© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Kejujuran Hud-Hud dan Ketegasan Nabi Sulaiman AS

Kejujuran Hud-Hud dan Ketegasan Nabi Sulaiman AS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 17 July 2013


Banyak kisah ditampilkan di dalam al-Quran memiliki pengajaran yang relevan sepanjang zaman dengan kehidupan sosial kita. Al-Quran telah menampilkan sejumlah tokoh-tokoh tauladan dan tokoh-tokoh pengajaran agar dijadikan renungan tentang akibatnya kepada masyarakat. Ada kisah pembela kebenaran yang terdiri dari Para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh, ada juga pelopor-pelopor kezaliman seperti Firaun, Tsamud, ‘Ad, Abrahah dan sebagainya.

Selain dari tokoh-tokoh dari bangsa manusia, ada juga kisah yang menampilkan pelajaran dari bangsa haiwan. Kisah Nabi Sulaiman as dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam al-Quran al-Karim. Kisah ini dirakamkan di dalam surah al-Naml ayat 20 hingga 28 yang menjadi pengajaran kepada manusia, kisah mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah Sulaiman as.
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لّا يَنبَغِي لِأَحَدٍ مِّنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
“Tuhanku, ampuni dosaku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya), yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkau-lah yang sentiasa melimpah kurnia-Nya.” (Sadd:35)

Pada satu hari, Nabi Sulaiman as mengumpulkan seluruh pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka baik dari kalangan manusia, jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman as murka kepada Hud-Hud dan bertekad menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang telah diwajibkan itu.

Hud-Hud menjelaskan kepada Nabi Sulaiman bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba’ yang memiliki singgahsana besar, tetapi malangnya ratu tersebut tidak beriman kepada Allah bahkan menyembah matahari. Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Hud-Hud diaarahkan  untuk menyiasat perkara itu serapi-rapinya dan membawa surat perutusan dari kerajaan Nabi Sulaiman. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya untuk bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya itu. Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi Sulaiman.

لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُّبِينٍ
(Demi sesungguhnya) aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, (kecuali) ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebabnya tidak hadir). (al-Naml:21)

Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman as kepada Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih menguasai diri Nabi Sulaiman, ...kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas.

Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba’ untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti sengaja mengabaikan perintah pemimpin, mengkhianatinya dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di negeri Saba’. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi men-tauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi ‘parasit’ kekufuran.

Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan yang fatal untuk bersikap tidak wala’ kepada pimpinan, iaitu penyakit ‘susah dikawal’ dan cepat ‘melenting’, atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis untuk buat ‘kepala sendiri’ atau parti baru kerana ingin berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, iaitu mahu meninjau ‘kawasan’ sahaja tanpa melakukan kerja lain. Ini kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi Sulaiman as, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang merayau-rayau meninjau timbunan sampah.

Hud-Hud tetap meletakkan kesetiaan dan ketaatannya kepada Nabi Sulaiman as kerana ketaatan kepada pemimpin adalah perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah. Sekalipun Hud-Hud telah melihat kerajaan Saba’, ia bukanlah sandaran untuknya berpaling tadah kepada Balqis. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah, kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak yang baik.

Nabi Muhammad saw sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik, baginda dikenal lawan dan kawan melalui akhlaknya yang tinggi dan mulia sehingga digelar al-Amin.

Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman as pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman as dapat dilihat melalui katanya di dalam surah al-Naml ayat 27 :
قَالَ سَنَنظُرُ أَصَدَقْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْكَاذِبِينَ
(Nabi Sulaiman) berkata; kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau (Hud-Hud) katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.

Ketegasan ini menunjukkan kepada kita bahawa setiap pemimpin mestilah jangan segera percaya dengan setiap alasan yang diberikan oleh anggota organisasinya tanpa penelitian. Dalam lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan realitinya jauh panggang dari api. Ini kerana informasi yang tepat dan boleh dipercayai sangat penting untuk meneruskan kelancaran organisasi agar visi mampu bergerak laju tanpa ‘tempang’. Itulah yang ditekankan oleh Nabi Sulaiman as, baginda tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa intipati kebenarannya:
اذْهَب بِّكِتَابِي هَذَا فَأَلْقِهْ إِلَيْهِمْ ثُمَّ تَوَلَّ عَنْهُمْ فَانظُرْ مَاذَا يَرْجِعُونَ
Pergilah engkau bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka. (al-Naml:28)

Imam al-Qurtubi rhm di dalam tafsirnya mengatakan:
في هذه الآية دليل على إرسال الكتب إلى المشركين وتبليغهم الدعوة، ودعائهم إلى الإسلام. وقد كتب النبي صلى الله عليه وسلم إلى كسرى وقيصر وإلى كل جبار
Ayat ini adalah dalil yang menunjukkan perlunya pengiriman surat-surat kepada orang-orang musyrik dan menyampaikan dakwah tauhid kepada mereka, dan mengajak mereka masuk Islam. Rasulullah saw juga telah menulis surat kepada kerajaan Caesar Romawi dan Kisra Parsi dan kepada beberapa raja yang zalim.

Di dalam surah al-Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman as juga mengajarkan bahawa seseorang pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin harus memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmum-nya. 

Nabi Sulaiman as juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang mampu menanggung beban berat singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud direkodkan di dalam al-Quran kerana “kejujuran”-nya. Selain itu, sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesies burung yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut tanpa menunggu arahan khusus.

Jika kita telusuri dunia penciptaan yang berjaya mewujudkan peradaban di dunia, kita dapat melihat banyak karya-karya penciptaan dan hasil-hasil penemuan awalnya dirintis oleh individu tidak ternama seperti Ibnu Firnas (W.887) yang mencipta bingkai pesawat yang hanya boleh dikendalikan oleh seorang manusia sahaja. Kemudian hasil ujikaji tersebut didukung oleh Wright brothers iaitu Oliver Wright dan Wilbur Wright pada tahun 1903 sehingga berjaya menghasilkan pesawat secanggih kita saksikan pada hari ini.

Demikan juga dalam medan dakwah, pada awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu, kemudian akhirnya nanti ia menjadi garapan organisasi sebagaimana kejayaan dakwah Nabi Muhammad saw yang bermula dari era pembinaan umat di Madinah, tetapi impak mutakhirnya baginda berjaya melahirkan pelbagai versi tamadun, empayar kerajaan dan ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah Islam.

Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci “Misi dan Visi”. Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki visi dan misi-nya iaitu “MENTAUHIDKAN ALLAH”, apatah lagi manusia yang diberikan kudrat menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi ini. Dengan visi dan misi inilah Salahuddin al-Ayyubi dapat menguasai kembali Bait al-Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin Qutuz berjaya menewaskan tentera Tatar yang dianggap umat Islam pada waktu itu sebagai Yakjuj wa Makjuj, dengan visi dan misi ini juga menyebabkan Khalid al-Walid ra tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai panglima perang oleh Khalifah Umar al-Khattab ra.

Marilah kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata mentauhidkan Allah Taala. Elakkan cara berfikir “ia bukan kerja saya”, sebaliknya bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan lewat”nya, tetapi komitmen-nya, ke-ikhlasannya, kejujurannya dan gerak kerjanya dipertaruhkan semata-mata demi usaha mentauhidkan Allah Taala. Kita belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk mentauhidkan Allah Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan kepartian untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-kecil perkara sekalipun seperti menulis di wall facebook pun dan sebagainya juga demi kepentingan mentauhidkan Allah Taala.

Ini kerana, jika kita benar-benar jujur, kesalahan bukanlah ukuran seseorang itu melakukan kederhakaan, tetapi adalah kejayaan yang akan menjadi renungan pada hari esok. Kejujuran adalah sifat para pendokong kemenangan. Hal ini dapat kita pelajari dari kekalahan umat Islam di perang Mu’tah, iaitu ketika ketiga-tiga orang panglima perang gugur syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib, dan Abdullah bin Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih tempat ketua tentera, atas permintaan beberapa individu di dalamnya.

Khalid al-Walid melihat bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tentera Rom. Oleh itu, Khalid membuat keputusan membawa tentera pulang ke Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah, mereka telah disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata:
يا فرار فررتم في سبيل الله
Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah lari daripada medan jihad di jalan Allah.

Lantas Rasulullah saw membela para sahabatnya yang jujur: 
ليسوا بالفرار ولكنهم الكرار إن شاء الله
Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang yang akan mengulangi peperangan, dengan izin Allah.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-