© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Apa Khabar Ramadan Kita?

Apa Khabar Ramadan Kita?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 8 July 2015


Ramadan sudah hampir meninggalkan kita. Terasa begitu cepat masa berjalan. Ini petanda dunia sudah hendak kiamat, manakala umur dunia sudah berada di hujung usia. Tepat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ
“Tidak berlaku kiamat sehingga jarak masa menjadi semakin mendekat. Setahun seperti sebulan, manakala sebulan seperti seminggu. Seminggu seperti satu hari. Sehari seperti satu jam. Satu jam seperti api yang membakar nyalaan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Inilah hakikat umur dunia sekarang. Menurut sebahagian ulama, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Kita diburu oleh masa yang begitu pantas sehingga tidak terasa Ramadan sudah berlalu. Bagaimana kualiti Ramadan kita pada tahun ini? Alhamdulillah jika lebih baik daripada tahun lepas, tetapi yang menggerunkan ialah jika puasa kita lebih teruk daripada tahun sebelumnya. Lebih menakutkan lagi ialah Ramadan tidak memberi apa-apa pengampunan kepada kita.

Persoalannya yang lebih besar lagi bagaimanakah sikap dan kesan Ramadan pada diri kita, keluarga dan masyarakat selepas Ramadan? Inilah sebenarnya sikap seorang Muslim yang perlu membuat muhasabah diri selepas menunaikan Ramadan. Puasa yang dilakukan selama sebulan amat banyak faedah untuk membina kualiti hidup, terutama mereka yang terlibat di dalam gerakan Islam.

Puasa bertujuan melahirkan insan bertakwa. Yakni untuk membentuk peribadi Muslim yang unggul. Inilah hakikat takwa yang mesti dihayati oleh mereka yang berpuasa. Jika segala pantang larang puasa boleh diikuti dan dipatuhi oleh semua manusia, walaupun ia menjadi kelaziman dan amalan harian seperti makan dan minum telah ditinggal, kenapa tidak diteruskan walaupun Ramadan sudah berlalu untuk kita memastikan batasan hukum Allah mesti dipraktikkan.

Tarbiyah Ramadan mesti dibawa keluar ke dalam 11 bulan yang lain. Puasa yang mengajar hamba-Nya sabar ketika menunaikan ibadah itu perlu diaplikasikan dalam perjuangan. Tanpa kesabaran matlamat perjuangan tidak akan tercapai. Perjuangan memerlukan nafas yang panjang. Mereka yang nafas pendek tidak mampu bertahan lama di dalam perjuangan. Kerana perjuangan tanpa kesabaran akan terbantut dan gugur di pertengahan jalan.

Sekiranya di dalam Ramadan kita mampu untuk melakukan ibadah solat sunat dengan mudah dan ringan tubuh badan untuk melaksanakannya, kita harapkan tabiat ini dibawa selepas Ramadan berlalu. Solat adalah penghubung hamba dengan Allah. Firman Allah Taala:
وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Minta tolonglah dengan Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya ia terasa berat (membebankan) kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (surah al-Baqarah: 45)

Solat membentuk peribadi yang kental. Amalan sunat mesti diteruskan walaupun Ramadan berlalu. Lazimkanlah diri kita untuk melakukan amalan sunat secara berterusan kerana ia merupakan amalan yang baik untuk pengukuhan dalaman.

Majlis ilmu mesti disemarakkan selepas Ramadan berlalu. Kesan tazkirah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan diharap dapat memberi bekas kepada ahli jemaah. Semestinya ibadah orang yang berilmu berbeza dengan mereka yang bersemangat semata-mata. Ibadah berasaskan semangat tidak kekal lama. Kebiasaan surau atau masjid yang melaksanakan tazkirah tempatnya terns bercahaya dan makmur walaupun Ramadan sudah berlalu.

Ini berbeza dengan tempat yang tidak mengadakan tazkirah. Masjidnya kosong selepas Ramadan berlalu. Paling sedih, Ramadan belum habis ruang masjid dan surau sudah sunyi. Kenapa berlaku demikian? Jawapannya, ahli yang hadir selama ini tidak faham dan mengerti betapa besarnya Ramadan dan pentingnya masjid untuk diimarahkan.

Al-Quran mesti diteruskan untuk dibaca walaupun Ramadan sudah berlalu. Jika kita begitu bersemangat membaca al-Quran ketika di bulan Ramadan, amalan ini mesti diamalkan tanpa henti-henti. Al-Quran ialah sahabat kita ketika sunyi dan sibuk. Ia menjadi penawar di dalam kehidupan. Menjadi penyuluh untuk menerangi kegelapan manusia. Biarlah ketika Islam menjadi dagang dan hukumnya diketepikan, maka kita wajib berazam untuk memberi kefahaman kepada manusia untuk kembali kepada hukum al-Quran.

Masalah jenayah yang tidak berkesudahan di negara ini, rakyat hidup macam di dalam negara mafia. Semua pihak pening kepala memikirkan masalah jenayah yang amat membimbangkan. Manusia tidak berasa gerun untuk membunuh manusia lain. Seolah-olah nyawa binatang lebih bernilai daripada nyawa manusia. Seolah-olah hidup di Malaysia, kaya pun susah, miskin pun susah. Kaya menjadi mangsa perompak, miskin menjadi mangsa Umno untuk berkuasa di atas kemelaratan rakyat.

Berbagai-bagai cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah ini. Cuma kita tidak pernah mendengar keluar daripada mulut pemimpin Umno untuk menyelesaikan kemelut yang ada dengan kembali kepada al-Quran.

Biodata Penulis

Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad merupakan salah seorang exco PAS Pusat. Beliau pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Fakulti Pengajian Islam (FPI) dalam pengajian sarjana dan menjadi pensyarah di sana. Pendakwah sepenuh masa dalam lapangan tarbiyah dan siyasah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-