© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Khutbah : Keganasan Israel dan Keprihatinan Kita

Khutbah : Keganasan Israel dan Keprihatinan Kita

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 18 July 2014


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, di hari yang penuh kemuliaan ini marilah kita bertakwa kepada Allah, Tuhan yang mencipta kita sekaligus membekalkan segala nikmat yang tidak ternilai buat kita. Mudah-mudahan ketakwaan yang dibina pada bulan Ramadan ini, merangsang semangat juang untuk mempertahankan syariat Ilahi dan sunnah an-Nabawi di saat umat hari ini tidak lagi mempedulikan syariat dan sunnah dalam kehidupan mereka.

Firman Allah:
وَقَاتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُواْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (al-Baqarah: 190)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rejim Zionis Israel telah melakukan pencerobohan di Palestin sejak tahun 1948 M apabila mereka mengisytiharkan negara “Israel Raya” dengan melakukan keganasan yang tiada taranya ke atas rakyat Palestin. Hal ini termasuklah mengusir rakyat Palestin yang sah dari tanah air mereka sendiri, membunuh, mengenakan sekatan dan sebagainya. Tentera Israel juga menceroboh dan menguasai Baitul Maqdis, kiblat pertama umat Islam pada tahun 1967 M.

Sejak penjajahan itu, penderitaan rakyat Palestin berlaku saban saat terutamanya akibat penutupan sempadan oleh Israel sehingga terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan apabila Gaza menghadapi serangan bertubi-tubi rejim Israel dengan menggunakan artileri-artileri berat seperti jet-jet pejuang F-16, helikopter Apache, kereta kebal Merkava ke atas sasaran awam. Tidak cukup dengan itu, keganasan Israel telah melampaui batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa di mana mereka pernah menggunakan serbuk racun fosforus ke atas masyarakat Muslim di Gaza. Serangan yang tidak berperikemanusiaan ini telah mengakibatkan kemusnahan pelbagai bangunan awam, pejabat, sekolah dan rumah kediaman.

Dakwaan Israel bahawa serangan ke atas Gaza merupakan langkah keselamatan untuk mempertahankan diri adalah pembohongan semata-mata. Serangan roket oleh pejuang al-Qassam, sayap kiri HAMAS hanya dijadikan alasan untuk mewajarkan tindakan Israel. Serangan roket pejuang Palestin, kononnya menjadi punca tindakan luar batasan negara haram Israel ini sebenarnya hanyalah serangan balas ke atas beberapa provokasi daripada tentera Israel sendiri termasuklah tindakan menceroboh ke dalam wilayah Gaza ketika tempoh gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

Ini jelas menunjukkan bahawa rejim Zionis mempunyai motif malafide untuk memaksimumkan jumlah kematian orang awam terutama wanita dan kanak-kanak yang berada di tempat kediaman masing-masing. Mereka sememangnya berniat jahat dari awal untuk melumpuhkan generasi pelapis umat Islam di bumi Palestin.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Mimbar mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melihat isu ini dari perspektif yang lebih menyeluruh. Dari segi sejarah, hak asasi manusia, kemanusiaan, peradaban, hak bersuara, hak wanita, kanak-kanak dan orang tua - malahan apa sahaja konvensyen antarabangsa kemanusiaan yang wujud hari ini. Ketika kita mengingatkan tarikh 31 Ogos 1957 M sebagai hari kemerdekaan negara, tarikh 31 Ogos 1897 M adalah merupakan tarikh Persidangan Basel di Switzerland. Inilah permulaan sejarah tercetusnya gerakan untuk menubuhkan sebuah negara Zionis Israel. Ini diikuti pula dengan Deklarasi Balfor untuk merealisasikan hasrat mereka. Pada 1948 M, negara Israel diistiharkan dan ia didokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.

Bermula saat itulah Israel menjadi sebuah kuasa proksi Amerika Syarikat. Selain peperangan 1967 M antara tentara Arab dan Israel, tentera Israel telah mengusai Baitul Maqdis yang telah mengakibatkan tanah Palestin dirampas. Ekoran itu, proses “me-yahudikan” bumi Palestin diisytiharkan oleh Israel. Sebagai hasil gerakan Zionis ini, sekarang bumi Palestin telah dilimpahi 6.5 juta pendatang haram Yahudi menyebabkan rakyat Palestin sendiri menjadi pelarian di sekitar negara-negara di Timur Tengah. Beberapa kem pelarian rakyat Palestin kini menampung jutaan pelarian Palestin di Jordan, Lubnan dan Syria.

Selama lebih 70 tahun, umat Islam Palestin hidup di medan peperangan. Mereka berada di tengah- tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Orang-orang tua mereka diusir keluar dari tanah air. Lelaki mereka dikelar dan ditembak mati. Wanita mereka diperkosa dan dibelah perutnya. Kanak-kanak mereka dikejar dan dibedil dengan sejata. Rumah kediaman mereka dibakar. Penghuni mereka dilempar dan kampung halaman mereka dimusnahkan. Pejuang-pejuang Islam dan pemimpin mereka ditembak ketika sedang mendirikan solat, itu semua sudah menjadi kejadian yang semakin biasa dilakukan oleh Israel.

Rakyat Palestin yang mahu hidup merdeka, ditangkap dan dikurung puluhan tahun lamanya di bilik kurungan yang sempit dan serba gelap. Mereka diperlakukan laksana binatang, bahkan binatang lebih berhati perut berbanding Zionis Israel ini. Jika kita kembali kepada al-Quran, tidak sukar untuk memahami punca kekasaran mereka yang sudah memiliki hati yang sekeras batu ini.

Firman Allah:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُواْ حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُواْ بِهِ وَلاَ تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىَ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلاَّ قَلِيلاً مِّنْهُمُ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (surah al-Maidah: 13)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kutukan ke atas keganasan rejim Zionis Yahudi ini adalah selaras dengan tuntutan Islam sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ
“Sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangan, jika dia tidak berupaya, maka dengan lidahnya, jika dia tidak berupaya dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Kita orang Islam harus sekurang-kurangnya ada perasaan benci, kesal dan marah ke atas kezaliman dan keganasan rejim Zionis Israel yang tiada taranya ini. Kutukan dan kecaman ke atas keganasan Israel ini menunjukkan akan keprihatinan ke atas penderitaan saudara kita sesama Islam. Di samping itu, ia menunjukkan bahawa Islam ini membenci keganasan. Protes kita terhadap perilaku biadab Israel yang anti-kemanusiaan dan anti tamadun ini turut menyerlahkan kebersamaan kita dengan suara kedamaian global. Di hujungnya nanti, kita hanya mengharapkan keredhaan dan anugerah pahala dari Allah jua.

Atas rasa keprihatinan dan solidariti persaudaraan, mimbar mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas bumi Palestin di Gaza. Sekali gus, rejim haram Tel Aviv wajib dituntut untuk diheret ke mahkamah antarabangsa untuk dibicarakan sebagai penjenayah perang.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Marilah kita tunaikan hak persaudaraan kita sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w :
مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَ تَعَاطُفِهِمْ وَ تَرَاحُمِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ اْلوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهَ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرَ الْجَسَدِ بِالسَّهْرِ وَ الْحُمَّى
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam berkasih sayang mereka, hubungan naluri mereka dan persaudaraan mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota terasa sakit, maka seluruh anggota turut berjaga dan terasa sakit (demam).” (Riwayat Muslim)

Akhirnya mimbar menyeru kepada umat Islam bahawa wajib berganding bahu membantu memberi pertolongan dalam apa bentuk sekalipun termasuk sumbangan wang ringgit, tenaga dan doa untuk meringankan beban mangsa kekejaman tidak berperikemanusian di Palestin.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-