© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-

Jihad

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday, 5 July 2014


Perkataan Jihad yang disebut di dalam al-Quran dan al-Sunnah tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Holy War (perang suci) semata-mata seperti seringkali difahami oleh Barat terhadap Islam lalu mereka menafsirkan secara ganas terhadap Islam dengan menuduhnya ekstremis, terroris dan seumpamanya. Islam adalah agama Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam termasuk hukumnya yang dianggap keras tetapi mengandungi cara dan hikmah yang membawa rahmat.

Perkataan Jihad daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran dan bahasa Nabi Muhammad ﷺ. Asal maknanya daripada segi bahasa ialah “masyaqqah” (مشقة) yakni kesukaran. Adapun maknanya menurut istilah syarak ialah, mengerahkan segala usaha dan tenaga bagi menghadapi orang yang menentang agama Allah (orang-orang kuffar), dan dimasukkan juga menentang hawa nafsu, syaitan juga fasik. Menghadapi penentang agama Allah itu dengan jiwa raga, harta, fikiran, lidah dan hati. 

Menentang hawa nafsu itu ialah bersungguh-sungguh menuntut ilmu agama, beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Menentang syaitan ialah menolak perkara yang syubahat (tidak jelas halal dan haramnya) dan kecenderungan hawa nafsu kepada kemungkaran kerana dihiasi oleh syaitan. Menentang hal bersangkutan fasik ialah dengan tangan, lidah, dan hati.

Jihad mempunyai takrif yang luas merangkumi segala aspek nikmat kurnian Allah yang disumbangkan untuk menegakkan agama Allah yang menyeluruh dalam diri manusia secara individu masyarakat dan negara. Nikmat Allah itu sama ada jasad dan ruh, harta dan tenaga. Agama Allah ialah Dinul Islam yang sempurna merangkumi segala aspek yang diajar dan dilaksanakan oleh Rasulullah ﷺ yang menerimanya daripada Allah. Bermula daripada Iman dan pengakuannya dengan Iqrar Syahadah dan menghayatinya dalam diri masing-masing, keluarga, masyarakat dalam segala aspeknya.

Islam itu ditegakkan sehingga mengatasi segala ajaran yang lain di semua peringkat. Bermula daripada membentuk peribadi muslim yang hatinya diperintah oleh Islam dan hati pula mengarahkan seluruh fikiran dan anggota jasad supaya beramal dengan Islam, seterusnya melaksanakan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar dengan kesanggupan menghadapi segala cabaran mental dan fizikal. Jihad merangkumi penggunaan fikiran, tenaga, harta sehinggalah senjata mengikut keadaan dan cara penentangan dan cabaran yang dihadapi.

Jihad berlaku dalam diri sendiri untuk menentang hawa nafsu, kejahilan, dan segala sifat yang buruk untuk membentuk diri dengan iman dan Islam. Firman Allah:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan kami, sesungguhnya kami akan tunjuk kepadanya jalan-jalan kami dan sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang melakukan kebaikan. (al-Ankabut: 69)

Jihad juga berlaku di dalam keluarga, kerana Rasulullah ﷺ tidak mengizinkan seorang sahabat yang mahu mengikutnya berperang kerana ibu bapanya memerlukan jagaannya, apabila Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya;
أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Adakah kedua ibu bapamu masih hidup? Kepada kedua ibu bapamu hendaklah kamu berjihad (berbakti). (Riwayat al-Bukhari)

Jihad juga berlaku kerana menentang kemungkaran dalam masyarakat Islam sendiri. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي، إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ، يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإِيمَانِ، حَبَّةُ خَرْدَلٍ
Tiadalah seseorang Nabi yang diutus oleh Allah sebelutnku, melainkan ada di sampingnya pengikut yang setia (Hawariyyun) dan para sahabat yang mengambil ajarannya dan mematuhi perintahnya, kemudian (setelah Nabi wafat) berlaku penyelewengan di kalangan mereka, ada orang-orang yang bercakap mengenai agama tetapi tidak beramal dengannya dan ada yang beramal dengan apa yang tidak diperintah oleh agama. Maka barangsiapa yang berjihad menentang dengan tangannya dia beriman, yang berjihad dengan lidahnya dia beriman dan yang berjihad dengan hatinya dia beriman dan tiada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji yang halus. (Riwayat Muslim)

Berjihad dengan tangan itu ditafsirkan juga dengan kuasa pemerintahan, kekeluargaan dan sebagainya. Berjihad dengan lidah ialah memberi nasihat dengan lisan dan tulisan. Benci dalam hati untuk orang yang tidak berkemampuan atau terlalu lemah imannya juga dikira jihad. Berjihad paling afdal ialah menasihati kerajaan yang zalim termasuk kerajaan Islam kerana sabda Rasulullah ﷺ:
أَفْضَلُ الْجِهَادِ، كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Jihad yang paling afdal ialah menyatakan keadilan (kebenaran) kepada pemeritah yang zalim. (Riwayat Ibn Majah)

Jihad juga berlaku kerana menentang orang-orang bukan Islam yang menentang Islam atau menghinanya dengan hujjah atau menghalang dakwah, menzalimi penganut Islam dengan kekerasan sama ada di dalam tanah air sendiri atau di negara asing , atau menceroboh tanah air umat Islam atau kezaliman terhadap orang-orang yang bukan Islam seperti pencabulan terhadap hak kemanusiaan.

Setiap Jihad mempunyai cara hukum, akhlak yang mulia yang mempunyai perhitungan dosa dan pahala. Firman Allah:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan menasihati dengan cara yang baik, dan berhujjahlah dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl: 125)

Hikmah itu ialah dengan menggunakan pendekatan yang paling sesuai dengan sasaran dakwah, latar belakangnya dan bentuk cabaran yang dihadapi. Hikmah juga memilih cara yang terbaik di antara yang terbaik, jangan mangambil yang kurang baik walaupun secara relatifnya adalah baik. Firman Allah:
وَقَاتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُواْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Dan perangilah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (al-Baqarah: 190)

Uslub Dakwah dan Jihad

Para Nabi dan Rasul memulakan dakwah secara berdialog dan berpidato dengan bahasa sopan dan lembut. Nabi Nuh dan para Nabi yang lain menyeru kaum mereka dengan tutur-kata yang paling lembut. Mereka bersabar menghadapi kezaliman dalam masa yang terlalu panjang. Nabi kita Muhammad ﷺ memulakan dakwahnya secara seruan seorang demi seorang seterusnya dakwah dilakukan secara terbuka dengan pidato dan dialog. Allah memerintah baginda supaya bersabar menghadapi segala kezaliman walau pun ada di kalangan sahabat r.a yang mati dibunuh.

Apabila suara Islam tidak dibenarkan, dialog dan ucapan dilarang dan dihalang, bahkan mereka membuat keputusan untuk membunuh, maka Allah membenarkan hijrah. Para sahabat diizinkan berhijrah ke Habsyah, negeri penganut Kristian yang bertimbang rasa, seterusnya diwajibkan berhijrah ke Madinah apabila puak Aus dan Khazraj; dua qabilah yang paling berpengaruh dan kuat menganut Islam dan bersedia menyerahkan diri mereka, harta dan tanah air untuk ditegakkan negara Islam yang berdaulat. Allah mengizinkan dan mewajibkan berperang apabila dakwah dan penganut dihalang dan ditindas secara kekerasan.

Perintah berperang disertakan dengan pelbagai hukum yang menghalang daripada melampaui batas terhadap mereka yang tidak terlibat dengan peperangan. Sirah Rasulullah ﷺ menunjukkan bahawa Jihad hendaklah dimulakan dengan dakwah secara lisan dan tulisan. Jihad bersenjata hanya dilaksanakan apabila Islam berdepan dengan kemuncak kezaliman, atau apabila haknya dinafikan dan pendukungnya diancam dengan kekerasan. Zaman Khulafa’ al-Rasyidin mereka meneruskan perjalanan jihad dan begitulah juga khilafah selepasnya, Kerajaan Umaiyyah dan Abbasiyyah yang berperang dengan beberapa bahagian dunia dalam masa yang sama meraka mempunyai hubungan damai dengan berberapa negara bukan Islam seperti China, di mana kedatangan Islam dikatakan terlalu awal di China telah wujud di dalamnya masyarakat Islam dan individu muslim yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan China.

Para ulama berkewajiban mengkritik pemerintah Islam yang zalim. Terdapat ramai ulama yang telah menunaikan kewajiban ini sehingga ada yang dibunuh seperti Said bin Jubair, Ahmad bin Noh, ada yang dipenjara seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka berjihad dengan ilmu bagi membetulkan kesilapan Khalifah (pemerintah) dari segi hukum syarak dan pentadbiran. Pengorbanan memberi nasihat kepada pemerintah zalim dikira jihad paling afdal dan orang yang dibunuh kerana memberikan nasihat dianggap penghulu syuhada. 

Sabda Rasulullah ﷺ:
سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَرَجُلٌ قَالَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ، فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ
Penghulu Syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan (termasuklah) orang yang menghadapi pemimpin (kerajaan) dan dia menyuruhnya ( kepada yang baik) dan melarangnya (daripada yang mungkar) lalu dibunuhnya. (al-Hakim di dalam Mustadrak)

Umat Islam tidak dibenarkan memberontak mengangkat senjata selagi pemerintah Islam itu masih melaksanakan solat dan tidak berucap dengan kekufuran yang nyata. Para Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, “Wahai Rasulullah, apakah kami boleh melawan mereka (pemimpin yang zalim) dengan pedang (memberontak) atas hal itu?”

Baginda ﷺ menjawab:
لا، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلاةَ، إِلا مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ، فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ، فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ، وَلا تَنْتَزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
Jangan, selagi dia masih menegakkan solat bersamamu. Ketahuilah, sesiapa yang melantik seseorang sebagai pemerintahnya lalu dia lihat pemimpinnya itu melakukan maksiat kepada Allah, maka bencilah kemaksiatan tersebut dan jangan melepaskan ketaatan kepadanya. (Sunan al-Baihaqi)

Berkata Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi di dalam kitab Syarh al-Aqidah al-Tahawiyah:
وأما لزوم طاعتهم وإن جاروا فلأنه يترتب على الخروج عن طاعتهم من المفاسد أضعاف ما يحصل من جورهم ، بل في الصبر على جورهم تكفير السيئات ومضاعفة الأجور، فإن الله تعالى ما سلطهم علينا إلا لفساد أعمالنا، والجزاء من جنس العمل، فعلينا الاجتهاد في الاستغفار والتوبة وإصلاح العمل
Adapun wajib mentaati mereka walaupun berlaku zalim kerana memberontak dan keluar daripada ketaatan mereka (pemimpin seperti itu)membawa kepada kerosakan-kerosakan yang berganda berbanding kezaliman mereka, bahkan bersabar atas kezaliman mereka itu menghapuskan dosa-dosa dan menggandakan pahala kerana sesungguhnya Allah tidaklah menjadikan kekuasaan mereka atas kita melainkan kerana rosaknya amalan kita dan balasan itu setimpal dengan amalan maka wajib atas kita bersungguh-sungguh memohon ampun dan memperbaiki amalan.

Firman Allah:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (al-Syura: 30)

Ketika berdakwah, Rasulullah ﷺ melarang menggunakan senjata selagi ada kebebasan untuk berucap dan memberi nasihat masih dapat dicapai, walaupun menghadapi beberapa tindakan zalim selagi tidak diancam nyawa dan maruah dan ajaran Islam masih diizin untuk diamalkan. Rasulullah ﷺ sendiri pernah menulis surat kepada para raja dan pemimpin kaum mengajak mereka kepada Islam tanpa paksaan, mereka diseru supaya menerima Islam dengan sikap yang terbuka. Mereka yang menerima Islam terus mengekalkan jawatannya seperti Raja Habsyah, begitu juga mereka yang bersikap damai seperti musyrikin Khuza’ah, Kristian Najran dan lain-lain bahkan diharuskan bertahaluf (bekerjasama) dengan bukan Islam yang bersikap baik.

Peraturan Berkaitan Dengan Jihad

Jihad adalah wajib, secara fardu kifayah dalam keadaan biasa; yakni sekiranya ada sebahagian daripada kalangan umat, atau masyarakat Islam atau dalam negara Islam yang menunaikannva maka bermakna jihad telah ditunaikan, maka orang yang tidak menyertainya terlepas daripada dosa. Kadang-kadang dalam keadaan tertentu menjadikan hukum jihad itu fardu ain, yakni; wajib ke atas individu Muslim apabila Islam, umat dan tanah airnya dalam bahaya, musuhnya sudah berada di perbatasan tanah air Islam atau sudah mencerobohinya. 

Sabda Rasulullah ﷺ:
وَالْجِهَادُ مَاضٍ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، مُذْ بَعَثَ اللَّهُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى آخِرِ عِصَابَةٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Jihad itu berterusan sehingga hari Kiamat, sejak Allah mengutuskan Nabi Muhammad sehingga kumpulan terakhir daripada umat Islam. (Riwayat al-Tabarani)

Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu anhu, Khalifah Islam pertama pernah menegaskan:
ما ترك قوم الجهاد إلا عمهم الله بالذل والفساد
Tiadalah sesuatu kaum yang meninggalkan Jihad melainkan Allah menurunkan bala yang menyeluruh ke atas mereka.

Islam memperuntukan hukum-hukum yang berkait dengan jihad, seperti syarat, rukun dan adab yang wajib ditunaikan. Bermula daripada pelaksanaan mengikut maknanya yang luas dan mengikut keperluan dan keutamaan, maka jihad tidak boleh terkeluar daripada takrifnya yang merangkumi jihad di dalam diri masing-masing; iaitu menentang hawa nafsu dan was-was syaitan yang menjadi penghalang jihad atau yang mendorong tindakan jihad yang melampaui batas. Cara pelaksanaan yang tepat mengikut keadaan, iaitu dengan lidah, tulisan sehinggalah menggunakan senjata apabila keadaan memaksa hal sedemikian.

Jihad mestilah dengan hati ikhlas, jangan memaksa orang lain supaya menganut Islam, jangan melampaui batas bila bereakap dan berhujjah, seperti menghina peribadi, keluarga dan kaum atau menggunakan bahasa yang kesat. Bersikaplah dengan sikap yang lembut dan sopan sebagaimana arahan Allah kepada Nabi Musa alaihissalam dan Nabi Harun alaihissalam kepada Firaun agar menggunakan perkataan yang halus dan difahami.

Walaupun umat Islam disyariatkan pada tahapnya untuk berperang, namun tetap diharamkan melampaui batas, seperti bertindak kejam melampaui had umpamanya menyincang orang yang sudah terbunuh, merobek muka, membunuh orang yang tidak terlibat dengan peperangan seperti paderi-paderi, sami-sami, kaum wanita, kanak-kanak, orang tua, orang yang uzur, juga mereka-mereka tidak terlibat dengan peperangan, seperti peniaga, petani, nelayan, tanaman, binatang ternakan dan sebagainya, walaupun dalam peperangan.

Oleh kerana itu, Islam mengharamkan penggunaan senjata atom, nuklear; menyerang kawasan awam, hospital, sekolah, pasar dan sebagainya yang tidak menjadi tempat ketenteraan dan menghalang operasi ketenteraan di kawasan-kawasan berkenaan.

Islam tetap mengutamakan keamanan dan cara damai, maka wajiblah berdakwah, menyedarkan masyarakat, menegur dan memberi peringatan secara aman dalam negara demokrasi walaupun ada kelemahannya seperti peraturan dan undang-undang yang tidak munasabah lagi zalim seperti ISA, OSA, Akta Universiti, Akta polis dan sebagainya, hendaklah dihadapi dengan sabar dan bijaksana. Inilah Sunnah Nabi-Nabi dan Rasul yang telah saya tegaskan di atas.

Dalam mengambil pendekatan dan cara tersebut, PAS berjaya menyingkirkan mereka yang cuba menggunakan PAS atau memaksanya dengan cara lain, sama ada mereka keluar sendiri atau mereka dipecat. Apabila PAS berlandaskan Islam dengan menjadikan Islam hukum tertinggi, dan menjadikannya matlamat perjuangan, maka PAS menjadi sasaran musuh Islam. Umno yang salah dan keliru terhadap Islam seringkali mengeluarkan kenyataan yang sama dengan musuh Islam terhadap Islam secara jahil dan zalim seperti menafsirkan jihad dengan cara salah untuk dijadikan alasan bagi menghentam PAS sama ada secara sedar atau tidak.

Tuduhan-tuduhan buruk terhadap Islam kerana kefardhuan jihad adalah zalim dan sangat tidak tepat dengan hakikat sebenar. Sepatutnya mereka menyuluh diri sendiri dengan kenyataan sejarah dan semasa. Dalam dua perang dunia menunjukkan pencabulan hak asasi manusia dan tidak berperikemanusiaan. Revolosi Perancis, perang di Amerika, perubahan Raja di England, Revolusi Komunis di Soviet dan China, perang Vietnam, tiap-tiap peperangan tersebut yang mengorbankan berjuta-juta manusia.

Di Malaysia Umno yang menjadi tulang belakang BN memiliki rekod-rekod kekejaman dan kezaliman seperti pembunuhan pemimpin bahagian Umno kerana perkara dalaman di Negeri Sembilan, pemujaan di Pahang, dan PAS dalam Peristiwa Memali, Lubuk Merbau, Kampung Tok Dir. Sehingga ini mereka masih gagal untuk membuktikan bahawa PAS pernah melakukan keganasan, tuduhan kejam dan ganas tidak boleh dilakukan ke atas PAS dengan alasan adanya beberapa orang individu yang ditahan di bawah ISA tanpa perbicaraan di mahkamah. Umno juga pernah diresapi oleh anasir komunis dan sebagainya, sungguhpun demikian ia bukan bermakna Umno menganut komunisme kerana Umno mempunyai ideologi sendiri.

Parti Islam di negara lain pernah mengalami fitnah yang juga sangat zalim, seperti yang pernah dialami oleh Gerakan Ikhwan Muslimun di negara Arab. Di Mesir pihak media dan mahkamah mendedahkan merekalah yang merancang pembunuhan al-Syahid Hasan al-Banna kerana beliau membantu perjuangan Jihad di Palestin. Seorang anggota Dewan Revolosi Mesir, Kolonel (B) Khalid Mohyiddin mendedahkan akan peristiwa lakonan percubaan membunuh Presiden Jamal Abdul Nasir di tahun 60-an. Dalam peristiwa itu Presiden Jamal Abdul Nasir dipakaikan terlebih dahulu dengan baju kalis peluru dan ditugaskan seorang untuk menembak ke arah yang lain dan penembak tersebut disuruh mengaku penyokong Ikhwan. 

Beberapa senjata api sengaja di tanam di suatu tempat untuk dijadikan bukti supaya mereka dapat bertindak ke atas anggota Ikhwan Muslimun dan membunuh beberapa orang pemimpinnya. Di Iran pula polis Sabak (Polis Cawangan Khas) di zaman Shah Iran yang pro-Amerika meletupkan dan membakar panggung wayang dan pusat hiburan untuk memburuk-burukkan golongan-golongan Islam di sana. Padahal, sekalipun golongan Islam menentang hiburan dan maksiat, tetapi ia adalah haram untuk bertindak secara keterlaluan dan melampaui batas seperti merosakkan harta awam dan sebagainya.

Umno telah mengambil iktibar rancangan-rancangan yang jahat ini untuk memburukkan Islam dan mereka berjuang untuk menyalah-tafsirkan Jihad, memburukkan ulama dan memperlekehkan golongan dakwah melalui media dengan pelbagai kenyataan, mengait dan menggunakan istilah militan serta pelampau. Ada juga mereka yang tidak faham hukum Jihad atau sengaja mengelirukan apabila menafsirkan Jihad itu dengan hanya peperangan bersenjata sahaja dengan dalil perintah berperang di dalam al-Quran setelah berlakunya Hijrah dan mendirikan Negara Islam. Sebenarnya itu adalah fahaman yang salah kerana Allah telah menetapkan di dalam beberapa ayat yang diturunkan di Makkah, menyebut perkataan jihad, di antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Furqan yang diturunkan di Makkah:
فَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Maka janganlah kamu mentaati orang orang kafir dan berjihadlah menghadapi mereka dengan jihad yang besar. (al-Furqan : 52)

Begitu juga dalam surah lain yang diturunkan di Makkah yang berkaitan dengan jihad. Di kala itu umat Islam tidak diizinkan berperang, maka Rasulullah ﷺ berjihad secara berdakwah, berpidato, berdialog dan memperdengarkan al-Quran yang terkandung di dalamnya perkara aqidah, kisah benar yang berlaku kepada umat silam dan peristiwa hari Kiamat yang akan berlaku. Penduduk Makkah dan kabilah Arab yang datang mengunjungi Baginda telah menerima Islam dan meninggalkan kesesatan yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Hasil dari perubahan yang berlaku, Rasulullah ﷺ dan para sahabat menghadapi tentangan yang hebat. Baginda dan sahabat menerimanya dengan sabar tanpa melakukan kekerasan dalam menghadapi tentangan tadi.

Syahid

Perkataan “syahada” dari segi bahasa Arab bermakna hadir, yang menyaksi dan yang disaksikan. Syahid adalah salah satu daripada Asma’ al-Husna dengan makna yang maha menyaksikan dengan amanah. Adapun istilah Islam ia bermaksud orang yang mati dengan mendapat jaminan saksi daripada Allah. Mereka yang mendapat kelebihan ini disebut di dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah ﷺ, di antara mereka ialah mereka yang dibunuh di medan perang pada jalan Allah. Istilah para fuqaha secara khusus dikaitkan kepada orang yang mati pada jalan Allah dan dilakukan urusan jenazahnya secara khusus, kerana kelebihan perjuangan dan pengorbanannya pada jalan Allah.

Berdasarkan hadis-hadis yang saheh pula bahawa Syahid itu lebih luas daripada yang dihuraikan oleh para fuqaha sehingga disebut mereka yang mati kerana Allah dengan makna yang lebih luas dan dimasukkan juga orang yang ditimpa bencana kemalangan, sakit tertentu dan perkara-perkara ujian yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Di antaranya sabda Rasulullah ﷺ:
مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ، قَالُوا: فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَالْمَطْعُونُ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَالْغَرِيْقُ شَهِيْدٌ
Apakah kematian yang diiktibarkan sebagai Syahid di kalangan kamu? Mereka (para sahabat) berkata: Sesiapa yang dibunuh pada jalan Allah, sabda Rasullullah : Kalau begitu orang yang mati syahid di kalangan umatku sedikit sahaja. Mereka berkata maka siapakah mereka itu wahai Rasullullah? Sabda Rasullullah : Sesiapa yang mati dibunuh dalam perjuangan menegakkan agama Allah ialah syahid, sesiapa yang mati dalam keadaan menegakkan agama Allah ialah syahid, siapa yang mati sakit taun ialah syahid, sesiapa yang mati sakit perut ialah syahid, sesiapa yang mati tenggelam air ialah syahid.  (Riwayat Muslim, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sabda Rasulullah ﷺ:
الشُّهَدَاءُ سَبْعَةٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَالْحَرِقُ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ
Orang-orang yang mati syahid itu ada tujuh (kriteria), selain mati dalam perjuangan fi sabililLah ialah orang yang mati sakit taun juga matinya syahid, orang mati ditenggelami air juga syahid, orang yang mati sakit paru-paru syahid, orang yang mati sakit perut syahid, orang yang mati kebakaran syahid, orang yang mati di bawah runtuhan syahid dan perempuan yang mati dengan anak kandungannya syahid. (Imam Malik di dalam Muwattha’)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan al-Nasa’ie dalam kitab Sunan al-Sughra:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ الرَّجُلُ: يَأْتِينِي فَيُرِيدُ مَالِي. قَالَ: ذَكِّرْهُ بِاللَّهِ. قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَذَّكَّرْ. قَالَ: فَاسْتَعِنْ عَلَيْهِ مَنْ حَوْلَكَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ. قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ حَوْلِي أَحَدٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ. قَالَ: فَاسْتَعِنْ عَلَيْهِ بِالسُّلْطَانِ. قَالَ: فَإِنْ نَأَى السُّلْطَانُ عَنِّي. قَالَ: قَاتِلْ دُونَ مَالِكَ حَتَّى تَكُونَ مِنْ شُهَدَاءِ الْآخِرَةِ أَوْ تَمْنَعَ مَالَكَ
Seorang lelaki datang mengadap Rasullulah lalu berkata: Bagaimanakah jika seseorang datang kepada saya mabukkan harta saya (dengan cara yang tidak. benar)? Sabda Rasulullah : Peringatkan dia akan Allah. Katanya lagi: Jika dia tidak ingatkan Allah? Sabda Rasulullah: Mintalah pertolongan kepada orang-orang Islam yang ada di sekelililingmu. Katanya lagi: Jika tidak ada orang-orang Islam di sekelililng saya? Sabda Rasullullah : Mintalah bantuan daripada orang yang memerintah (kerajaan). Katanya lagi: Jika pemerintah menjauhkan diri dari saya (tidak bertindak) dan dia menceroboh saya? Sabda Rasulullah : Tentanglah dia untuk mempertahankan hartamu supaya kamu menjadi di kalangan orang-orang yang mendapat syahid akhirat ataupun kamu berjaya mencegahnya dari menceroboh hartamu.

Sabda Rasulullah ﷺ:
عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ
Azab yang dihantar Allah ke atas sesiapa yang ia menghendaki, maka Allah menjadikannya ia sebagai rahmat kepada orang-orang yang beriman, maka tiadalah seseorang yang menghidapi wabak taun maka dengan sabar dan penuh keimanan (terhadap ujian Allah) kekal menetap di negerinya dan dia meyakini bahawa tiada satupun musibah yang menimpanya melainkan menurut apa yang ditetapkan oleh Allah nescaya orang ini diberi kepadanya pahala syahid. (Riwayat Bukhari)

Para ulama telah membahagikan syahid itu kepada tiga jenis iaitui (1) Syahid dunia dan akhirat; (2) Syahid akhirat; dan (3) Syahid dunia.

Syahid dunia dan akhirat ialah orang-orang yang beriman mati di dalam peperangan kerana menegakkan Islam dengan hati yang ikhlas, mayatnya tidak dimandikan dan hendaklah ditanam dengan pakaiannya yang berlumuran darah, sama ada ia mati dengan senjata musuh atau kesilapan senjata orang Islam atau kemalangan yang lain.

Syahid akhirat ialah orang yang beriman yang mati dengan sebab yang lain daripada peperangan Jihad atau di luar daripada medan Jihad kerana kecederaan, maka mayatnya diurus seperti mayat biasa.

Syahid dunia pula ialah orang-orang munafik yang mati di medan perang jihad, di mana urusan jenazahnya seperti orang mati syahid dunia dan akhirat, ada pun kedudukannya di sisi Allah hanya diketahui oleh Allah di mana dia tidak mendapat fadhilat syahid di alam barzakh dan alam akhirat.

Imam Nawawi rahimahullah telah menyebut tiga sebab mengapa dinamakan syahid :-
  1. Kerana Allah dan Rasul-Nya menjadi saksi untuknya ke syurga.
  2. Kerana Syahid itu hidup di sisi Tuhannya.
  3. Kerana para Malaikat rahmat meyaksikannya ketika dicabut rohnya.
  4. Kerana mereka menjadi saksi ke atas umat manusia.
  5. Kerana disaksikan imannya dan dilahirkan akhir hayat yang baik.
  6. Kerana darahnya menjadi saksi.
  7. Kerana rohnya telah menyaksikan syurga.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-