© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jangan Biarkan Api Fitnah Menyala

Jangan Biarkan Api Fitnah Menyala

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 14 February 2016



Fitnah adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan malapetaka yang membinasakan umat manusia. Sememangnya Islam memberikan perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti, pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah.

Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang-kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain. Fitnah juga seperti harimau yang sedang tidur. Sesiapa sahaja yang mengejutkannya daripada tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas bangun dan menerkam. Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah, ia akan menyala dan menyambar.

Bentuk-Bentuk Fitnah (Ujian)

Mengikut Ibnu Manzur di dalam Lisan al-‘Arab, al- Fatnun (الفَتْنٌ)  jamak Fitnah (جمع فتنة) bermaksud tribulasi, ujian atau cubaan (الابتلاء والامْتِحانُ والاختبار). Terdapat dua bentuk fitnah iaitu fitnah berbentuk khusus dan berbentuk umum. Fitnah yang berbentuk khusus berkait rapat dengan peribadi manusia iaitu syahwat dan keinginan seperti fitnah keluarga, harta, anak-anak dan wanita. Firman Allah Ta’ala:
 وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Manakala disebutkan dalam sebuah hadis ﷺ bahawa:
 عن عبد الله بن بريدة عن أبيه قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فأقبل الحسن والحسين رضي الله عنهما عليهما قميصان أحمران يعثران ويقومان، فنزل فأخذهما فصعد بهما المنبر ثم قال صدق الله: إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ. رأيت هذين فلم أصبر، ثم أخذ في الخطبة.
“Daripada ‘Abdullah ibnu Buraidah daripada bapanya katanya: Tatkala Nabi berkhutbah maka datang Hassan dan Hussain kedua-keduanya berpakaian merah (ketika itu masih kecil) mereka berdua berjalan dan jatuh tergelincir. Lalu Baginda turun lalu mengambil mereka berdua dan membawanya menaiki mimbar dan membaca; Benarlah firman Allah, ...Sesungguhnya hartamu dan anakmu adalah cubaan. Aku melihat dua anak kecil yang jatuh tergelincir ini, aku tidak bersabar sehingga menyebabkan aku berhenti memberi khutbah.”
Harta, keluarga, anak-anak dan juga sahabat handai kadang-kadang boleh melalaikan manusia dari beribadah kepada Allah. Akibat kelalaian maka seseorang akan meninggalkan solat, melakukan kezaliman, melakukan maksiat dan meninggalkan kewajipannya terhadap Allah, kemuncaknya menjadilah mereka termasuk golongan yang rugi di dunia dan akhirat.

Disebabkan hal inilah Allah menyebut dalam firman-Nya:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Begitu juga fitnah berkaitan harta, iaitulah kesempitan wang, bebanan hutang, harta banyak yang melalaikan perjuangan dan lain-lain. Wanita juga adalah fitnah (ujian) kepada kaum lelaki. Hakikat ini diungkapkan oleh Nabi ﷺ:
 مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
“Tidak ada fitnah selepas wafatku di kalangan manusia yang lebih bahaya terhadap kaum lelaki iaitulah fitnah daripada wanita.”

Berkata Ibnu Hajar al-‘Asqalani bahawa maksud hadith di atas ialah diperhiaskan wanita sehingga menjadikan kaum lelaki ingin menuruti hawa nafsunya. Secara umum, sabda Nabi ﷺ ini memang terbukti kebenarannya. Hal ini jika kita teliti berapa ramai lelaki yang tewas dengan pujuk-rayu wanita. Jika kita tidak menghadapi fitnah ini dengan penuh hikmah dan bijaksana maka kita pasti akan terperangkap dalam kancah kemaksiatan seperti perzinaan dan sebagainya.

Justeru, kita mestilah menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah Ta‘ala dan petunjuk yang ditujukkan oleh Nabi ﷺ dalam masalah ini. Jika kita ditimpa fitnah khusus ini maka kita dituntut memperbanyakkan amal soleh seperti solat, sedekah, berpuasa, menyuruh kepada makruf dan melarang yang mungkar, maka amal-amal ini akan menjadi kafarah (penghapus) kepada dosa kita.

Allah Ta‘ala menyatakan hakikat ini di dalam surah Hud, ayat 114:
 وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ
“Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan yang buruk, itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”


Adapun fitnah secara umum pula iaitulah fitnah yang bergelombang seperti gelombang lautan yang luas, yang menggoncangkan sekalian penumbang yang berada di dalam kapal. Fitnah ini pertama kali muncul ketika Khalifah Uthman bin Affan dibunuh oleh kaum penentang yang dikepalai oleh Abdullah ibnu Saba’. Setelah itu kaum Muslimin berpecah-belah, mereka dikuasai oleh hawa nafsu dan saling kafir-mengkafirkan di antara saudara se-Islam, sehingga berlaku pertumpahan darah di antara mereka.

Sehingga hari ini kita dapat lihat lahirnya firqah-firqah dan kelompok-kelompok yang ingin memecah-belahkan kaum Muslimin dan seterusnya ingin menjauhkan mereka dari berhukum dan berpegang dengan kitab Allah, sunnah Rasulullah ﷺ, dan jalan para sahabat, tabi’en dan para salaf al-soleh serta pengikut-pengikut mereka.

Rasulullah ﷺ Thabat Mendepani Fitnah

Fitnah boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi. Lantaran itu, berhati-hatilah kerana fitnah adalah agenda syaitan yang pastinya ingin melihat umat manusia berantakan sesama sendiri. Hari ini fitnah masih dikenali sebagai senjata paling tua ia terus digunakan secara berleluasa di sepanjang zaman. Isteri Nabi ﷺ, Sayyidatina ‘Aisyah turut pernah difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mu‘attal al-Sulami.

Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian Sahabat Rasulullah ﷺ mencadangkan agar Nabi ﷺ menceraikan ‘Aisyah sementara sebahagian lain mempertahankannya. Rasulullah ﷺ diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira-kira sebulan lamanya.

Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga Rasulullah ﷺ daripada belenggu fitnah yang direka oleh musuh-musuhnya. Allah Ta’ala berfirman di dalam surah al-Nuur ayat 11;
إِنَّ الَّذِينَ جَاؤُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ لا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri (fitnah) ini untuk menjatuhkan lawan mereka sama ada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pertembungan politik.

Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi ﷺ.

Firman Allah Ta’ala:
لَقَدِ ابْتَغَوُاْ الْفِتْنَةَ مِن قَبْلُ وَقَلَّبُواْ لَكَ الأُمُورَ حَتَّى جَاءَ الْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَارِهُونَ
Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka benci kepada kebenaran. (Surah al-Taubah, ayat 48)

Sikap Orang Mukmin Menghadapi Angkara Fitnah

Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Ta’ala, selayaknya kita menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita. Sentiasa berlindung kepada Allah daripada kejelekan ujian dan fitnah. Amalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ seperti doa ini:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka jahannam, daripada kejahatan fitnah al-masih dajjal dan daripada fitnah ketika hidup dan ketika mati. (Riwayat Muslim)

Hendaklah kita menghayati seruan dan perintah yang diarahkan oleh Allah Ta’ala kepada kita semua:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan Ulil Amri (ulama’) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 59)

Semoga kita dipelihara oleh Allah Ta’ala daripada kebinasaan ini dengan kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Jauhi fitnah malah jangan sekali-kali berjinak-jinak dengan amalan memfitnah. Jika ingin membuat tuduhan, pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas. Kerana setiap tuduhan mestilah diakhiri dengan hukuman, bukannya dijaja untuk menjatuhkan maruah yang tertuduh. Jika mahu mengandai atau menyangka, pastikan andaian atau sangkaan itu baik. Jika mahu membentuk persepsi, bentuklah persepsi yang berpaksikan fakta yang tepat dan benar.

Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan. Meskipun wujud perbezaan pandangan dan kelainan tindakan di kalangan anggota jamaah, ia tidak menghalalkan kita mencetuskan dan menabur fitnah sewenang-wenangnya. Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita sendiri bahkan kesannya lebih kejam.

Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali-kali membentuk sikap dan fikiran semata-mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula.

Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara. Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak, sebaliknya jama’ah akan binasa dan rosak, anggota jama’ah akan berpecah, masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah Ta’ala akan murka kerana kita saling mengata dan buruk sangka antara satu sama lain.

Atas nama Allah kita bersyahadah, kitab suci al-Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada ejen-ejen musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jama’ah dari dalam.

Marilah kita menghayati kembali ruh berjama’ah yang berpaksi di atas semangat ukhuwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak. Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jama’ah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ia tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam.

Walaubagaimanapun yakinlah andainya fitnah itu membelenggu kehidupan kita, ia adalah satu cubaan dari Allah agar kita terus bersabar dan dengan kesabaran itu terhapusnya dosa-dosa kita. Firman Allah Ta’ala:
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Dan sesungguhnya kami (Allah) telah menguji umat yang terdahulu sebelum kamu dan dari hal itu Allah tahu siapakah di kalangan mereka yang benar dan siapa yang berdusta. (Surah al-Ankabut, ayat 3)

Bingkisan Nasihat Buat Umat

Nasihat saya juga kepada mereka yang berkuasa dan mengelola kuasa media agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Jangan sekali-kali membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik pula berdepan dengan kemurkaan Allah Ta’ala.

Bagi pihak saya, segigihnya saya mahu membina para pemuda PAS agar mewarnai perjuangan suci untuk menegakkan Islam di atas tanahair ini dengan membentuk medan politik yang disinari hidayah atau petunjuk Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana kita tidak mahu orang lain memfitnah maka demikianlah kita tidak mahu kita turut terjebak dalam budaya fitnah. Justeru kita mesti mulakan dari diri kita dan parti kita.

Namun, tidak bermakna PAS dan para pemudanya akan diam membenarkan segala kemungkaran dan kefasadan yang berlaku di pentas politik tanahair. Membongkar penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selaku pemegang amanah rakyat mestilah dilaksanakan asal sahaja ia bertunjangkan bukti yang kukuh, maka ia bukan fitnah malah ia adalah satu kewajiban.

Semoga budaya intelektual sebegini akan terus subur sehingga meletakkan kita semua sebati dengan tindakan berasaskan hujjah dan fakta bukan fitnah dan tohmah. Jika ada pertuduhan, silakan namun lampirkan bukti yang benar. Sejurus bukti dikemukakan, pihak berwajib bertindaklah sewajarnya, jangan membuat pendakwaan terpilih berasaskan kecenderungan dan kepentingan pihak tertentu.

Marilah kita berdoa kepada Allah Taala agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan Allah.

Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Berpolitiklah dengan maksud untuk membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan.

Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah Ta’ala, bukan dengan cara menyuburkan budaya fitnah menjatuhkan pihak lawan.

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan mantan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-