© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Fitnah Dalam Dunia Siasah

Fitnah Dalam Dunia Siasah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 7 July 2013

Tanpa mengira kaum, individu mahupun jemaah, yang soleh mahupun yang fasad pasti akan terpalit dengan bahaman fitnah. Maka, di kala fitnah berpencak di ruang langit terbuka di zaman moden ini, kita sama sekali tidak boleh alpa untuk merujuk kembali khazanah agung rahsia kemenangan. Iaitu rahsia bagaimana Rasulullah ﷺ mendepani ancaman ini yang dinamakan fitnah.

Penggunaan kalimah fitnah dalam masyarakat kita sangat khusus iaitu; diertikan sebagai perkataan (tanpa dasar) yang dilancarkan untuk menjatuhkan karakter seseorang, membunuh imej individu kerana persaingan ekonomi (bisnes) atau persaingan dalam politik. Sedangkan di dalam al-Quran makna fitnah itu sendiri begitu abstrak dan kadang-kadang perlu diperhalusi tafsirannya untuk mendapatkan makna yang tepat. Sebagai contoh dalam ayat 53, surah al-Ana’am:
وَكَذَلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لِّيَقُولُوا أَهَؤُلاء مَنَّ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّن بَيْنِنَا
“Demikianlah Kami menguji (fitnah - memperdaya) orang kaya dengan golongan lainnya (orang miskin), sehingga golongan kaya tergamak mengatakan (bila melihat orang miskin); Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah Allah...”

Fitnah boleh mengancam masyarakat kerana kesannya berabad-abad atau mungkin tidak akan pernah dilupakan. Itulah fitnah yang memiliki lebih dari satu erti di dalam al-Quran, termasuklah apa yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ berdasarkan butiran sabdanya. Kalimah fitnah lebih umum, ia membuatkan lingkungan kita tidak selesa, merosak sendi kesatuan dan mencelakakan manusia sehingga sampai ke tahap pembunuhan.

Fitnah bukan sahaja datang dari orang yang memusuhi kita, bahkan orang yang paling dekat dengan kita, harta, isteri, anak-anak, mahupun teman seaqidah.

وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan takutlah kalian daripada (berlakunya) fitnah (iaitu dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah oleh kamu bahawa hukuman Allah itu tidak terperi dahsyatnya.” (al-Anfal : 25)

Menurut Imam al-Aalusi rahimahullah, dikatakan di dalam ayat; takutlah kalian... menunjukkan bahawa fitnah itu buta-tuli, tidak pandang bulu, serta dapat menimpa sesiapa sahaja. Oleh kerana itu Allah berfirman lagi (وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ) bermaksud; ...Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian (fitnah), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar...– Surah al-Anfal : 28

Rasulullah ﷺ pernah menegur Mu’az radhiallahu anhu yang telah memanjang-manjangkan bacaan solatnya ketika menjadi imam solat jemaah, sehingga ramai para makmum yang jengkel dengan perbuatan Mu’az. Lalu Baginda ﷺ menegur perbuatan Mu’az (يَا مُعَاذُ أَفَتَّانٌ أَنْتَ) bermaksud; ...Wahai Mu’az adakah engkau mahu membuat fitnah (apabila manusia lari dari agama)? – Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Rasulullah ﷺ pernah juga bersabda:
مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيْثًا لاَ تَبْلُغُهُ عُقُوْلُهُمْ إِلاَّ كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةٌ
“Tidaklah engkau berbicara kepada suatu kaum dengan suatu pembicaraan yang tidak mampu dicerna oleh akal mereka kecuali akan menjadikan ia fitnah kepada sebahagian dari mereka.”

Untuk membincangkan istilah fitnah secara spesifik dalam tulisan ini sangat terbatas, banyak topik yang perlu diperuntukan. Maka, saya mengehadkan isu yang ingin dikupas hanya sekitar fitnah yang berlaku dalam lapangan politik (siasah). Apatah lagi, fitnah dalam lapangan politik sangat ganas sehingga manusia sudah tidak lagi berakal untuk memikirkan perbezaan dari dua perkara yang saling bertentangan iaitu kebenaran dan kebatilan.

Rasulullah ﷺ bersabda:
 سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَات، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ
Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ruwaibidhah (orang bodoh yang disangka masyarakat cerdik).

Justeru tulisan ini akan dikupas mengikut tiga sub-tajuk iaitu; Cara Rasulullah ﷺ Menangani Fitnah Era Politik Makkiyah, Para Salafussoleh Menangani Fitnah Era Politik Madaniyyah, dan Fitnah Pada Zaman Khulafa’ al-Rasyidin Sehinggalah ke Era Kosmopolitan.
    Rasulullah ﷺ Menangani Fitnah Era Politik Makkiyah
      Marilah kita meninjau, bagaimana Baginda ﷺ menangani politik fitnah ketika zaman politik Makkiyah lagi. Apabila kaum Kafir Quraish menyedari bahawa penentangannya terhadap Nabi ﷺ yang berupa penyeksaan, penganiayaan tidak berhasil, mereka beralih kepada senjata propaganda. Propaganda digunakan untuk menyerang akidah Islam, merendah-rendahkan substansinya dan menghina esensinya di khalayak umum.

      Salah seorang musuh Baginda ﷺ bernama al-Aswad bin ‘Abd Yaghuts bin Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah iaitu sepupu Nabi sendiri, seorang yang suka melakukan propaganda, suka melakukan provokasi ketika bertemu Nabi ﷺ dengan kata-katanya yang mengejek:
      أما كلمت اليوم من السماء يا محمد!
      “Apakah perkataan hari ini yang diterima dari langit wahai Muhammad!

      Apa yang dikatakan oleh al-Aswad itu semata-mata untuk menyakiti dan mentertawakan Nabi ﷺ dan seluruh pengikut-pengikutnya. Apabila bertemu para fuqara’ yang beriman dengan ajaran Nabi pula, al-Aswad akan berkata:
      هؤلاء ملوك الأرض الذين يرثون ملك كسرى
      Mereka inilah calon-calon pemerintah di muka bumi yang hendak mewarisi Kerajaan Kisra.

      Saat itu, para sahabat kebanyakannya di kalangan mustadha’fin. Pakaian tidak mewah, serba kekurangan, bertubuh kurus. Mereka yang tidak tahan dengan ‘cubaan’ (fitnah) ini, pasti akan kembali kepada agama berhala. Oleh kerana itu, di mana-mana mereka selalu dihina dan dijadikan bahan ketawa kaum musyrikin Quraish.

      Begitupun semua celaan, cercaan, hinaan, ditangani oleh Rasulullah ﷺ dengan sabar, penuh maaf. Baginda ﷺ tidak membalas tindakan yang serupa kepada mereka yang mengejeknya. Hal ini bukanlah kerana Baginda ﷺ tidak memiliki kemampuan terhadap mereka. Rasulullah ﷺ berasal dari suku kabilah yang paling berpengaruh di Makkah. Jika Rasulullah ﷺ mahu, nescaya Baginda mampu menghimpun kekuatan yang dimiliki Bani Hasyim dan Bani Muttalib.

      Begitu juga Rasulullah ﷺ pernah ditawarkan Malaikat penjaga bukit untuk menghancurkan kaum yang mengingkarinya, lalu Baginda ﷺ dengan penuh sabar menjawab:
      بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
      Bahkan aku berharap mudah-mudahan Allah memberikan kepada mereka keturunan yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatupun. – Sahih al-Bukhari dan Muslim

      Kesabaran Rasulullah ﷺ bersama para sahabat mengundang kewaspadaan dan cara berfikir kaum Quraish untuk menelaah kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Ini disebabkan, jika bukan kerana kebenaran risalah yang dianuti oleh pendokong-pendokong Rasulullah ﷺ, pasti tidak ada siapapun yang mampu bersikap teguh menghadapi cubaan, serangan dan konfrontasi yang dilakukan kaum kafir Quraish.

      Suasana ini menumbuhkan empati kepada sebahagian kaum musyrikin Quraish, di mana secara fitrah dan manusiawi mereka sendiri tidak suka dengan kezaliman yang dilakukan terhadap orang Islam. Hal ini dibuktikan melalui tindakan lima orang pemuda musyrikin Quraish iaitu Zuhair bin Abi Umayyah al-Makhzumi, Hisham bin ‘Amru, Muth‘im bin ‘Adi, Abu al-Bukhturi bin Hisham, Hakim bin Hizam dan Zama‘ah bin al-Aswad.

      Pemuda-pemuda Quraish ini cukup menyampah dengan cara politik kaumnya yang zalim kerana memboikot segala hubungan luar dan dalam dengan umat Islam terutamanya di kalangan Kabilah Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Mereka marah dan mempertikaikan naskhah pemboikotan di hadapan Ka’abah. Lalu Zuhair dengan semangat berkata:
      يا أهل مكة، أنأكل الطعام، ونلبش الثياب، ونبيع ونبتاع، وبنو هاشم والمطلب هلكى، لا يبيعون ولا يبتاعون. والله لا أقعد حتى تشق هذه الصحيفة الظالمة القاطعة!
      Wahai penduduk Makkah! Mengapa kita makan minum dengan mewah dan berpakaian rapi, saling berjual beli sedangkan Bani Hashim mengalami kebinasaan. Mereka dilarang berdagang dan berjual beli. Demi Tuhan, aku tidak akan berhenti sehingga naskhah pemboikotan yang zalim ini dilupuskan!

      Protes para pemuda ini menyebabkan majoriti masyarakat Arab ketika itu bersepakat dan setuju agar pemboikotan terhadap umat Islam dihapuskan kerana ia dilihat sebagai sangat melampau dalam amalan politik mereka.

      Ketika era dakwah Makkiyah, Rasulullah ﷺ bersikap lembut terhadap fitnah dan penindasan kaum musyrik untuk membendung berkembangnya sikap permusuhan. Ini kerana, jika permusuhan semakin meningkat, ia akan mengakibatkan konfrontasi bersenjata, kemudian sebahagian kaum musyrikin yang sepatutnya mampu bersikap objektif terhadap Islam menjadi keras tidak keruan, manakala kaum Muslimin pasti menghadapi ancaman pemulauan habis-habisan.

      Darihal itu, Rasulullah ﷺ menanganinya secara bijak penuh hikmah, maka ramai orang-orang yang dahulunya kafir dan menyembah berhala, akhirnya memeluk agama Islam. Malah ada di antara mereka yang begitu memusuhi Rasulullah ﷺ, namun di akhir hayatnya mereka dipuji oleh Baginda ﷺ. Sebagai contoh Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi, pembesar Bani Tha’if, kematiannya mendapat jolokan sebagai “syahid surah Yaasin” oleh Rasulullah ﷺ.
        Para Salafussoleh Menangani Fitnah Era Politik Madaniyyah
          Kaum Yahudi telah lama intim dengan politik masyarakat Yathrib (Madinah) sejak perpecahan ‘Aus dan Khazraj, iaitu sebelum Baginda ﷺ sampai ke sana. Maka mereka adalah masalah yang paling awal muncul ketika Negara Islam Madinah baru berdiri. Keintiman mereka semakin menjadi-jadi apabila Islam menjadi aturan pemerintahan di Madinah. Keintiman tersebut berlaku disebabkan iri hati, dengki, benci dan berdiri di atas matlamat mahu merosakkan keluhuran Islam.

          Abu Bakr al-Siddiq radhiallahu anhu pernah melewati perkumpulan orang-orang Yahudi di Madinah. Ketika itu seorang rahib Yahudi bernama Fanhash (فنحاص) berada di tengah-tengah kumpulan bangsanya sambil duduk membahaskan sesuatu di tengah-tengah kaumnya. Apabila perbincangan itu didengari oleh Abu Bakr lalu dengan tegas Abu Bakr mengherdik Fanhash:
           ويحك! اتق الله وأسلم، فوالله إنك تعلم أن محمدًا لرسول الله، قد جاءكم بالحق من عنده، تجدونه مكتوبًا عندكم في التوراة والإنجيل!
          Celaka engkau, takutlah kepada Allah dan masuklahIslam! Sesungguhnya engkau tahu kebenaran Muhammad bahawa dia utusan Allah, dia-lah membawa kebenaran dari Tuhan-nya. Perkhabaran ini, telah kamu tahu dari lintas helaian dalam Taurat dan Injil!

          Kemudian semakin lantang Fanhash merendah-rendahkan ajaran Islam di hadapan Abu Bakr al-Siddiq dengan mengatakan:
           والله يا أبا بكر، ما بنا إلى الله من فقر، وإنه إلينا لفقير، وما نتضرع إليه كما يتضرع إلينا...
          Demi Tuhan wahai Abu Bakr. Kami tidak memerlukan Allah seperti kefakiran kerana kami tidak fakir bahkan Dia-lah yang sebenarnya fakir. Kami tidak tunduk kepada-Nya sebagaimana Dia tunduk kepada kami...

          Fanhash berkata seperti ini merujuk kepada kefahaman fatal-nya terhadap tafsiran surah al-Baqarah, ayat 245. Lantas dengan kemarahan yang disandarkan kerana cintanya kepada Allah, Abu Bakr memukul wajah Fanhash dengan keras dan berkata:
          والذي نفسي بيده لولا العهد الذي بيننا وبينك لضربت رأسك أي عدو الله
          Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, seandainya tidak ada perjanjian antara kami dengan kamu, pasti aku penggal kepalamu wahai musuh Allah!

          Hal itu menyebabkan Fanhash tidak puas hati lalu mengadukan hal ini kepada Rasulullah ﷺ bahawa Abu Bakr telah memukulnya. Sengaja Fanhash adu-kan untuk menempelak tarbiyah Baginda ﷺ kepada para sahabat, beginikah cara kamu mengajar Abu Bakr berdakwah kepada orang bukan Islam? Beginikah akhlak orang Islam? Inilah kaedah lazim yang digunakan oleh “orang jahat” untuk memanipulasikan isu. Akhirnya perbuatan Abu Bakr al-Siddiq dibela oleh Allah Ta’ala dengan firman-Nya :
          لَّقَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّ اللَّهَ فَقِيرٌ وَنَحْنُ أَغْنِيَاء سَنَكْتُبُ مَا قَالُواْ وَقَتْلَهُمُ الأَنبِيَاء بِغَيْرِ حَقٍّ وَنَقُولُ ذُوقُواْ عَذَابَ الْحَرِيقِ
          Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan bahawa Allah miskin dan kami kaya. (Allah) menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Para Nabi dengan tiada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka; rasalah kamu azab seksa yang membakar. (Aali Imran : 181)

          Allah turut menurunkan ayat lain mengenai hal ini:
           لَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُواْ أَذًى كَثِيرًا وَإِن تَصْبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الأُمُورِ
          ...Kamu akan mendengar orang-orang yang telah diberikan al-Kitab sebelum kamu dan orang-orang yang mensyirikkan Allah banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka itulah yang paling utama. – Surah Aali Imran:186

          Begitulah hebatnya fitnah (cubaan) dari kaum Yahudi terhadap umat Islam sewaktu generasi soleh yang terawal. Ia memakan waktu yang cukup panjang sehingga berlakunya pengusiran Bani Qainuqa’, pengusiran Bani Nadhir, hukuman terhadap Bani Quraizah, Perang Khaibar dan termasuklah pertelingkahan para sahabat yang dibarisi Ali bin Abi Talib dan Mu’awiyyah bin Abi Sufyan – Allah merahmati mereka semua.
            Fitnah Pada Zaman Khulafa’ al-Rasyidin Sehinggalah ke Era Kosmopolitan
              Amir al-Mukminin, Umar ibnu al-Khattab radhiallahu anhu pernah memberikan pesanan kepada Jeneral Tentera Muslimin, Sa’ad bin Abi Waqqas sewaktu peperangan Qadisiyyah:
              إني آمرك ومن معك من الأجناد بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة على العدو، وأقوى المكيدة في الحرب. وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراسا من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم. وإنما يُنصَرُ المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم. فإذا استوينا في المعصية، كان لهم الفضل علينا في القوة، وإلا نُنْصَرْ عليهم بفضلنا لم نغلبهم بقوتنا
              “Sesungguhnya aku memerintahkanmu (Sa’ad) dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah Ta’ala dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus di kalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti berbanding dosa musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana jumlah kita tidaklah sama berbanding jumlah mereka dan persediaan material kita juga tidak sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita. Jika kita tidak melakukan maksiat (sedangkan mereka melakukannya), maka kita akan menang kerana kelebihan kita (bantuan Allah) kerana kita tidak mungkin akan mampu mengalahkan mereka kerana kekuatan kita (yang serba-serbi penuh kekurangan).”

              Hari ini pesanan seorang yang pernah mendapat gelaran “al-Faruq” daripada Rasulullah ﷺ, dianggap sepi. Kita menentang musuh Islam, kita benci kepada orang yang memusuhi Islam, malangnya fitnah pada agama itu melekat pada peribadi kita sendiri. Sikap dan peribadi kita lebih kurang sama sahaja dengan mereka, mengikut nafsu, melakukan maksiat kepada Allah.

              Tidak hairanlah mengapa sehingga kini kita terus dikuasai musuh Islam dalam segala bentuk penjajahan kerana kitalah yang telah mencipta fitnah tersebut pada diri kita sendiri. Kita kalah dengan musuh zahir kerana terlebih dahulu kita kalah dengan musuh batin iaitu nafsu, kita kalah kepada pembangunan musuh kerana binaan akhlak yang buruk telah kita bina sendiri.

              Hadis Rasulullah ﷺ berbunyi:
              لَا يَزْنِي الْعَبْدُ حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ.
              Tidak akan berzina seorang hamba jika waktu itu dia berakhlak sebagai orang beriman, tidak akan mencuri selama dia berakhlak sebagai orang beriman, tidak akan meminum arak selama dia berakhlak sebagai orang beriman.” (Riwayat al-Bukhari)

              Kerana itu Saidina Ali bin Abi Talib pernah menegur hal ini kepada kita mengenai jatidiri dan akhlak umat beriman yang pertama menjadi punca kepada pergolakan fitnah politik di zamannya. Saidina Ali pernah dikritik oleh masyarakat Islam di zamannya dengan kata-kata:
              يا أمير المؤمنين ما لك اختلف الناس عليك وعلى عثمان واتفقوا على أبي بكر وعمر
              Wahai Amir al-Mukminin (Ali bin Abi Talib) apa yang tidak kena denganmu? Kenapa manusia saling bercanggah denganmu dan Uthman padahal mereka selalu bersepakat dengan Abu Bakr dan Umar?

              Lantas Saidina Ali bin Abi Talib menjawab:
               اتفق الناس على أبي بكر وعمر حين كان الناس أنا وعثمان، واختلف الناس علي وعلى عثمان حين كان الناس أنت وأمثالك
              Mereka saling bersepakat dengan Abu Bakr dan Umar kerana orang-orang (yang mereka pimpin) mengikutnya seperti aku dan Uthman, sedangkan waktu manusia menyalahi aku dan Uthman berlaku, orang-orang (yang kami pimpin) adalah kamu dan orang-orang seperti kamu.”

              Begitulah fitnah membadai dunia politik Khalifah Ali bin Abi Talib sehinggalah di akhir zaman ini, ia berlaku kerana dicipta oleh tangan rakus mereka yang bergelar umat Islam. Malang bukan? Amat mengecewakan apabila fitnah sebenarnya dijenterai oleh umat Islam sendiri. Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah bukannya menyuruh orang lain bermuhasabah, ber-istighfar tetapi diri kita sendiri melupakan tanggungjawab tersebut.

              Kesimpulan

              Fitnah. Sehingga ke hari ini tidak akan pernah pupus. Senjata kuno ini sentiasa menjadi bencana kepada umat manusia. Kita perlu menangani fitnah ini dengan jalan sejarah yang sahih agar kita tidak tertipu, diterokai dengan jalan tarbiyah agar kita tidak kalah, dikuatkan dengan akhlak yang mantap agar kita tidak diperbudakkan nafsu, dan disambut dengan panduan ulama yang rabbani agar kita sentiasa segar dipandu menuju hakikat dan kebenaran yang dikehendaki Allah. Kerana Gerakan Islam itu dimenangkan bukan hanya kerana kelengkapan yang padu, dana yang melimpah ruah, sokongan manusia, tetapi ia mestilah digerakkan oleh insan-insan rabbani di dalamnya.

              Di hari akhirat manusia yang selamat bersama Nabi Isa A.S, maka kita anologikan bahawa manusia yang hendak selamat dalam merentasi peredaran zaman ini mestilah bersama para ulama, yang memahami kitab Allah dan perintah Rasul-Nya. Renungilah ketika Qarun keluar menunjukkan kemegahan kepada kaumnya, lalu berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia:
              يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
              Moga-moga kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar.

              Lalu orang yang berilmu (alim-tahu dan mengerti) : 
              وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا
              “Celakalah kalian, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh…”

              Lalu bila Qarun tenggelam baharulah orang-orang yang sebelum ini mengkaguminya mengerti. Kerana itu kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah:
              الفتن إذا أقبلت عرفها كل العالم وإذا أدبرت عرفها كل الجاهل
              “Fitnah itu bila ia datang, ia dapat diketahui oleh setiap ‘alim (ulama) sebelum terjadinya, dan apabila telah terjadi (natijah fitnah tersebut) maka baharu diketahui oleh orang-orang yang tidak tahu (jahil).” 

              Biodata Penulis

              Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
              Share this article :
               
              Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
              Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
              Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
              Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
              © Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-