© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Hierarki Pembodohan Dalam Sejarah Manusia

Hierarki Pembodohan Dalam Sejarah Manusia

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 5 February 2013


Manusia dikurniakan akal sebagai alat bantu memahami wahyu dalam menimbang antara hak dan batil. Di dalam al-Quran, Allah Taala kerap mengkaitkan kekufuran dan perlakuan derhaka kepadaNya berpunca dari kegagalan akal untuk berfikir secara waras.

Jika dilihat sejarah pertembungan manusia antara hak dan batil, kita menyaksikan proses pembodohan telah pun dibangunkan sejak ribuan tahun terdahulu. Implikasi kebodohan menyebabkan seseorang keliru, rabun dan hilang upaya memilih kebenaran.

Makna Proses Pembodohan

Mengawal minda manusia supaya hilang upaya berfikir dengan segenap cara. Hilangnya upaya manusia berfikir secara waras bermakna lebih mudah kerja-kerja khianat dapat dilaksanakan. Hal ini diceritakan oleh Allah Taala tentang indoktrinasi Firaun di dalam Surah al-Zukhruf ayat 54 :

“Maka Firaun mempengaruhi (memperbodohkan) kaumnya (dengan doktrin tersebut), lalu mereka patuh kepadanya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq”

Sayyid Qutb menghuraikan ayat ini di dalam karyanya Fi Zilal al-Quran, sesungguhnya kerja sang taghut memperbodohkan orang ramai merupakan perkara yang tidak asing lagi. Modus operandi mereka yang pertama adalah dengan menyekat segala jalan maklumat yang boleh diakses oleh orang ramai. Proses ini berpanjangan sehingga orang ramai terlupa bahkan buta sifir pembeza antara baik dan buruk. Apabila mereka tidak mendapat maklumat sehingga  terlupa untuk menimbang antara hak dan batil, maka sang taghut akan mudah melakukan sebarang angkara tanpa halangan.

Begitu juga di dalam protokol Zionis yang telah dibentangkan oleh Theodore Herzl menyatakan, bagi menguasai orang ramai, kita perlu mewujudkan keadaan yang bercelaru. Dalam jangka masa yang panjang sehingga menyebabkan orang ramai hilang punca. Akhirnya mereka memutuskan jalan terbaik adalah dengan tidak memberi sebarang pendapat berhubung perkara yang berkaitan dengan politik.

Sememangnya strategi musuh Islam mewujudkan keadaan yang bercelaru dengan menyekat maklumat dalam tempoh yang lama. Akhirnya melahirkan masyarakat yang mandul berfikir. Sebagai contoh mudah, diledakkan isu amanat Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang tanpa memberikan peluang kepada empunya badan menerangkan ucapannya. Dibiarkan masyarakat keliru dengan disekat maklumat. Kemudian dihebohkan isu kalimah Allah di dalam Bible tanpa diberitahu siapa yang bertanggungjawab meluluskan Bible dalam bahasa Melayu.

Hakikat Sejarah

“Dan Firaun menyeru kepada kaumnya dengan berkata “Wahai rakyatku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan bukankah sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Apakah kamu semua tidak melihat?” (Al-Zukhruf:51)

Golongan yang mengaplikasikan proses pembodohan kerap kali dilihat tidak sedar diri dengan mengungkit-ungkit nikmat Allah yang tiada kaitan dengan upayanya sebagai manusia biasa. Sebagai contoh, Firaun tiba-tiba mengaku dialah orang yang mencipta bumi Mesir dan mendabik dada bahawa kewujudan sungai Nil adalah di bawah projek pembangunanya. Satu dakwaan yang amat bodoh. Mana mungkin manusia boleh mencipta air dan tanah. Namun oleh kerana proses pembodohan yang amat lama telah dikenakan ke atas rakyat, maka ramai yang tetap mengundi Firaun.

Sejarah tersebut berulang di negara kita dengan tersebarnya dakwaan jika gerombolan menang, maka krisis air akan selesai. Seolah-olah mereka mempunyai kuasa menala penurunan hujan dan daya tanah menyerap air. Segala nikmat, di bawah kekuasaan mereka semata-mata. Sedikit pun tidak merujuk jasa Allah empunya segala kuasa.

Begitu juga Raja Namrud mengemukakan pembuktian dakwaanya bahawa dia memiliki kuasa sakti menentukan hidup mati seseorang. Allah mengkisahkan di dalam surah al-Baqarah di dalam ayat ke 258 mengenai dialog Namrud kepada Nabi Ibrahim (maksudnya), “Berkata Namrud “Aku boleh menghidupkan dan mematikan.”

Apabila Nabi Ibrahim berdebat dengan Namrud tentang kekuasaan Allah Taala, tiba-tiba Namrud mendakwa bahawasanya dia merupakan orang yang berautoriti menentukan nasib rakyatnya. Maka dibuktikan dengan cara pembuktian yang melucukan.

Namrud memanggil dua orang yang bakal dikenakan hukuman bunuh. Maka dibunuh salah seorang, manakala seorang yang berbaki dibiarkan hidup. Demo yang ditunjukkan hanyalah pembunuhan, bukan memberi nyawa atau menarik nyawa seseorang seperti yang didakwa oleh Namrud.

Proses pembodohan tersebut terus berlaku hingga kini. Ada suara-suara sumbang yang mendakwa sekiranya dibiarkan Islam memerintah, bagaimana mahu meneruskan kehidupan. Hidup kamu akan senang mewah jika mengikut, atau hidup kamu akan susah derita jika melawan. Seolah-olah aqidah mereka menganggap bahawasanya soal hidup mati di bawah kekuasaan manusia.

Secara logik, manusia normal mampu mengesan pembohongan ‘hidup-hidup’ yang dilakukan oleh mereka. Persoalannya, mengapa mereka mampu berbohong ke tahap itu? Kadang-kadang pembohongan mereka secara pukal berganda. Jawapannya ialah, proses pembodohan mereka yang telah lama berakar umbi telah berjaya sehingga rakyat mereka rabun membezakan antara benar dan salah.

Bahana Pembodohan Sang Penguasa

Proses pembodohan menyumbang kesan yang parah terhadap pembangunan sesebuah tamadun. Mana mungkin sesebuah bangsa mampu membina tamadun sendiri sedangkan pemerintah mereka menyekat akses ilmu dan maklumat. Bahkan menyekat ruang berfikir. Hanya diajar supaya ikut apa yang diarah, dengar apa yang diberitahu (baca dibohongi), dan buta dengan realiti sekeliling.

Contoh perlakuan Firaun dan Namrud mengakui kuasa kesaktian melangkaui Allah Taala tidak terhenti di zaman mereka. Mengaku mampu menentukan nasib rakyat. Mendakwa kemudahan air di bawah ketentuanya. Bahkan memaksa rakyat berterima kasih kepadanya atas kurnia hasil bumi yang diciptakan. Perangai tidak tahu malu tersebut diwarisi hingga kini.

Demi memastikan agenda tersebut berjaya, maka mereka akan berusaha agar manusia di bawahnya jahil agama. Mereka sedar bahawa Islam merupakan  penghalang utama kepada segala kebejatan dan pembodohan. Akhirnya wujudlah Melayu Muslim yang melawan Islam agama mereka sendiri. Mereka sengaja disekat maklumat sejak zaman berzaman tentang apakah sebenarnya Islam.  Islam anutan mereka hanyalah kelahiran, perkahwinan dan kematian. Tidak lebih dari itu. Jika lebih, ia perlu ditentang habis-habisan. Benar apa yang telah diungkap oleh Saidina Ali, “Manusia merupakan musuh kepada apa yang mereka jahil.”

Kesan dari proses pembodohan, maka lahirlah manusia yang hilang jatidiri. Hanya mampu menjadi lalang ikut-ikutan sahaja. Asalkan boleh makan minum, hidup sekadarnya cukuplah. Ibarat ayam daging yang hanya pandai memenuhkan temboloknya walaupun sedar lehernya akan disembelih. Nabi Muhammad S.A.W telah berpesan (mafhumnya), “Janganlah kamu menjadi penjilat. (Dengan) kamu berkata jika orang baik, kami baik. Jika orang buat zalim, kami ikut buat zalim. Sebaliknya tetapkanlah pendirian kamu. Jika orang baik, kamu turut membaikkan. Jika orang rosak, kamu jangan buat zalim.” - Riwayat Tirmizi

Demikian bahana proses pembodohan menyebabkan kita hilang jatidiri dan prinsip. Jika dibiarkan, lama kelamaan akan menyebabkan kita buta antara hak dan batil. Hilang nilai manusiawi dengan tidak sensitif dengan kezaliman dan penindasan. Hanya mampu mengangguk, mengikut dan ‘listen’ sahaja. Tidak ubah seperti mesin yang diprogramkan dengan program pembodohan. Sedangkan Allah Taala telah merekodkan dialog mangsa-mangsa proses pembodohan di akhirat. Mereka mengadu nasib di hadapan Allah atas keculasan mereka dalam memilih tindakan.

“Dan Mereka berkata “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah patuh kepada pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami.”

“Wahai Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali ganda dan laknalha mereka dengan laknat yang besar.” (Al-Ahzab:67-68)

Allah telah membuktikan betapa dahsyat bahana proses pembodohan. Bukan setakat pelakunya ditimpakan azab. Bahkan golongan pak angguk yang merelakan dirinya menjadi mangsa proses pembodohan turut dikenakan azab. Allah Taala mengharamkan perhambaan pemikiran sebagaimana Allah mengharamkan perhambaan fizikal.

Solusi

Kita perlu kembali kepada asas yang telah digariskan oleh Allah dalam membezakan antara baik dan buruk. Allah turunkan ayat yang menggesa manusia supaya membudayakan ilmu dan maklumat.

“Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan.” (Al-‘Alaq:1)

Perintah “baca” di sini tidak terhenti sekadar membaca Ilmu Mastur yang ditulis. Akal kita memerlukan lebih dari itu. Allah turut menggesa kita agar membaca Ilmu Manzur iaitu ilmu yang dilihat dan diamati. Gabungan keduanya, barulah kita beroleh kewarasan akal dalam berfikir seterusnya menidakkan proses pembodohan. Ingat, manusia yang normal terdiri di kalangan mereka yang waras berfikir.
Abdul Muizz bin Muhammad merupakan Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-