© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Iltizam Mewujudkan Nilai Ihsan dalam Struktur Kerajaan Yang Adil

Iltizam Mewujudkan Nilai Ihsan dalam Struktur Kerajaan Yang Adil

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 25 February 2014


Jika kita meninjau dari aspek akidah, keadilan merupakan salah satu di antara sifat kesempurnaan Allah. Maha Adil termasuk di dalam Al Asma Al Husna. Kerana itu, keadilan tidak dapat ditegakkan dengan tepat, apabila manusia mengenepikan saranan Allah dengan mengadakan peraturannya sendiri.

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ
“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (tuhan-tuhan selain Allah) yang mengadakan hukum syariat untuk mereka dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.” (Surah As-Syura:21)

Maka, mewujudkan keadilan itu seharusnya sejajar dengan rujukan yang benar bersendikan syariat Allah Taala. Sebagaimana Firman-Nya lagi;

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ
“Dan hendaklah menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...” (Al-Maidah:49)

Berdaulatnya prinsip keadilan adalah jaminan Islam bahawa semua orang berhak mendapat haknya, di mana tiada orang lemah yang tertindas, tiada orang kuat yang memeras. Allah memberikan ganjaran yang besar kepada pemimpin adil, sehinggakan Rasulullah bersabda bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di Hari Kiamat, iaitu hari yang tiada naungan pada waktu itu kecuali naungan-Nya, dan salah satu golongan yang mendapat naungan itu adalah pemimpin yang adil.

Pemerintahan yang adil menjadikan rakyatnya di semua saluran mendapat manfaat yang selayaknya tanpa wujud unsur pembohongan. Bagaimanapun pentakrifan keadilan perlu dilihat melalui cerapan yang lebih luas, kerana keadilan yang dipertanggungjawabkan Allah kepada pemerintah juga bererti menghalang kerosakan dan mencegah kemudharatan yang boleh mengganggu kestabilan rakyatnya.

Sebagai contoh pembohongan media pemerintah merekayasa dan menayangkan bara api perkauman serta sensitiviti agama, ia adalah salah satu bentuk ketidakadilan, malah boleh meruntuhkan suasana kemakmuran sesebuah negara. Senario negatif inilah yang pernah diungkapkan oleh Yusuf al-Qaradawi di dalam lantunan qasidahnya;

وراعي الشاة يحمي الذئب عنها  #  فكيف إذا الرعاة لها ذئاب؟
“Pengembala kambing tugasnya menghalau serigala (dari membaham kambingnya). Apa pula seandainya jika penggembala itulah serigala?”

Secara integral, keadilan sesebuah pemerintahan itu bukanlah hanya tertumpu pada aspek penyempurnaan hak rakyat yang bersifat sumbangan material semata-mata, sedangkan pada masa yang sama kerajaan federal begitu teruja memungut sebesar-besar hasil-mahsul kekayaan bumi hanya untuk saluran kroni-kroni mereka. Senario ini tidak sama sekali mampu mewujudkan keadilan, kecuali slogan-slogan indah khabar dari rupa, “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat, Sebuah Janji Ditepati.”

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Nabi Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Al-Anfal: 27)

Perlu disedari sebenarnya kezaliman itu tidaklah menandakan kekuatan sesebuah negara atau seseorang pemimpin, tetapi menandakan detik-detik kejatuhannya semakin hampir. Marilah kita merenungi penjelasan tegas surat yang ditulis oleh Imam Hassan al-Basri (21H-110H) kepada Umar bin ‘Abdul ‘Aziz;

يا أمير المؤمنين أن الله جعل الإمام العادل قوام كل مائل، وقصد كل جائر، وصلاح كل فاسد، وقوة كل ضعيف، ونصفة كل مظلوم، ومفزع كل ملهوف. والإمام العدل يا أمير المؤمنين كالراعي الشفيق على إبله، الرفيق الذي يرتاد لها أطيب المرعى، ويذودها عن مرات  الهلكة، ويحميها من السباع، ويكنفها من أذى الحر والقر، والإمام العدل يا أمير المؤمنين كالأب الحاني على ولده، يسعى لهم صغارا ويعلمهم كبارا، يكتسب لهم في حياته. ويدخر لهم بعد مماته
“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin yang adil itu sebagai tonggak yang menahan sesuatu supaya tidak condong, menjadi rujukan kepada perkara yang dirancang, membaiki setiap kecacatan, memperkuatkan yang lemah, mengembalikan hak kepada mereka yang dizalimi. Wahai Amirul Mukminin! Pemimpin yang adil itu laksana ayah yang penyayang terhadap anaknya, berusaha menjamin kehidupan yang baik dan mengajarnya sehingga membesar, berusaha untuk kebaikannya di masa ayah itu masih hidup dan menjamin kebaikan setelah ayah itu meninggal dunia…”

Tidak syak lagi, kepimpinan yang amanah, adil dan berkebajikan itu adalah salah satu bentuk pengabdian kepada Allah Taala. Pemimpin yang merasa dirinya diawasi dan diperhatikan akan sentiasa menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh komited dan dedikasi. Pastinya pemimpin yang mempunyai nilai-nilai tersebut sering mendorong rakyatnya ke arah kehidupan yang diredhai Allah Taala.

Banyak contoh-contoh yang boleh dijadikan pengajaran di sini, tetapi cukuplah penceritaan Imam az-Zahabi berkenaan Imam al-Auza’ie ketika beliau menetap di Beirut, Lubnan. Imam al-Auza’ie telah didatangi seorang rakyat beragama Kristian yang meminta bantuan kepadanya, “Tuan, sesungguhnya Gabenor Baalbek (salah satu kota yang terletak di lembah Beqaa, Lubnan) telah menzalimiku dan aku amat berharap agar engkau menulis surat kepadanya berkenaan masalahku.”

Kemudian orang Kristian tersebut memberikan sebalang madu sebagai hadiah. Melihat hadiah tersebut, Imam al-Auza’ie berkata kepadanya, “Pilihlah antara dua, sama ada aku menolak pemberianmu dan aku menulis kepada gabenor, atau aku menerima hadiah madumu dengan tidak menulis kepada gabenor?”

Mendengar tawaran yang seakan-akan aneh itu lalu orang Kristian itu pun bersetuju untuk tidak memberikan madu kepada Imam al-Auza’ie. Tanpa sikap menangguh Imam al-Auza’ie  menulis surat kepada gabenor yang mengandungi arahan supaya cukai ke atas orang Kristian yang mengadu permasalahannya itu dikurangkan. Beliau meninta surat tersebut dengan memperingatkan amaran Rasulullah s.a.w;
من ظلم معاهدا وكلفه فوق طاقته فأنا حجيجه
“Siapa yang menzalimi seorang mu'ahid (ahlu zimmah) dan membebankan di luar kemampuannya, maka akulah (Rasulullāh) menjadi penentangnya.”

Lihatlah, betapa tingginya nilai Ihsan yang dimiliki oleh Imam al-Auza’ie  ketika menyempurnakan tata kelola institusi pentadbiran negaranya. Kerana itu Islam menegaskan bahawa keadilan hakiki hanya wujud apabila manusia itu mengabdikan diri kepada peraturan-peraturan Allah. Keadilan tidak mungkin boleh berlaku dalam keadaan kuasa politik berpisah dengan agama.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-