© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jangan Lupa Penderitaan Saudara Kita di Syria

Jangan Lupa Penderitaan Saudara Kita di Syria

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 9 March 2013


Menjelang Mac 2013 maka genaplah 2 tahun atau 24 bulan rakyat Syria memulakan gelombang kebangkitan mereka menentang kerajaan tahgut yang zalim, Basyar Al-Asad. Berbekalkan semangat "Arab Spring" dari rakyat Tunisia, Mesir dan Libya mereka bangkit menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.

Kebangkitan yang hanya bermula di sebuah perkampungan yang kecil, Hauran dalam wilayah Dar'a apabila beberapa orang pelajar sekolah menconteng di dinding sekolah "Rakyat Mahu Gulingkan Rejim", satu slogan yang dilaungkan oleh rakyat Mesir selama 18 hari di Tahrir dan bandar Tunisia bagi menggulingkan rejim masing-masing.

Mereka kemudian ditangkap oleh pasukan keselamatan yang menjadi "barua" Basyar serta mendera mereka dengan mencabut kuku-kuku mereka. Salah seorang dari kumpulan kanak-kanak tersebut, Hamzah Al-Khatib telah menemui ajal. Jika revolusi Mesir, Khalid Sa'id dijadikan ikon bagi menggerakkan kebangkitan, maka kematian kanak-kanak Hamzah tersebut telah berjaya membangkitkan sentimen benci kepada kezaliman yang dilakukan oleh pasukan polis wilayah Dar'a yang diketuai oleh 'Atif Najib, seorang kenalan rapat Basyar.

Ratusan keluarga kanak-kanak keluar beramai-ramai di Hauran bagi menuntut anak-anak mereka dikembalikan sambil melaungkan slogan "Jatuh, jatuh Atif Najib!". Malangnya, dengan angkuh orang suruhan Atif Najib bukan sahaja menolak permintaan keluarga bahkan menghina mereka dengan meminta perempuan-perempuan keluarga mangsa untuk dinikahi.

Berang dengan kata-kata jijik tersebut, ratusan penduduk kampung menyertai keluarga mangsa meneruskan himpunan di tengah-tengah bandar. Mereka yang keluar dengan aman tanpa rusuhan, kekacauan dan senjata malangnya, dibalas oleh pasukan polis Dar'a dengan tembakan bertalu-talu dari helikopter polis yang dihantar oleh Atif Najib bagi melenyapkan kebangkitan. Puluhan menemui syahid di hari pertama di Dar'a.

Sepantas kilat, kebangkitan mulai merebak di Homs, Halab, Hama dan termasuk bandar Dimashq.
Kesengsaraan rakyat Syria seakan-akan tiada kesudahan apabila dilaporkan hampir 1 juta telah menjadi pelarian ke sempadan Turki, Jordan dan Lubnan. Tidak kurang juga mereka terpaksa berhijrah ke Mesir. Kematian pula menurut angka rasmi kini telah mencecah lebih 60,000 nyawa manakala angka tidak rasmi kemungkinan telah mencecah angka 100,000 berdasarkan penemuan hampir setiap hari perkuburan besar yang dikebumikan puluhan rakyat yang disembelih dan dibunuh.

Fitnah ke atas kebangkitan rakyat Syria telah dijayakan oleh media pro-Barat apabila selama dua tahun dunia berjaya dicanangkan bahawa rakyat yang muak dengan kepimpinan Basyar sebagai "pemberontak" dan usaha tentera kerajaan untuk mematahkan pemberontakan adalah sah di sisi undang-undang sedangkan Basyar dan ayahnya, Hafiz Al-Asad menaiki singgahsana kerajaan bukan melalui pilihan rakyat, tetapi rampasan kuasa. Sepanjang 60 tahun, tiada satu pilihanraya memilih Presiden baru diadakan.

Umat Islam cukup dukacita kerana rejim Syria dibantu sepenuhnya oleh Iran dan tentera Hizbullah yang berpengkalan di selatan Lubnan setelah Russia dan China bersungguh-sungguh mempertahankan rejim Syria. Amerika dan PBB pula memerhati dari jauh bimbang penguasaan kumpulan Islam ke atas Syria selepas kejatuhan Basyar, satu mimpi ngeri yang tidak diingini oleh mereka setelah mengambil iktibar apa yang berlaku di Mesir selepas kejatuhan Mubarak.

Amerika dan PBB tentunya akan membuat percaturan yang berhati-hati bagi memastikan anak emas mereka, Israel akan terselamat.

Rejim Syria yang hanya bertongkatkan kuasa-kuasa asing tadi memperhebatkan serangan ke atas rakyat awam. Tidak cukup dengan askar dan talibarut meeka menyembelih kanak-kanak serta wanita, mereka turut menggunakan pesawat tempur mengebom rumah kediaman orang awam selain dilaporkan menggunakan gas kimia yang diharamkan oleh badan dunia.

Kini, setelah 2 tahun berlalu seakan-akan Syria dilupakan. Kemungkinan isu seputar negara masing-masing menjadikan kita leka dari tanggungjawab membantu saudara seagama kita ini. Mungkin kesungguhan kita dalam mempedulikan nasib saudara kita di Gaza dan Palestin tetapi percayalah, waktu ini saudara kita di Syria lebih daif, amat memerlukan perhatian dan lebih 'aula untuk dibantu waktu ini.




Biodata Penulis

M.Abdul Malik bin Abdul Karim mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Bahasa Arab, Kaherah. Banyak menulis esei berkaitan isu-isu hangat di Timur Tengah, antara buku tulisan beliau bertajuk Mesir Sebelum Dan Selepas Dr.Mursi, Travelog Luka Air Mata Syria dan banyak lagi. Anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-