© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Syria : Di Sebalik Krisis Berdarah

Syria : Di Sebalik Krisis Berdarah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 3 February 2013


Awal bulan Disember 2011, saya telah dihubungi oleh seorang ulama yang berasal dari Syria dan memperkenalkan dirinya sebagai Dr.Khaled. Menurutnya, beliau dapat menghubungi saya melalui Dr.Ghassan Hamdoun, salah seorang guru saya semasa di Yaman dan juga merupakan pengarang kitab tafsir yang juga berasal dari Syria.

Setelah berbual beberapa ketika, barulah saya menyedari bahawa beliau ialah Syeikh Dr.Khaled Hasan Hendawi yang merupakan salah seorang anggota dan pengasas Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang juga merupakan pembantu khas kepada pengerusi pertubuhan itu, Prof. Dr.Yusuf Abdullah al-Qaradhawi di Qatar.  

Beliau datang ke Malaysia setelah diamanahkan oleh Dr.Yusuf al-Qaradhawi untuk menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di Syria dan mendedahkan beberapa maklumat yang tidak diketahui mengenai krisis berdarah yang melanda bumi syam itu. Beliau telah mengadakan beberapa majlis dan sesi penerangan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Islam dan menemui tokoh agama dan pemimpin negara bagi menunaikan amanah tersebut.      

Dalam pertemuan yang diatur di Kuala Lumpur sebelum berangkat pulang ke Qatar, beliau menceritakan secara panjang lebar berkenaan susur galur krisis Syria dan isu kemanusiaan yang sedang meruncing di negara kelahirannya itu. Menurutnya, negara Syria mendapat kemerdekaan selepas tamat penjajahan Perancis pada tahun 1945 dan telah diperintah oleh anak bangsanya sendiri sehingga dilaksanakan Undang-undang Darurat tahun 1963.  Bermula tahun 1963, negara Syria telah dikuasai oleh pihak sekular Parti Ba'ath.

Sejak itu, rakyat Syria melantik Presiden melalui referendum dan tidak lagi mengadakan pilihan raya pelbagai parti. Setelah peristiwa rampasan kuasa 1966 dan Revolusi Syria tahun 1970, Parti Ba'ath kekal berkuasa dan negara itu diperintah secara diktator oleh Presiden Hafez al-Assad yang mengharamkan penubuhan parti politik dan kewujudan pembangkang. 

Dari segi agama, Hafez al-Assad merupakan pengikut kelompok Nusairiyyah yang terkeluar dari ajaran Islam yang sebenar. Kelompok Nusairiyyah dan ‘Alawiyyah adalah cabang daripada golongan Syiah yang melampau, mereka tidak mewajibkan solat, puasa, zakat dan haji. Bahkan, Hafez al-Assad pernah menghimpunkan para ulama dan menyatakan bahawa tiada satu ayat al-Quran pun yang berbicara tentang hijab. Namun, Syeikh Dr.Wahbah Zuhaili telah menyangkal dakwaannya dan menegaskan terdapat enam ayat al-Quran tentang kewajipan hijab. 

Kerana akidah mereka yang terpesong jauh, para ulama silam antaranya Imam Ibnu Taimiyyah (meninggal 729H/ 1328M) telah menfatwakan tidak halal memakan sembelihan mereka dan tidak sah pernikahan dengan pengikut ajaran Nusairiyyah. 

Al-Assad dan kaum kerabatnya yang menganut ajaran Nusairiyyah dan ‘Alawiyyah menyimpan perasaan dendam terhadap rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat Ahli Sunnah bahkan kelompok mereka tidak solat di masjid-masjid kaum Muslimin Ahli Sunnah. Hal ini membawa kepada konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 apabila Hafez al-Assad telah mengarahkan operasi 'bumi hangus' terhadap masyarakat Muslim Sunni, terutamanya anggota-anggota pergerakan al-Ikhwan al-Muslimun dan lain-lain. Tujuan tindakan kejam itu dilakukan agar tiada lagi benih ajaran sunni dapat tumbuh subur di situ.  

Serangan tentera yang berlaku selama 27 hari telah mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama. Tragedi hitam itu menyebabkan 1.5 juta rakyat Syria berhijrah ke negara-negara lain. Walaupun pihak tentera mensasarkan pihak yang dikatakan golongan pemberontak, namun kebanyakan yang terkorban adalah masyarakat awam yang tidak bersalah.   

Menurut Syeikh Hendawi, majoriti penduduk Syria iaitu 84 peratus adalah beragama Islam Sunni, 10 peratus beragama Kristian, manakala hanya 6 peratus daripadanya merupakan penganut Syiah 'Alawiyyah. Walaupun minoriti, namun kelompok ini menguasai tentera. Kaum kerabat al-Assad seperti Maher al-Assad dan Assef Shawkat merupakan jeneral tentera.

Pemerintahan Hafez al-Assad yang bercorak satu hala itu nampaknya tidak menjanjikan kesejahteraan daripada sebarang pengkhianatan. Jawatan presiden yang kebal itu menimbulkan konflik dalaman apabila Hafez al-Assad tidak menentukan siapa penggantinya. 

Pertelingkahan berlaku antara Hafez al-Assad dengan adik lelakinya Rifaat. Ini mendorong kepada peristiwa Latakia 1999 setelah protes ganas dan pertempuran bersenjata meletus pasca Pilihan Raya 1998. Bantahan ini menyebabkan beratus-ratus orang mati dan cedera, namun kerajaan menafikan.

Hafez al-Assad meninggal dunia setahun kemudian akibat masalah paru -paru. Beliau telah memerintah selama 32 tahun dan kerusi kuasanya diwarisi oleh anaknya, Bashar al-Assad yang dilantik selepas pindaan perlembagaan iaitu mengurangkan syarat umur presiden dari 40 kepada umur 34. Bashar al-Assad yang hingga kini telah memerintah selama 11 tahun meneruskan dasar kuku besi yang diwarisi daripada bapanya.

Apabila berlaku ledakan revolusi 'Arab Spring' (ar-Rabīʻ al-ʻArabiyy) di negara-negara utara Afrika, Bashar al-Assad menyaksikan perkembangan di Tunisia dan Mesir dengan penuh waspada agar gelombang revolusi Arab itu tidak singgah ke muka pintu negaranya. Bashar mendakwa apa yang berlaku di Mesir tidak akan memberi kesan terhadap Syria. Namun, kebangkitan rakyat Syria 2011 tercetus juga akibat konflik dalaman yang panjang di Syria sehingga membawa kepada bantahan umum bermula pada 26 Januari 2011. Bantahan terhadap regim al-Assad itu meningkat kepada gerakan revolusi pada 15 Mac 2011.

Kebangkitan ini dipercayai mendapat momentum daripada bantahan serentak di rantau Timur Tengah. Penduduk Syria berdemonstrasi bagi menuntut hak-hak kebebasan yang diragut pemerintahan kuku besi seperti juga gerakan revolusi di Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman. Maka itu, Bashar menawarkan perubahan dan reformasi dalam pentadbirannya. Namun, pada bulan April lalu, hanya setelah beberapa hari mengumumkan pembubaran undang-undang darurat yang membelenggu negara itu selama 48 tahun, Bashar telah melakukan tindakan di luar jangkaan.

Pemerintah Syria mengerah puak Alawiyyah (cabang Syiah) yang menguasai unit perkhidmatan keselamatan untuk menentang pemberontakan. Adiknya Maher al-Assad dan Assef Shawkat menjadi panglima tentera. Walaupun keluarga al-Assad merupakan kumpulan minoriti, namun mereka menguasai pasukan tentera Syria.

Menurut Syeikh Hendawi, sebenarnya terlalu banyak faktor yang membawa kepada kebangkitan rakyat di Syria dan bukan semata-mata kerana pengaruh gelombang revolusi Arab di Tunisia dan Mesir. Syeikh Hendawi menjelaskan, kebangkitan rakyat mula berlaku di Hama, bumi yang pernah penyaksikan pembunuhan beramai-ramai pada zaman Hafez al-Assad. Kemudian api revolusi merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab sehingga menyemarakkan penentangan di lebih 157 tempat di negara itu. 

Bekalan air dan elektrik telah ditutup di bandar Daraa. Pasukan tentera Syria mula merampas tepung dan bahan makanan lain. Mereka menyekat jalan ke luar bandar dan menghalang bekalan makanan melaluinya. Akibatnya, penduduk Daraa berhadapan dengan ancaman kebuluran. Kumpulan hak asasi manusia turut mengecam pasukan tentera Syria kerana menggunakan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan tidak bersenjata dan telah membunuh orang awam. Tentera Syria menggunakan kereta kebal dan penembak tepat dari atas bangunan untuk memaksa penunjuk perasaan berundur.
 
Pada bulan Mei 2011, tentera Syria memasuki bandar Baniyas, Hama, Homs, Talkalakh, Latakia, Al-Midan dan Duma di Damsyik serta beberapa bandar lain. Anggota keselamatan juga melakukan penangkapan berpuluh-puluh pemimpin dan aktivis anti-pemerintah di bandar-bandar yang berasingan. Bahkan, anggota keluarga mereka juga turut menjadi mangsa untuk memberikan tekanan terhadap para aktivis.

Setelah menonton video yang diberikan oleh Syeikh Hendawi, didapati pihak tentera mensasarkan serangan terhadap struktur binaan yang menjadi syiar masyarakat sunni. Mereka mengambil kesempatan untuk menghancurkan masjid-masjid yang menjadi tempat ibadat kaum Ahli Sunnah, berpuluh-puluh menara masjid runtuh akibat serangan senjata berat. Banyak infrastruktur dan kemudahan awam turut mengalami kerosakan teruk.      

Melalui salah satu rakaman video itu, saya tergamam apabila melihat gelagat sekumpulan tentera Al-Assad mencerobohi masjid kaum Sunni, kemudian mereka melakonkan aksi solat berjemaah seperti Ahli Sunnah dengan keadaan tentera yang menjadi imam bersolat sambil menghisap rokok dan mempersenda-sendakan doa kepada Allah sambil menadah tangan. Mereka akhirnya ketawa beramai-ramai sambil bertakbir.
Ini adalah satu bentuk penghinaan kepada cara beribadat yang dilakukan oleh umat Islam bermazhab Ahlus-Sunnah wal-Jamaah. Menurut Syeikh Hendawi lagi, Iran mempertahankan tindakan ganas regim Hafez yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan menyokong tindakan Hafez.

Sepanjang konflik yang berlaku lebih 9 bulan ini, Dr.Khaled mendedahkan pemerintah Syria membunuh para ulama, memenjarakan rakyat yang berdemonstrasi, tembakan secara terbuka kepada orang awam, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol para wanita dalam tahanan, menghalang muslimah dari memakai hijab, kekerasan terhadap orang-orang tua dan kanak-kanak. 

Tentera Syria tidak menghormati kemuliaan bulan suci dalam Islam, sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadhan pada tahun lalu, seramai 95 orang terbunuh apabila pasukan tentera menyerang penunjuk perasaan di bandar Hama di wilayah tengah Syria. Pihak tentera dan anggota keselamatan memasuki bandar Hama pada waktu pagi dan melepaskan tembakan ke atas orang awam lalu menyebabkan ramai terbunuh manakala berpuluh yang lain mengalami kecederaan.   

Setakat tempoh pertemuan saya dengan Syeikh Hendawi itu, jumlah keseluruhan penunjuk perasaan yang dilaporkan terkorban telah mencecah 8,500 orang dan hampir 39,000 yang lain tercedera. Adapun yang dipenjarakan dan disiksa berjumlah 180,000 orang. Dari bilangan itu, 413 orang telah mati disiksa dan 400 kanak-kanak dilaporkan mati.

Melalui rakaman video yang diberikan kepada saya, terlalu banyak kekejaman yang dilakukan oleh regim al-Assad sehingga tidak dapat dimuatkan kesemuanya di sini. Mayat-mayat mereka yang dibunuh terdapat kesan-kesan penyeksaan yang teruk seperti dibelah perut, disiat-siat serta ditoreh kulit mereka. Mereka yang dibebaskan menceritakan keadaan dalam tahanan yang sangat mengerikan, kesan-kesan lebam dan luka pada wajah dan tubuh mereka cukup untuk menggambarkan tentera regim tentera itu tidak mempunyai hati dan perasaan. Ada di antara tahanan yang matanya dicungkil dan lidah dipotong.

Mereka menceritakan bagaimana pasukan tentera mencabul kehormatan dan merogol perempuan-perempuan, mengikat tangan ayah, suami dan saudara lelaki kemudian merogol ibu, isteri serta anak perempuan di hadapan mata mereka sendiri. Syeikh Hendawi juga menceritakan tentang kekejaman yang berlaku di Hims tentang kisah Zainab al-Husni yang berumur 23 tahun. Gadis itu ditangkap dan dipaksa untuk melakukan perkara terkutuk, namun dia enggan. Akhirnya dia disiksa dan tubuhnya dikerat kepada 4 bahagian dan dibungkus, lalu bungkusan itu dicampak kepada ahli keluarganya.

Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap ratusan kanak-kanak yang tidak berdosa yang dikerat-kerat badan mereka. Sebenarnya ramai di kalangan tentera yang tidak bersetuju dengan tindakan kekerasan ke atas rakyat dan terdapat mereka yang enggan melaksanakan arahan telah dibunuh atau dipenjarakan.
Di antara kumpulan tentera tersebut, ada yang berpaling tadah dari regim al-Assad dan menyokong revolusi dan mempertahankan nyawa rakyat. Jumlah mereka kini seramai 30,000 orang dan angka itu semakin bertambah. 

Sebelum berpisah, Syeikh Dr.Khaled Hasan Hendawi berkata, "Aku telah menceritakan tentang apa yang berlaku di Syria, sekarang terserahlah kepada para ulama, pendakwah, pemimpin masyarakat dan lain-lain untuk menyampaikan maklumat ini kepada masyarakat di Malaysia." 
 
Seterusnya beliau berharap agar kita sama-sama berdoa dengan penuh keikhlasan agar Allah membantu saudara-saudara kita di Syria dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah taghut.
Beliau berdoa agar di Malaysia juga bakal berlaku perubahan yang ke arah yang lebih baik setelah mendengar penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlaku di negara ini melalui pertemuannya dengan Mursyidul-Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Ustaz Emran bin Selamat merupakan Ketua Urusan Ulamak DUPP Kawasan Gombak
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-