© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Pengadilan Jenayah Perang Di Bangladesh, "Tidak Telus Dan Tidak Adil"

Pengadilan Jenayah Perang Di Bangladesh, "Tidak Telus Dan Tidak Adil"

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 13 February 2013


Gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir telah mengeluarkan kenyataan rasmi menolak pengadilan Mahkamah Pengadilan Internasional Bangladesh yang diasaskan Sheikh Hasina Wajed terhadap beberapa pemimpin parti Jamaat-El-Islami di atas dakwaan melakukan jenayah perang ketika Perang Kemerdekaan Bangladesh yang disifatkan Ikhwanul Muslimin "tidak telus dan tidak adil" bahkan melanggar semua norma antarabangsa dan konvensyen pemimpin-pemimpin dunia.

Pihak mahkamah Bangladesh telah mendakwa beberapa pemimpin Jamaat-El-Islami menjadi tali barut kerajaan Pakistan untuk menjatuhkan negaranya sendiri kerana tidak bersetuju dengan proses pemisahan Pakistan-Bangladesh. Konflik bersejarah itu berlaku selama 9 bulan, iaitu pada 16 Disember 1971 di mana Pakistan Barat (kini Pakistan), Pakistan Timur (kini Bangladesh) dan India, bertempur sehingga menyebabkan negara Bangladesh didirikan.

Sejak dari itu, jenayah hukuman perang telah dijatuhkan Mahkamah Internasional Bangladesh sehingga menyeret beberapa pimpinan-pimpinan tertinggi parti Jamaat-El-Islami antaranya ialah Syeikh Abi al-Kalam Aazad (dihukum mati), Prof. Dr. Ghulam Azam, Syeikh Abd Kadir Malaa dan beberapa pemimpin-pemimpin tertinggi yang lain dihukum penjara seumur hidup. Human Rights Watch yang berpusat di New York mengatakan prosedur hukuman yang digunakan oleh mahkamah itu tidak memenuhi standard internasional.

Perdana Menteri Sheikh Hasina Wajed membentuk Mahkamah Internasional berkenaan isu kejahatan perang Bangladesh pada tahun 2010 untuk mengadili mereka yang dituduh melakukan kejahatan di masa perang, tetapi pengadilan itu telah dikritik luas kerana menjadikan lawan politiknya mangsa dan sasaran, dan ia beroperasi tanpa melibatkan pengawasan PBB. Proses peradilan yang dilihat berat sebelah terhadap pemimpin Jamaat-El-Islami itu dijawab dengan aksi protes masyarakat Islam di Dhakka.

Abdus Shukur Khan, Jurucakap Jamaat-El-Islami mendakwa kerajaan Bangladesh telah melakukan tuduhan tidak benar terhadap para pemimpin Jamaat-El-Islami yang ditangkap. Beliau menyifatkan hukuman itu sebagai kejahatan politik kerajaan Sheikh Hasina Wajed. Ia berpunca daripada dakwaan Jamaat-El-Islami tidak bersetuju dengan aktiviti pemisahan Pakistan-Bangladesh pada ketika itu. Maka pihak kerajaan mengambil sikap untuk membebankan hukuman ke atas beberapa orang pemimpin parti Islam tersebut dengan cara melupuskan pengaruh mereka dari Bangladesh.

Berhubung penangkapan tokoh-tokoh Jamaat-El-Islami, Ikhwanul Muslimin telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari Jumaat, 8 Februari 2013 :
  • Kami bersama deru angin kemerdekaan laungan rakyat yang bertiup melalui seluruh pelusuk dunia, menganggap perbicaraan di Bangladesh terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam (Jamaat-I-Islami) melanggar hak keadilan sejagat dan merupakan tuduhan bersifat politik (tuduhan kerajaan pemerintah terhadap parti Islam), bukannya tuduhan jenayah.
  • Kami menyeru kepada semua Negara, dan di negara-negara Islam khususnya, bersama badan-badan dan institusi antarabangsa untuk melakukan tekanan agar tragedi kemanusiaan yang menimpa akibat ketidakadilan politik terhadap tahanan politik di Bangladesh ini dihentikan.
  • Salah satu tujuan syariah (undang-undang Islam) adalah untuk melindungi kehidupan rakyat supaya hak-hak mereka dipenuhi. Kita mesti mendukung nilai Islam yang tinggi, prinsip dan cita-cita keadilannya melebihi dari pihak-pihak tertentu yang bercakap tentang keadilan kerana sebab-sebab politik dan matlamat menjatuhkan politik lawan.
  • Kami menuntut kerajaan Bangladesh (pimpinanSheikh Hasina Wajed) agar melepaskan semua pimpinan Jamaat-El-Islami yang ditangkap sementara menunggu penyiasatan ke atas kes diselesaikan. Mereka harus menerima perbicaraan yang adil sebelum hakim menentukan semula hak-hak mereka yang termaktub dalam semua lapangan perlembagaan.
  • Kami memberi amaran kepada pimpinan yang diberi amanah mentadbir negara agar tidak menggunakan kuasa untuk melakukan penindasan, dendam dan ancaman untuk menghilangkan lawan politik rejim.
  • Kami yakin bahawa Persidangan Kemuncak Islam yang diadakan baru-baru ini di Kaherah, menyokong sepenuhnya pendaulatan negara berpaksikan keadilan dan kesaksamaan. Kami berdoakepada Allah agar membimbing mereka berkhidmat demi kepentingan terbaik rakyat dan negara, serta menolak ketidakadilan untuk semua yang ditindas.
Pada Oktober tahun lalu, terdapat laporan yang mengatakan bahawa tribunal jenayah perang di Bangladesh telah merancang untuk mengenakan hukuman terhadap pemimpin global berpengaruh Jamaat-El-Islami, Chowdhury Mueen Uddin yang berpangkalan di London dengan 18 tuduhan yang mengakibatkan pembunuhan dan beliau dijatuhkan hukuman mati di Bangladesh. Chowdhury Mueen Uddin pernah memobilasi masyarakat Muslim British untuk melakukan bantahan besar-besaran terhadap pengarang buku kontroversi berjudul "Satanic Versus", Salman Rushdie pada tahun 1989.

Jamaat-El-Islami diasaskan pada tahun 1941 dan berakar dari politik pemikiran Maulana Sayyid Abul A'la Maududi (1903-1979), intelektual yang paling penting Islam dalam sejarah Asia Tenggara. Al-Maududi juga mempunyai pengaruh yang besar ke atas Ikhwanul Muslimin dan secara global ia mempunyai hubungan rapat dengan Jamaat-el-Islami.

Di Amerika Syarikat,  Islamic Circle of North America (ICNA) secara amnya dianggap mewakili ideologi Jamaat-El-Islami yang diasaskan oleh Al-Maududi. Kerana pengaruh yang dibawa oleh Al-Maududi, Kerajaan Bangladesh telah mengambil tindakan mengharamkan seluruh buku-buku karangan beliau di negaranya. Al Maududi sebagaimana yang didakwa Sheikh Hasina Wajed telah membawa ideologi radikal dalam ajaran Islam. - Global Muslim Brotherhood Report
Kumpulan Penterjemah Berita Antarabangsa Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-