© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tentera Hizbullah Yang Berperang di Syria Masuk Neraka - Tufayli

Tentera Hizbullah Yang Berperang di Syria Masuk Neraka - Tufayli

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 5 March 2013


Bekas Setiausaha Agung gerakan parti para-militari Hizbullah Lebanon sejak 1989 sehingga 1991, iaitu Syeikh Subhi Tufayli mengecam campur tangan pejuang Hizbullah dalam konflik peperangan saudara di negara Syria. Beliau berkata, mana-mana pejuang Hizbullah yang terbunuh di negara bergolak tersebut (Syria) akan "masuk neraka jahannam" dan kematiannya tidak dianggap sebagai syuhada'.

"Saya bersama rakyat Syria (tidak kita Sunni atau Syiah) yang teraniaya dan dizalimi. Mana-mana anggota Hizbullah yang membunuh kanak-kanak, mencederakan warga tempatan dan menghancurkan rumah-rumah penempatan di Syria tidak akan menjadi syuhada' dan kematian mereka berakhir di neraka Jahannam," tegasnya.

Syeikh Subhi Tufayli menegaskan bahawa memang terdapat tentera-tentera Hizbullah yang bersekongkol bersama tentera rejim Basyar Al Assad. Mereka ke sana atas isu emosi melampau dan sentimen mazhab yang dimanipulasikan media untuk melagakan hubungan Syiah dan Sunni. Pada akhir tahun lalu Syeikh Adnan Al-Arour yang tinggal di Arab Saudi menyebut bahawa kaum Syiah di Syria akan disembelih dan dicincang, dagingnya diberikan kepada anjing.

Tufayli menambah bahawa masyarakat Syiah di Syria tidak memerlukan dokongan sesiapapun agar mereka dibela. Sebaliknya penyelesaian yang terbaik ialah menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat Syria bagi menyelesaikan masalah dan fitnah yang menimpa negara mereka. Konflik tersebut mampu ditangani dengan bijaksana oleh rakyat Syria tanpa mengheret mana-mana negara lain menghadapi jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Basyar.

"Masyarakat minoriti Syiah di Syria tidak perlu sesiapa pun untuk membela nasib mereka. Mereka mampu menangani konflik di negara mereka sendiri. Campurtangan tentera-tentera Hizbullah hanya akan menyebabkan jalan penyelesaian masyarakat di Syria bertambah sulit. Masjid Sayyidah Zainab tidak memerlukan perlindungan tentera Hizbullah kerana Sayyidah Zainab (salah seorang kerabat ahli bait) juga dicintai oleh kaum Sunni. Mereka (Sunni) pasti akan membelanya," ujarnya, merujuk kepada laporan bahawa pejuang Hizbullah dikerahkan oleh wakil yang tidak bertanggungjawab untuk mempertahankan masjid tersebut.

Tufayli menambah bahawa kemaraan pejuang-pejuang sukarelawan Hizbullah ke Syria tidak akan dapat menyelesaikan masalah di negara tersebut bahkan ia hanya akan menyebabkan rejim Bashar bertahan lebih lama dengan tindakan jenayah mereka.

Pada bulan Oktober 2012, Hassan Nasrallah mengakui bahawa terdapat anggota partinya (Hizbullah) membantu rejim Basyar menentang kelompok pembangkang Syria, namun beliau mengatakan bahawa anggota Hizbullah ke Syria bertindak sebagai individu dan tidak di bawah arahan parti.

Tufayli juga mengkritik tentera Lebanon yang tidak melarang warga di wilayah Hermel, Lebanon pergi ke sempadan Syria untuk berperang.

"Kenapa tidak tentera Lebanon mencegah warga mereka di Selatan Lebanon, Hermel dari pergi ke Syria untuk berperang? Kenapa mereka (tentera Lubnan) tidak melindungi warga tanah air mereka di bandar-bandar yang bersempadan dengan Syria?"

Tufayli juga mendakwa anggota Hizbullah bertanggungjawab ke atas setiap kematian masyarakat tidak kira Sunni atau minoriti Syiah di Syria dan memberi amaran bahawa "rejim Zionis Israel" merupakan penerima keuntungan pertama daripada campurtangan Hizbullah di sana (Syria). - Al Arabiya.Net

Al-Tufayli mendapat pendidikan selama sembilan tahun di Bandar Najaf, Iraq. Beliau kembali ke Lebanon dan bekerjasama dengan Abbas al Musawi membantunya membentuk parti para-militari iaitu gerakan politik yang dinamakan Hizbullah di Lembah Beqaa pada tahun 1982. Penubuhan Hizbullah bertujuan untuk mengekang penjajahan rejim Israel di selatan Lubnan sejak tahun 1982 lagi. Beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung parti Hizbullah pada tahun 1989 hingga 1991 dan kemudiannya digantikan oleh Abbas al-Mussawi. Penguasaan Abbas al Musawi di dalam parti Hizbullah sebagai Setiausaha Agung tidak lama, pada tahun 1992 Abbas al-Musawi terbunuh bersama isteri dan anaknya dalam serangan pesawat Apache yang dilakukan oleh rejim Israel.



Biodata Penulis

Artikel berita disediakan oleh Kumpulan Penterjemah Berita Antarabangsa Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-