© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Khutbah Jumaat : Menjunjung Makna Sebenar Kemerdekaan

Khutbah Jumaat : Menjunjung Makna Sebenar Kemerdekaan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 30 August 2013


Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, di hari yang penuh kemuliaan ini marilah kita bertakwa kepada Allah, Tuhan yang mencipta kita sekaligus membekalkan segala nikmat yang tidak ternilai buat kita. Mudah-mudahan ketakwaan yang dibina, merangsang semangat juang untuk mempertahankan syariat Ilahi dan sunnah an-Nabawi di saat umat hari ini tidak lagi mempedulikan syariat dan sunnah dalam kehidupan mereka.

Mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah yang bertajuk: “Menjunjung Makna Sebenar Kemerdekaan”.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,


Sebelum baginda Nabi s.a.w diutuskan oleh Allah sebagai Rasul yang meneruskan perjuangan Islam, dunia berada di dalam kegelapan. Masyarakat Arab jahiliyah mengamalkan budaya hidup songsang yang penuh kecelaan, dan segala amalan yang berpaksi kepada hawa nafsu. Mereka menanam anak perempuan hidup-hidup, semata-mata kerana takutkan kecelakaan, mereka menemui pawang dan tukang tilik kononnya mahu menentukan nasib. Kabilah atau puak-puak yang berkuasa menindas kabilah yang lemah. Masyarakat hanyut dengan hiburan dan keseronokan. Mereka berkumpul mempertandingkan madah-madah syair, termasuklah kalimah-kalimah berahi yang mengekspresikan lengguk tubuh kaum wanita.

Situasi kejahilan seperti inilah situasi yang sering berlaku. Selepas sekian lama para Rasul tidak diutuskan, manusia mula menyeleweng daripada ajaran Tauhid yang sebenar, iaitu ketika tanda-tanda ajaran Allah yang disampaikan para Rasul terdahulu disia-siakan, ketika dahsyatnya kesesatan tidak kira sama ada ia dilakukan di atas buminya yang didirikan sebuah Ka‘abah, mahupun juga di wilayah-wilayah ajaran as-samawi yang lain. Semuanya berada di dalam kesesatan, bila petunjuk Allah dikesampingkan dan ajaran Nabi dimusuhi.

Kaum Nabi Nuh menyembah Wadd, Suwaa’, Ya’uuq, Yaghoots dan Nasr. Manakala kaum Nabi Ibrahim menyembah Manat, al-Lata dan al-Uzza. Mereka mensyirikkan Allah dengan cara membina berhala-berhala yang besar. Begitulah juga yang berlaku dengan kaum-kaum yang lain. Apabila akidah mentauhidkan Allah tercemar, manusia mula menyembah selain Allah dan seterusnya kehidupan masyarakat menjadi pincang, huru-hara dan rosak binasa.

Atas dasar itulah Allah mengutuskan Rasul dari semasa ke semasa, untuk mengembalikan manusia kepada jalan yang lurus. Firman Allah Taala :

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللَّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ
“Dan telah Kami utuskan Rasul bagi setiap umat itu. (Mereka menyeru manusia) agar menyembah Allah dan menjauhkan diri (memerdekakan) daripada Taghut (iaitu seteru Allah).” (An-Nahl:36)

Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w telah membebaskan manusia daripada huru-hara perundangan. Melalui ajaran Islam, manusia diajak supaya kembali tunduk kepada aturan Ilahi, sehingga mereka hidup dalam suasana beribadah hanya kepada Allah, di dalam suasana Islam tidak lagi ditindas dan dihina, dan sejahtera daripada kezaliman yang selama ini menghantui kehidupan masyarakat.

Kedatangan baginda Nabi s.a.w, membawa kemerdekaan kepada seluruh umat manusia, daripada belenggu kegelapan kepada cahaya kebenaran, daripada kemelut jahiliyah kepada sinar Islam, daripada hinanya kemaksiatan kepada ketaatan ke atas Allah yang mentadbir sekalian alam. Kerana itu, apalah ertinya negara memiliki bangunan-bangunan pencakar langit tetapi di celah- celahnya penuh dengan aktiviti penagihan dadah, pelacuran, rasuah, pengangguran dan bermacam-macam arus deras kemungkaran yang boleh meruntuhkan tamadun yang dibina.

Membina tamadun berasaskan material memanglah mudah, tetapi membina tamadun manusia berasaskan akhlak dan jiwa Muslim yang sekaligus bebas daripada minda penjajahan adalah tamadun sebenar umat yang merdeka. Ia tidak semudah yang difikirkan, ia memerlukan ruh keimanan yang benar-benar berpaksikan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah Nabi s.a.w.


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sekalipun istilah kemerdekaan kini membawa seribu satu penafsiran terhadap setiap individu, tetapi ia tidak seharusnya dilihat sebagai noktah nihayah kepada babak penjajahan di wilayah-wilayah strategik semata-mata, kerana penjajahan juga boleh wujud dalam bentuk pemikiran, ekonomi, akhlak dan budaya sehingga menyebabkan kita tidak mampu mengembang dan memanfaatkan keupayaan diri.

Al-Imam Dr. Yusuf al Qaradawi di dalam muqaddimah kitabnya ‘Min Feqh ad Dawlah fi Islam’ (cetakan tahun 2000, Darul Salam Kaherah) menyebutkan bahawa golongan orientalis menyedari, masyarakat Islam adalah sentral umat yang berupaya memacu idea perpaduan sejagat yang merangkumi seluruh umat manusia. Ajaran Islam mendidik umatnya sebuah sistem sosial yang universal yang tidak ditentukan menurut pertimbangan-pertimbangan geografi dan sempadan. Oleh kerana itu, formula divide and rule (pecah dan perintah) dilakukan musuh-musuh Allah untuk mengembalikan umat Islam dan umat manusia umumnya ke dalam tradisi era jahiliyah.

Mengimbas sejenak perang dunia ke-II, satu demi satu negara Islam dibebaskan daripada cengkaman penjajah. Namun, kemerdekaan yang dicapai itu tidak bermakna masyarakat bebas menentukan aspirasi dan masa depan negara. Sebaliknya, pemerintahan baru diwujudkan lebih merupakan kuasa yang dipindahkan daripada penjajah kepada sekelompok elit yang memerintah secara monarki, diktator dan sekular di setiap kondisi geografi.

Masing-masing membawa ideologi tersendiri. Ada negara Islam yang berfahaman sosialis, nasionalis, ada yang berfahaman konservatif, liberalis dan sebagainya, di samping pertelingkahan dua blok mazhab yang tidak kunjung sudah, sunnah dan syiah, termasuklah dua manhaj yang saling canggah-menyanggah, sufi dan salafi. Ke semua itu membawa banyak implikasi negatif terhadap karya budaya, khususnya peleburan akhlak, perundangan dan pemikiran kudus ajaran Islam.

Akibatnya wujudlah budaya ‘kafir-mengkafir’, fahaman ‘rasisme’, ta’assub buta dan sebagainya sehingga menimbulkan perseteruan berbentuk maki-hamun, rendah-merendahkan, sentimen kebencian terhadap sesetengah kaum dan golongan, serta benci-membenci dalam kalangan ummah. Kesannya berpanjangan dan sukar untuk dikikis kerana sifat sombong dan angkuh atas kepentingan peribadi, puak dan kelompok.

Sedangkan keberkahan dan kemuliaan akan kita perolehi apabila hidup berdampingan secara damai dan saling menghargai sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Kehinaan pula akan kita perolehi apabila berpecah-belah dan saling memusuhi. Kata Amirul Mukminin, Umar al Khattab r.a;

نحن قوم اعزنا الله بالاسلام فإذا ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله
“Kita adalah kaum yang Allah berikan kehebatan dengan Islam, akan tetapi jika kita cenderung memilih kehebatan lain selain Islam tentulah kita akan dihina Allah.”


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kemerdekaan yang kita capai saat ini hanyalah sebatas kemerdekaan fizikal, namun hampir semua bidang kehidupan dalam pemikiran umat Islam masih kental dengan polusi lingkungan penjajahan. Penjajahan yang dahulunya dilakukan secara terang-terangan, vulgar dan terbuka, saat ini sudah berubah serta dilakukan dengan cara yang lebih halus, tidak terasa juga terselubung meskipun intipatinya tetaplah sama. Jiwa yang terjajah, boleh jadi ia merupakan hambatan terbesar kita dalam melawan penjajahan moden ini.

Oleh kerana itu, mimbar menyeru agar kita sama-sama menghitung diri dengan penuh ikhlas dan berlapang dada. Jika kita benar-benar cintakan negara dan tanah air ini, ayuh kita makmurkan negara kita dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Marilah kita bentuk satu kesatuan, tenaga dan fikrah ke arah meneruskan gerak kerja bersepadu bagi menjayakan misi bersama memperkukuh Islam di negara yang tercinta ini.

Firman Allah Taala:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya.” (Ali-Imran:103)

Firman Allah Taala lagi:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
“Sekiranya penduduk suatu kampung itu beriman dan bertaqwa, nescaya akan Kami limpahkan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka telah mendustakan Allah, lantas Kami hukum mereka terhadap apa yang telah mereka lakukan.” (Al-A’raaf:96)

Hanya dengan kefahaman yang benar terhadap al-Quran dan as-Sunnah sahajalah penghayatan Islam akan berlangsung dengan baik, sains dan teknologi akan mendatangkan kemakmuran, ekonomi akan dipenuhi keberkatan, dan dengan demikian itu keamanan dan kesejahteraan hidup terjamin.

Laungkanlah kemerdekaan yang hakiki, merdekakanlah diri daripada perhambaan sesama manusia dan penyembahan hawa nafsu kepada ibadah yang tulus hanya kepada Allah. Nescaya dengan cara itu, kemerdekaan yang dirayakan akan lebih bermakna bagi kita, dan di sisi-Nya. Sesungguhnya umat hari ini tidak mungkin dapat diselamatkan melainkan dengan apa yang telah menyelamatkan umat yang terdahulu.

Diriwatkan oleh Ibnu Mardawaih r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ هَذاَ الْقُرْأَنَ هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ، وَهُوَ النُّوْرُ الْمُبِيْنُ، وَهُوَ الشِّفاَءُ النَّافِعُ عِصْمَةَ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ وَنَجَاةً لِمَنِ اتَّبَعَهُ
“Sesungguhnya al-Quran adalah tali Allah yang kukuh, cahaya yang menerangi, penawar yang memberi manfaat, sebagai penjaga bagi orang yang berpegang teguh dengannya dan penyelamat bagi yang mengikutinya.”

بَارَكَ الله لِي وَلَكُمْ فِي الْقُرْآنِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالِّذكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ الله الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-