© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Tragedi Lahad Datu : Kelemahan Pimpinan Negara dan Penubuhan Jawatankuasa Bertindak PAS

Tragedi Lahad Datu : Kelemahan Pimpinan Negara dan Penubuhan Jawatankuasa Bertindak PAS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 7 March 2013


Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengambil berat dan memantau dengan serius perkembangan isu pencerobohan yang berlaku di Sabah kerana ia berkaitan dengan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Malaysia dalam negara mereka sendiri. Kehilangan nyawa anggota keselamatan yang menjalankan tugas secara professional menjaga keselamatan negara ini pula tentulah akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai satu pengorbanan yang teramat tinggi nilainya.

Pada masa yang sama, pendedahan demi pendedahan terhadap wujudnya kelemahan wibawa kepimpinan negara dalam menguruskan isu tuntutan serta menyelesaikan punca masalah (root-cause) krisis ini dari mula berputik sehingga kini menjadi satu tragedi sebagaimana yang dipaparkan kepada kita melalui berbagai bentuk media, telah membuka mata kita betapa bahayanya negara ini jika kita meletakkan masa depan negara di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama lebih 50 tahun ini.

PAS juga berpendirian dalam situasi hari ini keselamatan rakyat Malaysia sama ada dari kalangan pasukan keselamatan yang sedang bertugas dan rakyat keseluruhan perlu menjadi keutamaan, bukannya mempertikaikan kesetiaan mana-mana pihak terhadap negara. PAS yakin seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuklah mereka dari keturunan Sulu yang menjadi warga negara Malaysia itu akan menumpahkan taat setia kepada Malaysia. Dengan sebab itu, tindakan mana-mana pihak yang menggelar rakyat Malaysia yang lain sebagai pengkhianat atau musuh dalam selimut boleh mencetuskan ketegangan kaum dan akan menimbulkan satu lagi masalah baru kepada Malaysia.

Menyedari betapa pentingnya isu kedaulatan negara yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan, serta keperluan rakyat Malaysia bersatu padu menumpahkan taat setia kepada negara dalam keadaan yang genting seperti ini, PAS dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihanraya hari ini telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kedaulatan, Keselamatan Negara dan Rakyat.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS YB. Dato’ Haji Mahfuz Omar, Timbalan Pengerusi YBhg. Dato’ Fauzi Shaari (mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Di Raja Malaysia, Bukit Aman) dan akan dianggotai oleh tokoh-tokoh dari kalangan bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera, mantan pegawai-pegawai kerajaan dan veteran politik. Jawatankuasa ini berperanan utama untuk meneliti, menilai dan membuat cadangan terhadap isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara serta rakyat setelah kita melihat kegagalan dan kelemahan ketara di pihak kerajaan pimpinan BN yang ada ini.

PAS juga mengalu-alukan langkah pro-aktif Dewan Pemuda PAS yang mewujudkan tabung khusus bagi membantu keluarga anggota keselamatan yang ditimpa musibah ini, dan saya meminta agar setiap ahli PAS di seluruh negara turut sama memberikan sumbangan sekurang-kurangnya seringgit bagi setiap orang sebagai satu amal kebajikan.

Akhir sekali, PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mempertingkatkan iltizam kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dan terus memupuk semangat perpaduan bagi mengelakkan ketegangan kaum yang boleh timbul akibat isu pencerobohan ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya mesti menghindari provokasi mana-mana pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ untuk meraih kepentingan mereka yang sempit, dan mengutamakan solidariti rakyat Malaysia di saat-saat genting seperti ini.




Biodata Penulis

Y.A.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Qudsi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-