© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Memahami Minyak Sebagai Punca Konflik Politik di Timur Tengah

Memahami Minyak Sebagai Punca Konflik Politik di Timur Tengah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 13 May 2013


Selain alasan Islamofobia, ras dan keadilan sejagat, minyak (petroleum) adalah antara sumber yang bersifat material dan dijadikan asas perbalahan yang mencetuskan konflik berpanjangan. Sehingga sekarang ini, minyak dikenali sebagai sumber tenaga paling strategik dan hampir seluruh infrastruktur ekonomi industri dunia bergantung kepada hasil minyak. Fenomena ini tidak dapat dipisahkan dengan fahaman 'energynomic' iaitu dasar ekonomi dan bisnes berasaskan tenaga. Lantaran itu, idealogi yang berasaskan ekonomi kapitalis telah menjadikan bahan bakar petroleum itu sebagai asas mengembangkan sistem ekonomi kapitalis.

Berdasarkan sejarah, sistem penggerudian minyak kali pertama menggunakan teknik ditemui di Amerika Syarikat pada tahun 1859. Bagaimanapun perusahaan itu hanya membolehkan Amerika menyediakan 4% sumber tenaga di dunia sahaja. Sekalipun teknik moden penemuan minyak itu di-inovasi-kan, beberapa pengusaha minyak antaranya William Knox D'Arcy dan Anglo-Persian Oil Company (kemudian disebut BP - British Petroleum) hampir bankrap kerana pelanggannya terhad.

Faktor utama kemurungan ekonomi berasaskan minyak itu berlaku adalah kerana pengguna kenderaan bermotor masih sedikit, manakala kapal laut walau sebesar titanik masih menggunakan arang batu. Namun, segalanya berubah apabila minyak menjadi sumber tenaga paling mustahak untuk semua jenis jentera perdagangan. Kegilaan terhadapnya menjadi-jadi kerana 40% sumber tenaga dunia dan 96% tenaga pengangkutan dunia daripada minyak.

Selepas perubahan sistem pengangkutan arang batu kepada minyak petroleum, dunia moden hari ini telah menggunakan lebih 875 billion tong minyak. Lebih 1,000 billion masih kekal di perut bumi untuk menjadi perebutan dunia. Menjelang 2025 pula, bilangan kereta dianggarkan akan meningkat melebihi 1.25 billion, dan hal ini meningkatkan lagi permintaan sesebuah negara terhadap minyak.

Pengaruh sedemikian membolehkan minyak menjadi alat diplomasi bahkan menjadi senjata politik yang menakutkan. Ketika Perang Dunia II, penjajahan Jerman ke Afrika dan Rusia adalah disebabkan minyak. Maknanya disebabkan minyak, negara lain menjajah negara yang didakwa memiliki sumber tersebut. Malah minyak juga pernah dijadikan senjata politik semasa Perang Arab-Israel melalui geopolitik sehingga mempengaruhi harga minyak. Embargo minyak oleh Liga Arab pada perang Arab-Israel pada 1974 menimbulkan krisis minyak pertama dan satu-satunya kaedah pemakaian minyak sebagai senjata politik digunakan.

Ketika Iraq cuba menduduki Iran pada September 1980, Washington menyatakan pendiriannya berkecuali daripada konflik tersebut. Namun, ketika Iran mengancam kepentingan minyak Amerika Syarikat di Arab Saudi dan Kuwait, Washington menyokong Iraq dengan memberikan pinjaman kewangan, perisikan, dan jualan senjata secara gelap. Ternyata segala bantuan Amerika ke beberapa negara Asia Barat bukan atas nama keamanan atau keadilan, sebaliknya menyedari betapa minyak adalah 'tuhan baru' yang perlu dijaga dengan baik oleh mereka.

Perkara inilah mengheret Yahudi antarabangsa meletakkan alasan untuk mengubah haluan, cadangan membina negara di Amerika Latin dan Uganda ke bumi Palestin (di Asia Barat), iaitu selepas tamat Perang Dunia II. Hal ini dighairahkan lagi apabila sumber minyak terbesar ditemui di Arab Saudi pada tahun 1938. Penemuan ini mendorong banyak syarikat minyak dari luar negara untuk mencari gali. Akhirnya minyak bukan hanya terdapat di Arab Saudi, malah telah ditemui di Negara Teluk, Iraq, Iran, Libya, Mesir dan Algeria.

Sebagai fakta, jumlah perolehan rizab minyak di Asia Barat kecuali Israel adalah sebanyak 685.6 billion tong dan rizab gas cecair asli sebanyak 2367.9 trillion kaki padu. Pecahannya, adalah: Arab Saudi (261.8 billion tong rizab minyak dan 228.2 trillion kaki padu rizab gas cecair asli), Iraq (112.5 ribu billion tong rizab minyak dan 112.6 trillion kaki padu rizab gas cecair asli), Iran (89.7 billion tong rizab minyak dan 939.4 trillion kaki padu gas cecair asli), Emiriyah Arab Bersatu (97.8 ribu juta tong rizab minyak dan 204.1 trillion kaki padu rizab gas cecair asli).

Disebabkan negara-negara Asia Barat tersebut mempunyai rizab minyak terbesar, wilayah-wilayah Asia Barat itu bakal menjadi wilayah kekal punca sengketa dan campur tangan ketenteraan negara besar yang mengidamkan minyak sebagai komoditi pendewaan mereka. Ia menepati teori geopolitik yang diajarkan Halford Mackinder (1919) yang menyatakan bahawa sesiapa-pun yang menguasai Asia Barat, yang dinamainya "Heartland", akan memimpin pertaruhan untuk membangunkan imperium global.

Maka, Israel sejak awal menyedari "fadhilat" menghuni di wilayah Asia Barat ataupun dikenali juga sebagai Timur Tengah. Justeru Israel gigih merancang agar negara-negara Asia Barat berpecah dan tidak menggunakan minyak sebagai senjata politik. Kerana minyak pernah digunakan sebagai senjata politik ketika perang Arab-Israel pada 1973-1974. Kejayaan tersebut menyebabkan masyarakat antarabangsa mendesak Israel keluar dari Palestin, sementara negara Mesir berjaya membebaskan Sinai sekaligus mendapatkan semula penguasaan Terusan Suez yang menjadi salah satu lalu lintas mengangkut petroleum terpadat di dunia.

Setelah itu, Israel mendapat pengajaran untuk tidak bersendirian dalam hal ini, campur tangan Amerika ke Asia Barat melajukan lagi langkah kolonialisasi Barat yang memperlihatkan politik "divide et impera". Ini kerana jumlah rizab minyak yang dimiliki Amerika, empat kali lebih rendah berbanding Arab Saudi dan negara-negara Arab lain. Namun, kebijakan Amerika memperkenalkan Standard Oil New Jersey dikira sangat berjaya, kerana sistem inilah yang mengheret pengusaha-pengusaha minyak menjadi sekutu-sekutu Amerika terutamanya di negara-negara Asia Barat.

Amerika dan sekutunya Israel menjangkakan jika minyak terus dikuasai di negara-negara Arab, apa yang akan berlaku ialah :
  1. Segelintir pembekal Asia Barat (dari bangsa Arab) akan kembali berpengaruh seperti era 1970-an dan sekali lagi dapat menentukan syarat ke atas pasaran minyak dunia dan manipulasi politik dunia.
  2. Pengeluar di Asia Barat akan terus menggunakan hasil minyak untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan, bahan bakar perlumbaan senjata dan menggugat kestabilan serantau.
  3. Kekayaan yang dijana minyak di sesetengah negara Asia Barat akan terus mengalir ke organisasi yang didakwa Amerika sebagai pengganas "terrorist".
Jangkaan-jangkaan itu menyebabkan Amerika meningkatkan penguasaan tenteranya di rantau Asia Barat untuk memastikan akses mereka kepada minyak. Perkara ini meningkatkan konflik Amerika di wilayah Arah tersebut, sentimen anti-Amerika dan perpecahan yang mendalam antara Barat dan dunia Islam. Ketegangan antara Amerika Syarikat dan China turut berlaku disebabkan campur tangan China di Asia Barat untuk mengaut sendiri minyak, serta membekalkan senjata kepada negara-negara di Asia Barat yang bermusuhan dengan Amerika dan sekutunya China.

Negara-negara di Asia Barat yang memiliki pelantar minyak terbesar di dunia, kelihatannya cukup dimanjakan oleh Amerika dengan pelbagai bantuan seperti persenjataan canggih, penasihat tentera dan infrastruktur. Amerika pernah melindungi Arab Saudi dan Kuwait daripada pencerobohan Iraq pada 1990. Sebagai balasan, Amerika Syarikat meminta bantuan wang minyak Saudi untuk membiayai operasi CIA menggulingkan regim kiri yang didukung Soviet di Afghanistan, Nicaragua, dan lain-lain lagi.

Arab Saudi, negara yang memegang amanah tanah Hijjaz itu hanya mampu menjadi boneka Washington yang tidak mungkin mencegah pencerobohan Amerika ke Iraq pada tahun 2003. Arab Saudi juga hanya berdiam diri melihat Israel menyerang Lebanon pada tahun 2006. Bersama negara Arab lain, Arab Saudi menyokong sekatan ekonomi terhadap Iran atas gesaan Amerika Syarikat.

"Tidak akan berlaku Kiamat sehingga tersingkap Sungai Furat (di Iraq) menampakkan gunungan emas (emas hitam) maka berperanglah manusia kerananya. Akibatnya terbunuhlah daripadanya setiap seratus seramai sembilan puluh sembilan orang." (riwayat Muslim dalam bab Kitab al Fitan, 4/2219 & 29/2894)

Hadis daripada Rasulullah S.A.W ini melambangkan konflik minyak yang telahpun menghancurkan Baghdad, Kota Ilmu Warisan Islam suatu ketika dahulu. Atas alasan apa sekalipun selain mengekang kebangkitan Islam, motif selainnya adalah nafsu mereka terhadap minyak. Episod malang ini pula ditambah dengan sikap mengecewakan yang ada pada pemimpin-pemimpin Islam.

Sebenarnya negara-negara di Asia Barat mampu menjadikan minyak dan gas sebagai senjata strategik mereka untuk mempengaruhi Barat dan menghentikan kezaliman Israel. Negara di Teluk Parsi, termasuk Arab Saudi, Iran dan Iraq, mempunyai rizab minyak sebanyak 679 bilion tong daripada keseluruhan rizab minyak dunia. Mereka juga mempunyai rizab gas cecair asli sebanyak 1918 trilion kaki padu daripada keseluruhan rizab gas cecair asli di dunia. Namun, mengapa minyak tidak menjadi senjata kesatuan Muslim Arab untuk menundukkan kebiadaban Israel?

Ia disebabkan Islam yang menyatukan ummah tidak menjadi ideologi pemimpin Muslim di negara berkenaan. Kekayaan bukan menjadi senjata untuk membantu Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Abdur Rahman bin Auf R.A, sebaliknya menjadi punca tubuh mereka diratah Israel dan proksinya. Seharusnyalah wilayah-wilayah Muslim yang mempunyai kekayaan minyak ini menjadi pelindung Muslim Palestin, Muslim Afghanistan, Muslim Iraq, Muslim Pattani, Muslim Rohingya, Muslim Bosnia, Muslim Syria, dan kaum Muslimin di seluruh dunia. Tetapi apa yang diharapkan sehingga kini masih menjadi pertanyaan banyak pihak.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W yang turut menjadi kekhuatiran kepada Umar al-Khattab r.a ketika beliau berjaya membebaskan Al-Quds. Kata Umar, “Aku teringatkan Baginda Rasulullah pernah bersabda; - Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan...” (riwayat Muslim)

Henry Kissinger, Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat menyatakan, "Minyak adalah satu komoditi penting yang tidak boleh dibiarkan dikuasai negara-negara Arab," dan ketika itu ucapannya hanya menjadi amaran semata-mata kerana pengeluaran minyak dan keperluan terhadap hasil itu di Asia Barat masih dikuasai Negara Arab.

Kerana itu, dalam menilai sokongan kita terhadap Revolusi "Arab Spring", cuba kita ungkit kembali tragedi pemerintah junta Myanmar yang membantai dahsyat rakyatnya, Hasina Wajed yang memerintah Bangladesh secara rejim, membunuh pemimpin gerakan Islam di sana, adakah Barat menunjukkan kepedulian yang sama berlaku dalam konflik di Asia Barat? Tentu tidak kerana bumi Burma dan Bangladesh itu tidak memiliki makna strategik bagi Amerika dan sekutunya.

Amerika tidak ingin penguasaan di Asia Barat jatuh ke tangan kelompok yang tidak mampu dikawal sehingga boleh menjadikan minyak sebagai senjata yang merugikan politik Barat. Atas sebab itulah NATO ghairah menceroboh Libya, negara yang mampu menghasilkan minyak sebanyak 1,8 juta barrel setiap hari dengan harapan akan ada rundingan balas jasa yang akan diberikan kepada Amerika dan sekutunya. Keinginan campur tangan mereka bukan untuk menjatuhkan rejim yang sebenarnya, tetapi ada kepentingan lain antaranya adalah untuk menguasai sumber minyak negara itu.

Dianggarkan pendapatan negara Libya (GDP - Gross Domestic Product) yang hampir seluruhnya daripada sektor minyak dan gas tidak kurang dari 98 bilion dolar setiap tahun. Jumlah itu membolehkan hasil pendapatan setiap penduduk mencecah 15 ribu dolar setiap tahun. Ramai penganalisis menjangkakan jika berlaku pencerobohan tentera asing, punca utamanya adalah untuk mengaut keuntungan material negara tersebut. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri pernah menyebut di dalam program Wacana Asia Barat di Shah Alam pada tahun 2012;

"Hakikatnya, kerjasama yang dihulurkan NATO kepada rakyat Libya lebih memberikan ancaman berbanding sebuah janji dan harapan. Hal ini berlaku kerana, Libya merupakan negara yang memberikan sumber 1/3 bekalan minyak ke Eropah. Libya juga merupakan negara ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang menyalurkan sumbernya kepada 2 syarikat minyak antarabangsa iaitu BP (British) dan Shell (Belanda). Libya juga memiliki saluran paip minyak menuju ke Eropah melalui Itali. Kerana itu, Eropah sangat bimbang jika saluran minyak di Libya jatuh ke tangan orang yang akan menyekat sumber tersebut ke negara mereka."

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-