© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » , » Kaum Ibu, Didiklah Anakmu Mengenal Islam

Kaum Ibu, Didiklah Anakmu Mengenal Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 13 March 2013


Kasih ibu terhadap anaknya tidak bermusim, berbeza kasih anak buat ibu hanya pada saat-saat yang khusus, waktu-waktu yang munasabah ataupun ketika teringat atau terkenang ibu. Barangkali (pada hemat saya), dunia hari ini perlukan "hari ibu" untuk memaut ingatan dan kasih insan bergelar anak buat ibu mereka.

Dunia seperti insaf betapa hari ini ibu menjadi bahan antik yang dimumiakan ke rumah orang-orang tua dan sebahagiannya ditinggal sendirian membilang hari kematian. Sedikit pula jumlahnya buat manusia bertaraf ibu yang mampu mengecap kebahagiaan disamping anak-anak hingga ke akhir hayat mereka. Hanya anak-anak yang soleh dan solehah memiliki keupayaan menjaga dan membelai sang ibu biar usia memamah seri wajahnya sehingga sang ibu ini menghembuskan nafas akhirnya dengan tenang di pangkuan anak.

Namun, anak yang sanggup bertahan dengan karenah ibu tua bukan mudah dicari. Saya membenarkan kata-kata entah dari siapa yang mengatakan, "Ibu seorang boleh membelai dan membesarkan sepuluh orang anaknya namun anak yang sepuluh ini belum tentu dapat membelai dan menjaga ibunya yang seorang."

Begitupun sikap dan perangai anak-anak kita, adakalanya ia kembali kepada persoalan bagaimana sang ibu mendidik dan mentarbiyah anak-anaknya. Oleh itu wahai kaum ibu, tarbiyahlah anak-anakmu agar mereka menjadi insan yang soleh dan seterusnya turun ke medan lantas berjuang untuk menegakkan agama Allah Taala. Saya kira, anak seperti inilah akan membuatkan ibu bangga dan bahagia.

Firman Allah Taala :

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata; Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya (penyejuk mata hati), dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa." (Al Furqan:74)

Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa, bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Justeru itu, Nabi Muhammad S.A.W menegaskan (maksudnya), "Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi, Nasrani atau Majusi." - Riwayat Bukhari dan Muslim

Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya. Mereka jugalah penyambung warisan keluarga dan ummah, malah Nabi S.A.W sangat berbangga dengan ramainya jumlah umat Baginda di akhir zaman. Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya), "Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh melahirkan anak, maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya umat." - Riwayat Abi Daud dan an Nasa’ie

Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak-anak bukan suatu yang mudah, sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di zaman yang terlalu rosak persekitarannya.

Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi. Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.

Terlebih penting ialah memiliki aqidah yang benar dan spiritual yang yang mantap agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat yang kian luas menular.

Pengajaran Dari Wasiat Lukmanul Hakim 

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya; Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

"Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala yang kamu telah kerjakan."

"(Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata); Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi."

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."

"Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Luqman:13-19)

Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman
  • Membina aqidah kukuh agar tidak syirik.
  • Asuhan agar mentaati ibu bapa.
  • Meyakini pembalasan Ilahi. (syurga, neraka dan dosa, pahala).
  • Melaksanakan Ibadah asas seperti solat.
  • Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat.
  • Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan.
  • Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dan sebagainya.
  • Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dan sebagainya.
Inilah silibus utama dalam pendidikan anak yang perlu kita laksanakan. Antara lainnya sabda Rasulullah S.A.W (bermaksud), "Perintah anak-anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah meningkat tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan) apabila umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka (lelaki dan perempuan)." - Riwayat Imam Ahmad, Abi Daud, al Hakim dan al Baihaqi.

Petua Alim Ulama Kepada Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak
  • Anak Nakal
  1. Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W.
  2. Baca salawat sebanyak 100 kali.
  3. Baca ayat 83 dari surah Ali Imran 7 kali.
  4. Baca ayat al Kursi 170 kali.
  5. Baca ayat 46 dari surah at Taubah 100 Kali.
Ayat-ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian.
  • Anak Degil

  1. Baca ayat ke 58 dari surah Yassin.
Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di tengah malam Jumaat sebanyak 313 kali. Sebelum membacanya, terlebih dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali dihadiahkan kepada Rasulullah S.A.W, Alim Ulama’, Para Syuhada’, Ibu bapa dan kaum Muslimin Muslimat seluruhnya. - Rujuk buku "Amalan Pelembut Hati" susunan al Ustaz Hanif bin Hj. Ghazali, Terbitan Madrasah Zubaidiyyah, Merbok Kedah.

Manakala kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata, hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah. Semoga anak yang bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Semoga Allah memberkati kita semua.


Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-