© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » PRU-13 : Menyelami Petunjuk Wahyu Dari Medan Uhud

PRU-13 : Menyelami Petunjuk Wahyu Dari Medan Uhud

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 8 May 2013

 
Kemenangan dan kekalahan hanyalah sebuah kepelbagaian variasi dan warna dalam kehidupan manusia. Ada waktu kita berada di puncak, ada waktu kita berada di pelusuk yang gelap. Orang yang meyakini bahawa cahaya akan muncul tiba, tidak akan berputus asa mencari sinar yang mencerahkan. Sebaliknya orang yang berputus asa dari rahmat Allah, hilang upaya kerana menyerah kalah sebelum berusaha justeru jatuh terpuruk dalam kelam yang dalam.

Dalam putaran itulah Allah memisahkan hamba-Nya yang beriman dan munafik, mengasingkan hamba-Nya yang tabah dan yang rebah. Betapapun kekalahan membawa padah, orang yang beriman kepada Allah tetap melihat kegagalan yang berlaku ibarat perahan yang memisahkan air manis dari serabut tebu. Anologi ini menjadi petunjuk penting di dalam Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah.

Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat tiba dari bukit Uhud membawa duka kecundang yang mendalam. Duka atas gugurnya perajurit Muslimin dan salah seorangnya adalah Hamzah bin Abdul Muttalib. Baginda Nabi turut terjatuh ke dalam lubang yang begitu dalam digali oleh Abu Amar Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut baginda terbelah luka, pipi baginda cedera berdarah dan giginya patah.

Keputusan tersebut mengundang pelbagai ulasan, ada yang melihat dari sudut ‘skor pertandingan’ tersebut, yakni korban di kalangan umat Islam jauh lebih ramai. Menurut Ibnu Hisyam jumlah yang terbunuh dari kaum Muslimin pada perang Uhud mencapai 70 orang, manakala jumlah yang gugur daripada kaum musyrikin seramai 22 orang. Jumlah itu jelas memaparkan kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud tanpa perlu bermadah falsafah lagi.

Ada juga yang mengulas faktor kekalahan itu berlaku akibat ‘kealpaan’ mentaati perintah Nabi. Di mana baginda S.A.W telah memposisikan 50 orang pasukan tentera panah pimpinan Abdullah bin Jubair agar tetap berada di lereng bukit Rumat walau apa pun terjadi. Namun, ketika kemenangan hampir tiba, mereka lalai. Justeru yang melalaikan mereka adalah material kemewahan hasil rampasan perang.

Meskipun tewas di medan Uhud, tetapi bagi kaum Muslimin yang benar-benar yakin kepada Allah, kekalahan itu ibarat ubat. Pahitnya memang mencebekkan wajah, tetapi rasanya mengandungi khasiat ampuh yang menawarkan bisa dan penyakit. Pelajaran dari medan Uhud tidak hanya bagi para sahabat Rasulullah S.A.W, tetapi juga bagi kaum Muslimin saat ini terutamanya yang berada di dalam gerakan Islam.

Jika kemenangan Badar menjadi cerita sanjungan setiap kali menjelangnya Ramadhan, tanpa kita sedari banyak ayat-ayat al-Quran yang turun setelah Perang Badar mengandungi kritikan Allah bermula dari isu tawanan perang sehinggalah kepada teguran orang yang tidak ikhlas berjuang. Sebaliknya firman-firman Allah (120 sehingga ayat 200 surah Ali Imran) yang diwahyukan setelah Perang Uhud, justeru bersifat hiburan dan sanjungan kepada kaum Muslimin.

Allah Taala menyeimbangkan perasaan "superiority complex syndrome" atau "overconfidence" pada diri kaum Muslimin setelah kemenangan di Badar. Dan Allah Taala mewahyukan sebuah pengajaran yang sangat berharga melalui proses kekalahan berhubung peristiwa perang di Uhud. Allah memulihkan motivasi kaum Muslimin dan mengalihkan perhatian mereka agar bersikap rasional.

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan (sunnah-sunnah) Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).” (Ali-Imran:137)

Dalam ayat ini Allah mengingatkan tentang sunnatullah dalam perjuangan, bahawa bagi kaum Muslimin sama ada kalah atau menang bukanlah tujuan. Umat-umat terdahulu yang beriman dalam kisah Ashabul Ukhdud antaranya, mereka yang beriman tidak mendapat kemenangan di dunia malah diseksa dengan api yang membakar di kawah parit, namun yang pasti mereka meraih kemenangan di akhirat. Begitu juga kemenangan Tolut ke atas Jalut, sekalipun sebelum itu menerima kritikan Allah Taala ke atas sikap angkuh Bani Israel.

Secara psikologi manusia yang dilanda kekalahan akan merasa galau, putus asa dan tidak mustahil menyalahkan sahabat-sahabat lain sehingga hilang pertimbangan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar. Maka kearifan Allah Taala ketika berkomentar tentang kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud adalah membangkitkan sikap rasional umat Islam yang menjelaskan bahawa kekalahan mahupun kemenangan adalah hal yang juga pernah menimpa umat-umat sebelumnya.

Berdasarkan ayat itu, umat disedarkan bahawa segala yang terjadi atas kehendak Allah, dan apa pun keadaan umat Islam mereka tetap lebih baik daripada musuhnya jika mereka tabah dan beriman. Lebih dari itu, umat Islam hendaknya selalu menanamkan di dalam diri mereka bahawa mereka pasti menang.


“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” (Ali-Imran:140)

Setelah mengembalikan sikap rasional kaum Muslimin, Allah turut memulihkan kepercayaan diri mereka dengan firman-Nya;

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Ali-Imran:139)

Pada ayat ini Allah mengembalikan kepercayaan diri kaum Muslimin daripada terus ditenggelami rasa obses dengan kekalahan yang menimpa mereka.

Secara psikologi, kemungkinan sikap yang melanda kepada orang-orang yang pernah kecundang dalam satu-satu perlawanan adalah pesimis (putus asa), tidak kompeten, inferiority complex syndrome (rasa rendah diri yang melampau). Namun bagi keadaan kaum Muslimin yang ditarbiyah oleh Rasulullah S.A.W, baik kalah mahupun menang, mereka tetap berada pada darjat yang paling tinggi. Kerana pada Allah, kemenangan itu bukan tujuan mustahak tetapi sarana meraih redha-Nya itulah yang paling utama.

Keimanan yang jitu kepada Allah akan menghasilkan sikap percaya pada diri. Rasa percaya diri inilah yang menyebabkan Rasulullah S.A.W dan kaum Muslimin tetap kukuh menentang musuh sekalipun Khalid al-Walid (saat beliau belum beriman) mengisytiharkan kemenangan kaum musyrikin. Tanpa rasa percaya kepada diri, tidak mungkin Rasulullah menyongsong kafir Quraish kembali di Hamra al-Asad. Rasa percaya kepada diri ini jugalah yang menyebabkan jiwa Khalid al-Walid terpegun lantas ingin mengenali Islam secara lebih dekat.

Menurut Imam Muhammad as-Syaukani dalam tafsirnya Fathul Qadir, salah satu pernyataan ayat yang berbunyi, “...Padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman,” menerangkan bahawa kaum Muslimin setelah Perang Uhud adalah lebih hebat daripada mereka (musuh-musuh kaum Muslimin pada Perang Uhud) dan orang-orang selain mereka. Buktinya, setelah Perang Uhud, kaum Muslimin selalu menang.

Semoga ulasan ringkas ini dikemukakan menjadi hiburan buat kita, dan mudah-mudahan keputusan Piliharaya Umum (PRU)-13 yang kita terima tahun ini adalah momentum kemenangan pada PRU kepada Pakatan Rakyat di tahun-tahun akan datang. insyaAllah.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-