© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » , » Gerakan Amal Tarbawi Wajib Diperkasa

Gerakan Amal Tarbawi Wajib Diperkasa

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 13 June 2013


Sebagai sebuah Gerakan Islam, Amal Tarbawi menjadi tunjang kekuatan dan keutuhannya mendepani cabaran dan menyerap tekanan. Malah Amal Tarbawi melengkapi segala zat dan galian yang diperlukan oleh Gerakan Islam bagi menguatkan otot serta memperkasakan stamina guna menggalas berat beban perjuangan mendaulatkan Syariat Allah swt.

Tanpa Amal Tarbawi atau perlaksanaan Amal Tarbawi yang lemah serta tidak konsisten bakal mengundang 1001 masalah dalaman yang mencetus konflik atau krisis. Besar kemungkinan bahawa segala konflik dan krisis dalaman itu berlarutan dan sukar pula diatasi ekoran dari lemah dan lembabnya perlaksanaan Amal Tarbawi.

Amal Tarbawi sangat berkait rapat dengan pengkaderan serta pembinaan aqidah, fikrah dan syakhsiyyah. Agar setiap anggota Gerakan Islam samaada pemimpin atau ahli biasa, wakil rakyat atau staff pejabat memiliki skema pentarbiyahan yang mantap dan lengkap.

Aqidah mereka aqidah yang tulen, fikrah mereka fikrah Islamiyyah dan syakhsiyah mereka pula adalah syakhsiyah yang soleh. Inilah rahsia kekuatan Gerakan Islam sehingga ia mampu bertahan dalam menangkis dan mengelak serangan musuh yang bertubi arus dari segenap sudut.

Apabila Amal Tarbawi mula tidak diendah atau perlaksanaannya bersifat acuh tidak acuh lantaran memberi keutamaan kepada skil politik seperti penampilan imej, kenyataan media, penampilan di tengah-tengah kemelut masyarakat, mengupas dan menjuarai isu, enggagement dengan pelbagai pihak dan sebagainya lagi yang saya tidak nafikan kepentingannya, maka ia membawa implikasi yang besar dan sukar buat masa depan perjuangan.

Kita kelak mungkin dilihat hebat dan gah pada zahirnya dek penampilan dan penonjolan imej politik yang luar biasa tetapi individu anggota dan jamaah itu sendiri terdedah kepada hakisan nilai fundemental dan spiritual Harakah Islamiyyah.

Contoh mudah yang boleh saya ketengahkan ialah merosotnya nilai ukhuwwah fillah lantaran sejak lama dulu, usrah diabaikan, tamrin ditinggalkan, qiyamulail dilupakan, ziarah diketepikan. Mungkin kerana kita nak beri tumpuan kepada ceramah umum, pertemuan-pertemuan politik dengan rakan saingan politik yang lain, hubungan dengan pihak media agar menyiarkan kenyataan politik kita, mesyuarat merangka strategi untuk saling mendahului antara satu sama lain terutama menjelang musim muktamar yang ada pemilihan kepimpinan.

Sedang usrah memberi peluang kita mempertaut hubungan atau ukhuwwah fillah dikalangan kita melalui bertanya khabar, makan setalam, bertentang mata, bahu membahu, sama-sama mengaminkan doa rabitah dan lain-lain elemen (di samping usrah menggarap fikrah melalui tasawwur Amal Islami yang jelas) yang mungkin kita lihat ianya kecil tetapi nilainya besar dalam mengukuhkan silah dan rabitah perjuangan antara anggota Gerakan Islam.

Tanpa usrah, tamrin dan lain-lain aktiviti Amal Tarbawi, dapat dilihat kesannya hari ini. Bermula dengan renggang hubungan antara anggota sesama anggota mahu pun anggota dengan pimpinan, ianya mengheret kita kepada suasana yang lebih sukar iaitu mudah berburuk sangka dan mudah tercetus pergeseran sesama sendiri hanya dengan sedikit khilaf atau isu kecil yang saya percaya ianya tidak akan mencetus pergeseran apalagi pertegkaran jika ukhuwwah di antara kita tebal dan kebal.

Sementara itu, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa ukhuwwah sangat penting bagi sebuah Gerakan Islam. Ianya menguatkan benteng atau kubu perjuangan dari asakan musuh yang mahu memecahbelahkan saf kita, semangat kerja berpasukan, melancarkan orientasi gerak kerja yang dirancang, mengelak krisis dan perpecahan dalaman dan sebagainya.

Lebih bermakna jika perjuangan yang kita dokong ini bertunjangkan ukhuwwah fillah yang mantap lantas ia menghasilkan kemanisan berjuang dan kelazatan berjamaah. Kemanisan dan kelazatan ini bagai formula yang paling kental bagi mengelak berlakunya futur dalam perjuangan apalagi insiden keluar jamaah meninggalkan perjuangan atau pecah wala' dan retak thiqah kepada pimpinan.

Itu baru kita bercakap soal ukhuwwah. Masih banyak lagi perkara lain yang juga penting seperti soal wala', thiqah, dengar dan taat, iltizam atau komitmen, istiqamah atau pro aktif, tadhiyyah atau pengorbanan dan banyak lagi, yang hanya mahu dihasilkan melalui Amal Tarbawi.

Kesimpulannya, adalah menjadi kewajipan kita di semua peringkat, cawangan, kawasan, negeri, pusat bahkan dewan-dewan untuk melihat semula isu Amal Tarbawi yang sedikit sebanyak mengalami gangguan perlaksanaannya masa kini.

Mudah untuk dikesan, saya sebutkan di sini betapa jika kita cadangkan program bermalam seperti 2 hari satu malam atau lebih, akan ada pandangan yang menolaknya dengan alasan kalau kita buat program melibatkan aktiviti bermalam, bimbang penyertaan kurang atau program itu bakal tidak mendapat sambutan. Lebih parah, pandangan seperti ini mewakili ramai di kalangan ajk mesyuarat tersebut.

Aktiviti Amal Tarbawi tidaklah sekadar usrah dan tamrin justeru Tarbiyyah bukan suatu yang rigid. Kita boleh menampilkan apa jua bentuk aktiviti asal sahaja membawa kita ke arah pencapaian yang menepati piawaian sebuah Gerakan Islam dengan elemen-elemen yang saya sebutkan tadi.

Kreativiti dalam menganjurkan aktiviti agar tidak dilihat stereo type atau jumud dan sebagainya sangat diperlukan. Yang penting kita perkasakan Amal Tarbawi. Harap gesaan ini mendapat sambutan semua pihak organ parti atau jamaah.

Segala kelemahan jangan dibiarkan berlarutan kelak ia membarah. Segala kekurangan jangan dipandang sebelah mata kelak ia membusung. Segala masaalah jangan dianggap remeh kelak ia meruncing.

Selamat memperkasakan Amal Tarbawi!



Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-