© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Syeikh Abdul Kader Mullah, Mangsa Politik Sekular Bangladesh

Syeikh Abdul Kader Mullah, Mangsa Politik Sekular Bangladesh

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 19 September 2013


Mahkamah Pengadilan Internasional Bangladesh yang diasaskan Sheikh Hasina Wajed telah mendakwa pemimpin Jamaat-El-Islami menjadi tali barut kerajaan Pakistan untuk menjatuhkan negaranya sendiri kerana tidak bersetuju dengan proses pemisahan Pakistan-Bangladesh. Konflik bersejarah itu berlaku selama 9 bulan, iaitu pada 16 Disember 1971 di mana Pakistan Barat (kini Pakistan), Pakistan Timur (kini Bangladesh) dan India, bertempur sehingga membawa kepada penubuhan negara Bangladesh.

Terbaharu pihak mahkamah telah mendakwa Abdul Kader Mullah, pemimpin Jamaat-el-Islami bersalah dan memutuskan hukuman mati di atas tanggungjawab kejahatan perang 1971. Sedangkan pada bulan Februari lalu, Abdul Kader Mullah dihukum penjara seumur hidup dan tiba-tiba berubah menjadi hukuman mati. Human Rights Watch yang berpusat di New York sebelum ini mengatakan prosedur hukuman yang digunakan oleh mahkamah itu tidak memenuhi standard internasional.

Perubahan hukuman terhadap Abdul Kader Mullah ini adalah perubahan yang berpunca daripada protes golongan sekular yang menganggap keputusan asal terhadap Abdul Kader Mullah terlalu ringan dan mendesak hukuman lebih berat dikenakan ke atasnya. Dalam hal ini, Mahkamah Agung Bangladesh tunduk kepada tekanan segelintir golongan sekular pelampau dengan mengenepikan keadilan yang sebenar yang sepatutnya diberikan kepada Abdul Kader.

Sejak tahun 2010 lagi Perdana Menteri Hasina Wajed membentuk Mahkamah Internasional berkenaan isu kejahatan perang Bangladesh untuk mengadili mereka yang dituduh melakukan kejahatan di masa perang 1971, tetapi pengadilan itu telah dikritik luas kerana menjadikan lawan politiknya mangsa dan sasaran, dan ia beroperasi tanpa melibatkan pengawasan PBB.

Sepatutnya Mahkamah Bangladesh melihat kepada keadilan dengan berpandukan kepada fakta kes dan bukan kepada sentimen sesetengah pihak semata-mata. Apakah Abdul Kader telah mendapat keadilan yang sewajarnya dengan hukuman mati dan adakah ia adil untuk rakyat Bangladesh? Hukuman ini menggambarkan kerajaan Bangladesh adalah zalim dan Sheikh Hasina adalah pemimpin kuku besi yang mewarisi pemerintahan negara tersebut.

Dalam keadaan parti politik seperti Jamaat-el-Islami semakin berpengaruh dan mendapat tempat di hati rakyat, kerajaan Bangladesh sanggup mengharamkan pertubuhan gerakan Islam tersebut pada bulan lepas. Sementara itu, hampir ke semua pemimpin tertinggi Jamaat-el-Islami ditangkap dan beberapa orang pemimpin telah dijatuhkan hukuman mati. Apakah ini bentuk demokrasi yang ingin disuburkan di Bangladesh?

Mengenai isu berkaitan politik dendam Hasina Wajed, Ikhwanul Muslimin telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari Jumaat, 8 Februari 2013 :
  1. Kami bersama deru angin kemerdekaan laungan rakyat yang bertiup melalui seluruh pelusuk dunia, menganggap perbicaraan di Bangladesh terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam (Jamaat-el-Islami) melanggar hak keadilan sejagat dan merupakan tuduhan bersifat politik (tuduhan kerajaan pemerintah terhadap parti Islam), bukannya tuduhan jenayah.
  2. Kami menyeru kepada semua Negara, dan di negara-negara Islam khususnya, bersama badan-badan dan institusi antarabangsa untuk melakukan tekanan agar tragedi kemanusiaan yang menimpa akibat ketidakadilan politik terhadap tahanan politik di Bangladesh ini dihentikan.
  3. Salah satu tujuan syariah (undang-undang Islam) adalah untuk melindungi kehidupan rakyat supaya hak-hak mereka dipenuhi. Kita mesti mendukung nilai Islam yang tinggi, prinsip dan cita-cita keadilannya melebihi dari pihak-pihak tertentu yang bercakap tentang keadilan kerana sebab-sebab politik dan matlamat menjatuhkan politik lawan.
  4. Kami menuntut kerajaan Bangladesh (pimpinan Hasina Wajed) agar melepaskan semua pimpinan Jamaat-El-Islami yang ditangkap sementara menunggu penyiasatan ke atas kes diselesaikan. Mereka harus menerima perbicaraan yang adil sebelum hakim menentukan semula hak-hak mereka yang termaktub dalam semua lapangan perlembagaan.
  5. Kami memberi amaran kepada pimpinan yang diberi amanah mentadbir negara agar tidak menggunakan kuasa untuk melakukan penindasan, dendam dan ancaman untuk menghilangkan lawan politik rejim.
  6. Kami yakin bahawa Persidangan Kemuncak Islam yang diadakan baru-baru ini di Kaherah, menyokong sepenuhnya pendaulatan negara berpaksikan keadilan dan kesaksamaan. Kami berdoa kepada Allah agar membimbing mereka berkhidmat demi kepentingan terbaik rakyat dan negara, serta menolak ketidakadilan untuk semua yang ditindas.
Jamaat-el-Islami diasaskan pada tahun 1941 dan berakar dari politik pemikiran Maulana Sayyid Abul A'la Maududi (1903-1979), intelektual yang paling penting Islam dalam sejarah Asia Tenggara. Al-Maududi juga mempunyai pengaruh yang besar ke atas Ikhwanul Muslimin dan secara global ia mempunyai hubungan rapat dengan Jamaat-el-Islami. Kerana pengaruh yang dibawa oleh Al-Maududi, Kerajaan Bangladesh telah mengambil tindakan mengharamkan seluruh buku-buku karangan beliau di negaranya. Al Maududi sebagaimana yang didakwa Hasina Wajed telah membawa ideologi radikal dalam ajaran Islam.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-