© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Inilah Wasatiyyah

Inilah Wasatiyyah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 18 February 2013


Kita kerap kali mendengar istilah wasatiyyah yang diterjemahkan secara bahasa sebagai sederhana dan moderat tidak melampau. Konsep tersebut amat menarik perhatian ramai betapa indah ajaran yang dibawa oleh Islam. Hal ini kerana konsep sederhana merupakan ajakan yang amat memikat manusia secara fitrah supaya bersama dengan Islam. Cuma apa yang berlaku, kita hanya pandai memetik istilah tersebut kemudian menghuraikannya dengan akal mentah semata-mata. Akhirnya mesej sederhana acuan wahyu gagal difahami oleh kita semua.

“Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam), sebagai umat pertengahan. Agar kamu menjadi saksi ke atas manusia yang lain dan agar Rasul menjadi saksi atas perbuatan kamu.” - Surah al Baqarah ayat 142

Makna Wasatiyyah

Wasatiyyah dari sudut bahasa diertikan sebagai sederhana, tidak melampau dan moderat. Al-Imam Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menyenaraikan beberapa makna sebenar yang terkandung di dalam konsep wasatiyyah.
  • Umat Yang Adil
Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri rekod Imam Bukhari dan Imam Ahmad (maksudnya), “Sesungguhnya Nabi S.A.W telah mentafsirkan wasatiyyah dengan keadilan.” - Riwayat al Bukhari

Fitrah manusia sememangnya tertarik dengan ajakan keadilan kerana ia tuntutan universal. Samada non muslim atau atheis, semuanya mengaku ingin menegakkan keadilan. Cuma resepi untuk berlaku adil hanya diajar oleh Islam melalui petikan ayat al Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memerintah (kamu agar) berlaku adil dan ihsan...” - Surah al Nahl ayat 90

Manakala Nabi S.A.W telah menerangkan ehsan dengan (maksudnya), “Kamu hidup mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Namun sekiranya kamu tidak mencapai ke tahap itu, kamu perlu yakin bahawa Dia melihat kamu.” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Ihsan dalam erti kata lain ialah peka dengan dosa pahala serta sensitif dengan pengawasan Allah. Bermakna golongan yang tidak menerapkan konsep dosa dan pahala di dalam segenap urusan mereka pasti akan gagal membawa keadilan. Seterusnya memahamkan kita bahawasnya barangsiapa yang tidak sensitif dengan dosa pahala bukanlah di kalangan mereka yang mendukung agenda wasatiyyah.

Rasulullah S.A.W menegaskan konsep keadilan yang memerangi amalan diskriminasi sebagai tanda betapa serius Islam menaja keadilan untuk semua. Baginda dengan tegas telah bersabda (maksudnya), “Sesungguhnya rosaknya generasi yang terdahulu, sikap mereka apabila golongan bangsawan mencuri, mereka biarkan. Apabila golongan bawahan mencuri, mereka kenakan hukuman. Demi Allah jika Fatimah Binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku sendiri yang akan potong tangannya.”
Keadilan hanya dapat dicapai apabila setiap lapisan masyarakat diasuh agar peka dengan dosa pahala. Hasil dari penerapan tersebut, barulah diskriminasi dapat dihapuskan secara menyeluruh. 
  • Umat Yang Konsisten
Bermakna terpelihara dari kemungkaran dan penyelewengan. Pemahaman ini diambil dari ayat :

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”

“Jalan yang engkau beri nikmat, bukan jalan golongan yang dimurkai dan bukan jalan golongan yang sesat” - Surah al Fatihah ayat 6-7

Jalan yang lurus ialah jalan yang sederhana tidak melampau. Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Baginda Nabi S.A.W telah menafsirkan bahawa golongan yang dimurkai adalah Yahudi dan yang sesat adalah Kristian.

Prinsip wasatiyyatul Islam ialah dengan konsisten tidak mengikuti kegagalan Yahudi dan Kristian. Golongan Yahudi dimurkai kerana ketagihan melakukan mungkar sehingga membunuh nabi mereka. Manakala sesatnya Kristian kerana ketagihan melakukan bid’ah sehingga mendewakan nabi mereka ke tahap tuhan.

Maka wasatiyyah acuan Islam yang diperakui syara' bermakna tidak melakukan perkara mungkar dan menjauhi perkara bid’ah melampau yang menyesatkan.
  • Umat  Contoh
“...Agar kamu menjadi saksi ke atas manusia...” maksud petikan dari surah al-Baqarah ayat 143.

Umat "Wasatha" bermaksud umat pertengahan. Ini dibuktikan keadaan geografi negara-negara yang didiami oleh umat Islam berada di tengah-tengah peta dunia. Mereka tidak berada di hujung utara dan tidak juga berada di hujung selatan. Umat Islam telah ditakdirkan secara geografi berada di tengah-tengah masyarakat dunia supaya memudahkan ajaran Islam itu berkembang pesat.

Begitu juga umat pertengahan bermaksud umat yang sentiasa diperhatikan untuk dijadikan sebagai contoh. Cuba pembaca bayangkan seseorang yang duduk di tengah-tengah lingkungan manusia. Sudah pasti dia akan diperhatikan di segenap penjuru oleh orang ramai  kerana posisinya berada di tengah-tengah. Apabila sedar diperhatikan, sudah tentu dia akan berusaha menunjukkan tingkah laku yang terbaik.

Justeru maksud Umat Pertengahan adalah umat yang wajib menjaga tingkah laku supaya mereka dicontohi.
  • Umat Yang Kuat
Apabila kita berinteraksi dengan sunnah Allah, pertengahan merupakan satu kedudukan yang terkuat. Al-Imam Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengajak kita berfikir, “Apakah kalian tidak memerhatikan, umur muda merupakan umur yang terkuat. Golongan muda berada di tengah-tengah julat umur manusia. Mereka hidup di pertengahan antara dua kelemahan. Yakni kelemahan kebudak-budakan dan kelemahan si tua bangka. Begitu juga cuba kalian perhatikan kejadian matahari. Pancarannya yang paling kuat adalah ketika tengahari.”

Maka konsep wasatiyyah di dalam Islam bermakna umat yang membina kekuatan dan membiaskan segala yang dimiliki untuk mentuankan Islam di atas muka bumi. Bukanlah makna wasatiyyah umat yang lemah dan mandom, dilihat tiada upaya mempertahankan agama sendiri.

Lawan Bagi Wasatiyyah

Untuk mengenali putih, kita perlu mengenali hitam. Begitu juga untuk mengenali sederhana, kita perlu mengenali makna melampau. Di dalam al-Quran, Allah mengistilahkan ‘taghut’ sebagai melampaui batas.

Saidina Umar menyatakan bahawasanya taghut merupakan syaitan yang menyesatkan manusia. Samada di kalangan jin mahupun manusia yang dikenali. Manakala Imam Malik mendifinisikan taghut sebagai apa-apa yang disembah melainkan Allah.

Adapun Imam Ibnu Qayyim menerangkan taghut sebagai setiap apa yang melampaui batas. Sehingga ia diutamakan atau diikuti atau ditaati lebih dari Allah. Maka mana-mana golongan yang berhukum selain dari apa yang digariskan oleh Allah dan Rasul adalah taghut.

Di dalam al-Quran, Allah menyatakan taghut boleh jadi di kalangan individu manusia biasa :

“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampau (taghut).” - Surah Taha ayat 24

Begitu juga Allah telah menyatakan taghut sebagai ideologi yang bertentangan dari taat kepada Allah. Firman Allah Taala di dalam surah an Nahl ayat 26 (maksudnya), “Sesungguhnya pasti kami utuskan untuk setiap umat, Rasul (yang akan memastikan) kamu menyembah Allah dan menjauhi taghut...”

Ada juga di dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa undang-undang yang bercanggah dengan ajaran Nabi S.A.W sebagai taghut :

“Apakah kamu tidak memperhatikan golongan yang mengaku dirinya telah beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu dan dengan apa yang diturunkan kepada orang sebelum kamu? (tiba-tiba) Mereka mahu berundang-undangkan taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” - Surah al-Nisa’ ayat 60

Jelas di sini, lawan bagi sederhana adalah melampau yang diistilahkan oleh Allah sebagai taghut. Maka sebelum mencanangkan konsep wasatiyyah, kita perlu pastikan kita bukanlah di kalangan orang yang dicop oleh Allah sebagai taghut.

Wasatiyyah Yang Disalahfahami

Apa yang berlaku kini, ramai yang gemar memetik istilah-istilah yang telah diperkenalkan oleh al-Quran. Contohnya konsep wasatiyyah. Tetapi mereka amat degil untuk merujuk nas wahyu tentang apa sebenarnya kehendak konsep-konsep ideal yang dicanangkan. Akhirnya mereka menafsirkan konsep-konsep yang diperkenalkan oleh al-Quran tanpa merujuk al-Quran. Oleh kerana itu jika dilihat, ramai yang beranggapan Islam adalah agama sederhana diterjemahkan dengan tidak terlalu baik dan tidak terlalu jahat. Dipilih-pilih ajaran Islam. Mana yang dilihat sesuai dengan kehendak nafsu baru timbul selera untuk diikuti.

Al-Imam Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menyatakan pemahaman cacat umat Islam terhadap agama mereka dengan, “Ramai umat Islam yang beranggapan bahawa Islam sebagai agama yang sejahtera tetapi tiada jihad. Islam sebagai agama yang ada aqidah tetapi tiada undang-undang. Islam sebagai sebuah agama tetapi dinafikaan hak untuk bernegara. Islam sebagai agama yang benar tetapi tiada ruang untuk mempertahankan kebenaran. Islam yang ada al-Quran tetapi tiada pedang.”

Jika dilihat realiti yang berlaku, inilah pemahaman umat Islam terhadap agama mereka. Inilah sederhana bagi mereka. Maka dicanang istilah wasatiyyah, sedangkan yang ditegakkan adalah taghut. Yang disebut-sebut Islam sederhana, sedangkan merekalah petualang yang melampau menolak Islam. Allah Taala telah menegaskan perbuatan cakap tidak serupa bikin dengan ayat :

“Mengapa kamu suruh orang melakukan kebajikan, sedangkan kamu lupa keadaan diri kamu padahal kamu membaca al-Kitab. Apakah kamu tidak berakal?” - Surah al Baqarah ayat 44

Hari ini mereka menyambut Maulid al-Rasul, minggu depan mereka sambut Psy dengan Gangnam Style. Ghairah dilagukan al-Quran, pada masa yang sama turut ghairah menafikan hak al-Quran untuk dilaksanakan. Di stesen televisyen beberapa ketika ada kuliah agama, yang berbaki kempen hedonisme. Dibanggakan Islam agama rasmi, namun dicari sumber lain sebagai solusi.

1001 contoh lagi yang boleh difikirkan oleh pembaca untuk membuktikan betapa cacatnya pemahaman umat Islam terhadap konsep sederhana. Lihat realiti sekeliling, itulah kesan perang pemikiran yang menjajah minda dan pemikiran umat Islam, sehingga mereka tidak mengerti apa yang dianjurkaan oleh agama mereka sendiri.

Solusi

Terjemahkan wasatiyyah dengan bahasa wahyu, bukan bahasa nafsu. Kembalikan pemahaman sebenar wasatiyyah acuan syara’. Sederhananya Islam yang kita anuti bermaksud teliti menegakkan keadilan, pada masa yang sama menafikan diskriminasi. Berusaha menunjukkan contoh tauladan kepada penganut-penganut agama yang lain. Memerangi mungkar, menjauhi penyelewengan terhadap pemahaman agama. Seterusnya konsisten merujuk al-Quran dan al-Hadith, membina kekuatan umat guna untuk mendaulatkan Islam. Itulah sederhana Islam yang dibawa oleh Nabi SAW.


Biodata Penulis

Abdul Mu’izz bin Muhammad mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Syariah Islamiyah di Kaherah ini merupakan anak muda bersemangat waja yang berasal dari Kajang, Selangor. Kini memangku jawatan sebagai Ketua Akademi Tarbiyah Pemuda PAS Kawasan Klang. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam yang sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-