© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Sinar Baru Buat Rakyat Syria Dari Qatar

Sinar Baru Buat Rakyat Syria Dari Qatar

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 28 March 2013


Sidang Kemuncak Negara-negara Arab yang ke-24 di Doha, Qatar telah melabuhkan tirainya semalam bersamaan hari Selasa 26 Mac dengan beberapa keputusan yang memberikan sinar dan harapan baru kepada rakyat di Syria.

Walaupun sinar baru yang diharapkan sebelum ini telah berkali-kali diusahakan oleh negara Arab namun harapan tinggal harapan manakala rakyat Syria saban hari terus dibunuh dan diseksa.

Antara keputusan yang dibuat ialah mengembalikan semula kerusi Republik Arab Syria di Liga Arab kepada Gabungan Kebangsaan Pembangkang Syria sehingga berlakunya pilihanraya yang telus dan kerajaan baru ditubuhkan atas kehendak rakyat. Selain itu, antara persetujuan yang dicapai iaitu negara-negara anggota juga berhak menyalurkan bantuan persenjataan kepada pembangkang Syria.

Sejak hampir dua tahun yang lalu, keanggotaan negara Syria dalam Liga Arab telah digantung bermula bulan November 2011 selepas rejim Basyar menggunakan kekerasan bagi mengekang kebangkitan rakyatnya. Sejak itu, persidangan Liga Arab dan mesyuarat-mesyuarat organisasi lain di bawahnya tidak lagi diwakili oleh mana-mana pihak bagi kerusi Syria sehingga Sidang kemuncak di Doha yang berakhir semalam.

Amir Qatar, Syeikh Hamd bin Khalifa Al-Thani yang mempengerusikan mesyuarat telah meminta keizinan dari ketua-ketua negara yang hadir untuk menjemput dua wakil dari negara Syria bagi mengambil tempat iaitu Syeikh Muaz Khatib dan Ketua kerajaan sementara, Ghussan Heto serta delegasinya.

Dengan tepukan gemuruh dari kalangan delegasi negara-negara yang hadir, Muaz Khatib telah mengambil tempat yang pernah diduduki oleh Basyar Al-Asad yang mengetuai delegasi Syria. Bendera rasmi negara yang terletak di atas meja berhadapan Muaz juga telah digunakan bendera revolusi rakyat sementara tertera di atas meja nama negara Syria "Republik Arab Syria".

Amir Qatar memberikan peluang kepada Muaz untuk menyampaikan ucapan buat pertama kali "atas nama wakil kepada rakyat Syria". Dalam ucapan sekitar 15 minit itu, Muaz memulakan ucapan dengan salam kepada yang hadir dari seluruh rakyat Syria yang telah disembelih oleh rejim selama 2 tahun dengan pemerhatian dunia.

"Salam sejahtera kepada kalian dari rakyat Syria yang dibunuh di kilang-kilang pembuat roti bagi mereka mencari sesuap rezeki..."

Beliau yang berucap dengan nada yang tegas menyingkap kekejaman rejim yang menangkap dan menyeksa tahanan serta menyeru ketua-ketua negara Arab berusaha membebaskan tahanan-tahanan politik. "Terdapat dari kalangan mereka yang diseksa ini kanak-kanak wahai tuan-tuan."

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru kepada ketua-ketua negara Arab dengan berkata, "Saya menyeru kepada kalian atas sifat saya sebagai saudara kalian yang paling muda, bertakwalah kepada Allah terhadap rakyat-rakyat kalian. Peliharalah keadilan di negara kalian dan tanamlah sifat kasih sayang di setiap tempat."

Amir Qatar juga menyarankan sidang negara-negara Arab di Kaherah terdekat ini bagi membincangkang perpaduan antara Hamas dan Fatah dengan kehadiran wakil kedua-dua pihak selain menubuhkan tabung bagi menyokong Al-Quds dengan nilaian berbillion dollar.

Berkaitan krisis berdarah di Syria, beliau berkata menjadi kewajipan untuk mempertahankan kesatuan tanah air Syria dan rakyat mereka selain menyarankan satu persidangan bertaraf antarabangsa perlu diadakan bagi membangunkan semula Syria selepas penyerahan kuasa disempurnakan kelak.

Sidang tersebut dihadiri oleh semua ketua-ketua negara Arab kecuali Oman, Saudi, Morocco, Iraq, Algeria dan UAE yang diwakili oleh wakil masing-masing. Ia dimulakan dengan ucapan Naib Presiden Iraq, Khidhr El-Khuza'ie sebagai ketua persidangan sebelum ini.

Sebagai usaha mengiktiraf kumpulan pembangkang Syria, kerajaan Qatar juga telah menyerahkan Pejabat Kedutaan Syria di Doha kepada pakatan pembangkang, keputusan pertama seumpamanya yang dilakukan oleh kerajaan di dunia ini.

Duta kumpulan pembangkang Syria di Qatar, Nizar El-Haraki dalam sidang media selepas persidangan tersebut berkata, Muaz Khatib yang mengetuai delegasi Syria kali ini sempat bertemu dengan beberapa pemimpin negara Arab yang mengharapkan beliau menarik balik pengundurannya dari mengetuai pakatan pembangkang Syria bagi meneruskan cita-cita murni rakyat yang masih belum tercapai.

Muaz beberapa hari lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Gabungan Pakatan Pembangkang Syria.

Mengulas penyerahan Pejabat kedutaan Syria di Qatar kepada pakatan pembangkang, Nizar berkata, ia satu permulaan yang baik bagi menguatkan hubungan antara negara-negara Arab lain. Beliau turut melahirkan hasrat pakatan pembangkang untuk berusaha bagi menuntut kerusi Syria di PBB dan pertubuhan dunia lain diberikan kepada mereka sebagai wakil kepada rakyat Syria yang sah, bukan lagi Basyar dan rejimnya.

Sidang kemuncak seterusnya akan berlangsung pada Mac 2014 di Kuwait.

Sementara itu, Damsyik yang berang dengan tindakan Qatar dan Liga Arab itu telah meluahkan kemarahannya melalui media rasmi yang masih dikuasai oleh rejim. Tidak terkecuali menjadi sasaran penyokong setia Basyar ialah halaman rasmi milik Liga Arab.

Menurut kenyataan halaman rasmi kerajaan Syria, "Sesungguhnya Liga Arab telah menyerahkan kerusi Syria kepada puak pencuri, perompak dan penjenayah. Hakikatnya rakyat yang memberikan kekuasaan."


Biodata Penulis

M.Abdul Malik bin Abdul Karim mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Bahasa Arab, Kaherah. Banyak menulis esei berkaitan isu-isu hangat di Timur Tengah, antara buku tulisan beliau bertajuk Mesir Sebelum Dan Selepas Dr.Mursi, Travelog Luka Air Mata Syria dan banyak lagi. Anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-