© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM

Fanatisme

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 26 June 2014


Sesungguhnya fitrah kejadian umat manusia itu cenderung untuk berbangga dengan apa yang ada pada budaya, bangsa, kumpulan dan dokongan mereka. Sedangkan matlamat penurunan para Rasul adalah untuk menyatukan pegangan iaitu mentauhidkan Allah Taala. Ia melangkaui batasan sempadan, kelompok, parti mahupun bangsa;

وَإِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ
“Sesungguhnya (agama tauhid) adalah agama kamu, agama yang satu (seluruh ajaran para Rasul), dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kamu kepada-Ku.” (al-Mu’minun:52)

Imam al-Qurtubi r.hm menafsirkan perkataan “ummatan” pada ayat di atas sebagai “al-din”, manakala Imam as-Syaukani r.hm menafsirkannya sebagai “syariat” atau “millat”. Ayat seterusnya;

فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
“Kemudian mereka (pengikut-pengikut Rasul) menjadikan agama mereka terpecah-pecah menjadi beberapa kumpulan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka.”
فَذَرْهُمْ فِي غَمْرَتِهِمْ حَتَّى حِينٍ
“Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya sehingga tiba suatu masa.” (al-Mu’minun:53-54)

Menurut Imam az-Zamakhsyari, frasa ayat ke-53 memberikan makna bahawa, “…rata-rata kelompok yang berpecah-belah daripada ajaran Rasul itu merasa senang dengan kebatilannya, tenteram jiwanya, dan yakin bahawa mereka di atas kebenaran.”

Justeru lantunan keseluruhan ayat di atas menunjukkan kekaburan umat manusia terhadap kebenaran apabila kejiwaan dan kehidupan sosial dirasuki wabak “fanatisme” atau dalam istilah Arab-nya, ta’assub. Keta’assuban membawa petaka perpecahan di mana segala reaksi tersebut terangkum dalam emosi manusiawi yang disebut sebagai sombong, angkuh, bebal, sukar dinasihati atau diluruskan. Peringkat fanastisme yang paling teruk diabadikan di dalam al-Quran sebagaimana ucapan Firaun;
مَآأُرِيكُمْ إِلاَّ مَآأَرَى وَمَآأَهْدِيكُمْ إِلاَّ سَبِيلَ الرَّشَادِ
“(Firaun berkata) Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.” - Al-Ghafir:29

Fanatisme yang membelenggu Firaun menyebabkan ajaran tauhid dinistai biarpun kebenaran Nabi Musa a.s jelas telah sampai ke penglihatannya, Firaun tetap ingkar, mendakwa dirinya di atas jalan kebenaran bahkan merancang membunuh Nabi Musa a.s. Allah turut menggambarkan di dalam surah al-Zukhruf ayat 23 hingga 24 mengenai sikap umat manusia yang dijangkiti gejala fanitisme tidak teragak-agak menyanggah risalah dakwah para utusan-Nya, ta’assub dengan tradisi warisan mereka;
إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آثَارِهِم مُّقْتَدُونَ
“Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menuruti satu pegangan, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja.”
قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُم بِأَهْدَى مِمَّا وَجَدتُّمْ عَلَيْهِ آبَاءَكُمْ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ كَافِرُونَ
“Rasul itu berkata; Adakah (kamu menuruti mereka juga) walaupun aku membawa kepada kamu risalah yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati dari datuk nenek kamu? Mereka menjawab; Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya.”

Gejala fanatisme ini bukan sahaja melingkari persoalan agama atau pegangan semata-mata, wabaknya turut merasuk dalam fahaman politik, ekonomi, etnik dan sempadan, bahkan di dalam perlawanan bola sepak juga adengan fanatisme gila ini turut bergempita.

Fanatisme ini berbeza dengan istilah ketaatan (inqiyad) ataupun kesetiaan (wala’). Ketaatan wujud atas dasar percaya (thiqah) dan hujjah (ilmu), faham dan rasional. Sebaliknya, fanatisme ialah penyakit psikologi yang merosak wehdatul ummah (kesatuan umat), membinasakan rasionaliti manusia, mengeruhkan semangat setiakawan, cenderung menimbulkan perseteruan dan konflik. Mereka yang dikuasai sentimen bernama fanatisme ini tidak teragak-agak secara membabi buta membela idiokrasi yang mengeruhkan lagi keadaan umat, bukan menyelesaikan masalah mereka.

Berpegang teguh dengan ajaran Islam, memahami tuntutan Allah, melaksanakan perintah Rasulullah, mendalami rukun-rukun dan syarat-syaratnya adalah suatu hal yang berbeza dengan wabak fanatisme. Kerana sifat Islam sentiasa bersedia mendepani realiti semasa (waqi’e), bahkan tidak merasa terganggu dengan wujudnya perbezaan dan keragaman fikiran. Kerana Islam adalah ajaran yang dianugerahkan Allah kepada umat yang memiliki keseimbangan (al-tawassut bayn al-ifrat wa al-tafrit) – “wasatiyah” – iaitu keseimbangan antara  “al-thabat” (konsisten) dan “al-murunah” (fleksibiliti).

Konsep“thabat” dan “murunah” adalah asas yang menjadi keistimewaan kepada ajaran Islam. Asas tersebut membezakan masyarakat Islam dengan masyarakat beragama yang lain. Islam menyepadukan kedua-duanya dengan meletakkan pada tempat yang tepat, “thabat” pada tujuan dan matlamat, anjal pada cara dan pendekatan. Kerana itu, Islam mengajarkan kita etika pergaulan sejati bahawa segala perbezaan yang berlaku haruslah disambut dengan semangat toleransi dan penghormatan terhadap ciri-ciri “human dignity” (karamah insaniyah), implementasi dakwah yang merangkumi hikmah, mau’izah al-hasanah dan kebijakan mendepani keragaman (ikhtilaf). Kerana Islam hadir untuk menyatukan sembahan, menyatukan Rasul, menyatukan pedoman, menyebarkan keadilan dan kasih sayang.

Islam menuntut umatnya istiqamah dalam melaksanakan tuntutan Allah, tetapi dalam masa yang sama haruslah arif menangani perbezaan. Jika kita merenung fasa-fasa pentadbiran Islam, sejarahnya sangat kaya dengan pahit maung akibat perilaku fanatisme yang dilakukan oleh umatnya. Pada zaman klasik, aliran Syiah dan Khawarij dapat disebut sebagai titik mula kelahiran kumpulan-kumpulan fanatisme. Sungguhpun demikian para ulama’ usuliyyin masih dan kekal meletakkan perbezaan tersebut di dalam perbahasan firqah-firqah “Islamiyah”.

Seperti Shah Abd al-Aziz al-Dihlawi r.hm di dalam kitabnya yang mahsyur berjudul, “Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna ‘Asyariyyah”, beliau lebih bersikap selektif dan secara analisis menggolongkan pengikut Syiah ini terbahagi kepada empat stratifikasi;
  1. Kelompok Syiah Generasi Pertama (الشيعة المخلصين), kemunculan mendadak tokoh fanatisme seperti Abdullah bin Saba’ menyebabkan kumpulan Syiah generasi pertama ini beralih arah dan menamakan juga diri mereka sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah.
  2. Kelompok Syiah Tafdhiliyah (الشيعة التفضيلية), kumpulan yang memberikan keutamaan kepada Saidina Ali r.a melebihi sahabat nabi yang lain, tanpa mengkafirkan, mencaci atau membenci mereka. Antara tokoh terkenal dalam kumpulan ini ialah pengasas ilmu Nahu, Abu Aswad al-Du’ali.
  3. Kelompok Syiah Saba’iyah (الشيعة السبئية), dijenterai oleh Abdullah bin Saba’ yang mencerca seluruh para sahabat nabi sebagai kafir dan munafik kecuali beberapa orang sahaja seperti Salman al-Farisi r.a, Abu Dzar al-Ghifari r.a, Miqdad al-Aswad r.a dan Ammar bin Yasir r.a. Kumpulan ini sering beranggapan bahawa mereka yang mengasihi Saidina Abu Bakr r.a dan Saidina Umar r.a adalah pembenci Saidina Ali r.a. Hal ini dibuktikan melalui dendangan syair mereka seperti yang dinaqalkan oleh al-Dihlawi; (إذا صافى صديقك من تعادي فقد عاداك و انقطع الكلام), “Jika teman karibmu berbaik-baik dengan orang dikau musuhi, maka temanmu nyatalah telah memusuhimu juga, dan cukuplah sekian sahaja percakapan.” 
  4. Kelompok Syiah Pelampau (الشيعة الغلاة), terdapat lebih “50” puak Syiah seperti yang dinyatakan al-Dihlawi dan yang paling ekstrem ialah mereka yang menuhankan Saidina Ali. Kumpulan “Syiah Ithna Imamiyah” termasuk dalam kelompok ini yang dari segi iktikadnya mereka menumpang fahaman Muktazilah, manakala mazhabnya ialah Ja’afari. Al-Dihlawi menyatakan, kecacatan “Syiah Ithna Imamiyah” dari sudut pegangan tidaklah sampai ke tahap “keterlaluan” jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan syiah “rafidhah” yang lain seperti Qaramithah, Nusairiyah, Saba’iyah dan sebagainya.
Di belahan lain, fanatisme dalam aliran Khawarij pula mendakwa orang Islam yang berbuat dosa besar hukumnya kafir, dan orang kafir halal dibunuh. Dengan sifir sedemikian maka banyaklah berlaku pembunuhan atas nama agama. Senario ini telah dibicarakan Rasulullah s.a.w sebelum kewafatan baginda;
يَخْرُجُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ أَحْدَاثُ الْأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الْأَحْلَامِ، يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَقُولُونَ مِنْ قَوْلِ خَيْرِ الْبَرِيَّةِ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ
“Tiba di akhir zaman (nanti) bangsa yang pendek akalnya. Mereka menuturkan sehebat-hebat perkataan manusia. Mereka membaca Al-Quran (akan tetapi) tidak melewati benak fikiran mereka. Mereka terburu-buru meluncur keluar dari batasan agama ini seperti tersasarnya anak panah dari sasarannya (untuk menumpahkan darah).” (Riwayat al-Tirmizi)

Sikap yang benar mendepani golongan Khawarij adalah sebagaimana yang dinyatakan Saidina Ali r.a;
إننا – والله – ما قتلنا أهل الشام على ما توهم هولاء – (الخوارج) – من التكفير والفراق في الدين، وما قتلناهم إلا لنردهم إلى الجماعة، وإنهم لإخواننا في الدين، قبلتنا واحدة، ورأينا أننا على الحق دونهم
“Demi Allah,bukanlah tujuan kami memerangi rakyat Syam kerana dakwaan Khawarij (yakni tidak bersetuju dengan saidina Ali), atau kerana seenaknya mereka mengkafirkan saudara se-Islam dan memecah-belah urusan agama ini. Bahkan tujuan kami memerangi mereka adalah untuk mengembalikan perpaduan, sesungguhnya mereka saudara seagama kami, kiblat kami sama, dan kami berijtihad bahawa kebenaran di pihak kami bukan mereka.” (rujuk al-Baqallani, Abu Bakar, “al-Tamhid fi radd ‘ala al-Mulhidah al-Mu’tilah wa al-Rafidhah wa al-Khawarij wa al-Muktazilah”, hlm.237, 238)

Demikian malang jika ada kumpulan yang mendakwa sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi dalam masa yang sama terjebak budaya “takfir” (kafir-mengkafir). Mereka mengira dengan cara mengkafirkan firqah-firqah lain, “secara automatik” mengkelaskan mereka sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah? Fenomena “semberono” yang mem‘budaya’ ini menyebabkan umat Islam hanyut dengan predikat-predikat cacat cemar orang lain. Tidak dinafikan aliran-aliran fanatisme, fahaman-fahaman songsang harus dijelaskan kepada orang awam, namun usahlah bersikap melulu daripada pertimbangan yang sebenar. Budaya mengejek, mengunjing, mentertawakan, merendah-rendahkan kaum lain tidak termasuk metode dakwah yang pernah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul.

Walhal kepada orang yang tidak beriman, bahkan penyembah berhala, Allah mengajarkan kita:
وَلاَ تَسُبُّوْا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوْا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Dan janganlah kamu mencaci sembahan yang lain dari Allah, kerana mereka kelak mencerca Allah tanpa pengetahuan (melampaui batas).” (al-Ana’am: 108)

Pendakwah yang memahami manhaj risalah yang diturunkan Allah, tentunya mengerti bahawa tabiat ajaran Islam yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul itu ialah mengembalikan umat manusia ke pangkuan kebenaran, bukan menyisihkan golongan-golongan tersasar dengan cacian, makian, amukan dan tuduhan-tuduhan kafir seolah-olah kekufuran itu diwarisi seseorang sejak lahir sampai mati. Dakwah ialah memberikan peluang kepada seseorang atau kaum agar berubah dan kembali kepada Allah, dakwah bukanlah pakej untuk mencelakakan orang lain atau menutup ruang mereka kembali kepada kebenaran.

Para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang ikhlas sejak zaman-berzaman, mengkaji perbahasan syariat secara objektif dan adil, tidak membakul-sampahkan keseluruhan pandangan daripada kitab “Fathul Qadir” dan “Nailul Author” sekalipun al-Syaukani itu Imam bagi mazhab Syiah Zaidiyyah. Begitu juga mereka tidak “satu bakul” mencemuh karya “Tafsir Al Kasyaf” kerana al-Zamakhsari itu Muktazilah. Disiplin seperti ini hanya akan terjadi apabila segala perbezaan pendapat didasari rasa saling menghormati dan kecintaan terhadap kebenaran. Kata Syeikh Muhamad Abduh r.hm;
أصل من أصول الأحكام في الإسلام : البعد عن التكفير
“Perkara dasar dari hukum-hukum Islam itu ialah menjauhi perbuatan kafir-mengkafir.”

Kerana itu, fahamilah konsep Ahli Sunnah wal Jamaah itu secara ilmu, bukannya berdasarkan sentimen, tradisi nenek moyang mahupun warisan. Kita enggan lagi melalui “zaman kedangkalan” yang berpunca daripada fanatisme ketika sejarah para pengikut “fanatik” mazhab Hanafi mencipta hadis palsu;
يكون في أمتى رجل يقال له محمد بن إدريس أضر على أمتى من إبليس ويكون فى أمتى رجل يقال له أبو حنيفة هو سراج  أمتى
“Muncul nanti di kalangan umatku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (Imam Syafi’e) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umat lebih buruk daripada Iblis dan muncul di kalangan umat ini seorang pemuda yang bernama Abu Hanifah yang menjadi penerang umat.”

Kerana fanatisme, ia menyebabkan bangsa Parsi berani mencipta hadis palsu kononnya darjat mereka lebih tinggi daripada bangsa Arab;
إن كلام الله حول العرش بالفارسية، وإن الله إذا أوحى أمر يسر أوحاه بالفارسية، وإذا أوحى أمرا فيه شدة أوحاه بالعربية
“Sesungguhnya kalamuLlah di sekitar arash menggunakan bahasa Parsi, dan apabila Allah mengkehendaki wahyu mengenai urusan yang mudah, Dia mewahyukannya dengan bahasa Parsi dan bila Dia mengkehendaki wahyu itu mengenai urusan yang sukar, Dia mewahyukannya dengan bahasa Arab.” (Kata Ibn Hibban r.hm hadith ini batil; Umar bin Musa bin Dihyah adalah pendusta)

Fanatisme juga turut melingkari bangsa Arab, apabila timbulnya kenyataan palsu kononnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
من أحسن منكم أن يتكلم بالعربية فلا يتكلمن بالفارسية فإنه يورث النفاق
“Siapa yang bagus di kalangan kamu bercakap bahasa Arab, maka janganlah kamu bercakap dengan bahasa Farsi kerana ia mewarisi sikap munafiq.” (Imam Az-Zahabi r.hm menyebut hadis ini palsu)

Kebejatan fanatisme dinyatakan Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya yang benar;
مَنْ نَصَرَ قَوْمَهُ عَلَى غَيْرِ الْحَقِّ ، فَهُوَ كَالْبَعِيرِ الَّذِي رُدِّيَ فَهُوَ يُنْزَعُ بِذَنَبِهِ
“Siapa yang membela kaumnya (kelompoknya) bukan di atas dasar kebenaran, maka ia seperti unta yang terjatuh ke dalam sumur lalu diangkat dengan menarik ekornya.” (Sunan Abi Daud)

Fanatisme menyebabkan permusuhan buta atas nama bangsa, mazhab dan agama. Menginsafi perselisihan pandangan di antara peringkat manusia, kumpulan-kumpulan dan sebagainya, ia tidak mungkin dapat dihindari atau dihapuskan. Perbezaan pendapat bahkan turut berlaku kepada para Malaikat seawal penciptaan Nabi Adam a.s;
مَا كَانَ لِي مِنْ عِلْمٍ بِالْمَلَإِ الأَعْلَى إِذْ يَخْتَصِمُونَ 
“Tiadalah sebarang pengetahuan bagiku tentang penduduk alam yang tinggi (para malaikat), semasa mereka bercanggah (mengenai penciptaan Nabi Adam).” (Sad: 69)

Namun, perbezaan pendapat yang berlaku kepada para Malaikat tidaklah sampai membawa kepada pertengkaran akibat sikap fanatisme sebagaimana Iblis yang mendakwa dirinya lebih mulia daripada makhluk lain. Keragaman adalah fitrah kejadian makhluk, namun apa yang mampu diusahakan oleh manusia ialah memperkecilkan ketegangan akibat perbezaan dan menyempitkan pergeseran dengan memahami “adab al-ikhtilaaf”. Waspadai wabak fanatisme, kerana ia merupakan sumbu fitnah dan permusuhan yang membunuh masa depan umat berdaya.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-