© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Memahami Perjuangan Dakwah al-Marhum Fathi Yakan di Lubnan

Memahami Perjuangan Dakwah al-Marhum Fathi Yakan di Lubnan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 27 September 2013


Al-Ustaz Dr. Fathi Yakan, nama sebenarnya Mahmud Fathi ibnu Muhammad ‘Inaayat Syarif Yakan. Susur galur keturunannya berasal daripada bangsa Turki, dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Utara Lubnan. Isterinya bernama (Dr.) Muna Haddad, dikurniakan lima orang anak (4 perempuan 1 lelaki) dan 20 orang cucu. Tokoh karismatik gerakan Islam ini telah menghasilkan puluhan buku-buku dakwah yang mencerahkan langit kebangkitan Islam dengan lantera ilmu dan cahaya kebenaran.

Selain tulisan-tulisan yang dicurahkan ke dalam lembaran-lembaran kitab, seminar dan syarahan, beliau bersama isterinya turut menubuhkan universiti di Lubnan iaitu Jami’ah Al-Jinan. Falsafah pembangunan universiti tersebut adalah untuk membentuk graduan Muslim yang hidup bermasyarakat berteraskan akhlak yang luhur. Antara fakulti-fakulti yang ditawarkan di universiti tersebut adalah fakulti perguruan, media dan teknologi, mekanikal dan kejuruteraan, sains dan farmasi.

Dr. Fathi Yakan meninggal dunia pada 13 Jun 2009 ketika usianya menjangkau 76 tahun. Ketiadaannya merupakan kehilangan besar kepada gerakan Islam ketika para aktivisnya masih dahagakan rumusan-rumusan kognitif, menilai aspirasi massa dan pertembungan ummah di seluruh dunia. Pemikiran beliau tetap menjadi sebahagian legasi kepada khazanah intelektual gerakan Islam dan menjadi rujukan dari semasa ke semasa. 

Benarlah kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah;
مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِيْ الإِسْلاَمِ لاَ يَسُدُّهَا مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ
“Kematian seorang alim adalah suatu kelompongan dalam Islam, ia tidak dapat ditutup walau bertukar ganti malam dan siang.” (riwayat al-Darimi dan Baihaqi)

Sangat sedikit ulama’ sepertinya, bukan sahaja arif dalam ilmu agama tetapi juga memahami isu-isu pergolakan semasa selain memiliki semangat waja merakyatkan gagasan dakwah dan mendaulatkan Islam di tanah airnya. Beliau adalah ulama’ al-amilin, bukan ilmuwan yang sekadar berbasa-basi dengan kelantangan suara, tetapi kata-katanya adalah perbuatannya manakala perbuatannya adalah kata-katanya. 

Sabda Rasulullah sallallahualaihi wasallam;
اِبْدَأ بِنَفْسِكَ ثُمَّ بِمَنْ تَعُولُ
“Mulakan dengan dirimu kemudian kepada orang yang hendak kamu serukan (dakwahmu)” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang lain, Dr. Fathi Yakan juga pernah dipenjara dan diseksa kerana dituduh melancarkan rampasan kuasa. Namun, beliau adalah antara orang-orang yang kental menjalankan urusan dakwah, sehingga beliau menulis sebuah buku berjudul (المتساقطون على طريق الدعوة) “Al-Mutasaqitun ‘ala Toriq ad-Dakwah” sebagai panduan kepada aktivis Islam umumnya, agar tidak terkandas di dalam perjuangan Islam.

Beliau pernah memegang kerusi Parlimen di Lubnan pada tahun 1992, sekalipun pada hakikatnya beliau tidak bersetuju dengan sistem-sistem demokrasi yang sedia ada di negara tersebut. Pada beliau perkataan “demokrasi” hanyalah muluk-muluk kediktatoran pemerintah dengan menyandarkan adagium masyarakat Latin “Vox Populi Vox Dei”. 

Begitupun beliau mengakui bahawa pendekatan gerakan Islam mestilah “muwajahah as-silmiyyah” untuk mengekspresikan wawasan dakwah dan keadilan Islam kepada rakyat Lubnan yang umumnya memiliki pelbagai pemikiran dan latar belakang pegangan. Maka, sistem demokrasi dimanfaatkan sebagai salah satu wadah yang dapat menguasai negara tanpa berlaku sebarang rusuhan atau pertumpahan darah.

Komitmen beliau di dalam politik adalah membentuk masyarakat Islam yang berwibawa dan mengeluarkan masyarakat Arab daripada kepompong perkauman dan fanatik mazhab. Keazamannya itu menyebabkan wujud tindakan beliau yang mencetuskan polemik. Namun begitu, semua ciri-ciri tersebut menjadikan tokoh aktivis Islam tersohor ini seorang yang unik, berbeza, sekaligus menunjukkan beliau adalah seorang pemikir yang substantif dan ulama’ yang memiliki daya prinsip.

Sabda Rasulullah sallallahualaihi wasallam;
لَا تَكُونُوا إِمَّعَةً، تَقُولُونَ؛ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا، وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا
“Janganlah seseorang daripada kamu menjadi orang yang tidak punya prinsip dengan berkata; Jika kami bersama manusia yang berbuat baik maka kami pun berbuat baik, jika mereka berbuat zalim (jahat) maka kami pun turut berbuat zalim. Tetapi jadilah kamu orang yang punya pendirian (prinsip), jika manusia berbuat baik maka hendaklah kamu berbuat baik, jika mereka berbuat jahat maka janganlah kamu berlaku zalim.” (riwayat al-Tirmizi)

Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan-pimpinan gerakan Islam di luar negara, antaranya Dr. Mustafa as-Siba’ie, Sayyid Qutb, Syeikh Hassan al-Hudaibi (Mursyidul ‘Am Ikhwanul Muslimin ke-II), Syeikh Abu ‘Ala al-Maududi, termasuklah Dato’ Fadzil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sahabat beliau yang paling akrab dalam perjuangan Harakatul Islamiyah di Lubnan adalah Dr. Faisal al-Maulawi, mantan Setiausaha Umum “Al-Jama’ah al-Islamiyah”.

Mencermati liku-liku perjuangan Dr. Fathi Yakan akan menarik kita mengamati politik praktis yang berlaku di Lubnan. Lubnan merupakan wilayah kecil yang bersempadanan dengan Syria dan Palestin. Sejak empayar kerajaan Uthmaniyah, keragaman kaum, puak dan mazhab (Sunni dan Syiah) telah wujud di wilayah tersebut. Namun, di sebalik keragaman itu suasana konsolidasi masih wujud dalam hubungan sosial mereka, masih terpasak kerukunan saudara sesama saudara dan agenda nasihat-menasihati.

Detik-detik keharmonian tersebut mula meratapi saat penghujungnya apabila kekalahan kerajaan Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Pasca kekalahan kerajaan Uthmaniyah telah mendorong gerakan kolonialisme British dan Perancis menduduki wilayah Syam. Lalu wilayah Syam dibahagikan menjadi empat wilayah, Perancis mendapat wilayah utama Syam (Syria sekarang) dan Lubnan, manakala British mendapat Palestin (kemudian dituntut Israel) dan Jordan.

Sikap totalitarian Perancis di Lubnan telah menjadikan ibu kota Beirut ibarat “Paris” di Asia Barat. Hitunglah sahaja berapa ramai artis yang lahir dari Lubnan, pasti ada yang tidak menyangka bahawa wilayah kecil itu menghasilkan jumlah artis yang lebih ramai daripada negara-negara Arab yang lain. Seperti aktor filem terkenal “The Matrix”, Keanu Reeves sendiri berasal dari Beirut, Lubnan.

Selain itu, Perancis turut campur tangan dalam hal politik Lubnan. Pada tahun 1943 Perancis membentuk “Piagam Kebangsaan” - “Al-Mithaq al-Watani” -  dengan meletakkan syarat bahawa Presiden Lubnan mestilah daripada kelompok Kristian, Perdana Menteri daripada Muslim Sunni, Wakil Perdana Menteri daripada Kristian Orthodoks, manakala Ketua Parlimen daripada Muslim Syiah.

Piagam itu dibuat berdasarkan agama dan wilayah dengan perbandingan 6 Kristian dan 5 Muslim. Perbandingan tersebut ditentukan berdasarkan kosensus bagi kependudukan warga Lubnan pada tahun 1932. Ketika itu jumlah masyarakat Kristian lebih ramai daripada masyarakat Muslim. Ketika itu juga Perancis tidak mengenal siapa Sunni dan siapa Syiah, mereka hanya tahu bahawa Sunni dan Syiah adalah kelompok Muslim yang saling bertelagah.

Berdasarkan fahaman politik di Lubnan, ia bolehlah dibahagikan kepada beberapa varian aliran, agama, mazhab dan perkauman seperti, Kristian, idealogi-idealogi pemikiran - “tayyarat fikriyah” - , mazhab Syiah, Sunni, komuniti Druze dan Kurdish.

Antara pergerakan parti politik berorientasikan agama di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Al-Kataeb al-Lubnaniyya”, parti yang ditubuhkan oleh Amin Gamayel pada tahun 1936, mewakili parti masyarakat Kristian pelbagai aliran di Lubnan.
  2. “Hizb al-Wataniyyin al-Ahrar”, parti liberal yang ditubuhkan oleh Camille Chamoun pada tahun 1958. Majoriti keanggotaannya ialah penganut Kristian.
  3. “Marada Movement”, mewakili golongan feudal daripada penganut Kristian Maronites. Diasaskan oleh Sulaiman Farangieh pada tahun 1967.
  4. “At-Tayyar al-Watani al-Hurr”, mewakili kumpulan Kristian Katholik yang ditubuhkan oleh Jeneral Micheal Naem Aoun pada tahun 2005.
  5. “Liberty Front” ditubuhkan mewakili masyarakat Kristian Orthodoks di Lubnan pada April 2007 oleh Fouad Abu Nader.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan idealogi-idealogi sekularisme, kapitalisme dan  nasionalisme di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Lebanese Communist Party” parti komunis ini ditubuhkan oleh Khaled Hadadi pada tahun 1924.
  2. “Hizb al-Nejjadeh” parti nasionalis Arab yang ditubuhkan oleh Mustapha Hakem sejak tahun 1940-an, majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
  3. “Arab Socialist Ba’ath Party”, parti sosialis ini ditubuhkan oleh Fayez Shukr pada tahun 1966 di Beirut.
  4. “Harakat Al-Shaab”, parti nasionalis Arab ini ditubuhkan oleh Najah Wakim pada tahun 2000.
  5. “Harakat al-Istiqlal”, awal penubuhannya di Zgharta, Lubnan oleh Michel René Moawad pada tahun 2006 yang mewakili kumpulan nasionalis. Pertubuhan ini dianggotai masyarakat Kristian dan Muslim.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan mazhab Syiah di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Amal Movement” atau “Afwaj al-Muqawama al-Lubnaniyya”, diasaskan daripada ideologi ulama Syiah konservatif, iaitu Musa al-Sadr dan Hussein el-Husseini pada tahun 1974.
  2. “Arab Democratic Party”, parti nasionalis Arab yang ditubuhkan oleh Ali Eid yang berfahaman Syiah pada tahun 1974. Adiknya, Rifa’at Eid pula menubuhkan pertubuhan parti Syiah aliran Alawi “Harakat al-Shabab al-Alawi”.
  3. “Hizbullah”, mewakili kumpulan para-militer Syiah, pro-Iran dan anti-imperialisme. Dilabel terroris oleh kesatuan negara Eropah, Amerika, Kanada, Israel dan Australia.
  4. “Tayyar el-Shi’e el-Hurr”, parti berorientasikan mazhab Syiah ditubuhkan oleh Mohammed al-Hajj Hassan pada tahun 2006. Menyertai “March 14 Alliance”, anti kepada kumpulan “Hizbullah” dan “Amal Movement”.
  5. “Islamic Amal Movement”, merupakan parti yang berorientasikan mazhab Syiah dan diasaskan oleh Syeikh Subhi at-Toufaily pada tahun 1982, beliau pernah menjadi Setiausaha ‘Am pergerakan “Hizbullah” sebelum lantikan Hassan Nasrallah.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan mazhab Sunni di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Al-Jama’ah al-Islamiyah”, parti politik gerakan Islam yang didominasi masyarakat Muslim Sunni Lubnan. Antara pengasas gerakan politik ini ialah Dr. Fathi Yakan dan Syeikh Dr. Faisal Maulawi pada tahun 1964. Pemimpin pertama gerakan ini ialah Syeikh Ibrahim al-Masri.
  2. “Harakat al-Tawhid al-Islami”, pergerakan mujahidin yang dianggotai Muslim Sunni yang pernah terlibat dalam perang sivil Lubnan seawal 1980-an. Secara rasmi diasaskan pada tahun 1982 oleh Syeikh Said Shaaban, rakan akrab kepada Dr. Fathi Yakan. Memiliki hubungan kerjasama dengan PLO, Hizbullah dan HAMAS.
  3. “Tayyar al-Mustaqbal”, parti berideologi sekular yang ditubuhkan pada 1992 oleh Rafik al-Hariri. Diketuai oleh Saad al-Hariri selepas berlakunya pembunuhan abangnya Rafik al-Hariri, dan majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
  4. “Glory Movement” atau “Harakat Majd”, mewakili kumpulan Muslim Sunni yang diasaskan oleh Najib Mikati pada tahun 2004.
  5. “Jabhat al-Amal al-Islami” ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Dr. Fathi Yakan setelah melihat pengkhianatan “March 14 Alliance” yang memiliki agenda pro-Amerika. Beliau memutuskan untuk berkoalisi dalam “March 8 Alliance”.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan komuniti perkauman Druze dan Kurdish di Lubnan terdiri daripada;
  1. “Progressive Socialist Party”, mewakili komuniti Druze yang berfahaman sosialis dan diasaskan oleh Kamal Jumblatt pada tahun 1949.
  2. “Al-Hizb Al-Kurdi Al-Dimoqraty”, parti politik yang mewakili masyarakat Kurdish di Lubnan. Ditubuhkan pada tahun 1960 oleh Jamil Mihhu.
  3. “Razkari Party”, parti politik mewakili masyarakat Kurdish di Lubnan, ia ditubuhkan oleh Faissal Fakhroo pada tahun 1975.
  4. “Lebanese Democratic Party”, mewakili komuniti Druze yang berfahaman sekular. Diasaskan oleh Putera Talal Arslan pada 1 Julai 2001.
  5. “Al-Hizb al-Jumhury al-Hurr” parti sekular yang ditubuhkan oleh Khaled al-Hassaneh yang dianggotai oleh komuniti Druze.
 Pergerakan bukan parti politik berpengaruh di Lubnan pula terdiri daripada;
  1. “Tajamo’ al-Ulama’ al-Muslimin”, diasaskan pada tahun 1982 ketika Beirut dalam kepungan rejim Zionis, IDF – Israel Defence Forces. Pertubuhan cendekiawan ini diketuai oleh Syeikh Mahir Hammud (wakil Sunni) bersama Syeikh Zuhayr Kanj (wakil Syiah).
  2. “Jam’iyat al-Mashari’ al-Khayriya al-Islamiya al-Ahbash”, atau gerakan al-Ahbash yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari.
  3. “Hizbu at-Tahrir”, di Lubnan pergerakan ini diketuai oleh Ata’ Abu Rashta sejak 1953. Majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
Terdapat banyak lagi parti-parti politik yang ditubuhkan di Lubnan berasaskan aliran-aliran pemikiran dan perkauman. Dari negara inilah dimensi konflik Timur Tengah kelihatan dan sukar mencapai kata kesepakatan. Ada yang pro-Sunni anti-Syiah, pro-Syiah anti-Wahabi, pro-Wahabi anti-Sufi, pro-Sufi anti-Ikhwanul Muslimin, ada juga yang pro-Syiah ‘tetapi’ anti-Hizbullah, termasuklah pro-Sunni ‘tetapi’ berfahaman sekular.

Dalam geo-politik di Lubnan, strategi Barat sememangnya berkepentingan menjadikan negara tersebut sebagai salah satu lubuk medan laga – “proxy war” – masyarakat Muslim di Timur Tengah dan merebut apa yang disifatkan sebagai “geopolitic of pipeline” – minyak dan kepentingan Israel. Mereka mencegah kesatuan bangsa Arab dan melindungi negara Israel sehingga “Perang Saudara Lubnan” tercetus pada 1975 akibat rusuhan golongan Kristian, pengikut Sunnah, Syiah, Druze dan Kurdi.

Pada ketika itu ratusan ribu orang terbunuh, hampir sejuta penduduk melarikan diri keluar dari Lubnan termasuklah mangsa pelarian Palestin yang sebelum ini menghuni di negara tersebut. Dunia terpaku dan kembali mengoborkan isu Sunni versus Syiah, sedangkan kekaburan yang berlaku sebenarnya adalah kejayaan imperialis Perancis menggugat kestabilan politik di wilayah Lubnan saat jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1924.

Hampir 15 tahun, akhirnya perang sivil akibat rusuhan tersebut ditamatkan pada tahun 1990 melalui “Persetujuan Taif” (Ittifaqiyatu at-Taif) – National Reconciliation Accord. Antara syarat yang terkandung dalam persetujuan tersebut ialah mengenai penggubalan semula pembahagian kuasa selepas kegagalan “Al-Mithaq al-Watani” :
  • “Presiden” daripada Kristian Maronites.
  • “Perdana Menteri” daripada pengikut Sunnah.
  • “Speaker Parlimen” daripada pengikut Syiah.
Inilah antara cabaran dan masalah yang berlaku kepada gerakan Islam di Lubnan. Persetujuan politik sekalipun distrukturkan sebagai solusi damai antara puak di negara tersebut, ia masih menatijahkan pertikaian sesama mereka lebih-lebih lagi sikap ketidak-sepakatan antara pengikut Sunni dan Syiah.

Namun, ketika pencerobohan Israel ke atas Lubnan (Perang Israel-Lubnan) pada tahun 2006 (yang digelar Perang Tammuz), Dr. Fathi Yakan menjadi salah seorang aktivis yang menghalau Yahudi Zionis keluar dari Lubnan. Beliau memprotes tindakan Perdana Menteri Lubnan, Fouad Siniora kerana menjadi boneka Barat. Fouad Siniora menjadi Perdana Menteri pada 9 Julai 2005 selepas terbunuhnya Rafiq Hariri daripada parti “Tayyar al-Mustaqbal” dalam serangan bom di Beirut.

Apa yang menarik perhatian dalam perang Israel-Lubnan 2006 itu ialah berlakunya tahaaluf antara Dr. Fathi Yakan dari “Jabhat al-Amal al-Islami” dengan Setiausaha Am pergerakan “Hizbullah”, Hassan Nasrallah. Fakta konsolidasi ini adalah fakta unik ketika pertikaian Sunnah-Syiah yang tidak menampakkan noktah berakhirnya kekusutan dua kumpulan ini. 

Hadis daripada Abi Hurairah radhiallahu anhu mencatatkan;
لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ الْهَرْجُ، الْقَتْلُ، لاَ تُقَاتِلُوْنَ الْمُشْرِكِيْنَ وَلَكِنْ يُقَاتِلُ بَعْضَكُمْ بَعْضًا، فَتَعَجَّبُ الصَّحَابَةَ رِضْوَانَ اللهَ عَلَيْهِمْ قَالُواْ، يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَوَلَيْسَ لِهؤُلاَءِ عُقُوْلٍ؟ قَالَ، لَتُنْزَعَنَّ عُقُوْلَ أَهْلِ ذَلِكَ الزَّمَانِ
“Tidak berlaku Kiamat sehinggalah banyak berlaku rusuhan, pembantaian (pembunuhan yang melibatkan kaum Muslimin) di mana mereka tidak memerangi kaum musyrikin akan tetapi memerangi sesama sendiri (berlaku pembunuhan di mana pembunuh sewenang-wenangnya membunuh, dan yang terbunuh tidak tahu atas dasar apa dia dibunuh).” , Para sahabat kehairanan lalu bertanya, “Wahai Rasulallah, apakah mereka hilang akal?” Jawab baginda s.a.w, “Telah tercabut akal-akal warga penduduk di zaman itu.” 

Pada 8 Disember 2006, Dr. Fathi Yakan mengimami solat Jumaat yang dihadiri para makmumnya yang memiliki pelbagai latar belakang mazhab, Sunni dan Syiah sebagai simbol persatuan melawan Fouad Siniora. 

Antara yang disebut oleh beliau pada tarikh tersebut;
إننا حين ندعو إلى الإسلام لا ندعو إلى عصبية ولا إلى طائفية ولا مذهبية سنيا ولا شيعيا. نحن مسلمون قبل أن نكون سنة وشيعة، و لا يمكن أن يوحد أمة الإسلام إلا كلمة الإسلام. هو سماكم المسلمين من قبل وفي هذا ليكون الرسول شهيدا عليكم وتكونوا شهداء على الناس
“Sesungguhnya kami sekarang ini menyeru kepada Islam bukan kepada semangat fanatik kepuakan, kumpulan ataupun mazhab dokongan Sunni mahupun Syiah. Kami orang-orang Muslim sebelum menjadi Sunni atau Syiah, dan adalah mustahil umat Islam ini bersatu kecuali dengan kalimah Islam.  { Dia (Allah) yang telah menamakan kamu orang Islam sebelum ini (dibuktikan di dalam Kitab-Kitab-Nya) agar Rasulullah menjadi saksi terhadap perbuatan kamu, dan kamu pula menjadi saksi terhadap sekalian manusia } – petikan dari surah al-Hajj ayat 78.” – rakaman IslamOnline, 2007

Sememangnya Lubnan sebuah negara yang unik dan kompleks, ia menagih strategi yang mapan daripada gerakan Islam di sana. Justeru, Lubnan tidaklah seperti negara-negara Arab yang lain seperti Dubai misalnya, yang mewah menakluk latar langit dengan menara Burj Khalefa-nya.

Lantaran kesungguhan Dr. Fathi Yakan dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang mesti didaulat, bukan sekadar dibangga-banggakan sebagai warisan dan khazanah peninggalan, maka beliau menulis buku “ماذا يعني انتمائي للإسلام” – “Maza Yakni Intima’ie lil Islam” dengan kupasan yang cukup jelas bertujuan untuk menyedarkan kaum Muslimin tidak kira apapun aliran mereka agar kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam yang asli daripada baginda Rasulullah sallallahualaihi wasallam, serta menggabungkan hubungan mereka dalam perjuangan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan.

Referensi:
  1. Dr. Fathi Yakan, “Abjadiyat at-Tasawwur al-Haraki lil Amal Islami”
  2. Dr. Fathi Yakan, “Harakat wa Mazahib fi Mizan al-Islam” 
  3. Dr. Dhia’uddin ar-Ris, “Al-Islam wa al-Khilafah fi ‘Asri al-Hadis” 
  4. Dr. Sa’ed Ramadan al-‘Ibadi, “Al-Ikhwanul Muslimun wa as-Syi’ah bayna Ru’ya Syar’iyyah wa Mumaarasat as-Siyasah”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-