© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Muhasabah Buat Penyambung Lidah Syaitan

Muhasabah Buat Penyambung Lidah Syaitan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 22 February 2013


Penerangan merupakan satu sektor yang amat kritikal bagi sesebuah peperangan. Ia diberi jolokan pelbagai nama, sesuai dengan peranannya yang amat berpengaruh sehingga dikenalpasti dalam dunia moden hari ini sebagai “senjata yang boleh meruntuhkan sesebuah negara”. Apatah lagi medium tersebut sangat mudah diperolehi, facebook, youtube, twitter, what apps di mana segala info yang terkandung di dalamnya boleh dikenali sebagai laporan, berita, propaganda, saraf dan bermacam-macam lagi istilah yang merujuk kepada dunia maklumat tanpa sempadan.

Kerana itu, Islam telah meletak garis panduan yang absah sepanjang zaman sejak ia diturunkan. Al Quran menekankan bahawa tugas penerangan merupakan tugas yang amat mulia. Orang yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan wahyu diberi gelaran Nabi yang bereerti pembawa berita dan Rasul bermaksud utusan. Malah Syeikh Sa’id Hawwa menegaskan bahawa 90% dari kerja da’wah merupakan tugas berbentuk penerangan.

Begitu pun juga syaitan turut berusaha menggagalkan kerja para Nabi dan Rasul, memilih sektor penerangan sebagai modal utama menyesatkan manusia.

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (Al Ana’am:112)

Kerja-Kerja Syaitan Memanipulasi Pemberitaan

Apabila dirujuk sirah Nabi S.A.W, kita dapati terdapat sejarah keterlibatan syaitan dalam bidang kewartawanan secara langsung. Syaitan secara terlibat menyebarkan berita jahat yang tujuannya memporak-perandakan saf pejuang-pejuang Islam.

Lihat bagaimana sejarah perang Uhud yang menyaksikan kekalahan umat Islam. Antara faktor yang menyebabkan tentera Islam kalah, adalah kerana mereka termakan dengan berita palsu. Propaganda itu diusahakan oleh syaitan yang ‘turun padang’ mencetuskan konflik menjejaskan motivasi pejuang Islam ketika itu. Dalam klimaks mendepani peperangan, syaitan menyebarkan berita palsu bahawasanya Nabi S.A.W telah wafat terbunuh.

Berita palsu yang dianggap sensasi tersebut jelas telah menjejaskan motivasi percaya dan setia antara satu sama lain. Maka lemahlah ketumbukan tentera Islam dek kerana termakan dengan berita palsu syaitan. Ada golongan sudah mula menunjukkan rasa berminat menyertai kem Bapa Munafiq Abdullah Bin Ubai yang tugasnya tidak lain mengganggu konsentrasi tentera Islam dengan fitnah dan ejekan. Semakin disegarkan berita-berita sensasi yang belum pasti. Sudah sememangnya ciri munafiq yang menyertai saf tentera Islam hanya sebagai pembakar obor sengketa dan persepsi negatif sesama sendiri.

Sejarah terus berulang. Jika dahulu syaitan terlibat secara langsung dalam menyebarkan berita palsu. Begitu juga kini zaman langit terbuka segala maklumat berada di hujung jari, kita lebih terdedah dengan berita-berita palsu. Jika yang menyebarkan fitnah terdiri daripada musuh, itu bukanlah perkara yang pelik. Kerana syaitan sememangnya konsisten dengan kerjanya. Cuma yang dibimbangkan ada di kalangan saf pejuang Islam yang turut terlibat dan termakan dengan berita yang memporak-perandakan kesatuan berfikir dan keselarasan bertindak.

Lebih malang dari itu, wujud penyakit spastik yang tidak seimbang memberi kepercayaan. Secara ‘default’ kita diajar supaya jangan mempercayai media laporan dari pihak musuh. Tiba-tiba muncul liputan dari mereka tentang perihal sahabat seperjuangan kita, tiba-tiba kita percaya. Maka porak-perandalah saf perjuangan. Hasilnya kita ketagih menanti berita sensasi dari pihak musuh, pada masa yang sama kepercayaan sesama kita kian terhakis. Akhirnya hilanglah nilai kemanisan dalam berjuang, lenyaplah nikmat ukhwah.

Kepada Siapa Harus Kita Berikan Kepercayaan?

Imam Hasan al-Banna telah menggariskan bahawa ‘kepercayaan’ – thiqah – merupakan antara sikap yang menunjangi perjuangan. Kata beliau (maksudnya), “Apa yang saya maksudkan berkenaan ‘percaya’, ialah setiap aktivis gerakan Islam mestilah percaya kepada pengorbanan dan keikhlasan pemimpin mereka. Sikap kepercayaan yang dipupuk kuat bakal mencambahkan rasa sayang, hormat dan taat.” 

Mungkin terlalu ghairah menyambut era kemenangan, ramai di kalangan kita yang sudah mula hilang kewarasan. Lebih percaya blog yang bertugas sebagai batu api berbanding pimpinan sendiri. Seolah-olah rela melahap hidangan berita syaitan berbanding mempercayai kalam pimpinan sendiri. Ini adalah bala seperti yang telah diingatkan oleh Nabi S.A.W (maksudnya), “Tidak sesat sesuatu kaum setelah beroleh hidayah, melainkan mereka diasyikkan dengan kontroversi persengketaan.” -Riwayat Tirmizi.

Budaya terbaru yang kian membarah kini adalah menuduh orang-orang tertentu akan khianat dengan perjuangan ini sebentar lagi. Ironinya batang tubuh yang diacukan fitnah tersebut, telah bersama dengan perjuangan ini sejak ‘zaman bertanding hilang deposit’.

Mereka bukan calang-calang orang. Mereka konsisten dengan perjuangan ini sejak zaman kalah. Tiba-tiba muncul zaman hampir mencapai kemenangan, mereka akan lompat parti. Bukankah itu satu dakwaan yang kelakar?

Namun malangnya cakap-cakap itu dipercayai ramai kerana telah dijadikan sebagai propaganda syaitan. Jika diamati, usaha ini amat jelas digerakkan oleh mereka yang ghairah dengan kemenangan. Sewaktu kalah kita tidak nampak muka-muka ini beria-ia bersama perjuangan ini. Tiba-tiba di waktu menang kita lihat merekalah yang sibuk menuduh orang yang berjuang sejak ‘zaman bertanding hilang deposit’ akan khianat.

Oleh kerana itu Tuan Guru Harun Taib telah mengingatkan kita, "Menyayangi ahli kita adalah satu tanggungjawab syar'ie dan kita hendaklah berusaha agar mereka tidak lari daripada ikatan jamaah Islam, usaha ke arah menyayangi mereka dan mengekalkan mereka dalam jamaah adalah satu yang wajib dilakukan dalam hidup berjamaah, ini adalah prinsip perjuangan PAS yang bersandarkan kepada ajaran Islam. Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ahli untuk menambahkan keahlian PAS, maka sudah tentu kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk menjaga ahli dan menyayangi mereka sebagai ahli jamaah sepertimana yang terkandung dalam dalam prinsip perjuangan kita yang berdasarkan kepada tuntutan Islam."

Sila Bersikap Waras, Jangan Jadi Bodoh

Penulis pernah diajukan soalan-soalan kontroversi yang diasaskan dengan persepsi negatif, bahawa si fulan dan si fulan dilihat akan khianat masuk UMNO. Penulis berpesan agar bersabar dan bersangka baik. Selagi mereka bersama dalam saf perjuangan kita, mereka tetap sahabat dan saudara seperjuangan yang perlu diperuntukkan kepercayaan untuk mereka. Si penanya masih tidak berpuas hati dengan terus mendesak agar penulis menghemburkan laknat dan ‘harapan’ agar apa yang diperkatakan biar benar-benar terjadi. Biar ‘cakap-cakap’ itu benar-benar berlaku. Biar orang itu benar-benar masuk UMNO.

Penulis menjawab, “Kita terlibat dengan perjuangan ini semata-mata inginkan ganjaran dari Allah. Saya sedikit pun tidak merasa dapat pahala dengan kita mendoakan pengkhianatan kepada orang yang masih bersama kita. Dengan mengulang-ulang ratib si fulan dan si fulan akan masuk UMNO, saya sedikit pun tidak yakin perbuatan itu beroleh pahala. Boleh jadi dosa fitnah. Boleh jadi dosa sangka buruk. Sebaliknya saya amat yakin jika kita mendoakan diri kita dan semua sahabat seperjuangan agar konsisten dengan jalan ini, kita berolah pahala.”

Biarlah dalam perjuangan ini, kita waras dalam berfikir. Mengapa kita terlibat? Semua akan menjawab ingin mendapatkan ganjaran redha dari Allah Taala. Namun terkadang, kita lupa asas dosa dan pahala menyebabkan kita buat ‘gaya bebas’ sewenang-wenangnya berperangai buruk serta berakhlak jahiliah. Hasilnya kita hilang fokus dengan melakukan kerja yang tidak beroleh pahala. Menganggap ‘tidak mengapa’ menjadi agen separuh masa menyebarkan fitnah dan prasangka buruk terhadap sahabat seperjuangan. Budaya ini menyebabkan hilang ruh da’wah dalam perjuangan ini. Akhirnya kita jadi penghalau, bukan penyeru.

Mencari Solusi Permasalahan

Marilah kita kembali kepada etika yang telah ditetapkan oleh al-Quran :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti. Agar kamu tidak mengenakan sesuatu hukuman kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu.” (Al-Hujurat:6)

Di ambang pertembungan yang bakal meletus, sepatutnya kita merapatkan saf bukan mencipta jurang. Hati-hati dengan mainan syaitan yang dikenali mahupun syaitan yang tidak dikenali. Seperti sirah ketika klimaks perang Uhud, syaitan ‘turun padang’ menyebarkan berita palsu yang memecahkan kesatuan tentera Islam dan melunturkan motivasi mereka. Begitu juga sekarang di ambang PRU, tidak mustahil kerja syaitan itu dilancarkan kembali.

Kita pupuk kasih sayang bukan menanam syak wasangka. Seseorang itu tidak akan bersalah selagi tidak dikemuka bukti kukuh yang mensabitkan kesalahannya. Diam lebih baik dari menyesal selepas dakwa. Hidupkan budaya dosa dan pahala di dalam perjuangan ini, mudah-mudahan kita tidak tersasar. Ingat, kita adalah penyeru dan pemelihara, bukan penghalau!



Biodata Penulis


Abdul Mu’izz bin Muhammad merupakan Graduan Universiti Al Azhar Fakulti Syariah Islamiyah di Kaherah. Anak muda bersemangat waja ini berasal dari Kajang dan kini memangku jawatan sebagai Ketua Akademi Tarbiyah Pemuda PAS Kawasan Klang. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-