© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Hayati dan Laksana 5 Prinsip Amal Jama'ei

Hayati dan Laksana 5 Prinsip Amal Jama'ei

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 10 June 2013


Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang, jika kita sewajarnya memastikan intima' atau penglibatan kita dengan PAS ini benar-benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei. 5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah;
  • Iltizam
Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :
  1. Aqidah yang sohih.
  2. Fikrah yang syumul.
  3. Syakhsiyyah yang soleh.
  4. Dakwah yang benar.
  5. Organisasi yang mantap.
Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah. Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya.

Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri.

Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya.
  • Wala'
Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya, lalu menggapai objektif dan matlamat.

Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati-hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya.

Jangan sekali-kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan. Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah, maka boleh menyertai mana-mana jamaah yang mahukan Islam.

Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak.

Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen.
  • Dengar dan Taat
Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan.

Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar. Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan, jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah.
  • Ukhuwwah fiLlah
Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada, berbaik sangka, tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain, kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri, mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri.

Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah.

Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan. Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis.
  • Tadhiyyah (pengorbanan)
Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan. Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak. Mengorbankan tenaga, harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi s.a.w.

Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi.

Terutama kita berjuang di era menang, kedengaran akhir-akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia. Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan. Ini satu musibah!

Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang. Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama.

Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas, ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya catatkan di sini.

Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa' fikri berkait 5 prinsip amal jama'ei ini dan dilengkapkan dengan nas qura'ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi.


Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-