© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tulisan Jawi : Khazanah Pendidikan al Quran Di Tanah Melayu

Tulisan Jawi : Khazanah Pendidikan al Quran Di Tanah Melayu

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 12 March 2013


Sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, tulisan Arab yang diadaptasikan pengejaannya ke bahasa Melayu dinamakan sebagai tulisan Jawi. Tulisan Jawi memiliki signifikan yang sangat besar dalam sejarah bangsa dan negara, di mana ia merupakan alat interaksi yang digunakan secara meluas oleh intelek Melayu dengan masyarakat awam ketika itu.

Pernah satu berita yang bertarikh 5 Julai 2007, sumber Harakahdaily melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengisytiharkan tulisan Jawi bukan satu mata pelajaran wajib kepada pelajar sekolah menengah. Realiti yang berlaku kepada kenyataan ini merupakan ancaman terhadap khazanah warisan Islam kepada masa depan bangsa Melayu Islam.

Jika pemerkasaan terhadap tulisan Jawi tidak lakukan, barangkali tulisan Jawi menerima nasib yang sama sebagaimana mata pelajaran Tajwid yang menjadi subjek agama yang hanya diajar sewaktu peringkat Sekolah Rendah Agama (SRA), kemudian diabaikan ketika di peringkat menengah. Natijahnya ilmu Tajwid hanya dikuasai oleh generasi-generasi qurani yang tergolong dari lapisan hafiz dan hafizah sahaja, sedangkan mengamalkan ilmu Tajwid ketika membaca al Quran merupakan tuntutan Islam bertaraf fardhu ain buat seluruh umat Islam.

Kenyataan pahit yang harus ditelan saat ini, tulisan Jawi telah tenggelam di arus kemodenan dan kehilangan khalayak. Tulisan Jawi sudah tidak lagi relevan kerana tidak mempunyai nilai komersial di kalangan pembaca. Melayu umumnya tidak mengenal apa itu Jawi kecuali ia difahami sebagai akronim kepada Jabatan Agama Islam Wilayah.

Lanjutan dari hal itu, tulisan Jawi sekadar dikenali dalam lipatan sejarah sebagaimana pada catatan rahsia batu “Rosetta” di Mesir yang hanya mampu diungkap oleh arkeologi Perancis, Jean Francois Champollion. Jika masyarakat Melayu kehilangan kudrat untuk membaca tulisan Jawi saat ini, adakah kita mahu meminta Champollion ke-II membaca tulisan Jawi pada masa akan datang?

Penulis tidak bersikap idealis dalam mengutarakan tulisan ini, tetapi terkilan dengan segelintir hieraki masyarakat Melayu sendiri yang tidak meyakinkan bangsanya untuk berbangga dengan warisan ini. Menginsafi tulisan Jawi mempunyai jalur jasa yang besar terhadap kemerdekaan bangsa Melayu ketika dahulu, ia membangkitkan rasa tanggungjawab agar terus dipelihara dan terakam dalam pendidikan negara.

Mentaliti masyrakat Melayu yang beranggapan bahawa tulisan Jawi adalah semata-mata tulisan berunsur keagamaan perlu dijauhkan, kerana dahulunya ia turut diaplikasikan secara meluas oleh semua kaum di tanah Melayu. Hal ini dibuktikan melalui pengalaman ilmu yang dimiliki oleh V. Kamala Devi, bangsa India yang mahir membaca dan menulis Jawi (Rujuk "Kamala Devi Masters Jawi Despite Dropping Out Of School", Bernama.com. June 16, 2007).

Tulisan Jawi perlu dipertahankan walaupun peredaran masa amat pantas sebagai tanda penghargaan terhadap pahlawan-pahlawan yang berjuang menerusi mata pena di zaman pra-kemerdekaan. Sebelum pengetahuan moden dipenuhi perbendaharaan yang sofistikated, tulisan Jawi terlebih dahulu digunakan di dalam bidang persuratan, perjanjian, media maklumat dan undang-undang.

Tulisan Jawi adalah tulisan bagi sebuah tamadun dunia yang tinggi dan pernah diakui di peringkat antarabangsa. Jika orang Iraq Kufah dengan khat Kufinya, Iran dengan khat Farsinya, tidak diragui bahawa umat Melayu merupakan pelopor kepada seni  khat Jawi.

Jika diamati, sejarah ke'genius'an dan pemikiran akademik bangsa Melayu ia mula digagahi apabila wujudnya tulisan Jawi dan bukannya tulisan sanskrit. Oleh sebab itu, istilah 'Kitab Jawi' pernah berkembang menjadi subjek pengajian dan pembelajaran masyarakat Melayu agar ia ditekuni di sekolah-sekolah.

Tokoh ulama’ seperti Mohamad Idris b Abdul Rauf al Marbawi, bukanlah tokoh yang asing dalam dunia penulisan Jawi. Penulisan Jawinya yang menghasilkan kitab "Bahrul Mazi", "Tafsir Quran al Marbawi", "Tafsir Surah Yassin" masih kekal diulang cetak di luar negara. Sebenarnya, kebanyakan kitab berbahasa Arab yang dihasilkan oleh Sheikh al Marbawi telah diterjemahkan olehnya sendiri ke dalam bahasa Melayu. Sekalipun terjemahan tokoh ulama ini menggunakan versi bahasa Melayu lama di dalam tulisan Jawi, namun ia telah melahirkan ramai ilmuan Islam yang responsif di Malaysia.

Tidak dinafikan lagi, Islam adalah ajaran yang mudah dan boleh dipelajari melalui pelbagai aksara, dan huruf bukannya ukuran tahap keimanan seseorang. Namun, oleh kerana kedatangan tulisan Jawi bersama dengan dakwah Islam, ia lebih berkesan dan mudah terutamanya di dalam mempelajari al Quran. Sistem ejaan Jawi sangat terpengaruh dengan sistem ejaan bahasa Arab yang menggunakan sistem pengejaan suku kata. Oleh sebab itu, sistem Jawi menjadi pendorong kepada bangsa Melayu mengenali huruf Arab dan seterusnya secara tidak langsung berkemahiran menyebut ayat-ayat al Quran.

Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah-nya ada menyebutkan, "Ketahuilah bahawa pengajaran al Quran terhadap kanak-kanak termasuk daripada syiar-syiar agama yang dipegang oleh para pendokong agama kerana dalam pengajaran al Quran terdapat beberapa perkara yang cepat meresap ke dalam hati seperti keteguhan iman dan aqidah iman daripada ayat-ayat al Quran."

Dalam bahasa Melayu sendiri terdapat perkataan yang dipinjam dari bahasa Arab, sudah pasti sebutan tersebut tidak tepat jika ditulis dengan huruf rumi. Demikian juga halnya jika bahasa Cina dan Tamil ditulis dengan ejaan rumi, sudah pasti berlaku kesilapan pada pertuturan mereka yang sebenar. Konteks ini jelas memperlihatkan bahawa tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam pendidikan Islam, di mana ia dijadikan sebagai suatu alat memudahkan sebutan Arab yang sahih dalam bahasa Melayu.

Dalam keresahan meninjau hayat Jawi di tanah Melayu saat ini, ada juga berita yang boleh dianggap positif antaranya pengangkatan seni khat di persada dunia. Namun, memartabatkan seni khat tidak memadai untuk mengangkat semula penulisan Jawi sebagai satu elemen menjadikan ia subur dalam jiwa masyarakat dan dipergunakan secara meluas. Benar, seni khat berjaya memperlihatkan kalimah-kalimah unik al Quran yang tersusun atu mengikut kaedah dan seni. Tetapi kita perlu memikirkan bahawa majoriti umat Melayu tidak lagi mampu memahami maksud tulisan tersebut sekalipun diukir indah. Inilah akibatnya apabila tulisan Jawi dipinggirkan oleh bangsa Melayu sendiri.



Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Dakwah dan Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Kampung Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-