© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Ujian Selepas Kemenangan

Ujian Selepas Kemenangan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 14 February 2013


Sabda Baginda S.A.W (bermaksud), "Tidak ada seorang Nabi yang diutuskan kepada suatu umat sebelumku, kecuali ia memiliki hawariyyun (pengikut-pengikut setia) dan para sahabat yang sentiasa mengikuti sunnahnya dan mentaati apa yang menjadi perintahnya. Kemudian, sesudah mereka akan muncul generasi (orang-orang) yang mengatakan apa-apa yang mereka tidak laksanakan dan mengerjakan apa-apa yang tidak diperintahkan. Maka, barangsiapa yang memerangi mereka dengan tangannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan lisannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan hatinya. Ia adalah seorang Mukmin. Setelah itu, tidak ada lagi iman meskipun hanya sebesar zarah."

Dalam usaha memperjuangan Islam ini, lazimnya kita akan dihadapkan dengan dua golongan manusia, golongan pertama ialah golongan yang bekerja memperjuangkannya, manakala golongan kedua pula adalah golongan yang hanya ingin melihat kemenangan. Golongan bekerja pula ada kriteria-kriteria yang berbeza, belum tentu semuanya bekerja semata-mata ikhlas kerana Allah Taala. Seterusnya yang ikhlas itu pula, belum tentu mereka mampu bertahan bila diuji oleh Allah Taala. Oleh kerana itu, ujian (fitnah), cubaan dan dugaan menjadi tapisan Allah Taala kepada para pejuangnya. Allah menjadikan ujian dalam tarbiyah sebagai proses menapis di antara golongan yang istiqamah, dengan golongan yang tergelincir dalam perjuangan Islam. Kita berdoa, semoga Allah tidak menguji kita perkara yang kita tidak mampu tempuhinya.

Dalam sejarah perjuangan Baginda S.A.W, banyak berlaku peristiwa-peristiwa besar yang menguji iman para Sahabat, ada yang thabat dan ada juga segelintirnya yang kecundang. Antara peristiwa tersebut adalah Isra' dan Mikraj, sebuah peristiwa yang berlaku setelah kewafatan orang-orang yang paling dikasihi Nabi, iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib. Kesedihan yang bertimpa-timpa dialami oleh Nabi menyebabkan Allah memberikan kurniaan kepada Baginda satu peristiwa yang tidak boleh diterima oleh akal manusia, peristiwa yang dinamakan oleh-Nya Isra' wa Mikraj. Peristiwa inilah yang menyebabkan ramai pengikut-pengikut Nabi mula meragui kebenaran yang disampaikan oleh Baginda. Dalam hal ini, Nabi Muhammad S.A.W bukan sekadar diuji untuk meyakinkan orang-orang yang tidak beriman, bahkan juga menghadapi karenah mereka yang mengaku telah beriman kepadanya.

Begitupun di kalangan Para Sahabat, ada karakter yang begitu tekun meyakini apapun yang disampaikan oleh Nabi S.A.W. Beliau adalah Abu Bakar, pemuda yang paling rapat dan paling dikasihi Nabi Muhammad S.A.W. Saidina Abu Bakar tampil membenarkan peristiwa Isra' Mikraj malah menyatakan, "Sesungguhnya aku telah membenarkan Baginda S.A.W terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa." – Al Hakim di dalam Mustadraknya.

Teguhnya pendirian Abu Bakar tidak berbelah bahagi membenarkan semua yang keluar daripada mulut Nabi S.A.W. Abu Bakar mengenali Nabi Muhammad, sebagai insan yang tidak pernah berbohong selama hidupnya. Inilah ujian yang ditempuhi oleh Baginda, dan pada masa yang sama orang-orang yang beriman juga turut diuji untuk dilihat sejauh manakah keyakinan mereka, di antara mereka semakin bertambah imannya dan tidak kurang juga yang berpaling kembali kepada kekufuran.

Iktibar Dari Perang Hunain

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan jua di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu sekali-kali tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri." - Surah At Taubah:25

Pada peristiwa perang Hunain, Allah telah merekodkan pengiktibaran kisah ini di dalam Al Quran. Perang Hunain berlaku pada tahun ke-8 hijrah, iaitu suatu saat bilangan tentera Islam menjadi semakin meningkat kepada 12'000 orang, 10'000 orang dari Madinah dan 2'000 orang yang baru memeluk Islam dari Makkah. Pasukan tentera Islam yang berjumlah 12'000 orang ini berdepan dengan satu kelompok kecil, lalu mereka kagum dengan jumlah mereka yang ramai. Masing-masing merasa yakin untuk capai kemenangan dengan jumlah mereka yang begitu ramai, ditambah pula pengalaman mereka sebelum ini. Sewaktu mereka keluar untuk menghadapi kelompok kecil tersebut, ada di kalangan Sahabat yang mengatakan dengan penuh rasa ta'ajub, "Hari ini kita tidak mungkin akan dikalahkan dengan jumlah yang ramai".

Lalu pada pusingan pertama peperangan, umat Islam kalah apabila menghadapi serangan mengejut tentera-tentera musyrikin yang sedikit jumlahnya sehingga menyebabkan tentera-tentera Islam lari bertempiaran sekalipun dalam keadaan jumlah yang ramai. Keadaan yang berlaku menyebabkan Nabi mengumpulkan semula tentera-tentera Islam sambil berkata, "Sesungguhnya aku adalah RasuluLlah, dan aku tidak berbohong...", seterusnya Nabi meminta mereka bersatu, dengan izin Allah, Dia memberikan kemenangan perang Hunain kepada umat Islam.

Kesilapan yang di lakukan oleh generasi terbaik umat Islam adalah renungan generasi kita hari ini. Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiyah, ujian yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya, maka diberikan kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini agar tidak timbul di kalangan umat Islam nanti mengatakan, "Kemenangan ini kerana bilangan kami yang ramai".

Inilah pengajaran yang ingin dikupas dari Perang Hunain. Allah memberikan ujian kepada umat Islam adalah sebagai satu proses mencapai kemenangan. Dalam gerakan Islam, walaupun di sana ada orang yang menganggap bahawa tarbiyah wajar terabai dengan sebab bebanan kerja-kerja dakwah yang besar, tanggungjawab parti yang semakin banyak, maka ketahuilah bahawa ujian dari Allah itu bukan sahaja berlaku waktu kita kalah. Tetapi ujian yang Allah berikan di waktu kemenangan jauh bezanya dengan ujian yang Allah berikan diwaktu belum mencapai kemenangan.

Selepas kemenangan Hunain, Nabi Muhammad S.A.W mengumpulkan tentera-tentera Islam dan meminta segala harta ghanimah dikumpulkan walau sekecil gigi (gigi yang disalut emas) agar dapat diagih-agihkan secara adil. Lalu mereka menyerahkan segala harta tersebut sehingga menimbun longgokannya. Arahan Rasulullah S.A.W tersebut diulang sebanyak tiga kali oleh Abu Hurairah R.A, namun di sana masih ada seorang tentera Islam yang tidak memberikan harta rampasan itu berbentuk segulung tali unta yang diikat pendek di pinggangnya. Dia mengikat tali unta tersebut sehinggalah sampai di Madinah, lalu setiap kali dia melihat tali unta tersebut, teringatlah dia akan beban dosanya mengingkari arahan Rasulullah S.A.W. Lalu tali unta tersebut diberikan kepada Rasulullah, tetapi Rasulullah menolak pemberiannya, dan Rasulullah-pun menegurnya; mengapa tidak diserahkan walaupun telah diulang arahan tersebut sebanyak tiga kali? Dengan nada kecewa Rasulullah mengarahkan pemuda tersebut supaya memberikannya di akhirat kelak.

Amanah Adalah Titipan Allah Kepada Manusia

Amanah adalah amanah. Amanah adalah barang yang paling berat diamanahkan untuk kita memikulnya. Allah pernah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan juga bukit-bukau tetapi mereka enggan menerimanya. Ketahuilah saudara, jawatan adalah amanah, perjuangan adalah amanah, memenangkan Islam adalah amanah, mempertahankan kemenangan Islam juga amanah, dan mendepani ujian selepas kemenangan suatu ujian amanah yang cukup besar.

Nabi Allah Sulaiman A.S tatkala diuji dengan amanah dengan harta, Nabi Sulaiman lantas mengingatkan dirinya :

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah" - Surah An Naml:40

Begitulah halnya nikmat yang kita terima, semua itu adalah ujian yang tentunya untuk menguji kita samada termasuk di kalangan mereka yang bersyukur atau kufur kepada Allah Taala. Dan setelah diuji itu pula tujuannya bukan untuk dipuji, tetapi semata-mata mengharap redha Allah Taala yang memberikan kita ujian untuk memastikan siapakah di kalangannya yang paling baik amalannya, yakni ikhlas semata-mata kerana Allah.
"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya" - Surah Al Kahfi:7

Allah tidak menilai yang paling banyak amalannya, tetapi yang paling baik amalannya di kalangan mereka. Jika dikira paling banyak amalan, tentulah umat-umat terdahulu yang hidup ribuan tahun menjadi pilihan. Tetapi Allah mengkehendaki daripada kita siapa di kalangan mereka yang ikhlas, yang hatinya tidak palsu mengabdikan kepadaNya. Umat Nabi Allah Syuaib A.S, mereka hidup lebih 3000 tahun, berbeza dengan umur umat Nabi Muhammad S.A.W, sekitar 50-60 tahun. Maka umur kita inilah tempoh-tempoh yang bakal menerima ujian dari Allah untuk meneliti siapakah di antara kita yang paling baik kualiti amalannya. Oleh itu, orang yang berada dalam gerakan Islam, adalah orang yang bukan sekadar banyak amalan tetapi mesti sentiasa upgrade kualiti amalannya.

Inilah juga nasihat Saidina Abu Bakar As Siddiq yang kerap disampaikan kepada tentera-tentera Islam, kepada gabenor-gabenornya, wakil-wakil perjuangan Islam. Beliau tidak pernah lupa mengingatkan 3 perkara :
  1. Nasihat melakukan perkara dengan ikhlas dalam perjuangan.
  2. Bersungguh-sungguh dan sabar dalam perjuangan.
  3. Tingkatkan hubungan dengan Allah Taala.
Apabila Orang Paling Lama Berjuang Tidak Dapat Habuan

Dalam perang Hunain itu juga, dikisahkan 10'000 tentera Islam dari Madinah tidak mendapat sebarang sisa harta ghanimah dalam perang tersebut. Kebanyakan harta tersebut diagihkan seolah-olah Baginda lebih mengutamakan orang Islam di Makkah. Tindakan Baginda S.A.W menyebabkan ramai penduduk Madinah tidak puas hati, tetapi hal itu tidak disampaikan kepada Nabi. Mereka merasakan ketidak-adilan dalam agihan harta rampasan perang tersebut, kerana habis harta-harta tersebut diagihkan kepada penduduk Islam di Makkah yang baru setahun jagung memeluk Islam. Akhirnya menyebabkan orang-orang Madinah merungut di belakang Baginda S.A.W, dan Baginda menyedari rungutan tersebut. Lalu Baginda memanggil ketua di kalangan Ansar, Saad bin Ubadah dan bertanya, "Adakah orang-orang Ansar tidak berpuas hati dengan keputusan agihan ini?".

"Benar wahai Rasulullah, mereka tidak puas hati. Mereka berperang bersama-sama penduduk Makkah, bahkan mereka juga berada di barisan hadapan dalam peperangan ini. Orang-orang Makkah baru masuk Islam, semuanya berlindung di belakang. Segala luka dan cedera, orang Madinah yang menghadapinya dahulu wahai RasulAllah. Kalau mati, orang Madinah yang mati dahulu. Segala ancaman musuh orang Madinah yang menghadapainya dahulu. Tiba-tiba kemenangan ini tidak diagihkan secara bersama, segalanya diberikan kepada orang Makkah. Memanglah hal ini menimbulkan tidak puas hati".
Kemudian Rasulullah S.A.W bertanya, "Kamu pula bagaimana wahai Saad?"

"Tidak ada jalan lain kecuali aku turut bersama mereka juga, mereka itu semua kaumku ya RasulaLlah", jawab Saad bin Ubadah.

Para ulama menafsirkan peristiwa ini bahawa, tidak semua arahan pimpinan difahami oleh pengikut-pengikutnya sendiri. Ada waktunya kita perlu beritahu makna strategi tersebut, tetapi ada juga setiap keputusan itu tidak semuanya perlu diterangkan. Pernah Rasulullah S.A.W memberikan arahan kepada Para Sahabat, "Bersiap untuk perang...", tetapi arahan tersebut tidak dijelaskan secara nyata oleh Baginda S.A.W.

Maka kecelaruan tentera-tentera Madinah mengenai tujuan agihan Baginda terhadap harta rampasan Hunain begitu, menyebabkan Baginda membuat keputusan untuk mengumpulkan mereka semua untuk menerangkan makna sebenarnya.

Baginda berucap di hadapan kaum Ansar, "Demi Allah, jika kamu mahu kamu boleh katakan bahawa kamu wahai Muhammad telah datang kepada kami ketika kamu didustakan kaummu sendiri. Ketika engkau dalam keadaan lemah, kamilah yang menolongmu. Ketika kamu diusir, kamilah yang memberikanmu tempat. Ketika kamu dalam keadaan papa, kamilah yang menampung keperluanmu."

Baginda tidak menafikan bahawa orang-orang Ansar lebih berjasa jika dibandingkan dengan orang-orang Quraish itu yang baharu memeluk Islam. Kemudian Baginda menjelaskan lagi kepada kaum Ansar, "Sesungguhnya aku telah mendengar rungutan-rungutan kamu. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tanganNya, jika bukan kerana hijrah, tentu aku termasuk golongan Ansar. Jika para sahabat menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah yang lain, tentu aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu orang-orang Ansar".
"Apakah di dalam hati kamu wahai kaum Ansar masih terdetik hasrat kepada dunia? Sedangkan dunia itu aku pergunakan untuk mengambil hati segolongan orang agar memeluk Islam. Sementara terhadap ke-Islaman kamu, aku tidak lagi meragukannya. Wahai kaum Ansar, apakah di hati kalian tidak gembira jika mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kamu pula pulang bersama Rasulullah?"
Setelah mendengar keterangan dari Baginda S.A.W, masing-masing menitiskan air mata hingga janggut mereka basah sambil berkata, "Kami redha dan patuh dengan segala tindakanmu wahai pesuruh Allah".

Inilah di antara tarbiyah selepas kemenangan yang diberi oleh Allah Taala kepada umat Islam.

Ujian Selepas Menang Adalah Ketaatan

Allah pasti menguji kita walaupun keputusan yang kita perolehi itu kemenangan, dan ujian selepas kemenangan dicapai adalah ketaatan. Dalam gerakan Islam, wala' adalah kewajiban. Sebahagian orang memperlekehkan perihal wala' ini. Ada juga yang tidak tahu membezakan wala' dan tahaluf. Kita bertahaluf siasi bersama rakan-rakan dalam pakatan rakyat. Dalam hubungan ini kita saling hormat-menghormati menurut persepakatan yang sama-sama kita persetujui. Tetapi dalam disiplin berjemaah, kita ada wala' dengan kepimpinan yang mesti dipelihara melebihi kesepakatan dengan pihak lain. Persoalan wala' inilah yang sering akan diuji oleh Allah Taala kepada gerakan Islam.

Dalam sebuah hadis yang cukup mahsyur, Para Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Baginda, siapakah orang yang paling berat bala ujian Allah?". Jawab Baginda S.A.W, "Para Nabi adalah orang yang paling berat ujiannya, lalu orang yang terbaik setelah mereka dan seterusnya (yang menurut langkah perjuangan mereka)".

Maka yang paling berat ujiannya selepas Nabi dan Rasul ialah Para Khulafa', yakni para pengganti yang akan meneruskan perjuangan Islam dan memastikan kedaulatannya. Oleh itu, dalam konteks perjuangan ini sangat mustahak untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan 'jemaah' kerana tiada lagi wahyu yang akan diturunkan selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Dalam perjuangan Islam tiada istilah bertindak tanpa arahan, mengutamakan maslahah peribadi dan melanggar persepakatan syura. Apabila kepimpinan buat satu keputusan, dibincang dan diperbahaskan, diterima dan ditolak, ada yang tidak puas hati kerana tidak faham apakah matlamat, pendekatan, strategi dan seumpamanya. Maka dalam soal ini, PAS sangat bergantung dengan kekuatan tarbiyah dan wala' dalam mengharungi jatuh dan bangun perjuangan ini.

Oleh sebab itu, apabila kita diuji dengan amanah kepimpinan, kita khuatir apabila kita mengabaikan lapangan tarbiyah. Ini kerana, dalam kepimpinan Allah akan uji kita dengan kebendaan. Saidina Ali berkata, "Wahai dunia, jika engkau mahu menipu maka engkau tipulah orang lain, jangan aku yang engkau tipu". Tetapi Allah menetapkan dunia ini warisan untuk hamba-Nya yang soleh bukan orang fasiq. Orang yang soleh tidak meminta dunia, tetapi mengurus dunia untuk menegakkan Islam dan membantu kemenangan Islam, memperkukuhkan hubungan sesama umat mentauhidkan Allah Taala. Begitupun melaksanakan amanah ini bukan mudah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya oleh seorang wartawan dari Brunei, "Apakah ujian yang paling besar ketika mentadbir negeri Kelatan?". Jawab Tuan Guru, "Ujian yang paling berat bukanlah serangan dan ancaman dari UMNO, tetapi yang paling besar ialah ujian dunia itu sendiri, dunia yang menguji".

Perjuangan menegakkan Islam mementingkan hubungan (muraqabah) kita dengan Allah kerana cabaran-cabaran bentuk ini adalah berterusan. Dalam satu hadis dhaif berbunyi, "Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar", jihad besar itu ialah jihad menentang hawa nafsu, inilah jihad yang berterusan.

Moshe Dayan merupakan menteri pertahanan Israel Ke-4 yang matanya sebelah kirinya ditutup, dan pernah timbul cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa inilah dajjal yang keluar di akhir zaman. Diceritakan Moshe Dayan pernah mengikuti sebuah persidangan rahsia Zionist Antarabangsa bagi memerangi umat Islam dan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin. Maklumat ini amat sulit, tetapi Moshe dayan berani mendedahkannya di khalayak umum sehingga mengejutkan pegawai-pegawainya.

Perbuatan Moshe Dayan ini ditegur, "Mengapa Tuan dedahkan rahsia kita? Nanti umat Islam tahu, mereka akan susun strategi untuk mengalahkan kita!"

Lalu Moshe Dayan berkata, "Kamu jangan risau perihal umat Islam, umat Islam adalah umat yang malas membaca. Jika mereka membaca-pun mereka orang yang tidak faham apa yang mereka baca. Dan kalau mereka faham-pun, mereka tidak akan buat apa yang mereka baca. Kalau mereka buat-pun, mereka tidak sungguh-sungguh dalam melaksanakannya. Kalau mereka bersungguh-sungguhpun apa yang dilakukan itu hanyalah mengharapkan keredhaan manusia (tidak ikhlas)".

Moshe Dayan tidak risau dengan realiti sikap yang menimpa umat Islam, mereka umat yang malas membaca. Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), purata orang Melayu membaca dua muka surat setahun. Sebab itu, Dewan Pemuda PAS buat skrip yang bergerak dalam video "Gua Ikut Enta". Namun, fenomena umat Islam yang juga diketahui oleh musuh-musuh Islam bahawa umat Islam juga tidak bersungguh bila melaksanakan sesuatu perkara. Sedangkan Nabi Muhammad menyuruh kita melaksanakan sesuatu perkara dengan 'itqan' - penuh ketekunan. Dan masalah lain, jika mereka bersungguhpun belum tentu keredhaan Allah yang menjadi taruhan.
Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man merupakan Ketua Penerangan Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-