© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » , » Strategi Pendakwah Menghadapi Cabaran Alaf Baru

Strategi Pendakwah Menghadapi Cabaran Alaf Baru

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 19 March 2014


Untuk membincangkan perkara yang lebih penting ialah dengan mencari jalan bagaimana kita boleh mengatasi dan menghadapi cabaran pendakwah di alaf baru, antara langkah-langkah yang boleh dirumuskan di sini ialah; 
  • Seluruh jentera informasi-informasi Islam perlu berperanan.
Dalam menghadapi tindakan menimbulkan rasa fobia terhadap Islam maka seluruh umat Islam, jentera dakwah, media komuniksi dan informasi perlu menyanggah usaha untuk melabelkan kejahatan dan keganasan dengan label Islam. Tindakan ganas, jajah, aniaya, perang dan sebagainya telah dilakukan oleh penganut Kristian jauh lebih banyak dan berganda dari kalangan umat Islam. Namun kita tidak pernah melabelkan kejahatan dan keganasan itu dengan label Kristian untuk kita menindak dan menentang seluruh kegiatan dan pertubuhan Kristian.
  • Dedahkan kebatilan fahaman sekularisme.
Ciri-ciri fahaman sekularisme yang telah melanda umat Islam harus didedahkan supaya masyarakat Islam sedar akan bahaya fahaman sekularisme terhadap mereka. Langkah dan perancangan yang rapi harus diambil bagi menyedarkan umat Islam dan membawa mereka kepada iltizam akidah yang sebenarnya. Penegasan tentang Islam mencorakkan seluruh pegangan muslim dalam semua perkara dan isu perlu ditegaskan sehinga mereka tidak lagi menjadi penyokong faham dalam pelbagai bentuknya.
  • Memperkasa perjuangan melindungi amalan politik yang telus dan demokratik.
Iklim politik yang demokratik dan sihat perlu dilindungi oleh kesedaran dan kewarasan. Keinsafan bahawa peluang memerintah adalah amanah dan suatu yang boleh bertukar tangan tanpa menyebabkan dunia menjadi kiamat. Rasa akauntibiliti dan tanggungjawab perlu diperkasa dalam diri setiap politikus agar mereka tidak mengunakan muslihat kotor dan jahat hanya untuk menjaga kelangsungan kuasa dan bukannya kepentigan rakyat. Institusi yang menjamin ketelusan dan keadilan dalam pengagihan peluang antara parti pemerintah dan pembangkang harus diwujudkan dengan berkesan agar jentera kepolisian, kehakiman, dan SPR tidak disalahgunakan untuk mencarik etika dan undang-undang perlembagaan yang menghargai kewujudan parti pembangkang.
  • Memastikan kesaksamaan pada perlaksanaan undang-undang dan akta.
Undang-undang mustahak dipastikan sentiasa dibentuk atas dasar keluhuran. Ia bukan suatu lesen untuk menghalalkan kejahatan dan ketidakadilan. Ia adalah alat untuk merealisasi kesejahteraan, keadilan dan budaya hidup yang demokratik dan bertamadun. Apabila undang-undang digubal untuk muslihat parti yang memerintah dan kroni-kroninya itu bermakna ia suatu pencerobohan terhadap nilai-nilai demokrasi yang tulen. Ia adalah suatu pengkhianatan terhadap masyarakat dan negara.
  • Menyedia dan melantik para pemimpin yang soleh bertakwa dan amanah.
Faktor pemimpin dan kepemimpinan yang baik amat menentukan kesejahteraan sesebuah negara atau bangsa. Kepimpinan teras mestilah terdiri dari golongan yang beriman dan amat beriltizam dengan nilai-nilai agama dan moral. Seandainya struktur kepemimpinan hanya dapat didaki oleh golongan yang korup dan bermuslihat sudah pasti nilai korup itu akan akan menjadi teras dan mewabak dalam keseluruhan jentera parti yang memerintah.

Akibatnya struktur tersebut menjauhkan kalangan yang beriman, soleh dan beramanah. Ini memungkinkan kemusnahan dalam segenap susunlapis kepimpinan bawahan. Inilah yang dimaksudkan oleh al-Quran dengan istilah Inbia’th al-Asyqa’ atau ketampilan golongan yang celaka menjadi pemimpin.
  • Reformasi media massa
Media massa perlu memiliki falsafah penyiaran yang berteraskan al-Quran dan Hadith. Ia harus dipastikan multazim dengan dasar penyiaran Islam. Tujuan penyiaran sewajarnya untuk mendidik, meningkatkan kewarasan, menyelesaikan masalah, menyampaikan risalah dan saranan Allah kepada seluruh manusia, menghibur dalam batas yang halal dan kadar yang munasabah, membela golongan yang tertindas dan teraniaya, mempertahankan kebenaran dan keadilan. Para penjawat jawatan dalam lapangan ini hendaklah dipastikan dari kalangan golongan yang berilmu yang menegakkan kesaksamaan dalam dirinya dan dalam isu di luar lingkungan dirinya.

Mereka mesti melalui kursus profesionalisme kewartawanan yang menekankan penghayatan terhadap etika kewartawanan, tanggungjawab sosial, dan matlamat penulisan kerana Allah dan bukan kerana muslihat diri atau kroni. Para wartawan yang menghina Allah, Rasul, Para Sahabat, Perjuangan Islam, alim Ulama, dan golongan muslim dan muslimah yang komited perlu disingkirkan dan dipulihkan dalam pusat pemulihan khusus. Jika tidak mereka mungkin akan menjadi agen orientalis, imperialis dan Zionis yang menyesatkan khalayak pembaca dan umat.
  • Memantap dan meningkatkan mutu pendidikan berteraskan Islam
Pendidikan adalah jentera yang mencorakkan masa depan generasi baru dan individu umat. Ia perlu dilandaskan kepada dasar tauhid, akhlak, dan tradisi keilmuan yang mantap dan unggul. Dasar pendidikan sekular akan mencairkan asas-asas ini. Sebab itu pendidikan mustahak dibina atas landasan falsafah dan Sistem Pendidikan Islam. Aspek sukatan, pentadbiran, pengurusan, latihan guru, buku teks, kegiatan ko-kurikulum dan sebagainya perlu dilaksanakan dengan betul menurut dasar-dasar yang telah ditetapkan.

Usaha meningkatkan penghayatan Islam di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi dengan melantik para guru dan pensyarah yang baik, komited dengan agama adalah sama mustahaknya dengan dasar yang telah disebutkan. Dengan itu akan lahirlah generasi pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara yang benar-benar menepati ajaran Allah. Jika tidak akan keluar dari institusi pendidikan kita manusia durjana, berilmu tapi tidak beradab, cerdik tetapi jahat dan haprak. Hidup mentingkan diri, berkhidmat kerana perut dan bukan kerana kebenaran dan keluhuran.
  • Membentuk dan mengamalkan dasar budaya yang sihat.
Dasar kebudayaan dan amalan membentuk budaya mesti menurut lunas-lunas Islam dan moral. Masyarakat tidak boleh dibiarkan hanyut dengan budaya memuja kebendaan. Institusi Budaya perlu mengukuhkan budaya yang mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Filem-filem yang ditayangkan di pawagam atau di kaca TV mestilah mempunyai tujuan positif; baik untuk mendidik, mahupun untuk menghibur atau menambah ilmu. Semakin banyak ditayangkan filem-filem yang mempunyai mesej pendidikan, kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya lebih baik dari filem-filem yang membibitkan keghairahan meniru gaya hidup Barat yang serba boleh menginjak batasan tradisi dan moraliti.
  • Meningkatkan penguasaan teknologi informasi, komunikasi dan lain-lain.
Umat Islam harus menebus kemunduran mereka dalam bidang ini dengan tangkas dan gigih. Persaingan dan pertembungan memerlukan keilmuan yang tinggi dan teknologi yang terkini. Kita tidak akan menjadi “khaira ummah” dengan sifat lembam, mundur dan sekadar menjadi pengguna teknologi orang lain. Kita perlu memiliki cokmar rahsia kejayaan orang lain. Kita mesti menyaingi dan mendahului mereka sepertimana para leluhur Islam yang telah membina peradaban Islam dalam era kegemilangannya. Teknologi terkini mesti dikuasai, dikembangkan dan menjadi darah daging kita. Baik dalam bidang penyiaran, perhubungan, persenjataan, perkhidmatan dan lain-lain.
  • Mengenalpasti perencanaan dan tipu daya penjajah dan zionis.
Gandingan yang semakin mantap antara negara-negara bekas penjajah dengan regim zionis dalam mambantai, memantau dan menguasai negara-negara umat Islam semakin ketara. Negara seperti Afghanistan, Palestin, Chechnya, Bosnia dan lain-lain mendedahkan hakikat dan kegelojohan mereka. Konspirasi mereka menyebabkan seluruh umat Islam dan gerakan kemerdekaan dan kemanusiaan Islam dilihat dengan penuh curiga dan dihubungkaitkan dengan terrorisme.
  • Mengukuhkan jentera dan agenda dakwah Islam menentang diayah kristianisasi.
Seruan dan diayah mereka sebenarnya adalah seruan ke arah kesesatan dan penyimpangan. Mereka boleh menambahkan pengikut dalam keadaan jentera dakwah Islam lemah dan tertekan. Oleh sebab itu usaha hendaklah digandakan untuk meningkatkan kefahaman Islam dan penghayatan ibadah dan nilai-nilai agama dalam masyarakat agar tidak ada di antara anak-anak orang Islam yang boleh terjerumus dalam kemurtadan dan bertukar agama menjadi pengikut faham kekufuran. Selain dari kejahilan kemiskinan juga antara penyebab mengapa segelintir umat Islam bertukar agama.

Oleh itu usaha untuk membenteras kemiskinan dan kefakiran mesti ditingkatkan. Dana-dana membantu orang miskin perlu dimanfaatkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan yang semakin meningkat hasil dari kaadaan ekonomi yang merudum. Pengaruh budaya Barat dikatakan ikut menyebabkan orang Melayu menukar nama dan masuk agama Kristian, terikut-ikut menjadi pengamal budaya kufr. Pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama perlu peka dan melonjakkan usaha dakwah agar kekebalan dalaman di kalagan umat Islam dapat menjadi benteng akidah Islam yang ampuh menghadapi serangan Kristian dan Judaism.
  • Bersama menghadapi dampak positif dan negatif globalisasi.
Meskipun memang terdapat kesan positif dari trend globalisasi khasnya dalam bidang ilmu, komunikasi, informasi, ekonomi dan sebagainya, tapi dampak negatifnya jauh lebih menonjol. Umat dan negara umat Islam mesti membentuk Blok atau kesatuan dalam menghadapi bahaya dan ancaman globalisasi; baik dalam menjaga nilai asas budaya seagama, maupun melindungi ekonomi dan sumber kewangan mereka dari dibolosi dan dibekukan oleh golongan penyangak sama ada negara atau individu koprat antarabangsa.
  • Reformasi institusi dan agensi Islam kerajaan.
Agensi-agensi tersebut perlu dijadikan telus berkhidmat untuk Islam dan umat dan bukan untuk mengukuhkan jentera parti sekular yang memerintah. Petugas-petugasnya yang mendapat gaji dari rakyat mustahak bertugas untuk mendaulatkan Islam dan kuasa rakyat. Dengan demikian mereka akan dilihat sebagai ikhlas bertindak menguatkuasakan undang-undang yang memperkasa penghayatan dan dasar-dasar Islam dalam negara. Sebab itu mereka perlu peka dan aktif menangani gejala penyimpangan golongan wartawan, politikus, budayawan dan aktivis NGO yang berkiblatkan Barat.

Kalau mereka tidak melaksanakan tugas murni melindungi agama sebaliknya melindungi kepentingan politik Dato’ dan YB serta parti sekular mereka dengan penuh emosi maka umat akan melihat mereka dengan penuh jijik dan meluat. Apatah lagi jika agensi itu hanya bertaring untuk menindas kebangkitan Islam dan activist Islam baik dalam lapangan politik mahupun dalam kegiatan sukarela.
  • Meningkatkan kesentosaan, membasmi kemiskinan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Kemiskinan adalah antara alat untuk memerah dan memeras-ugut rakyat dan para pemimpin mereka. Sebab itu para penguasa, pemerintah dan individu muslim perlu membebaskan diri dari cengkaman belenggu kemiskinan ini. Amalan pembaziran wang rakyat perlu dihentikan. Perancangan projek yang menguntungkan rakyat marhain mesti diutamakan dari yang lain. Pendapatan yang melebihi paras cukup sebaliknya mencapai tahap selesa perlu direalisasi sehingga individu umat bebas dari kaadaan hidup serba terdesak.
  • Memanfaatkan aspek positif masyarakat berbilang kaum.
Kepelbagaian agama dan budaya serta kekayaan kemahiran yang merujuk kepada latar belakang etnik, bangsa dan pengalaman mungkin boleh dimanfaatkan untuk menambahkan tarikan pelancongan, peluang perniagaan dan perkongsian pintar yang serba menguntungkan semua warga negara Hal ini juga memberi peluang untuk kalangan tertentu menimba pengalaman berdakwah kepada berbagai bangsa dan kelompok budaya. Oleh itu selain dari hal ini merupakan cabaran ia juga merupakan peluang untuk menimba pengalaman dalam menyebarkan agama Allah.

Umat Islam harus bijak memanfaatkan situasi ini untuk menjana faedah dan aspek-aspek positif dari kedudukan seperti ini. Masyarakat majmuk tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang perlaksanaan Islam, nilai dan perundangannya, justeru Rasulullah suatu masa dahulu juga melaksanakan nilai ini dalam masyarakat yang majmuk. Akan tetapi apa yang diperlukan ialah keyakinan , kemahuan yang benar, keikhlasan perlaksanaan dan kesatuan umat Islam sebenarnya dalam isu ini.
  • Penyelarasan kuasa NGO Islam.
Seandainya kesatuan di kalangan badan-badan dakwah barangkali masih terlalu jauh untuk dicapai maka sekurang-kurangnya penggabungan tenaga dapat diraih untuk meningkatkan kuasa desak dalam pertarungan menghadapi kebatilan. Gerakan dakwah dalam berbagai bentuk perlu bergabung atau selaras dalam menangani isu-isu besar seperti perlaksanaan undang-undang Islam, pembelaan terhadap Pendidikan Islam, ekonomi umat dan nilai-nilai positif amalan demokrasi. Dengan demikian prestasi dakwah akan dapat ditingkatkan.
  • Mewujudkan pusat latihan kepakaran dan kepimpinan Islam yang canggih.
Badan-badan Dakwah Islam sukarela perlu bergabung tenaga untuk mengwujudkan pusat latihan kepakaran dakwah dan kepimpinan yang mutakhir dengan sukatan pendidikan yang lengkap, mantap dan serba canggih untuk melahirkan kadar kepimpinan yang cekap, berketerampilan dan menguasai teknologi terkini. Mereka juga harus dilatih dalam amalan rohaniah yang tinggi dan keupayaan retorik yang jitu serta keperluan-keperluan jihad yang lain.

Penutup

Inilah beberapa coretan ringkas mengenai cabaran Dakwah serta cara-cara menghadapi dan mengatasi cabaran tersebut. Mungkin banyak lagi yang boleh diperkatakan tetapi kerana masa yang terbatas kita berpada dengan coretan ini. Semuga Allah memberi kita kekuatan dan taufik untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin khasnya melalui wadah PUM untuk masa-masa yang akan datang.


Biodata Penulis

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Pernah melanjutkan pengajian ke Mesir antara 1965-1974 di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan di Jabatan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan dalam universiti yang sama. Bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan menjadi Presiden NGO itu pada tahun 1999-2003. Selain dari PUM beliau turut memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Lajnah IT PAS Pusat.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia