© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Rakusnya Musuh Islam Menentang Dakwah Para Rasul

Rakusnya Musuh Islam Menentang Dakwah Para Rasul

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 7 November 2015


Dalam tradisi keilmuan Islam, al-Quran merupakan khazanah ilmu yang paling banyak dikaji oleh ilmuwan Islam. Kitab-kitab tafsir yang memenuhi perpustakaan merupakan bukti nyata yang menunjukkan kegigihan para ulama dalam usaha mereka menggali dan memahami makna-makna yang terkandung dalam al-Quran yang diturunkan Allah. Kajian-kajian tersebut menghasilkan empat jenis method penafsiran al-Quran iaitu method al-tahlili (tafsiran analisa), method al-ijmaliy (tafsiran global), method al-muqaran (tafsiran perbandingan) dan method al-maudhu’iyy (tafsiran bertema).

Method al-maudhu’iyy adalah yang paling asas ketika menggarap pelbagai ayat-ayat al-Quran, khususnya ketika membahas kisah-kisah perjuangan dan dakwah Para Nabu dan Rasul. Ia bukan sekadar menjadi hiburan atau bahan penceritaan semata-mata, tetapi sarat dengan iktibar dan panduan yang amat berguna bagi insan-insan yang berfikir dan beriman kepada Allah. Apa yang jelas dan wajib diimani oleh kita bahawa peristiwa yang dilakarkan di dalam al-Quran bukan peristiwa-peristiwa kebetulan atau dongeng yang tidak dapat difahami hujung pangkalnya tetapi berlaku menurut aturan Tuhan (sunnatullah).

Memang perilaku manusia merupakan faktor utama terjadinya sesebuah peristiwa, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah Allah Taala. Kerana itulah apabila al-Quran memaparkan sesuatu peristiwa, yang ditonjolkan adalah kehadiran Allah, qudrat dan iradat-Nya. Setiap individu yang terlibat dalam lapangan dakwah sangatlah digalakkan meneliti kisah-kisah ini untuk menggali rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik dialog-dialog serta tribulasi yang dilalui oleh Para Rasul sebagai suluhan dalam meneruskan usaha menyambung amanah dakwah di akhir zaman ini.

Allah menceritakan juga sikap dan tindakan yang telah dilakukan oleh para penentang dakwah, mereka menyangka bahawa mereka mampu memadamkan cahaya Allah di muka bumi ini. Mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin kaum (al-malak), masyarakat sekeliling, bahkan beberapa orang Rasul adakalanya terpaksa berhadapan dengan ahli keluarganya sendiri. Kisah-kisah yang diceritakan di dalam al-Quran itu, adalah peringatan kepada kita akan faktor ulangan kembali watak-watak penentang kelangsungan dakwah masa kini. Ada yang menyambung kembali tugas-tugas Firaun, Namrud, Qarun, Haman, Abu Jahal, Abdullah bin Ubai dan lain-lain lagi.

Mereka memperlekeh dan menghina Para Rasul dan para pengikut kebenaran yang setia (wala’) dengan petunjuk mereka dengan tujuan menjauhkan masyarakat daripada mendengar dan mempelajari ajaran yang disampaikan. Mereka diejek dengan pelbagai dakwaan sebagai golongan bodoh, miskin dan hina di dalam masyarakat dan mendakwa merekalah pembawa rahmat dan keuntungan kepada dunia. 

Allah berfirman :

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِؤُون
Dan demi sesungguhnya, telah diejek-ejek beberapa Rasul sebelummu (wahai Muhammad) lalu orang-orang yang mengejek-ejek itu ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah lakukan. (al-Anbiya’ ayat 41)

Menurut Ibnu Kathir, ayat ini adalah penghibur hati Rasulullah saw dan orang-orang beriman yang sedang menghadapi kutukan dan penghinaan kaum musyrikin Makkah. Baginda dituduh gila kuasa, pemecah-belah masyarakat dan juga sebagai ahli sihir yang menyihir pengikut-pengikutnya agar memberikan kesetiaan kepadanya. Penghinaan-penghinaan seumpama ini terus berulang kepada para pendakwah sepanjang zaman, bahkan mutakhir ini diperlekeh sebagai golongan yang mundur, tidak mengikut perkembangan zaman, ekstremis, takfiri punca perpecahan masyarakat dan sebagainya.

Walaupun Para Rasul terkenal di kalangan masyarakatnya sebagai seorang yang baik dan dipercayai sejak sebelum memikul tugas kerasulan, malangnya mereka tetap dituduh sebagai pendusta apabila membawa ajaran tauhid. Mereka telah membawa hujah-hujah yang jelas dan logik untuk diterima akal yang waras, tetapi para penentangnya tetap membutakan mata dan memekakkan telinga daripada menerima kebenaran. Hati mereka tetap tertutup rapat daripada cahaya hidayah lalu tanpa segan silu melontarkan tuduhan pembohongan kepada Para Rasul, termasuklah Nabi Muhammad saw yang telah diberi gelaran al-Amin oleh kaumnya sendiri.

Allah berfirman :
فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ جَاؤُوا بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَالْكِتَابِ الْمُنِيرِ
Oleh itu jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Para Rasul terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab (syariat) yang terang jelas. (Aali-lmran ayat184)

Para Rasul juga dituduh membawa kerosakan dan masalah dalam masyarakat. Mutaakhir ini mereka yang bercita-cita menegakkan agama Allah dituduh dan dibunuh personalitinya dengan tuduhan sebagai faktor kegagalan undi masyarakat non-Muslim dan kekalahan di dalam pilihanraya. Firman Allah:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى وَلْيَدْعُ رَبَّهُ إِنِّي أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَن يُظْهِرَ فِي الأَرْضِ الْفَسَادَ
Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya); Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya Aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi. (Ghaafir ayat 26)

Sayyid Qutub membuat ulasan yang sangat menarik berkenaan ayat ini. Katanya;
أليست هي بعينها كلمة كل طاغية مفسد عن كل داعية مصلح؟ أليست هي بعينها كلمة الباطل الكالح في وجه الحق الجميل؟ أليست هي بعينها كلمة الخداع الخبيث لإثارة الخواطر في وجه الإيمان الهادئ؟ إنه منطق واحد. يتكرر كلما التقى الحق والباطل، والإيمان والكفر، والصلاح والطغيان على توالي الزمان واختلاف المكان
Bukankah ini juga adalah ungkapan para toghut sepanjang zaman terhadap para pendukung risalah dakwah? Bukankah ini adalah ungkapan pendukung ajaran ketika berhadapan kebenaran? Bukankah ini ucapan para pendusta yang hina terhadap pemilik-pemilik iman yang suci? Sesungguhnya ia adalah ungkapan yang sama dan akan terus berulang setiap kali bertembungnya kebenaran dan kebatilan, keimanan dan kekufuran, kebaikan dan toghut sepanjang peredaran zaman sekalipun di tempat yang berbeza.

Apabila Para Rasul tetap istiqamah merangka strategi dakwah dan meneruskan gerak kerja bersama pengikut-pengikut setianya, penerimaan masyarakat semakin positif. Perkara ini sudah pasti merunsingkan para penentang lantas mereka mula mengugut dan mengancam untuk melakukan kekerasan. Inilah sunnatullah golongan toghut ini, setelah hujah dan tuduhan negatif gagal, mereka akan mula memilih cara kekasaran. Allah merakamkan ancaman ini di dalam firman-Nya :
قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ
(Golongan toghut berkata) sesungguhnya kami merasa sial dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas kerasulan), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Yaasin ayat 18)

Ugutan untuk menyeksa. Ugutan bunuh. Dengan penuh kebencian, mereka menyangka ancaman-ancaman ini mampu melemahkan iman para rasul dan pengikutnya, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Para pendokong risalah dakwah ini semakin bertambah kekuatan pergantungan mereka kepada Allah, bahkan kerinduan kepada mati syahid menjadikan mereka seolah-olah semakin hampir dengan pintu syurga yang penuh wangian dan nikmat yang tidak pernah terfikir oleh akal manusia.

Nabi Ibrahim alaihissalam dihalau keluar dari rumah oleh ayahnya apabila baginda menegur perbuatan menyembah berhala. Demikianlah Para Rasul dan pengikutnya bukan sekadar ditukar tempat kerja ke cawangan lain, tetapi dihalau keluar dari negeri sehingga terpaksa berhijrah. Namun risalah dakwah tetap diteruskan. Inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh para pendakwah masa kini.

Kemuncak penentangan adalah seksaan yang sangat kejam dan niat menzaliminya, adakalanya sehingga membawa kematian orang-orang yang dianiaya. Golongan toghut menyangka apabila matinya seorang Rasul atau tokoh-tokoh dakwah, maka cahaya Islam akan terpadam. Mereka tidak memahami bahawa Islam dipelihara oleh Allah, bukannya manusia.

Rasul-rasul terdahulu juga menghadapi penyeksaan dan pembunuhan terutamanya yang diutuskan kepada Bani Israel yang terkenal rekod hitamnya membunuh Para Rasul dengan cara mengadu-domba. Walau bagaimanapun kematian kerana mempertahankan tauhid hakikatnya menjadi cita-cita Para Rasul kerana ia adalah tiket untuk mendapatkan layanan first class di dalam syurga kelak. Bahkan di alam kubur pun mereka telah mendapat keistimewaan yang begitu hebat. 

Firman Allah :
قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ
(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya; silakan masuk ke dalam Syurga. ia berkata; alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui (nikmat-nikmat yang sedangku perolehi). (Yaasin ayat 26)

Demikianlah pertembungan yang akan terus berlaku sepanjang zaman. Rasul-rasul dan para pengikut yang beriman terus istiqamah, demikian juga para pendakwah sepanjang zaman yang berterusan merancang gerak kerja dakwah di samping melahirkan para pelapis yang meneruskan perjuangannya. Mereka sentiasa bergantung kepada Allah dan berpegang dengan prinsip mendapat kemenangan di dunia ataupun gugur syahid dalam kembara dakwah mereka. Mereka yakin bahawa setiap keringat yang dititiskan dan kerahan tenaga yang disumbangkan bakal menjadi saham yang sangat tinggi nilainya di akhirat kelak.

Para penentang risalah dakwah pula akan terus menjalankan kerja-kerja keji mereka dengan pelbagai cara bersesuaian dengan zaman dan tempat masing-masing. Al-Quran menjanjikan bahawa mereka akan menyesal di akhirat kelak dan saling mempersalahkan antara para pemimpin dan pengikut yang menjadi pelaksana kepada usaha-usaha menghalang para pendukung risalah dakwah ini. Lantas Allah menerangkan kepada kesesatan orang yang mengikut dan diikut (ketua) pada hari kiamat hingga terdedah hakikat yang sebenarnya pada sudut manusia melihat depan mata mereka azab Allah.

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُواْ مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُواْ وَرَأَوُاْ الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الأَسْبَابُ. وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُواْ لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّؤُواْ مِنَّا كَذَلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ وَمَا هُم بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ
“Iaitu ketika pemimpin-pemimpin (sesat) yang diikuti itu berlepas diri dari mereka yang mengikutinya dan (ketika mereka) melihat azab dan terputus segala hubungan di antara mereka. Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu; andainya kami mendapat peluang kembali ke dunia, tentulah kami akan berlepas diri dari mereka sebagaimana sekarang mereka berlepas diri dari kami. Demikianlah Allah memperlihatkan amalan-amalan mereka menjadi penyesalan-penyesalan kepada mereka dan mereka tidak sekali-kali akan keluar dari neraka.” (al-Baqarah ayat 166-167)

Di sini timbullah kemarahan para pengikut yang tertipu kepada pemimpin-pemimpin yang sesat itu, dan mereka berangan-angan hendak membalas perbuatan pemimpin itu andainya mereka dapat pulang semula ke dunia untuk menyatakan bahawa mereka berlepas tangan dari pemimpin-pemimpin yang lemah yang telah menipu mereka di hadapan pemandangan azab. Inilah realiti di akhirat yang akan berlaku jika kita mengikut seseorang tanpa menilai tindakan yang dilakukan. Tidak merenung sejauh manakah keselarasan tindakan orang yang menjadi ikutan kita dengan kebenaran yang diputuskan oleh wahyu menerusi al-Quran dan Petunjuk Nabi (al-Sunnah).

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-