© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » » Memahami Maratib Ahkam dan Perbezaan Pendapat

Memahami Maratib Ahkam dan Perbezaan Pendapat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 20 March 2013


Di antara perkara yang sering diabaikan oleh pemuda yang memiliki roh perjuangan Islam, yang berkobar-kobar semangatnya terhadap kebangkitan umatnya ialah mengenal dan memahami martabat martabat hukum syara’. Mereka lupa bahawa setiap hukum itu tidak hanya terdiri dari satu tahap sahaja dari segi kesabitan; mereka alpa adakalanya sesuatu hukum itu termasuk dalam perkara yang diharuskan kepada para ulama untuk berselisih pendapat.

Para pemuda yang terlalu ghairah ini tidak mengerti bahawa adanya hukum-hukum yang bersifat zanniah di mana ia menjadi lapangan perbahasan bagi mereka yang berautoriti (para ulama) melakukan ijtihad. Fahamilah, perbezaan pendapat dalam hukum-hukum yang bersifat furu'iyyah dan zanniah sama sekali tidak ditegah dalam Islam, apabila ia didasari syarat-syarat ijtihad yang benar dan terpelihara syara’-nya.

Perbezaan seperti ini adalah rahmat bagi umat, malah menjadi kelapangan kepada syari'ah dan fleksibiliti ilmu feqah. Begitupun di sana, ada juga hukum-hukum yang sifatnya sabit dengan Al Quran, Sunnah dan Ijma’ sehingga sampai ke darjat yakin. Sesiapa yang menyalahi hukum-hukum tersebut, disifatkan sebagai fasiq atau mungkin berkesudahan kepada kekufuran kepada Allah Taala. Na’uzubiLlah.

Ada juga hukum-hukum Islam yang diketahui secara mudah di mana peringkat pengenalannya setara di antara orang khas dengan orang awam. Orang yang mengingkari dihukum kafir tanpa ada khilaf lagi, kerana kederhakaan terhadap hukum yang tiada baginya khilaf diketahui umum seperti kefardhuan solat. Jika ada orang yang menafikannya sesungguhnya dia terang-terang telah mendustakan Allah dan Rasul.

Oleh kerana itu, kita tidak sepatutnya meletakkan semua hukum dalam satu darjat yang sama, sehingga menyebabkan setengah manusia terburu-buru melontarkan tuduhan kafir, fasiq, atau bid'ah kepada setiap orang yang membantah pendapatnya dalam sesuatu masalah hukum. Sesungguhnya para fuqaha’ kita yang tersohor telah berbeza pendapat dalam sesetengah masalah sampai kepada puluhan pendapat, malah dalam satu masalah sahaja didapati semua kenyataan mereka didorong oleh keragaman fikiran dan kepelbagaian hujjah.

Sebagai contoh tentang pendapat mereka berkenaan seorang Muslim yang membunuh Muslim yang lain, berlaku disebabkan desakan, tekanan dan paksaan. Adakah wajib qisas ke atas orang yang dipaksa melakukan pembunuhan seperti itu? Atau qisas itu dijatuhkan ke atas orang yang memaksa dan mengancamnya, kerana si pembunuh dijadikan alat baginya? Adakah kedua-duanya sekali (dikenakan hukuman qisas)? Kerana yang pertama disebabkan perbuatan membunuhnya, manakala yang kedua dengan sebab memaksanya? Atau tidak wajib kedua-duanya di-qisas kerana cara kesalahan membunuh itu dinisbahkan sebagai tidak sempurna untuk dijatuhkan hudud?

Dengan tiap-tiap kemungkinan ini, sebahagian fuqaha’ mengeluarkan pandangan dan masing-masing menggunakan sudut yang tersendiri dalam memutuskan hukuman tersebut. Bahkan di dalam satu mazhab dari mazhab-mazhab Islam yang kita ikuti itu terdapat banyak pendapat, riwayat, corak fikiran, kaedah dan perbezaan dalam memberikan kesahihan termasuklah menafikan kesahihan di kalangan para ulama mazhab itu sendiri.

Oleh itu, menjadi kewajiban teras kepada para pemuda supaya mereka menyempurnakan kefahaman terhadap Islam dengan cara ber-tafaqquh, mengetahui apa yang harus dan apa yang dilarang ketika berlaku khilaf (perbezaan pendapat). Ketahuilah bahawa daerah yang harus kita mengeluarkan berbagai-bagai pendapat adalah lebih luas dari daerah yang dilarang kita melakukannya.

Perbezaan pendapat yang melibatkan pertikaian ilmiah, pada dasarnya tidaklah berbahaya sekiranya ia disertai dengan sikap tasamuh (tolak ansur) serta bebas daripada elemen ta'assub (fanatik), prasangka dan suka merendahkan pandangan orang lain.

Sesungguhnya Para Sahabat Rasulullah S.A.W telah berbeza pendapat dalam banyak masalah, hukum-hakam, tetapi mereka saling berlapang dada dan tidak mencela antara satu sama lain. Demikian juga murid-murid mereka dari kalangan Tabi'en. Mereka dapati perbezaan pendapat ini sebagai kelapangan dan rahmat bagi umat, tempat subur dan kekayaan bagi ulama’ menjelaskan masalah-masalah feqah. Khalifah ke-5 Khulafa’ Ar Rasyidin, Umar bin Abdul Aziz pernah berkata, “Aku tidak pernah mengimpikan agar Para Sahabat Rasulullah SAW tidak pernah berbeza pendapat, kerana perbezaan pendapat di kalangan mereka adalah rahmat”.

 Perihal adab berbeza pendapat ini dijernihkan lagi dalam masalah solat Asar di perkampungan Bani Quraizah, ketika Rasulullah S.A.W berkata kepada Para Sahabat di dalam peperangan Ahzab, “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan solat Asar melainkan di Bani Quraizah”.

Setelah itu sebahagian Para Sahabat menunaikan solat di tengah perjalanan sebelum luput waktunya kerana mereka berpendapat bahawa maksud perintah Rasulullah itu adalah supaya mereka menyegerakan perjalanan bukannya melewatkan solat dari waktunya. Manakala sebahagian yang lain berpegang kepada zahir nas dan mereka melaksanakan perintah Baginda mengikut harfiah-nya (secara tekstual). Golongan yang pertama mengambil fahaman yang tersirat, manakala golongan yang kedua mengambil zahir setepatnya.

Menurut Ibnu Qayim — mereka adalah golongan yang terdahulu (salaf) dari ahli qiyas (pentakwil nas) dan juga golongan salaf dari ahli zahir (pengikut nas/ tekstual).

Petunjuk yang paling utama di sini ialah, bahawa setelah hal ini sampai ke pengetahuan Baginda S.A.W, mereka tidak mencela antara satu sama lain, walaupun salah satunya mungkin tersalah (dalam ijtihadnya). Maka peristiwa ini menjadi dalil kepada kita bahawa beramal apabila telah sempurna syarat ijtihad-nya, lalu tidak sepatutnya salah satu di antara mereka dikafirkan atau disalahkan.

Kita sedari pada masa kini wujudnya kumpulan-kumpulan yang memaksa diri mereka, memaksa manusia bersatu dalam acuan mereka. Mereka menghimpunkan manusia secara dikotomi menurut satu pandangan sahaja, iaitu pandangan yang mereka rasakan sesuai dengan apa yang mereka fahami dari nas-nas syara’. Dengan demikian, menurut mereka tidak ada lagilah mazhab-mazhab, hilanglah pertikaian dan bertemulah semuanya pada satu kalimah yang sama.

Mereka lupa bahawa memonopoli fahaman nas-nas agama (yakni mengatur manusia supaya mengikut satu laras pendapat sahaja) tidak dapat lari dari satu hakikat yang menyatakan bahawa mereka boleh jadi salah atau boleh jadi benar. Ini kerana, tiada jaminan ‘ismah’ – seseorang itu terpelihara dari sebarang kesilapan – sekalipun dia cukup syarat-syarat ijtihad.

Apa yang pasti adalah jaminan Rasulullah, baginya pahala di atas ijtihadnya, samada benar atau salah. Benar mendapat 2 pahala, jika salah mendapat 1 pahala. Kerana itu, sikap keras mereka ini tidak lebih dari menambah mazhab-mazhab yang telah tersusun sebagai mazhab yang baru. Amat ganjil, kerana mereka melarang umat Islam mengikut pendapat imam-imam mazhab, namun pada waktu yang sama mereka menuntut orang ramai mengikut pendapat guru-guru mereka pula.

Pandangan yang saya keluarkan ini jangan pula anda menyangka bahawa saya mengingkari seruan untuk mengikut kesahihan nas dan berijtihad, kerana medan berhujjah adalah hak setiap individu Muslim yang sempurna syarat dan alat untuk berijtihad. Tidak ada sesiapapun yang berkuasa menutup pintu yang telah dibuka oleh Rasulullah SAW untuk umat ini.

Hanya yang saya ingkari ialah sikap keterlaluan kumpulan-kumpulan ini ke atas manhaj yang telah lama ditempuh oleh para ulama ummah. Yang saya ingkari ialah sikap penghinaan mereka terhadap feqah yang menjadi warisan umat, termasuklah dakwaan yang berleluasa bahawa mereka sahajalah yang benar, manakala yang selain dari mereka salah, sesat, bid’ah dan sebagainya.

Salah seorang penuntut ilmu yang turut terpengaruh dengan pengikut aliran ‘pendapat tunggal’, dengan ikhlas dia telah bertanya kepadaku, "Kenapa tidak bersatu seluruh aliran mazhab Islam dalam satu pendapat yang mengikut nas yang paling absah?".

Kemudian saya berkata kepadanya, "Tidak semudah itu (wahai anak muda). Hal itu mestilah datang dari nas yang sahih dan disepakati oleh seluruh ulama mazhab, mestilah nyata dilalah-nya menurut makna yang dimaksudkan; selamat dari nas-nas lain seumpamanya atau yang berlawanan dengannya, mahupun yang lebih kuat daripadanya. Sedangkan adakalanya sesuatu nas itu sahih di sisi seorang imam, tetapi dhaif di sisi yang lain. Kadang-kadang sahih di sisinya, tetapi dilalah-nya tidak tepat atas masalah yang dimaksudkan. Mungkin berlaku; di sisi seorang imam melihat sesuatu nas itu bersifat am tetapi di sisi yang lain melihatnya khas, ada yang melihatnya mutlak, tetapi di sisi yang lain sebagai muqayyad. Mungkin ada juga yang melihatnya sebagai dalil wajib atau haram, tetapi yang lain melihatnya sebagai dalil sunat atau makruh, mungkin sesetengahnya menganggap nas itu muhkam, sedang yang lainnya menganggapnya mansukh."

Ambillah contoh hadis-hadis berikut :
  • Dari Asma' binti Yazid R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, (( Mana-mana wanita yang memakai kalung daripada emas, bererti ia mengkalungkan lehernya kalungan daripada api neraka di hari kiamat… )). Riwayat Abi Daud dan An Nasa’ie.
  • Dari Abi Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, (( Siapa yang suka kekasihnya memakai cincin dari neraka, maka ia pakaikanlah cincin dari emas; dan sesiapa yang suka kekasihnya memakai kalung dari neraka, maka ia pakaikanlah kalung dari emas; dan sesiapa yang suka kekasihnya memakai gelang dari neraka, maka ia pakaikanlah gelang dari emas… )). Riwayat Abi Daud.
  • Dan hadis yang serupa ialah hadis Thauban R.A, (( Bahawa Nabi S.A.W melarang Fatimah R.A memakai rantai daripada emas untuk dijadikan perhiasannya. Dengan sebab itu ia menjualnya dan harga jualan tersebut Fatimah RA membeli seorang hamba lalu memerdekakannya semula. Hal itu diceritakan kepada Nabi SAW. Lalu Rasulullah berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari neraka” )). Riwayat An Nasa’ie.
Berkenaan dengan hadis-hadis ini, para ulama mempunyai pendirian dan pendapat yang berbeza-beza, iaitu :

Pertama : Di antara ulama ada yang memperhatikan dari segi sanadnya, maka mereka mendapati sebab-sebab kelemahan yang ada menyebabkan nas ini ditolak dan dihukum hadis tersebut sebagai dha'if. Mereka berpendapat menghukum sesuatu yang haram mestilah dengan pasti dan berhati-hati, khasnya dalam perkara yang sudah menjadi kelaziman serta manusia beramal dengannya.

Kedua : Ada juga yang mensahihkannya (hadis ini), tetapi mereka berpendapat bahawa hadis ini telah mansukh, kerana sesungguhnya telah sabit harus-nya memakai emas bagi wanita dengan dalil-dalil yang lain. Imam Al Baihaqi dan yang lainnya telah menekuni hal ini serta ia diakui oleh pengamal-pengamal feqah.

Ketiga : Di antara mereka juga ada yang mengkhususkannya pada hak orang yang tidak menunaikan zakatnya bukan ke atas orang yang sudah menunaikan zakatnya. Mereka juga mengambil alasan dari hadis-hadis yang tidak selamat dari kritikan.

Keempat : Ada juga ulama yang mentakwilkan bahawa amaran dalam hadis itu hanyalah ditujukan kepada orang yang berhias-hias lalu menampak-nampakkannya. Ertinya amaran di sini adalah kerana tujuan bermegah-megah bukan semata-mata ia barang perhiasan. Imam An Nasa’ie telah meletakkan sebahagian hadis itu  di bawah bab “Makruh bagi wanita menampak-nampakkan perhiasan emas”. Lalu sebahagian ulama berkata, tegahan di sini hanyalah pada emas yang mewah-mewah dijadikan perhiasan, kerana di sana ada tujuan  untuk bermegah-megah.

Kelima : Pendapat Sheikh Nasiruddin Albani pada masa ini dikenali sebagai fenomena baharu. Beliau menghukum hadis-hadis yang melarang wanita memakai emas sebagai sahih lalu beliau berpendapat nas tersebut adalah dalil yang tegas pengharaman emas ke atas wanita. Pendapat ini (Albani) menyalahi apa yang telah ditetapkan oleh para ulama feqah dalam seluruh mazhab sepanjang 14 kurun yang lampau.Realiti yang berlaku, adakah sesiapa yang dapat menghalang wujudnya perbezaan pendapat dari segi sabit dan dilalah-nya sesuatu nas itu?

Jawabnya jelas, manusia akan terus berbeza pendapat dalam perkara-perkara seumpama ini dan hal ini tidak ada bahayanya jika ia ditangani secara beradab, insya Allah.

Terjemahan "Adab Ikhtilaaf" Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi karangan kitab bertajuk "Kaifa Nata'amalu ma'aa Sunnah"


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Dakwah dan Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia