© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » , » Islam dan Arab Mangsa Zio-Supremacism

Islam dan Arab Mangsa Zio-Supremacism

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 17 July 2013


Pre-school atau pendidikan awal yang menanamkan literatur tentang soal cinta kepada negara dan tanahair merupakan silibus yang dominan diterapkan sejak usia kanak-kanak lagi. Literatur tersebut disampaikan dalam pelbagai cara, tekstual mahupun non-tekstual di sekolah-sekolah. Ini kerana kanak-kanak yang ada pada hari ini adalah pemuda-pemudi harapan pada masa akan datang, merekalah yang bakal menentukan halatuju sesebuah negara melalui pendidikan yang mereka terima sejak kecil.

Antara tokoh-tokoh Islam yang pernah mengagaskan evolusi sistem pendidikan di peringkat awal ialah Syeikh Jamaluddin al-Afghani. Sekalipun apa yang dilakukan oleh beliau hanyalah meneruskan perjuangan reformis pendidikan iaitu Raf’at at-Thatawi dan Ali Mubarak, namun usahanya mempengaruhi pelapis-pelapis perjuangan selepasnya. Perjuangan Jamaluddin al-Afghani tersebut diterjemahkan dengan usaha penyair Arab, Muhammad Uthman Jalal yang menulis beberapa sastera ringan buat tatapan kanak-kanak Arab.

Sekalipun Syeikh Jamaluddin al-Afghani pernah sedikit meniupkan semangat nasionalisme Arab di dalam risalah “Urwatul Wuthqa” bersama Syeikh Muhammad ‘Abduh, namun sentimen kebangsaan, budaya xenophobia (benci kepada bangsa lain) mahupun perkauman melampau tidaklah menjadi modus operandi perjuangan tokoh-tokoh Islam itu sendiri dalam mengembangkan kemajuan pendidikan. Ini kerana perjuangan baginda Rasulullah s.a.w sendiri merentasi masalah bangsa dan kaum.

Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya, “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘Ajam (yang bukan Arab), atau ‘Ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” - riwayat Ahmad dan al-Baihaqi

Realiti ini berbeza bagi pendidikan awal yang diterima oleh kanak-kanak Yahudi di Israel. Perang yang dicanangkan Zionisme terhadap Islam adalah permusuhan masa hadapan. Sedari kecil, kaum keluarga Israel yang pro-Zionisme memberikan pendidikan literatur kepada kanak-kanak mereka seutuhnya agar membenci bangsa lain terutamanya bangsa Arab.

Ketika Mesyuarat Tahunan Zionis-Israeli pada tahun 1897 di Sweden, mereka telah mengusulkan rancangan untuk menanamkan kebencian kanak-kanak Yahudi terhadap bangsa Arab. Rancangan ini mengandungi;
  1. Tercapainya keyakinan mutlak pada kanak-kanak mereka bahawa bangsa Yahudi adalah bangsa pilihan dan mempunyai hak yang penuh atas tanah Israel.
  2. Mewujudkan generasi yang benci terhadap bangsa Arab dan Islam dengan cara brutal, sadis dan terroris serta memperluas wilayah Israel dengan cara merampas.
  3. Memberikan pemahaman pada kanak-kanak, orang Yahudi akan menjadi musuh bersama non-Yahudi,dan tidak akan ada yang menolong Bangsa Yahudi kecuali orang Yahudi itu sendiri.
  4. Mewujudkan generasi yang saling menolong dan melindungi hanya untuk sesama Yahudi dan untuk non-Yahudi berlaku sebaliknya.
  5. Terbentuknya generasi yang bangga sebagai bangsa Yahudi, kaum termulia dari umat lainnya (sya’bu mukhtar), bangsa yang mendapat kehormatan mendapat “tanah yang dijanjikan” (al-ardhu al-mau’udah), dan sebagai bangsa pilihan yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan.
Melalui rancangan tersebut, buku-buku teks dan cerita fiksyen dijadikan panduan dalam pendidikan minda kanak-kanak Yahudi di Israel. Rata-ratanya bertujuan untuk menerapkan benih permusuhan terhadap Arab Palestin dan dunia Islam umumnya, buku-buku inilah yang telah membentuk pemikiran dan cara bertindak mereka yang terangkum dalam istilah, “born to kill” yakni terhadap orang Islam dan Arab dan juga visi yang semahunya ingin dicapai “land without people for a people without land”.

Menurut satu kajian akademik, kanak-kanak Israel dididik untuk menggambarkan Arab Palestin sebagai pembunuh, perusuh, dan secara amnya mundur dan tidak produktif. Salah seorang pengkaji bangsa Arab yang mengenal-pasti hal ini ialah Prof. Hussain Muhammad Hasanin dalam karyanya yang berjudul “Ta’tsirul Ikhtilal ‘ala Adab al-Athfal”, Beliau menyebutkan bahawa Zionis di samping menjajah Palestin melalui proses penjarahan wilayah, mereka turut menanamkan pemikiran melalui sistem pendidikan dengan cara menanamkan doktrin agar anak-anak mereka benci terhadap bangsa Arab.

Prof. Danial Bar-Tal, pensyarah psikologi dari Fakulti Pendidikan Universiti Tel Aviv juga mengakui hal yang sama. Beliau telah memeriksa semua kandungan buku pelajaran, dari peringkat pendidikan awal sehingga ke peringkat pendidikan tinggi, sama ada mata pelajaran bahasa, sejarah, geografi mahupun pendidikan kebangsaan. Ia melihat buku-buku tersebut cuba menggambarkan bangsa Arab sebagai bangsa yang tidak bertamadun. Pandangan tersebut lebih ketara apabila dikaitkan dengan masalah intifadah yang dipelopori Syeikh Ahmed Yassin.

Adir Cohen seorang penyelidik berbangsa Israel dalam satu kajiannya berjudul “An Ugly Face in the Mirror” menumpukan apakah sikap kanak-kanak Israel di Haifa terhadap bangsa Arab di Palestin. Murid-murid ditanya lima soalan mengenai persepsi mereka terhadap bangsa Arab, dan keputusan memperlihatkan, 75% kanak-kanak Israel menyifatkan “Arab” sebagai pembunuh, penculik, primitif dan terroris. 80% daripadanya pula berkata Arab adalah pengotor dan wajah mereka menakutkan. 90% pula menyatakan bahawa mereka yakin bahawa rakyat Palestin tidak mempunyai hak-pun terhadap tanah al-Quds.

Cohen juga mengkaji 1 700 buku-buku kanak-kanak Israel yang diterbitkan selepas tahun 1967, dan beliau mendapati bahawa hampir 520 daripada buku-buku berkenaan mengandungi penghinaan, termasuklah info-info negatif terhadap rakyat Palestin. Cohen berpandangan bahawa penulis buku kanak-kanak ini dengan berkesan menanamkan Arabophobia (kebencian terhadap bangsa Arab) sehingga menyebabkan peribadi kanak-kanak Israel hilang sifat kemanusiaan dan mengklasifikasikan bangsa lain sebagai makhluk perosak dan buas.

Manakala Nurit Peled-Elhanan, seorang profesor linguistik dan pendidikan di Universiti Hebrew, Jerusalem yang juga seorang aktivis politik menentang kependudukan Israel di bumi Palestin, beliau telah mengkaji kandungan buku sekolah Israel untuk tempoh lima hingga enam tahun. Dia turut bersetuju bahawa sistem pendidikan kanak-kanak Israel mengandungi unsur fanatik perkauman melampau bukan sekadar secara verbal bahkan melalui teks-teks pendidikan, lebih dari itu ialah misi mereka merekrut kanak-kanak Israel pada hari untuk menjadi tentera Israel.

Peled-Elhanan turut mengkaji bahan pendidikan yang digunakan oleh kanak-kanak Arab di Palestin, dan beliau mendapati keadaan tersebut sangat jauh berbeza dengan semangat perkauman yang menebal di kalangan bangsanya sendiri. Oleh kerana itu, beliau berjuang bersama aktivis pro-Palestin sekalipun dirinya sendiri berasal dari susur galur kaum Yahudi. Tidak syak lagi menurut beliau, pembunuhan rakyat Palestin pada kaca mata Zionisme adalah sesuatu yang perlu demi survival negara Israel.

Berikut adalah beberapa contoh tentang apa yang ditulis oleh bangsa Israel untuk anak-anak mereka;

“Hasamba”

Cerita “Hasamba” ditulis oleh penulis Israel, Yigal Mossinson yang memulakan penerbitannya pada tahun 1948. Mossinson mendedikasikan penulisannya itu kepada salah seorang anaknya yang sulung bernama Ido, yang memintanya agar menuliskan sebuah cerita “Tarzan” versi baharu untuknya. Ido mati ketika perang Youm Kippur iaitu perang Enam Hari Mesir-Israel 1973. Seluruh kisah Hasamba terangkum sebanyak 44 buah siri sehinggalah Mossinson mati pada tahun 1994.

Hasamba atau disebut Chasamba merupakan akronim kepada “Havurat Sod Muchlat Behechlet” dalam bahasa Hebrew yang diterjemahkan sebagai, “kumpulan rahsia mutlak”. Ia merupakan kisah kumpulan remaja-remaja Yahudi yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, berafiliasi di dalam sebuah pergerakan rahsia mengharungi pelbagai jenis pengembaraan menentang rejim anti-semitic. Gerakan Hasamba beroperasi di “Electric Cave”, ia adalah nama samaran kepada Tel Aviv.

Buku tersebut memberikan inspirasi yang cukup mendalam kepada kanak-kanak Israel yang membacanya di mana ia mengisahkan perjuangan kumpulan kanak-kanak yang digelar Hasamba ini berusaha mematahkan perancangan internal mahupun eksternal pihak-pihak yang cuba menggagalkan penubuhan “Daulah Israeliyah”. Di dalam pengembaraan tersebut, kanak-kanak dalam kumpulan Hasamba turut dibantu oleh robot berteknologi tinggi yang dinamakan “Zagloba”.

Musuh-musuh kumpulan Hasamba semuanya digelar anti-Semitic. Ketika siri ketiga buku itu ditulis, judul yang diberikan untuk siri tersebut adalah “Hasamba ve-Shodedey ha-Susim” (Hasamba dan Pencuri Kuda). Diceritakan di dalamnya, bahawa ketika Mustafa (seorang karekter berbangsa Arab) menyelinap masuk ke dalam sebuah kandang untuk mencuri kuda, seseorang yang bernama Manshah (salah seorang hero Hasamba) berjaya memberkasnya.

Ketika diberkas berkatalah si Mustafa, “Aku tidak menemukan kuda, aku tidak tahu apa-apa, kuda ini datang sendiri menyerahkan dirinya. Aku hanya mencari tali kekangku. Nenekku sakit, tetapi jika kamu meletakkan dua puluh tali kekang di atas badannya maka dia akan bangkit daripada tempat tidurnya (sembuh).”

Jelas, dari cerita ini anak-anak Israel yang membacanya akan merasakan bahawa kaum Arab, hanyalah kaum yang bodoh dan buta peradaban. Doktrin ini menggagahkan mereka bahawa penjarahan Israel ke atas bangsa Arab Palestin bukan hal yang zalim, malah menguntungkan Palestin, kerana akan menjadikan mereka lebih “maju”. Buku tulisan Mossinson tersebut turut bersaing hebat dengan siri-siri popular yang lain ketika itu seperti Oliver Twist, Robinson Crusoe, The Adventures of Tom Sawyer dan 80 000 Leagues Under the Sea.

Ketika anaknya Ido memberikan galakan kepada Mossinson agar menulis cerita Tarzan versi Israel, Mossinson mendapat idea bahawa hero yang bernama “Tarzan” itu dikelilingi oleh teman-teman yang dungu (haiwan) seperti monyet, gajah dan sebagainya.

“The Adventures of Oz Yaoz”

“The Adventures of Oz Yaoz” merupakan salah satu buku fiksyen karya Ido Seter yang paling popular di kalangan kanak-kanak di Israel. “Oz” di dalam Hebrew bermaksud “kekuatan”, “Yaoz” - “akan mempunyai kekuatan”. Oz Yaoz merupakan watak kanak-kanak Israel yang mempunyai kuasa “magic” menyerang musuhnya, iaitu kaum Arab, dan ia selalu menang dalam pertempuran. Berikut adalah antara petikan yang menggambarkan kebencian kaum Yahudi kepada bangsa Arab;

“Siapakah anda?” Jerit pengawal Mesir. Dia datang ke arah saya melalui suasana suram penuh kegelapan. Seorang warga Mesir, rata-ratanya bermisai hitam tebal dan mempunyai mata yang kejam, melihat budak lelaki bagai kucing melihat tikus yang menyerigai dengan kukunya yang tajam. Ketika pegawal Mesir itu bertanya, “Apakah nama anda?” Terlihat gigi serigala di bawah misai hitamnya.

Penghinaan terhadap bangsa Arab ini sangat ketara apabila Ido Seter menggelar musuh-musuh mereka yang berbangsa Arab di dalam siri Oz Yaoz dengan “Ramadan-Eagle-Nose”. Manakala watak ketua penjahat yang berbangsa Arab itu dinamakan sebagai “Lieutenant-Colonel Mastul Bandura” (“Mastul” bermaksud gila, “Bandura” bermaksud tomato).

Wajah sebenar Ido Seter terungkap apabila Akhbar Hertz (milik Israel) mendedahkan nama sebenarnya ialah Hezy Lopben. Lopben bukan sekadar penulis yang “biasa-biasa”, beliau adalah mantan ketua pengarang majalah tentera yang juga veteran perang 1948, merangkap jawatan sebagai Pegawai Jeneral dan berpengetahuan dalam ilmu falsafah pendidikan. Rupa-rupanya cerita-cerita yang membusukkan imej bangsa Arab itu menjadi misi besar kepada penulisnya.

“Danidin”

Siri “Danidin” pula bermaksud “budak halimunan”. Siri ini ditulis oleh Shraga Gafni yang menggunakan nama samaran “On Sarig”. Danidin adalah salah satu judul buku yang popular di kalangan kanak-kanak Israel yang mengisahkan fiksyen pengembaraan kanak-kanak yang manjadi halimunan setelah meneguk cecair liquid khas berwarna ungu. Cecair tersebut asalnya dibuat oleh watak professor genius bernama Katros untuk kegunaan tentera-tentera Israel dalam perang Youm Kippur.

Kesemua siri tersebut mengandungi 29 buah siri, dan ia ditulis secara illustrasi sejak tahun 1961. Setiap siri kanak-kanak yang bergelar Danidin ini akan bertarung dengan musuh-musuh streotype berbangsa Arab. Idea-idea karya seperti ini ditanam di dalam minda kanak-kanak Israel bahawa membunuh bangsa Arab bukanlah suatu kesalahan, malah merupakan satu kebaikan.

Hal ini tidak menghairankan, ketika terjadi peristiwa pembantaian Kafr Qosim, Palestin pada tahun 1956 salah seorang wartawan mewawancarai salah seorang tentera Yahudi. Tanya wartawan tersebut, “Apakah anda menyesal dengan tindakan yang telah anda lakukan?”

Tentera tersebut menjawab, “Tidak kerana kematian orang Arab di Israel adalah kehidupan orang Israel, dan kematian orang Arab di luar Israel adalah kehidupan seluruh keturunan Bani Israel.”

Kemudian dia bertanya lagi, “Bagaimana perasaan anda ketika melakukan hal itu?”

Jawab tentera tersebut, “Aku sedang kehausan darah orang Arab, dan aku mahu meneguk darah mereka sehingga mabuk.” - Dr. Nawwaf Ha’el, ‘Amaliyah Istishadiyah fi Mizanil Fiqhi, m.s. 24

Superman

Selain dari watak-watak novel mahupun illustrasi yang menjadi medan pendidikan dan inspirasi bagi kanak-kanak Yahudi, mereka juga mempunyai watak yang lebih besar impaknya yang berjaya mengembangkan pengaruhnya di seluruh dunia. Watak Superman ciptaan Jerry Siegel dan Joseph Shuster pada tahun 1938, selain dari menghibur kanak-kanak, ia sebenarnya turut digunakan untuk mengembalikan imej angkuh bangsa Yahudi di Amerika.

Kononnya Superman merupakan idea yang berkait tentang kehidupan Nabi Musa yang dihanyutkan ke Sungai Nil demi menyelamatkannya daripada Firaun. Seperti juga Superman, seorang imigran dari planet lain dihijrahkan ke bumi untuk meneruskan legasi riwayat keturunannya. Malah istilah ‘Kal-El’ dalam siri Superman bermakna ‘seperti Tuhan’ dalam bahasa Hebrew.

Disebabkan tidak tahu maka banyaklah yang memuja Yahudi termasuk kalangan orang Islam. Memang Yahudi mempunyai kelebihan apabila mereka menguasai budaya popular dan media, seterusnya menguasai dunia. Ketika watak Superman wujud, Amerika sedang berada di zaman kemelesetan yang teruk. Ramai rakyatnya hilang pekerjaan. Lantaran itu watak Superman dicipta untuk memperlihatkan keegoan kaum Yahudi yang juga kaum pendatang seperti Superman untuk menjadi hero (penyelamat) kepada Amerika.

Watak ini turut menjadi ikon kanak-kanak di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Sememangnya watak Superman ini bijak dibingkai menjadikan ia menarik ramai peminat di mana-mana negara. Pengaruh Superman cukup besar meskipun ramai orang memandang remeh pengaruh budaya popular terhadap pembentukan minda, malah ada yang mengatakan teori-teori konspirasi ini semuanya khayalan dan sangkaan.

Sebenarnya pengaruh Superman ini diakui oleh bangsa Yahudi sendiri, sehingga mereka menyenaraikan dua orang pencipta watak Superman, Siegel dan Shuster sebagai 100 orang tokoh penting Yahudi di dalam buku yang berjudul “The Jewish Contribution to the 20th Century”. Apakah maknanya semua itu kalau bukan Superman sebagai satu agenda dan menyumbang kepada bangsa Yahudi?

Setelah artikel ini dibaca, apakah tindakan yang wajar diambil oleh kita? Berikut adalah cadangannya :
  1. Mengukuhkan Akidah Islam yang sahih di dalam diri kanak-kanak.
  2. Mendidik anak-anak berasaskan komposisi budaya dan corak tingkah laku yang sesuai dengan realiti sosial kanak-kanak dan menerangkan keburukan-keburukan melalui penyediaan maklumat yang sesuai dalam bahasa yang mudah dan ringkas.
  3. Menghubungkan kanak-kanak terhadap apakah kesengsaraan yang dialami oleh dunia Arab, di Palestin terutamanya dan dibentangkan kepada mereka dalam bentuk audio visual.
  4. Membangunkan bakat kanak-kanak, kreativiti dan inovasi mereka melalui pendidikan seni yang menarik serta jauh dari semangat perkauman melampau.
  5. Mewujudkan disiplin membaca di kalangan kanak-kanak dan memperkayakan budaya agama dan sosial dan sejarah di dalamnya.
  6. Mewujudkan identiti Islam dan kehebatan sejarahnya dalam hati kanak-kanak.
  7. Membiasakan kanak-kanak berfikiran secara rasional dan bebas pada budaya-budaya dangkal.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia