© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Jangan Beri Sokongan Kepada Pemerintahan Zalim

Jangan Beri Sokongan Kepada Pemerintahan Zalim

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday, 30 April 2013


Allah memilih umat Islam khususnya para pendokong perjuangan Islam menjadi umat terbaik di sisi-Nya kerana mereka menyuruh yang makruf dan mencegah kemunkaran di samping mereka beriman kepada Allah. Berbahagialah mereka yang memilih perjuangan PAS, satu-satunya perjuangan Islam yang benar dan syumul di negara kita kerana hal ini dapat dirujuk melalui firman-Nya :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan bagi (faedah) umat manusia umumnya, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segenap perkara yang salah (buruk dan keji), di samping kamu beriman kepada Allah (dengan keimanan yang sebenar). Dan seandainya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu lebih baik untuk mereka. (Tetapi sayang) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (Aali Imran:110)

Dengan perkataan lain kerana mereka menjadi pengikut ajaran Islam yang syumul dan merangkum berbagai aspek kehidupan. Mereka menegakkan keadilan dalam diri, keluarga, bangsa dan negara. Mereka menjadi saksi tentang kehadiran rahmat Allah kepada semua manusia melalui penampilan ajaran yang paling bertamadun iaitu ajaran Islam. Mereka golongan yang sentiasa menjauhkan diri daripada kejahatan dan kemungkaran justeru kemungkaran menjatuhkan martabat dan maruah sesuatu bangsa dan umat.

Kemungkaran yang paling lumrah adalah melakukan kezaliman, merampas hak orang ramai atau rakyat, menafikan kebenaran, menghalang dakwah Islamiah dan menurut ajaran ajaran bid’ah dan palsu dalam politik dan budaya, memenjarakan rakyat tanpa pengadilan dan sabit kesalahan, merampas kedaulatan rakyat dengan penipuan dalam pilihanraya umum, fitnah rekayasa media, khianat kepada rakyat walaupun berdegar-degar mengaku amanah kononnya tetapi khianat dan dusta, penipu serta memusuhi perjuangan Islam. Semua perbuatan tersebut adalah merupakan perbuatan aniaya dan celaka yang mesti dihindari oleh orang yang beriman. Ini kerana kezaliman itu seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah ﷺ ialah kegelapan pada hari kiamat kelak.

Rasulullah ﷺ bersabda;
  اتَّقُوا الظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Hindarilah kezaliman kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat kelak. (riwayat al-Bukhari)

Kezaliman, pendustaan orang mengaku amanah tetapi menipu boleh mencelakakan negara dan masyarakat. Kejahatan kezaliman ini bukan hanya mencelakakan penzalim di akhirat malah boleh membinasakan diri, keluarga, negara dan masyarakat. Allah berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 59 : 
وَتِلْكَ الْقُرَى أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًا 
Perkampungan (negara) berkenaan Kami musnahkan apabila penghuninya bersikap zalim dan kami tempah masa kemusnahan (dan kehancuran) mereka.

Kezaliman pemerintah atau kerajaan adalah kezaliman yang dilembagakan dalam undang-undang yang memperkasa kejahatan, pihak keselamatan yang lebih membawa kesengsaran daripada keselamatan, jentera penerangan yang lebih menyesat dari mencerahkan, menggelapkan kebenaran serta mengelirukan berbanding memberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat.

Kezaliman seperti ini lebih cepat membawa kehancuran kepada sesuatu bangsa, negara dan umat. Kezaliman seperti ini mengundang kutukan Allah. Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 18;
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللّهِ كَذِبًا أُوْلَـئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَى رَبِّهِمْ وَيَقُولُ الأَشْهَادُ هَـؤُلاء الَّذِينَ كَذَبُواْ عَلَى رَبِّهِمْ أَلاَ لَعْنَةُ اللّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ
Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang mengajukan pembohongan terhadap Allah. Ketika golongan tersebut dipaparkan di hadapan Tuhan mereka (untuk di adili kelak) berkatalah para saksi bahawa mereka itu adalah golongan yang melakukan pendustaan terhadap Tuhan mereka. Memang sesungguhnya laknat dan kutukan Allah terhadap golongan penzalim.”

Surah al-A’raf ayat 44;
وَنَادَى أَصْحَابُ الْجَنَّةِ أَصْحَابَ النَّارِ أَن قَدْ وَجَدْنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقًّا فَهَلْ وَجَدتُّم مَّا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا قَالُواْ نَعَمْ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌ بَيْنَهُمْ أَن لَّعْنَةُ اللّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ 
Penghuni syurga berkata kepada penghuni neraka; bahawa kami telahpun menerima habuan yang dijanjikan oleh Tuhan kami kepada kami sebagai suatu yang memang benar . (kemudian mereka bertanya kepada penghuni neraka) adakah kalian juga mendapati benar apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian. Mereka pun menjawab; ya memang benar. Maka (ketika itu) berkemundang suara penyeru bahawa laknat dan kutukan Allah terhadap golongan yang zalim.”

Bencana kezaliman ialah ia boleh melampaui peribadi orang yang zalim yang melakukan kezaliman berkenaan. Bencana dan akibat kezaliman itu juga mengenai orang yang hadir menyaksikannya dan tidak menghalang atau menyetujui kezaliman tersebut. Semua penyokong yang bersekongkol baik dekat mahupun jauh akan diseret dan dihumbankan ke neraka. Dalam teks tradisional terdapat catatan berikut;
إذا وقف العباد على الصراط يوم القيامة نادى الله تعالى وقال: أنا الله، أنَا الملك، أنا الديان، وعِزَّتي وجلالي لا يغادرُ هذا الصراطَ واحدٌ من الظالمين، ثم ينادِي ملَك من قِبَل الله تعالى فيقول: أينَ الظلَمَة؟ أين أعوانُ الظلَمَة؟ أين مَن برى لهم قلمًا؟ أين مَن ناولهم دَواةً؟ ثم تنادي جهنّمُ على المؤمنين فتقول: يا مؤمِن أسرع بالمرور عليَّ فإنَّ نورَك أطفأ ناري.
Apabila manusia dihimpunkan di hari kiamat di pinggir titian Sirat al-Mustaqim Allah berfirman, Akulah Allah, Akulah Raja (yang sebenar) Akulah Dayyan ( pemilik hakiki agama ini); Demi kemulian dan kebesaran-Ku tiada seorangpun manusia penzalim yang dapat melepasi siratul mustaqim ini.Kemudian berserulah seorang Malaikat di pihak Allah (bertanya), Mana dia manusia penzalim berkenaan? Mana juak-juak penyokong penzalim tersebut? Mana dia pembantu yang menajamkan pena  penzalim (wartawan upahan)? Mana dia golongan yang mangajukan dakwat untuk penzalim (menulis)?Kemudian neraka berseru kepada orang beriman, Wahai orang beriman, segeralah kamu menyeberangi sirat ini kerana cahaya mu memalapkan (nyalaan lidah) apiku. (Kitab Minhaj al-Solihin oleh Syaikh ’Izzuddin Baliq)

Suatu ketika seorang lelaki datang bertanya kepada Sufyan al-Thauri, Saya ini penjahit pakaian raja (pemerintah ) yang zalim, adakah saya termasuk dalam kalangan penyokongnya.

Sufyan al-Thauri menjawab, Anda bukan golongan penyokong tetapi anda adalah dari golongan penzalim itu sendiri. Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada anda jarum dan benang (untuk menjahit).

Sifat cenderung menyokong kezaliman dan orang yang zalim sama ada dengan hati atau dengan tindakan dan perkataan, sama ada dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam akan membawa padah. Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 113;
وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللّهِ مِنْ أَوْلِيَاء ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
Jangan kalian cenderung menyokong orang yang zalim; kelak kalian akan dibakar oleh api neraka. (ketika itu) kalian tidak akan ada selain Allah sebagai penyelamat dan kalian tidak akan mendapat apa-apa pertolongan.

Ketahuilah bahawa kezaliman mencelakakan manusia di akhirat. Penzalim bukan sahaja diseksa dengan azab yang sangat pedih di samping lilitan kutukan Allah tetapi juga mereka tersisih daripada penyokong, sahabat dan penolong. Allah berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 71;
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَمَا لَيْسَ لَهُم بِهِ عِلْمٌ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِن نَّصِيرٍ
Mereka menyembah tuhan lain selain Allah yang tidak pernah Allah memberi apa-apa mandat kuasa mereka berbuat demikian malah mereka menyembah apa yang mereka sendiri tidak ada ilmu mengenainya. Sesungguhnya golongan penzalim itu tidak akan dapat sesiapapun menjadi penolong (mereka).

Kezaliman mempunyai berbagai kategori. Puncak kezaliman ialah perbuatan syirik kepada Allah seperti mana yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Luqman ayat 13;
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 
Ingatlah ketika Luqman berpesan kepada putera beliau dengan katanya; Janganlah kamu (wahai anakku) melakukan perbuatan syirik kepada Allah justeru syirik (kepada Allah ) adalah suatu kezaliman yang amat besar.

Syirik adalah keyakinan dan perbuatan yang menduakan atau mempelbagaikan tuhan. Ia merujuk kepada perbuatan yang mencampur-baurkan rujukan nilai baik, buruk, halal haram kepada sumber yang hak dan benar dengan sumber yang batil dan salah. Halal haram ditentukan oleh Allah, manakala syaitan dan taghut turut mencampuri urusan tersebut. Oleh itu manusia musyrik adalah manusia yang komitmen nilainya bercelaru, simpang prenang dan tidak menentu. Pada waktu tertentu mereka menurut perintah Allah namun pada masa lain mereka menurut perintah dan nilai taghut dan syaitan. 

Allah befirman dalam surah al-Nisa’ ayat 116;
إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً بَعِيدًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepada-Nya namun Dia mengampunkan dosa selain itu bagi siapa yang Dia mahu. Barang siapa yang syirik kepada Allah maka dia telah sesat terlalu jauh.
Menghalang orang bersolat dengan merobohkan masjid dan surau, menghalang majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh para alim ulama yang benar di dalamnya juga merupakan perbuatan zalim. Menghalang orang berzikir dan beri’tikaf di dalam masjid. Menghalang perlaksanaan fungsi masjid dan surau di dalam negara sehingga melambatkan proses pentarbiahan dan pendidikan Islam di kalangan umat. Menghalang peranan ulama dengan menghina mereka, merendah-rendahkan kredibiliti dan kewibawaan mereka sebagai orang yang tidak cerdik hal ehwal politik lebih-lebih lagi di hadapan sekular dan orang bukan Islam. Mereka membiarkan para ulama dipermain-mainkan adalah golongan yang sangat celaka.

Dalam surah al-Baqarah ayat 114 Allah berfirman;
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَى فِي خَرَابِهَا أُوْلَئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلاَّ خَائِفِينَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang menghalang masjid-masjid Allah daripada disebut di dalamnya (zikir) terhadap nama Allah (solat), malah mereka berusaha pula memusnahkan (fungsinya). Golongan penzalim tersebut hanya wajar masuk ke masjid dalam kaadaan gentar dan takut. Untuk mereka kehinaan di dunia; manakala di akhirat disiapkan untuk mereka seksa yang sangat besar (dan pedih).
Atau Katmu al-Syahadah apabila diperlukan. Enggan mengajukan kesaksian di mana kebenaran terletak dalam kesaksian yang ada pada seseorang adalah suatu kezaliman. Keengganan menampilkan kesaksian yang benar menyelamatkan orang tertuduh yang tidak berdosa menyebabkan pelaku kejahatan yang sebenar terlepas manakala orang yang tidak berdosa dihukum bunuh atau dianiaya. Keeangganan tampil sebagai saksi kes sebenar yang menyaksikan kejahatan tersebut adalah suatu kezaliman yang nyata. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 140;
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَادَةً عِندَهُ مِنَ اللّهِ وَمَا اللّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Siapakah yang lebih zalim dari orang yang menyembunyikan syahadah (kesaksian) yang diberikan oleh Allah kepadanya . Sesungguhnya Allah tidak pernah alpa terhadap apa jua perbuatan (jahat) kamu.”

Mengundi dalam sistem peralihan kuasa yang benar dan adil adalah suatu kewajipan agama. Ini kerana mengundi dan melantik pemimpin masyarakat dan negara adalah termasuk dalam kewajiban menunaikan kesaksian. Tidak melaksanakan kewajipan ini adalah suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang diperintahkan oleh Allah. Malah golongan yang mati dan tidak pernah membai’ah atau mengundi dan melantik pemimpin adalah mati dalam jahiliyah sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah ﷺ dalam hadis Baginda;
مَنْ مَاتَ لا بَيْعَةَ عَلَيْهِ مَاتَ مَوْتَةَ جَاهِلِيَّةٍ
Siapa yang mati tapi tidak pernah membai’ah pemimpin maka matinya adalah kematian dalam jahiliah.

Selanjutnya mengundi dan melantik orang yang tidak wajar dilantik menurut syara’ adalah juga suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang benar sepertimana yang dituntut oleh ayat ini. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 283;
وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ
“Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang benar) maka dia adalah insan berdosa.”

Menjadi saksi palsu, menjungkir-balikkan kebenaran menjadi kebatilan; orang yang tidak berhak mendapat hak, manakala pemilik hak yang sebenar teraniaya adalah suatu kejahatan yang terangkum dalam perkara zalim. “syahadatuzzur adalah suatu dosa besar dalam Islam. Menuduh PAS sebagai gerakan terroris, pengganas, ekstremis adalah salah satu bentuk syahadatuzzur yang mesti disedari. Orang yang menipu usah kita dipercayai walaupun mereka berkali-kali mengaku amanah kononnya kerana persaksian dusta mereka.
Tidak menghukum dan memerintah menurut hukum dan undang-undang yang Allah turunkan (hudud Allah) juga merupakan suatu kezaliman. Menghukum dan memerintah tidak berdasarkan firman dan perintah Allah dalam syari’at-Nya adalah suatu kezaliman. Dalam negara umat Islam kini terdapat banyak pemerintah yang tidak melaksanakan syariat dan undang-undang Islam, tetapi mereka mendakwa bahawa mereka adalah pelaksana Islam yang bertamadun, Islam progresif, Islam moden, Maqasid syariah dan sebagainya. 
 
Dalam masa yang sama mereka mengkhianati amanah, amanah umat dan mensia-siakan hak orang Islam yang mereka wakili, menipu kononnya amanah dan peduli rakyat tetapi pengkhianat besar. Golongan celaka ini adalah musibah yang mengelirukan ramai orang sehingga menyebabkan mereka menjadi penyokong fanatik kepada golongan zalim tersebut. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 45;
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الظَّالِمُونَ
“Siapa yang tidak menghukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Penyokong kebenaran selalu berhadapan dengan tindakan zalim pemerintah tertentu. Tanah dan hak mereka dirampas atau dilambat-lambatkan perlaksanaan kesan atau ketentuan transaksi yang telah dijalankan. Rasulullah ﷺ bersabda;
 مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأَرْضِ ظُلْمًا طَوَّقَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
Siapa yang merampas walau sejengkal tanah (orang lain) secara aniaya nescaya Allah akan menghempitkannya dengan tujuh lapis (petala) tanah atau bumi pada hari kiamat kelak. (riwayat Ibn Majah)
Memenjara, menghukum bunuh dan menyeksa tahanan tanpa diadili dan tanpa sabit kesalahan juga adalah kezaliman yang nyata. Pemerintah yang melakukan kezaliman dan tidak berlaku adil kepada rakyatnya akan diseksa oleh Allah dengan seksaan yang berat dan pedih. Rasulullah ﷺ bersabda;
 أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِمَامٌ جَائِرٌ
“Orang yang paling dahsyat diseksa pada hari Kiamat kelak ialah pemerintah yang zalim.” (riwayat Abu Ya’la)

Dalam Musnad Imam al-Rubai’ diriwayatkan hadith berikut;
لَعَنَ اللَّهُ الْمُسَلَّطَ عَلَى أُمَّتِي بِالْجَبَرُوتِ، وَالْمُسْتَأْثِرَ بِفَيْئِهَا 
Allah melaknat orang yang memerintah umatku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah memberikan nasihat tentang cara berinteraksi dengan pemimpin yang zalim iaitu (mafhumnya), “Jangan bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, bahkan jangan menemuinya. Berjumpa dan bergaul dengan mereka hanya membawa petaka. Tetapi sekiranya kamu bertemu dengan mereka, jangan memuji-muji mereka (tetapi nasihatilah kepada kebaikan), kerana Allah sangat murka ketika orang fasik dan zalim dipuji. Dan barangsiapa mendoakan mereka panjang umur, maka sesungguhnya dia suka agar Allah diderhakai di muka bumi.”

Alangkah ruginya para pemimpin seperti ini. Dan alangkah malangnya umat dan rakyat yang mendapat pemimpin seperti ini yang menipu kononnya amanah tetapi khianat, kononnya progresif tetapi agresif terhadap perjuangan PAS, kononnya peduli tetapi dengki. 

Biodata Penulis


Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin pernah memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Lajnah IT PAS Pusat.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-