan Islam.

Prinsip ketaqwaan ini tidak sekadar dipupuk di peringkat kehidupan perseorangan tetapi juga kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan yang terlebih penting dalam perbincangan kita hari ini ialah kehidupan bernegara. Kewajipan berpuasa ini bertujuan untuk melahirkan individu-individu yang bertaqwa sebagai elemen terpenting bagi seseorang warganegara yang kemudiannya akan membentuk sebuah negara yang ditegakkan atas prinsip-prinsip ketaqwaan yang sama.

Berhubung dengan perkara ini, Allah berfirman dalam ayat 96 Surah al-A’raf:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Dan sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya akan dibuka keberkatan daripada langit dan bumi, akan tetapi mereka berdusta lalu kami timpakan ke atas mereka dengan apa yang mereka kerjakan.

Kebanyakan negara-negara di dunia dibina di atas prinsip-prinsip bernegara mereka masing-masing. Sebahagian negara dibina atas prinsip kebebasan untuk mengecapi keuntungan dan keseronokan, dan prinsip ini berakar-umbi sehingga ke peringkat kehidupan individu. Pemerintahan yang terbaik bagi mereka ialah pemerintahan yang memberikan kebebasan mutlak (laizzes-faire) kepada individu untuk mengaut keuntungan dan keseronokan ini. Prinsip inilah yang menjadi dasar kepada sesebuah negara Liberalism dan Capitalism.

Sebahagian negara pula berpegang kepada prinsip kesamarataan dan perkongsian hidup secara mutlak, iaitu setiap warganegara tiada kebebasan untuk memiliki harta persendirian dan tiada juga kebebasan untuk menjalani cara hidup perseorangannya. Prinsip ini ditanam kepada seluruh rakyat atas label keadilan, dan rakyat pada peringkat awalnya mendukung prinsip ini dengan melakukan perubahan-perubahan besar atas nama revolusi. Pemerintahan dalam konteks ini seharusnya bersifat kuasa berpusat (autokrasi), yang kemudiannya membawa kepada kuku besi (despotism).

Terdapat pula sebahagian negara yang tidak condong kepada mana-mana prinsip, sebaliknya mengambil mana-mana prinsip yang dilihat boleh mendatangkan keuntungan dan keseronokan. Negara ini berpegang kepada prinsip Pragmatism, iaitu kelenturan prinsip dengan meletakkan tujuan terpenting ialah yang boleh mendatangkan keuntungan dan keseronokan. Prinsip Pragmatism ini kemudiannya berakar umbi dalam masyarakat menjadikan mereka juga seorang pragmatis dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Demikianlah juga bagi pemerintahan Islam yang ditunjuki oleh Rasulullah s.a.w, negara yang dibina oleh Rasulullah s.a.w adalah dibina atas prinsip Taqwa, iaitu negara yang sentiasa peka kepada perintah-perintah Allah dan berawas terhadap larangan-larangan-Nya. Negara ini bermatlamat untuk mendapat keredaan dan keampunan Allah. Bagi memperkukuhkan prinsip ini, maka Allah mewajibkan kepada umat Islam berpuasa demi menjadikan mereka secara individu bertaqwa dan sekaligus memperkukuhkan prinsip kenegaraan itu dalam diri setiap warganegara di bawah pemerintahan Islam.

Negara Yang Melakukan Kawalan Terhadap Hawa Nafsu

Salah satu kepentingan puasa ialah untuk mengawal hawa nafsu. Sebagai agama fitrah, Islam tidak bertujuan untuk mematikan hawa nafsu atau menutupnya sama sekali. Dalam konteks hawa nafsu ini, Islam memberi tempat yang sesuai kepada hawa nafsu, tetapi menyuruh manusia mengawalnya. Dengan hawa nafsu inilah manusia membangunkan peradaban yang tidak dapat dilakukan oleh makhluk yang tidak bernafsu seperti malaikat. Berdasarkan hakikat tersebut, Ibn Khaldun menyebut “manusia itu bertamadun secara tabienya”.

Bagaimanapun, hawa nafsu ini tidak seharusnya bermaharajalela menentukan arah peradaban yang dibina oleh manusia. Sekiranya hawa nafsu ini bermaharajalela menjadi halatuju negara atau sesuatu peradaban, maka apa yang dibimbangi oleh Malaikat dalam ayat ke-30, surah al-Baqarah akan berlaku, iaitu bila mereka bertanya kepada Allah:
أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
Apakah kamu hendak menjadikan mereka di atas muka bumi ini, mereka yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah?

Sesebuah negara dan peradaban yang menjadikan hawa nafsu bermaharalela ini, akan menuju kerosakan dan berlaku pertumpahan darah sepertimana yang dibuktikan oleh sejarah peradaban manusia.

Demi menyedari hakikat tersebut, tujuan Islam adalah untuk mewujudkan keseimbangan iaitu mengawal hawa nafsu dengan memberikannya tempat yang sesuai dan menyekatnya daripada tempat yang tidak sesuai. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Umm al-Mu’minin Safiah r.ah, Rasulullah s.a.w bersabda:
إن الشيطان يجرى من ابن آدم مجرى الدم فضيقوا مجاريه بالجوع والعطش
Bahawa Syaitan berjalan dari anak adam pada tempat jalan darahnya, maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar dan dahaga.

Hadith ini memerintahkan supaya disempitkan perjalanan syaitan itu, iaitu tidak mengizinkan syaitan itu berjalan (dirantai) tetapi diberi ruang kepada hawa nafsu untuk tujuan yang sesuai. Dan menurut Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat tentang kewajipan puasa beliau menyebut:
لأن الصوم فيه تزكية للبدن وتضييق لمسالك الشيطان
Sungguh puasa itu dapat menyucikan badan dan menyempitkan jalan-jalan Syaitan

Mengawal hawa nafsu ini menjadi ciri terpenting kepada pembinaan budaya dan cara hidup dalam bernegara dan menjadi dasar dalam membina peradaban Islam. Perkara mengawal hawa nafsu ini bukan sekadar diperbincangkan di peringkat cara hidup perseorangan tetapi sehingga ke peringkat cara hidup bernegara. Perkara ini disebut oleh, al-Ghazali dalam menafsirkan ayat ke-11, surah al-Ra’ad:
إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka.

Menurut al-Ghazali, perubahan yang dikehendaki pada diri itu ialah mengawal hawa nafsu, justeru selama mana hawa nafsu itu tidak di kawal maka perubahan tidak akan berlaku bagi sesuatu bangsa dan kaum itu.

Sesungguhnya umat Islam menjadi kuat dengan pembina peradaban yang besar, apabila mereka mengawal hawa nafsu mereka, antaranya melalui puasa. Dengan mengawal hawa nafsu inilah umat Islam menjadi umat yang kuat, dan Allah telah membuktikan kekuatan ini dengan memberikan kemenangan kepada umat Islam dalam peperangan Badar, ketika pertama kali puasa itu diwajibkan. Menyedari hakikat tersebut, berpuasa ini memberi kekuatan kepada umat Islam untuk membina peradaban mereka dan menghadapi musuh-musuh mereka.


Biodata Penulis

Dr. Mohd Zuhdi bin Marzuki dilahirkan ada 26 Julai 1970 di Slim River Perak, bandar yang kecil tempat bersemaraknya kebangkitan pejuang Melayu Islam seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Di dalam gerakan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS), beliau merupakan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia. Bergiat dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah dalam usaha mewujudkan sebuah kehidupan dunia yang diredhai oleh Allah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-