Headlines Articles :
Home » » Apabila Pemerintah Kurang Waras

Apabila Pemerintah Kurang Waras

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday, 10 March 2013


Secara umumnya, sesebuah negara memerlukan empat (4) asas utama yang menjadi tunjang melayakkan ia diiktiraf sebagai negara yang berdaulat :
  1. Rakyat
  2. Tanah air
  3. Kerajaan yang mengurus tadbir
  4. Undang-undang
Tanah Air Yang Berdaulat

Tidak logik sekiranya wujud negara yang rakyatnya tidak mempunyai wilayah. Kriteria ini bermakna ia merupakan unsur yang amat penting supaya menjadi tempat penjanaan fasiliti bagi kehidupan bermasyarakat, kemudian kehidupan mereka diurus tadbir oleh kerajaan seterusnya sistem pentadbiran dilaksanakan menjadi asas kerukunan negara tersebut.

Untuk menjaga tanah air, ia memerlukan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Syeikh Sa’id Hawwa menegaskan bahawa karekter utama seorang pemimpin mesti mempunyai akal pertimbangan yang rasional lagi waras. Supaya kita tidak memilih mereka yang membuat keputusan dangkal yang merugikan rakyat dan negara.

Baghdad Jatuh Kerana Pemerintah Kurang Waras

Imam Ibnu Kathir merakamkan detik kejatuhan Baghdad, yang dikenali sebagai kota ilmu kebanggan kerajaan Abbasiyyah. Ketika kemaraan tentera Tatar, pemerintah ketika itu mengambil ringan soal kedaulatan negara. Mereka telah dibudayakan supaya tenggelam dalam kemewahan dan keseronokan. Budaya tersebut sekaligus menghakis rasa tanggungjawab mempertahankan kewibawaan negara.

Tatkala tentera Tatar mengepung kota khilafah, mereka menyerang di segenap penjuru. Sedangkan ketika itu, pemerintah masih bersuka-ria menikmati persembahan tarian gundik-gundik istana. Ditakdirkan sebilah anak panah yang masuk melalui tingkap istana telah membunuh salah seorang dari gundik yang sedang menari. Lantas menyebabkan pemerintah berang lalu memerintahkan pegawai-pegawainya menutup tingkap-tingkap istana supaya dapat diteruskan acara hiburan tanpa gangguan tentera Tatar.

Pada anak panah tentera Tatar tertulis, “Apabila Tuhan mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan yang berdaulat, sudah tentu Tuhan akan menghilangkan akal orang yang sepatutnya berakal (pemerintah).”

Pemikir dan Pakar Sejarah Islam, Dr. Raghib al-Sarjani meluahkan rasa pelik di mana perginya kewarasan akal pemerintah ketika itu? Ibu negara sedang dikepung, hanya beberapa langkah untuk mati, senjata tentera Tatar sedang menggila mencabul kedaulatan negara, rakyat sedang ketakutan, tiba-tiba pemerintah masih boleh bersuka ria.

Jangan Ulangi Sejarah Hitam


Siapa yang buta sejarah, dia akan jadi "mangsa" sejarah. Dengan makna lain dia akan mengulangi kegagalan generasi terdahulu. Oleh kerana itu Allah Taala telah menegaskan kepentingan sejarah dengan firmannya yang terkandung di dalam petikan surah Ali Imran ayat 140 (maksudnya), “Itulah hari-hari yang Kami gantikan di kalangan manusia...”

Bahkan jika diperhatikan, sebahagian besar isi kandungan al-Quran adalah fakta sejarah. Supaya kita mengambil pengajaran. Itulah bagaimana al-Quran mencerdikkan manusia.

Kita masih belum sampai ke tahap seperti yang terakam sejarah kejatuhan Baghdad. Tetapi jangan kita rasa selesa tanpa sedar, sedangkan keadaan kita sekarang menuju ke arah itu. Tiada kompromi soal kedaulatan negara.

Mari kita belajar dan ambil iktibar dari sejarah supaya tidak mengulangi kegagalan generasi terdahulu. Seperti sejarah Tatar meleburkan kerajaan Islam, umat Islam ‘dikurniakan’ pemerintah yang kurang waras dan asyik dengan kehidupan mereka yang penuh dengan nafsu haloba. Sehingga kedaulatan negara berada di tahap merah, mereka masih bersuka-ria. Serangan yang mengenai mereka hanya dianggap pengacau kepada gaya hidup mereka. Pemimpin jenis ini sedikit pun tidak mengambil kira perasaan dan harapan rakyat kepada mereka.

Jika dahulu pemerintah menutup tingkap menggambarkan betapa tidak endahnya mereka terhadap ancaman kedaulatan negara. Kini yang berlaku, mereka menutup ruang liputan berita supaya rakyat tidak tahu menahu apa yang sebenarnya berlaku di Lahad Datu. Hanya diberitakan kempen dan kejayaan yang menutup bangkai busuk kegagalan mereka. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W telah berpesan antara tanda kehancuran sesebuah umat antaranya adalah apabila memilih orang yang tidak waras berfikir sebagai pemimpin. Hadith tersebut penulis telah terangkan dalam artikel lepas yang bertajuk ‘Gejala Pemerintah Berkuku Besi’.

Ketidak-warasan mereka sampai ke tahap memberikan kerakyatan percuma kepada pendatang. Semata-mata ingin memanjangkan hayat cengkaman mereka dengan bantuan undi dari warga asing. Perbuatan mementingkan diri sendiri ini akhirnya menyulitkan lagi pengendalian kes pencerobohan Lahad Datu. Bahkan ia merupakan perbuatan menggadai tanah air secara halus. Ini masih lagi belum diperbahaskan teori-teori konspirasi yang memberatkan kepala rakyat, bahawa tragedi yang berlaku semata-mata ingin menangguhkan Pilihanraya Umum ke 13.

Solusi

Baginda Nabi S.A.W telah berpesan antara tanda kiamat adalah (maksudnya), “Apabila diserahkan urusan pemerintahan kepada orang yang tidak layak, tunggulah saat berlakunya kiamat.” - Riwayat Bukhari

Nabi S.A.W telah menegaskan bukan sekadar negara yang hancur. Bukan sekadar kedaulatan negara diceroboh. Bahkan dunia dan seisinya bakal hancur apabila kita memilih mereka yang tidak layak dari sudut agama, akal dan akhlaknya sebagai pemimpin. Begitu juga Nabi S.A.W menyuarakan kebimbangan kepada umatnya (maksudnya), “Sesungguhnya aku takut menimpa ke atas umatku, pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.” - Riwayat at-Tirmizi

Tindakan mereka tidak waras dari sudut akal, sesat dari sudut agama dan rosak dari sudut akhlak. Zaman siapa lagi kalau bukan zaman kita? Tugas kita, memadamkan kuasa mereka supaya ketidak-warasan mereka tidak berjangkit kepada rakyat jelata. Ingat apa yang tertulis di anak panah tentera Tatar:

“Apabila Tuhan mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan yang berdaulat, sudah tentu Tuhan akan menghilangkan akal orang yang sepatutnya berakal (pemerintah).”


Biodata Penulis


Abdul Mu’izz bin Muhammad mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Syariah Islamiyah di Kaherah. Anak muda bersemangat waja ini berasal dari Kajang dan kini memangku jawatan sebagai Ketua Akademi Tarbiyah Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Klang. Beliau banyak menulis buku-buku ilmiah antaranya berjudul "Khilaf : Prinsip dan Disiplin". Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia