© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Etika Mengurus dan Menangani Kritikan

Etika Mengurus dan Menangani Kritikan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 28 May 2013


Ramai pihak termasuk wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan saya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada PAS mutaakhir ini, khasnya kepada batang tubuh Presidennya. Saya dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan dan kononnya ini adalah “tunas perpecahan” yang sedang menimpa Parti Islam ini.

Sejarah membuktikan tidak semestinya subjek yang dikritik itu salah lalu ia wajib memenjarakan lidah dan mulutnya dari menjawab balas kritikan tersebut, sebagaimana pengkritik tidak selamanya benar sehingga ia bebas melemparkan kritikan sesedap rasa pada semua orang, keadaan dan masa.

Asasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam, kami sentiasa terbuka dan sedia untuk dikritik dan diaudit serta meletakkan kami pada situasi sebagaimana yang diajar oleh Allah Taala iaitu bersedia mendengar apa jua perkataan lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.

Namun, terbuka dan bersedia menerima kritikan bukan bermakna kami mesti diam membatu atau bungkam membisu dalam menerima kritikan tersebut. Memberi jawab balas, menangkis serta membuat pencerahan semula terhadap kritikan adalah sebahagian dari kaedah mengurus dan menangani kritikan yang normal dan dibenarkan sebagaimana uslub biasa digunakan oleh al-Quran al Karim sewaktu menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap Islam dan syariat yang dibawa oleh Rasul utusan Allah.

Ramai menyangka maksud menerima kritikan ialah “zip” mulut dan mendengar apa jua hamburan kata yang ditujukan kepadanya sehingga kadangkala kita boleh dianggap dungu dan naif. Pada saya itu adalah satu keadaan yang boleh dipilih, sementara menjawab serta menangkis kritikan pula satu keadaan lain yang dibenarkan malah tidak menghilangkan rasa hormat kita kepada pihak pengkritik. Bahkan keadaan kedua ini lebih menarik untuk mencetus pencerahan dan percambahan fikir kiranya ia diurus dan ditanggap dengan positif.

Sebagaimana pihak pertama ada hak untuk mengkritik, kenapa pula kita mesti nafi dan hilangkan hak pihak kedua menjawab kritikan yang dilemparkan. Budaya nasihat-menasihat, tegur-menegur dan kritik-mengkritik adalah budaya positif yang tidak perlu kita resah dan menaruh kebimbangan melampau apabila ia berlaku. 

Selayaknya pihak pengkritik, mesti bersedia menghadapi kritikan balas bagi menilai potensi kritikannya. Adakah ia berasas atau tidak. Adakah kritikan tersebut berpaksikan hujjah atau fitnah. Adakah kritikan itu dengan tujuan membina atau meruntuhkan. Sesungguhnya kesalahan, kesilapan dan kekhilafan merupakan sifat yang melekat di diri anak cucu Adam. Oleh kerana itu, memang setiap orang boleh sahaja dikritik dan dibantah.

Sistem nilai ini hanya wujud apabila ada timbal balas pada kritikan yang dilemparkan. Justeru berapa banyak di luar sana jumlah kritikan yang hanya merupakan fitnah dan tohmahan demikian juga kritikan yang dirancang untuk menjatuh dan meruntuhkan. Maka untuk menilainya perlu ada jawapan atau pencerahan pada kritikan yang dikemukakan.

Apatah lagi jika sesuatu kritikan itu dibuat secara terbuka. Ia boleh mencipta prasangka dan mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawap balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan persepsi dan memurnikan prasangka. 

Apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden PAS, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli-ahli PAS membuat pencerahan dan mempertahankannya. Saya sangat setuju bahawa setiap kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar. Jika kritikan tersebut ada asas dan hujah yang jelas, selayaknya kita akur dan bersyukur lantaran kritikan itu membuka jalan bagi berubah ke arah yang lebih baik.

Dalam mengkritik seseorang, antara perkara yang penting ialah adab dalam mengkritik. Justeru setiap muslim wajib mengharapkan redha Allah Ta’ala dalam kritikan dan bantahan yang dilakukannya, dia tidak boleh melancarkan perkataannya dengan  tujuan menonjolkan diri, tidak pula mencari populariti,  kerana membalas dendam ataupun kerana hasad (kedengkian).

Hendaklah bersikap lembut dalam kritikan kerana ia adalah usul pertama etika dalam membantah dan mengritik, apalagi jika pihak yang dibantah merupakan seorang tokoh yang memiliki pengikut, atau memiliki peluang besar untuk rujuk kepada kebenaran. Cukuplah firman Allah bagi kita dalam hal ini, tatkala Dia mengutus Musa dan Harun kepada Fir’aun;
فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى
“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Thaha: 44) 

Saya menyambut dan menerima apa jua kritikan yang dilemparkan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada PAS lantas sudi mengkritik PAS dan pemimpinnya. Kalian semua secara tidak langsung adalah agen yang membangun dan mendewasakan PAS dengan kritikan dan teguran yang dihulurkan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا. يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. dan Barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, Maka Sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” (al-Ahzab: 70-71)

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan mantan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti al-Azhar, Tanta, Mesir.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-