© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Kita, Syria dan Palestin : Pandangan Dr. Mahdi Akef

Kita, Syria dan Palestin : Pandangan Dr. Mahdi Akef

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 20 May 2013


Sehingga ke hari ini, isu yang sering menjadi persoalan setiap kali lawatan saya ke mana-mana negara ialah mengenai pasca revolusi di Mesir. Ingatan saya, jangan hanya kita melihat revolusi rakyat yang berlaku di Mesir sahaja, tetapi lihatlah revolusi ini menerusi kaca mata yang lebih luas, bahawa semarak umat manusia sedang bangkit menentang kezaliman dan kekejaman rejim pemerintah di seluruh dunia.

Allah Taala berfirman :
"Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (utusan Allah)."


"(Al Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa."

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman". Surah Ali Imran:137-139, Al Quranul Karim

Berdasarkan firman Allah tadi menunjukkan bahawa apa yang telah berlaku pasti ada ulangannya.

Allah Taala menunduk dan meruntuhkan mereka yang memerintah dengan zalim dan menderhakai-Nya supaya menjadi pengiktibaran kepada seluruh umat manusia sama ada di Timur mahupun Barat.

Revolusi yang berlaku di Mesir adalah milik dan ketentuan Allah Taala, di mana tiada siapapun yang boleh mendakwa bahawa dia-lah pelopor dan pencetus kepada revolusi ini. Kesabaran rakyat Mesir bertahan di hadapan aparat yang turun sepenuh kelengkapan untuk mematahkan gelombang kebangkitan ini, akhirnya berjaya menumbangkan rejim Hosni Mubarak bermula di Medan Tahrir.

Rejim Hosni Mubarak berjaya ditumbangkan dalam tempoh relatif iaitu dalam waktu tidak sampai dua bulan sebaik gelombang kebangkitan rakyat meletus. Siapa pun tidak dapat menduga, anak-anak muda yang membesar dalam ledakan dunia maklumat, dikongkong dan dikurung oleh budaya takut rejim kerajaan, berjaya dijatuhkan melalui gerakan kebangkitan tidak bersenjata.

Kebangkitan rakyat Mesir berbeza dengan perjuangan yang saban hela dialami oleh saudara kami di Palestin. Di Palestin, rejim Zionis Israel menjajah sebuah negara yang bukan miliknya, membunuh golongan mustadh'afin, memperkosa anak-anak gadis, meruntuhkan perumahan dan mengebom rakyat Palestin.

Palestin Milik Kita

Isu Palestin adalah isu yang wajib diperjuangkan walau sesaat, biarpun ada sahaja usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh musuh untuk mengaburi isu ini. Justeru, perbuatan mereka tidak akan berhasil kerana isu Palestin adalah isu yang sentiasa hidup dalam jiwa raga bangsa Arab dan juga seluruh umat Islam. Palestin tidak akan dapat dibebaskan kecuali dari tangan pemimpin Islam yang bertaqwa, bukannya Obama atau pemimpin-pemimpin fasiq lain dan seumpamanya.

Saya pernah menerima soalan daripada seorang wartawan berita dari agensi media Amerika Syarikat pada tahun 2008, "Apa pendapat anda tentang negara Israel?"

Saya menjawab, "Pada saya di sana tidak ada negara Israel, tetapi yang ada ialah penjajahan rejim Zionis, perampas negara yang tiada hakpun mereka ke atas penduduk Palestin. Mereka membunuh para pemuda, wanita dan kanak-kanak, menjahanamkan harta milik penduduk asal dan membinasakan kompleks-kompleks perumahan mereka. Perjuangan rakyat Palestin memerdekakan tanah air dan melenyapkan penjajahan Israel adalah tanda perjuangan yang sebenar."

Kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah merupakan titik permulaan yang mesti dimanfaatkan oleh kita semua untuk menyahut perjuangan yang lebih global.

Selama bertahun-tahun politik di negara Arab menafikan ruang demokrasi yang adil, manakala setiap pilihanraya ia diadakan penuh penipuan. Di mana-mana negara Islam, di situlah berlaku penyelewengan kuasa, rasuah dan korupsi. Ketirisan moral yang saban hari saban waktu ini merupakan penghinaan yang Allah timpakan kepada mereka yang sanggup bersekongkol dengan pemerintahan yang zalim dan mendiamkan perbuatan mereka.

Hal ini termasuklah undang-undang zalim yang dilakukan oleh kerajaan Mesir terhadap rakyat Palestin satu ketika dahulu di bawah pemerintahan Hosni Mubarak. Saya sendiri melawan dan bangun menyatakan penentangan terhadap apa yang dilakukan kerajaan pimpinan Mubarak apabila hak-hak saudara kita di Palestin dinafikan.

Bangsa Arab di Palestin memilih pimpinan HAMAS untuk memperjuangkan tanahair mereka. Mereka inilah yang sebenarnya orang-orang Muslim yang layak kita teladani. Merekalah bangsa yang mengusir dan memulaukan penjajahan yang berlaku dalam negara mereka sendiri dalam rekod kurun ini. Di hadapan mereka adalah musuh utama umat Islam yang didalangi kuasa-kuasa besar dunia. Di kalangan mereka adalah para pejuang yang terdiri dari kaum lelaki dan kaum wanita yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan negaranya.

Masalah Utama Kita

Perkara lain yang ingin saya sentuh ialah peristiwa yang mengecewakan berlaku di Afghanistan, apabila orang Islam berbunuhan sesama sendiri sewaktu "musuh utama" datang menyerbu. Tragedi yang sama juga menimpa di Iraq, Somalia, dan juga di Darfur, Sudan. Terakhir yang berlaku di Libya, Yaman dan Syria. Situasi yang berlaku sangat menyedihkan, apabila hal yang boleh ditangani secara tolak ansur menjadi barah api perkauman, permusuhan etnik dan pertikaian mazhab. Sepatutnya kita memastikan darah-darah umat Islam terpelihara dan tidak tumpah dengan sewenangnya.

Saya menuturkan permasalahan ini kepada Dr.Yusuf Al Qaradawi (rujuk di sini), dan saya juga berbincang dengan ulama-ulama di Al Azhar. Saya turut mengutarakan permasalahan ini kepada Recip Toyyib Erdogan, Presiden Turki termasuklah Essam Basyir, mantan perdana menteri sementara di Mesir supaya menunaikan tanggungjawab sebaiknya agar hak-hak rakyat tidak dicabuli dan dipermainkan.

Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat di Malaysia supaya para ulama dan cendekiawan-cendekiawan mereka menjunjung satu usaha yang jitu bagi memastikan anak bangsa mereka menjadi masyarakat bermartabat dan bermaruah, bukannya masyarakat yang boleh dibuli dengan isu-isu ciptaan musuh.

Isu Di Syria

Permasalahan akhir saya ingin sebutkan ialah perkara yang sensitif kepada sesetengah pihak, malah saya yakin ramai orang memperkatakan tentangnya. Iaitu pendirian kami (Ikhwanul Muslimun) terhadap mazhab Syiah dan kerajaan Iran. 

Mazhab Syiah memiliki 36 aliran, dan di antara aliran tersebut ada yang meyakini bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya, Al Quran itu benar, dan segala yang kewajiban yang diperintahkan itu benar. Secara dasarnya, Syiah yang seperti meyakini hal seperti ini adalah orang Islam.

Saya tidak bercadang untuk membicarakan secara panjang lebar mengenai sudut-sudut praktikal yang lebih dalam. Persoalan yang berangkai permasalahan mazhab seeloknya kita serahkan kepada pihak-pihak yang berautoriti. Namun, secara jelas perihal politik dan negara Iran yang kita ketahui ia dipimpin oleh presidennya yang bermazhab Syiah.

Saya ingin nyatakan kepada kamu semua bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Iran, jika hal itu baik, maka saya katakan ia baik. Begitu juga jika kerajaan Iran melakukan perkara yang salah, maka saya juga akan katakan bahawa hal itu salah tanpa sebarang prejudis. Oleh itu, dalam isu penentangan Iran terhadap hegemoni kuasa besar Barat, saya katakan ia baik dan saya menyokongnya. Tetapi dalam isu hubungan kerajaan Iran dengan kerajaan Basyar Al Assad, saya dengan tegas mengatakan bahawa polisi Iran adalah bertentangan dengan semangat kebangkitan Islam.

Iran mesti melakukan tekanan terhadap kerajaan pimpinan Basyar Al Assad yang telah menggasak rakyatnya. Disebabkan sikap pasif kerajaan Iran terhadap kebiadaban kerajaan Syria itu, saya membangkang sikap Iran dengan sekeras-kerasnya.

Sebelum ini saya pernah dijemput oleh wakil-wakil kedutaan Iran untuk menghadiri wacana pembentangan mengenai "Kebangkitan Islam" di Tehran. Tetapi saya menyatakan kepada delegasi kerajaan Iran tersebut dengan suara yang lantang, "Saya tidak akan datang ke Iran, sehinggalah kamu berpegang dengan prinsip Islam yang nyata dan terang. Kebisuan kerajaan Iran terhadap Basyar Al Assad adalah bersalahan dengan prinsip kebangkitan Islam!".

Keengganan saya menghadiri pertemuan seminar ini sebagai tanda protes terhadap sokongan kerajaan Iran terhadap kerajaan Syria saat ini. Sepatutnya kerajaan Iran bersama-sama dengan rakyat Syria yang ditindas oleh Bashar, bukannya bersekongkol dengan kezaliman Bashar.

Saya menyebut dengan niat yang tulus mengharapkan redha Allah Taala. Saya mengharapkan mudah-mudahan Allah memberikan pertolongan kepada umat Islam di dalam perjuangan menegakkan kalimah yang benar.

(Terjemahan dan olahan ucapan beliau di dalam Wacana Asia Barat, Shah Alam 2012)

Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-