© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Dakwah Fardiyyah : Marhalah Yang Perlu Dilalui Para Pendakwah

Dakwah Fardiyyah : Marhalah Yang Perlu Dilalui Para Pendakwah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 11 July 2013


Sebuah buku lama yang ditulis oleh Syeikh Abdul Halim Al Kinani, seorang pendakwah yang terkenal dengan keiltizamannya membawa Islam kepada ummah. Syeikh Muhammad Abdullah al Khatib memuji karya Asy Syeikh Abdul Halim sebagai bingkisan yang kecil pada saiznya, tetapi sangat besar pada nilai dan pengertiannya. Terutama apabila beliau menjelaskan marhalah dakwah.

Suka saya berkongsi bahan dan hasil baca ini demi sama-sama kita merealisasikan satu usaha murni dalam perjuangan kita untuk membawa Islam sampai kepada setiap insan di mana sampainya cahaya matahari.

Beberapa Peringkat Dakwah Fardiyyah :
  • Mewujudkan Kasih sayang, kepercayaan dan saling mengenali.
Ia merupakan peringkat (marhalah) pertama dan paling asas dalam dakwah. Ia perlu dilaksanakan dengan baik justeru ia akan memainkan peranan yang besar untuk menjayakan malah menyempurnakan peringkat seterusnya. Terutama dalam usaha untuk meyakinkan dan mempengaruhi sasaran dakwah kita (madu'u).

Pada peringkat ini mempunyai beberapa nokhtah yang perlu diberi perhatian oleh kita khasnya pendakwah :
  1. Percaya kepada pendakwah daripada sudut keikhlasan amalan, dakwah, komitmen agama dan kebaikan yang diserunya.
  2. Percaya kepada wibawa, pemahaman, pengalaman, kesesuaian pendakwah untuk diambil dan diterima segala nasihat dan pandangannya.
Kepercayaan ini tidak akan datang tanpa usaha atau secara spontan. Ia memerlukan pendakwah yang layak dipercayai. Sementara orang yang layak dipercayai ialah orang yang mempunyai akhlak dan adab-adab Islam serta komitmen yang tinggi terhadap hukum hakam Islam.

Mengenali sasaran dakwah (madu'u) secara mendalam dan jelas sehingga dia dapat mengenali personaliti dan kunci kepada peribadinya. Ini meletakkan pendakwah boleh menggunakan cara interaksi yang tepat dan berkesan dalam usaha mempengaruhi dan meyakinkannya. Antara noktah penting untuk mencapai objektif peringkat ini disebut oleh Syeikh Abdul Halim Al Kinani ialah :
  1. Pendakwah mesti mengikhlaskan niatnya dan berdoa untuk sasaran dakwahnya semasa ketiadaannya agar Allah Taala membuka pintu kepada hidayah, melapangkan dadanya kepada dakwah dan menyelamatkannya dari neraka.
  2. Memelihara adab-adab pergaulan dan berbicara dengannya.
  3. Bersungguh-sungguh untuk melihat dan bertemunya secara berterusan serta bertanya khabarnya apabila dia tiada.
  4. Berwajah ceria ketika bertemu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, "Kamu tidak mampu mengembirakan manusia dengan harta kamu tetapi kamu dapat lakukannya dengan muka berseri dan akhlak yang baik." 
  5. Mulakan dengan salam dan berjabat tangan. Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya, "Adakah kamu suka aku tunjukkan kepada kamu satu amalan, jika kamu lakukan akan mengeratkan lagi kasih sayang antara kamu? Sampaikanlah salam antara kamu."
Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut lagi bahawa pengukur kepada kejayaan pada peringkat ini ialah melihat kepada bagaimana jawapan kepada soalan-soalan berikut :
  1. Adakah sasaran dakwah menganggap pendakwah sebagai rakan yang lebih istemewa dari rakan-rakannya yang lain?
  2. Adakah sasaran dakwah pernah bercakap dengan pendakwah menggunakan bahasa yang mesra dan biasa ataupun masih bersifat hipokrit atau waspada?
  3. Adakah sasaran dakwah merasa atau memperlihatkan rasa jauh diri atau tidak selesa terhadap beberapa sifat, cara interaksi dan percakapan pendakwah?
  4. Adakah sasaran dakwah merasa minat untuk menziarahi pendakwah? Adakah dia pernah menjemput pendakwah untuk menziarahinya?
  5. Adakah pendakwah dapat merasakan sasaran dakwah memberi respons yang baik terhadapnya pada setiap kali pertemuan, salam, pergaulan, percakapan dan lain-lain?
  6. Adakah sasaran dakwah mula berbicara tentang perasaan, keperihatinan, keadaan dan segala apa yang bermain dimindanya?
  7. Adakah dia menemui pendakwah untuk menyelesaikan segala masalah dan situasi yang menimpanya?
  8. Adakah dia merasakan bahawa pendakwah layak dan sesuai untuk ditanya dan diminta pandangan?
  9. Adakah dia diam untuk mendengar percakapan pendakwah dan menyertainya atau dia akan membantah, membidas atau langsung tidak ambil peduli.
  10. Adakah wujud kesan yang jelas dari amalan bertukar-tukar hadiah antara pendakwah dan sasarannya?
Dengan menjawab semua soalan-soalan ini pendakwah mampu mengukur sejauh mana kejayaannnya pada peringkat yang pertama ini dan sejauh mana ia mencapai matlamat yang diharapkan.

Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut bahawa faktor utama kepada segala masalah yang melanda umat Islam bukannya kerana aspek kekurangan kuantiti (bilangan) penganut, harta benda, kekuatan material atau lain-lain aspek dan kemudahan.

Sebaliknya segala masalah (konflik dan krisis) yang berlaku adalah disebabkan kelemahan yang menimpa jiwa dan penyakit al wahnu (cinta dunia dan takutkan mati) yang menguasai hati, di samping kelalaian (dengan kemewahan dunia) yang akhirnya melumpuhkan semangat serta mematikan kesungguhan dan keazaman mereka.

Umat pada hari ini seperti yang pernah disebut oleh Rasulullah S.A.W dengan mafhumnya, "...Bahkan pada masa itu bilangan kamu sebenarnya amat ramai tetapi kamu hanyalah seperti bebusa buih."

Kelemahan umat hari ini sebahagiannya tidak mampu menghadapi godaan dan syahwat dunia. Hati juga tidak mampu menjadikan jiwa terlepas dari dosa dan kehinaan. Inilah penyakit yang paling dahsyat menimpa ummah dewasa ini.

Umat Islam tidak akan mampu menyelesaikan dan memadamkan gejala, kehinaan dan kebejatan yang dihadapi ini kecuali dengan melakukan perubahan total dalam peribadi seseorang Muslim. Perubahan yang dilakukan hendaklah perubahan dasar dan mendalam, bukan hanya perubahan luaran dan kulit semata-mata. Titik mula kepada perubahan ini ialah membangkitkan iman dan aqidah di dalam hati. Apabila makrifatullah mula menyelinap di dalam hati seseorang manusia, pasti sahaja ia akan berubah menjadi insan yang bertaqwa dan soleh.

Syeikh Abdul Halim al Kinani turut menggariskan langkah-langkah teknikal untuk mencapai matlamat dakwah diperingkat ini :
  • Pendakwah hendaklah menjadi ikutan yang baik, benar-benar komited dan terkesan dengan pengertian iman sebelum memindahkannya kepada sasaran dakwah.
  • Perbincangan secara langsung dan dua hala berlaku antara pendakwah dan sasaran dakwah (madu'u). Ia bertujuan untuk memindahkan pengertian-pengertian dan cetusan-cetusan iman ketika ziarah, pertemuan dan perbualan.
Syeikh Abdul Halim al Kinani turut menyarankan agar pendakwah memimpin sasaran dakwah (madu'u) secara praktikal :
  • Mendorong dan menggalakkan supaya bertaubat dan menjelaskan kepentingan untuk segera bertaubat.
  • Meninggalkan segala dosa, maksiat dan mungkar serta tidak lagi mengekalinya. Serentak itu merangsangnya untuk melakukan taat dan ibadat kepada Allah.
  • Mendorong agar mengikat diri dengan al Quran dan sunnah. Mendengar, membaca, memahami, melaksana dan menghayatinya.
  • Memberikan peringatan (inzaar) dan galakan kepada madu'u (sasaran dakwah).
  • Memberi galakan dan ancaman agar tertanam rasa ingin mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala hukum-hakam Allah dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah akibat kecuaian dan kedegilan melaksanakan syariat Allah Taala.
  • Islam adalah cara hidup yang mesti diterima oleh semua. Tiada siapa yang berhak menghalang Islam ini dikembangkan sebagaimana tiada siapa yang berhak menghalang dirinya sendiri dari menerima Islam, cara hidup yang diwahyukan Allah Taala.
  • Memberi amaran dan ingatan supaya mengharapkan rahmat dan keampunan Allah sebelum mati sedang mati itu datang secara tiba-tiba dan azab Allah itu sangatlah pedih.
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." - Taha:124

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-