© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Kisah Umar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’

Kisah Umar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 22 February 2013


Beliau adalah Umar bin Mukhtar bin Umar (1862 M- 1931 M) yang lebih terkenal dengan nama julukan Umar Mukhtar. Beliau merupakan ‘simbol’ perjuangan rakyat Libya dalam mempertahankan negara dari penjajahan Itali. Wajahnya pernah diabadikan dalam matawang 10 Dinar Libya sebagai tanda penghormatan rakyat kepada perjuangan Umar Mukhtar. Bagaimanapun, apa gunanya jika ia sekadar ‘tanda hormat’ jika ‘muwasafat’ perjuangan Umar Mukhtar tidak diteladani oleh umat Islam.

Umar Mukhtar berjuang bukan kerana mahu disebut-sebut sebagai pejuang, tetapi perjuangannya didasari kefahaman tentang tuntutan ke atas umat Islam untuk mempertahankan tanah airnya daripada penjajahan dan penindasan kuasa-kuasa asing. Oleh sebab itu, rakyat Palestin turut menjadikan tokoh lagenda Umar Mukhtar sebagai inspirasi penentangan mereka terhadap kebiadaban Zionis Yahudi. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah Taala, di dalam surah al-Taubah ayat 41:
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah kerana yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Manakala Rasulullah ﷺ bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ، وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِيْ كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ
“Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezekinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).”

Sabda ﷺ lagi:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا
“Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya.”

Malangnya pemimpin-pemimpin umat Islam pada hari tidak mengamalkan petunjuk-petunjuk ini yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi, sehingga ada di antara mereka yang sanggup bersekongkol bersama musuh-musuh Islam untuk menindas negara umat Islam. Di Doha, Qatar ada kawasan yang dinamakan “Umar Mukhtar” bersempena nama tokoh pejuang Islam tersebut tetapi apalah gunanya jika negara itu sendiri menjadi tempat pangkalan tentera Amerika bertapak.

Hidup dan Jihad Umar Mukhtar

Umar Mukhtar dilahirkan pada tahun 1275 H bersamaan tahun 1858 M (20 Ogos) di daerah Butnan, Barqah. Selepas ibu dan ayahnya meninggal dunia dalam perjalanan mengerjakan ibadah haji iaitu ketika usianya menjangkau 16 tahun, Umar diletakkan di bawah perhatian seorang murabbi di Kota Tobruk iaitu Sayyid Ahmad al-Ghariani. Berkat didikan para masyayeikh di Kota Tobruk, Umar berhasil melanjutkan pendidikannya sehingga ke Universiti di Jaghbub selama 8 tahun dalam pelbagai bidang ilmu Islam. 

Umar Mukhtar kemudiannya berkhidmat sebagai guru al-Quran di Timur Tobruk dengan harapan kehidupannya nanti dapat sentiasa dipenuhi dan dibasahi dengan kalimat-kalimat ayat suci al-Quran. Selain dalam bidang pendidikan, beliau juga terlibat dalam gerakan-gerakan kebangkitan mengusir penjajah antaranya pada tahun 1899, beliau bersama anggota-anggota “Sanusiyyah” ke Chad untuk membantu Rabih al-Zubayr menentang gerakan Kolonial Perancis.

Kewibawaan Umar Mukhtar disegani oleh masyarakat Islam di Libya sehingga beliau dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan daripada suku bangsanya sendiri pada ketika itu agar bersatu. Ketika Dunia Islam di akhir Empayar Uthmaniyyah mula dirobek Kolonial Barat, Umar mengajar umat Islam bangkit mempertahankan kedaulatan tanah air mereka. Beliau bersama gerakan “Sanusiyyah”, menentang Perancis tanpa rasa takut walaupun kelengkapan perang mereka jauh ketinggalan dari pihak musuh. 

Kata Umar Mukhtar:
نحن لن نستسلم، ننتصر أو نموت!
“Kami sekali-kali tidak akan menyerah, sama ada kami menang ataupun terkorban!”

Prinsip dan akhlak dalam peperangan sangat ditekankan oleh Umar Mukhtar dalam gerakan jihad yang dioperasikan oleh “Sanusiyyah” sehingga terdapat kisah bila mana tentera-tentera Itali berjaya ditangkap mereka, segelintir tentera Islam mahu agar tawanan-tawanan tersebut dibunuh sebagai tindak balasnya. Lalu Umar Mukhtar berkata kepada tentera-tenteranya:
نحن لا نقتل أسرانا
“Kita tidak membunuh tawanan perang.” 

Salah seorang tentera Islam memprotes tindakan Umar Mukhtar dan berkata pula kepadanya :
ولكنهم يقتلون أسرانا
“Tetapi mereka (Itali) membunuh tentera Islam yang menjadi tawanannya.” 

Jawab Umar Mukhtar:

هم ليسوا معلمونا
“Mereka itu (Itali) bukan guru kita (yang mesti diikuti).”

Gerakan “Sanusiyyah” yang diasaskan oleh Sayyid Muhammad bin Ali al-Sanusi al-Jazairi (1791 M - 1859 M) sebenarnya lebih berperanan sebagai gerakan pembangunan kerohanian “tariqat al-sufiyyah” yang menyeluruh dalam seluruh Dunia Islam berdasarkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Pengaruh pengikut tariqat Sanusiyyah ini sangat luas meliputi Afrika Utara sehingga ke Kepulauan Arab sehingga ia mampu menggerunkan pihak Kolonial Itali pada waktu itu. 

Keazaman Umar Mukhtar Menentang Penjajahan


Gerakan “Sanusiyyah” yang turut dianggotai oleh Umar Mukhtar telah menggunakan taktik serangan gerila dalam menghadapi penjajahan Itali. Taktik serangan tersebut menyebabkan Itali terpaksa bergelut dengan tentera Islam selama 20 tahun untuk menguasai Libya. Namun, tahun demi tahun kelengkapan perang Itali semakin moden dan canggih sehingga menyebabkan masyarakat Islam merasa rendah diri bahkan ada di kalangan mereka yang sanggup memberikan loyaliti kepada Itali kerana habuan, kekayaan dan jaminan bebas cukai dari kerajaan.

Bagaimanapun, dalam menghadapi cabaran seperti itu keazaman Umar Mukhtar dalam menentang penjajahan tetap berterusan walaupun usianya mencecah lebih 70 tahun. Semangat luar biasa itu timbul atas rasa tanggungjawab dan keimanan kepada Allah Taala. Pernah ada seseorang lelaki berkata dengan kata-kata pesimis kepada Umar Mukhtar:
ايطاليا تملك طائرات أنت لا تملكها
“Itali mempunyai pesawat-pesawat perang canggih sedangkan engkau (Umar Mukhtar) tidak mempunyainya.” 

Kemudian Umar Mukhtar bertanya kepadanya:
أتحلق فوق العرش أم تحته؟
“Adakah pesawat itu terbang di atas arash ataupun di bawah arash?” 

Jawab lelaki tersebut, “...di bawah arash.”

Lalu jelas Umar Mukhtar kepadanya:
ما دام من فوق العرش معنا فلن يخيفنا شيء تحته.
“Selagi yang berada di atas takhta itu Pemilik Arash (Allah) bersama kami, maka kami sama sekali tidak akan takut yang berada di bawahnya.”

Kata Umar Mukhtar lagi menasihati pemuda tersebut kerana ragu dengan masa depan Islam yang gemilang:
التردد أكبر عقبة في طريق النجاح.
“Rasa ragu (sangsi terhadap masa depan Islam) adalah sebesar-besar halangan  dalam menuju jalan kejayaan.”

Walaupun Umar Mukhtar tidak lagi seteguh ketika zaman mudanya, tetapi semangatnya tetap berkobar menentang penjajahan. Jiwanya masih seteguh “syabab”, tidak berganjak sedikitpun untuk terus menggerakkan turus jihad menentang kuasa Kolonial Itali di Libya. 

Kerajaan Itali pernah terdesak untuk cuba merasuah Umar Mukhtar dengan pengampunan, keistimewaan dalam kerajaan dan ganjaran kekayaan agar beliau menyerah diri. Umar Mukhtar juga ditawarkan oleh Itali untuk menghabiskan baki umurnya Makkah dengan melaksanakan ibadah haji. Namun, tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Umar Mukhtar sambil beliau mengungkapkan:
إن ثواب الحج لا يفوق ثواب دفاعنا عن الوطن والدين والعقيدة.
“Sesungguhnya pahala menunaikan haji itu tidak sama tingginya dengan pahala kami mempertahankan tanah air, agama dan akidah.”

Selama beberapa tahun Umar Mukhtar telah berjuang dan bertahan dengan prinsipnya menentang penjajahan sungguhpun pada waktu itu masyarakat Islam telah hilang daya jihad akibat di“suap” dengan pelbagai habuan duniawi daripada pihak Itali.

Umar Mukhtar Berjiwa Merdeka, Walaupun Jasad Dipenjara
 
Semasa perang “Italo-Turkish” pada Oktober tahun 1911, armada laut Itali pimpinan Luigi Favarelli (1852 M - 1914 M) telah mendarat di pantai Libya sehingga menyebabkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah kehilangan salah satu negara yang dinaunginya itu. Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang semakin melemah ketika itu tidak mampu memberikan sebarang bantuan kepada Libya kerana turut menghadapi pelbagai krisis termasuk isu dalaman yang menyebabkan empayar yang telah dibina selama lebih 600 tahun itu runtuh pada tanggal 3 Mac 1924.

Dalam tempoh itu juga, Benito Mussolini diangkat menjadi Perdana Menteri Itali (1922 M – 1943 M) telah menggunakan ideologi fasis-nya untuk menundukkan pasukan tentera Islam di Libya. Tindakan Mussolini yang mengarahkan tentera Itali membakar kebun-kebun, memusnahkan segala keperluan asas masyarakat Libya termasuk ternakan dan tanaman telah menyebabkan gerakan penentangan ke atas Itali menjadi lemah apabila bantuan-bantuan yang sepatutnya diberikan kepada tentera-tentera Islam terputus. 

Seterusnya tanggal 12 September 1931, adalah tarikh hitam bagi pasukan tentera Islam di Libya apabila Umar Mukhtar diberkas oleh Kolonial Itali setelah pertempuran sengit berlaku di antara kedua-dua pihak di Slonta, berhampiran Jabal al-Akhdar. Dalam pertempuran tersebut seramai 40 orang tentera Islam telah terkorban, manakala Umar Mukhtar pula ditangkap dan dipenjarakan. Beliau ditahan di kem Benghazi dengan harapan gerakan penentangan Libya nanti akan layu tanpanya. 

Namun, Umar Mukhtar terus berjuang dengan menghunuskan lisannya mengancam Kolonial Itali:
سوف تأتي أجيال من بعدي تقاتلكم، أمّا أنا فحياتي سوف تكون أطول من حياة شانقي.
“Kamu akan bertemu generasi-generasi akan datang selepas aku yang akan berjuang memerangi kebiadaban kamu, bagi aku pula kehidupan yang akan ku lalui lebih lama daripada tukang gantung (algojo).”

Seorang Menteri Pertahanan Itali, Rodolfo Graziani (1882 M - 1955 M) pernah bertanya kepada Umar tentang mengapa masih berjuang sedangkan secara zahirnya negara-negara umat Islam pada waktu itu di ambang kejatuhan. Lantas Umar Mukhtar menyatakan yang perjuangannya dibina atas dasar agama dan atas rasa tanggungjawab terhadap generasi umat Islam akan datang. Biarpun pada waktu itu tiada pilihan lain yang boleh dilakukan Umar Mukhtar, kalimah-kalimah yang benar terus disuarakan, menuntut hak dan kemerdekaan Libya. 

Umar Mukhtar, Guru Quran Syahid di Medan Jihad

Dalam penghakiman di Benghazi pula, Umar Mukhtar dibicarakan atas kesalahan menentang kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di tempat awam. Namun, sebelum perkara itu diputuskan hakim mengatakan kepada Umar Mukhtar bahawa pihak Itali sedia mengampunkannya dengan syarat beliau mesti menulis surat sebagai arahan kepada seluruh tentera mujahidin di Libya agar menghentikan penentangan terhadap Itali. Lantas dalam keadaan tubuhnya diikat dengan rantai besi, Umar Mukhtar berkata di hadapan hakim penuh thabat menjelaskan pendiriannya;
إن السبابة التي تشهد في كل صلاة أن لا اله الا الله وأن محمدا رسول الله، لايمكن أن تكتب كلمة باطل!
“Sesungguhnya jari telunjuk ini yang menyaksikan setiap kali solat bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, tidak akan menulis kalimah yang batil.”

Apabila beliau ditanya oleh hakim tentang apakah kata-kata terakhir yang mahu diucapkan setelah menerima hukuman, beliau menjawab dengan ayat al-Quran:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kepada Allah kita datang dan kepada-Nya jugalah kita kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Umar Mukhtar menerima hukumannya di kawasan kem tahanan Souluq pada 16 September 1931 di hadapan rakyat Libya seramai 20 000 orang. Beliau ketika itu berumur 73 tahun. Berdasarkan sejarah sebenar, sebelum Umar Mukhtar syahid di tali gantung, beliau telah mengucapkan kata-kata terakhir di hadapan saksi-saksi kematiannya dengan memetik petikan al-Quran, surah al-Fajr ayat 27-30:
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ. ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً. فَادْخُلِي فِي عِبَادِي. وَادْخُلِي جَنَّتِي.
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang (tetap dengan kepercayaan). Kembalilah kepada Tuhan-mu dengan keadaan engkau berpuas hati (atas segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin di Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia PAS.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-