© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Debaran Pilihanraya Parlimen Di Mesir

Debaran Pilihanraya Parlimen Di Mesir

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 5 March 2013


Dalam situasi semasa, suhu politik Mesir kembali panas menjelang tempoh penamaan calon bagi merebut 546 kerusi dalam Pilihanraya Dewan Rakyat (atau Majlis An-Nuwwab). Hari pertama penamaan calon bermula Sabtu ini dan akan dibuka selama 8 hari.

Walaupun pada awal pengumuman Presiden Mursi mengumumkan tarikh pengundian akhir April depan terdapat suara-suara sumbang yang menyeru pilihanraya ini diboikot namun sehingga sekarang tida kenyataan rasmi dibuat oleh mana-mana parti untuk memboikotnya termasuk Barisan Penyelamat Mesir, kumpulan pembangkang utama. Parti-parti barisan tersebut seperti Wafd, Masri Demoqraty dan Dustour (yang diketuai oleh Dr.Mohammad Baradei masih belum mengumumkan pendirian mereka,akan tetapi penganalisis berkata, mereka hampir pasti menyertainya. Kecuali pendirian peribadi Baradei sebelum ini melalui laman Twitter beliau yang menyeru pilihanraya ini diboikot, adapun rakan seangkatannya seperti Amru Musa dan Hamdin Sobahi masih mengkaji.

Pemerhati politik menjangkakan jika 'kejutan' dibuat terdekat ini oleh kumpulan Barisan Penyelamat untuk memboikot pilihanraya ini, akhirnya mereka akan menyertainya juga seperti dalam isu pungutan suara perlembagaan akhir tahun lepas. Bukankah Barisan Penyelamat bermati-matian mahu rakyat memboikot pungutan suara tersebut tapi setelah melihat rakyat tidak menyambutnya, mereka membuat pusingan 360 darjah di saat-saat akhir iaitu menyeru rakyat turun beramai-ramai tetapi mengundi "tidak" kepada draf perlembagaan tersebut. Malangnya, dakyah mereka juga gagal apabila majoriti rakyat bersetuju.

Maka, skrip yang sama akan digunakan oleh barisan ini. Yang pasti, sebahagian besar parti-parti politik telah bersedia menyertai gelanggang pilihanraya kali ini termasuk Parti Ghad Thaurah dan Msir Qawiyyah yang diasaskan oleh bekas anggota Ikhwan Muslimin yang dipecat, Abdul Mun'im Abul Futuh.

Beberapa hari lepas, sewaktu kunjungan Setiausaha Luar Amerika yang baru, John Kerry ke Mesir, beliau turut bertemu pemimpin kumpulan pembangkang antaranya Presiden Parti Ghad Thaurah, Aiman Nour, Amru Musa dan bekas Ahli Parlimen, Muhammad Abu Hamed yang dikaitkan sebagai penggerak kumpulan samseng "Blok Black" di Mesir. Media Mesir melaporkan, Dr.Mohammad El-Baradei tidak hadir tetapi hanya menghubungi Kerry melalui telefon. Tidak pula diketahui butiran perbincangan.

Ikhwan Muslimin melalui sayap partinya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) melalui Naib Presidennya, Dr. 'Essam Iryan telah mengumumkan akan bertanding di seluruh kerusi dan menjangkakan kemenangan 70 peratus daripada 546 kerusi.

Jawatankuasa Tertinggi Parti FJP dua hari lepas yang bermesyuarat memutuskan FJP akan bertanding sendirian kali ini, tanpa menyertai atau menubuhkan pakatan seperti yang dilakukannya pada Pilihanraya Parlimen November 2011. Ketika itu, FJP mengetuai "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" bersama-sama 10 parti lain seperti Parti Karamah, Ghad Thaurah, 'Amal dan berjaya memenangi 235 kerusi. Malangnya, Parti Karamah ketika ini menjadi musuh kepada Ikhwan apabila memberikan sokongan kepada Hamdin Sobahi serta bekerjasama dalam Barisan Penyelamat.

Sementara itu, Penasihat Media FJP, Dr.Murad 'Ali berkata, senarai muktamad calon FJP yang akan bertanding akan diputuskan Khamis ini, iaitu dua hari sebelum tempoh penamaan calon bermula sama ada melalui kerusi individu atau senarai parti.




Biodata Penulis

M.Abdul Malik bin Abdul Karim mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Bahasa Arab, Kaherah. Banyak menulis esei berkaitan isu-isu hangat di Timur Tengah, antara buku tulisan beliau bertajuk Mesir Sebelum Dan Selepas Dr.Mursi, Travelog Luka Air Mata Syria dan banyak lagi. Anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-