© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Memahami Campurtangan Negara Barat Ke Atas Konflik Politik Di Mali

Memahami Campurtangan Negara Barat Ke Atas Konflik Politik Di Mali

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 7 June 2013


Dalam media mainstream, konflik di Afrika Utara iaitu di Mali memang kurang mendapat pendedahan yang sewajarnya tentang apa yang berlaku. Sedangkan Mali juga berdepan krisis yang antara pertembungan lokal dan global yang sangat kritikal di negara mereka.

Kumpulan tempatan yang dikenali sebagai puak Tuareg dituduh mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan kumpulan pengganas antarabangsa, Global al-Qaeda. Puak Tuareg merupakan salah satu puak Arab barbar yang memiliki taburan populasi luas antaranya di Mauritania, Maghribi, Senegal dan Sahara Barat. Apa yang dilakukan Puak Tuareg adalah untuk menuntut kemerdekaan di negara tersebut setelah kematian Muammar Gaddafi.

Isu tersebut digunakan Perancis untuk menghantar 4 000 - 5 000 pasukan tenteranya ke negara Afrika Barat tersebut. Campur tangan tentera Barat itu kononnya bertujuan untuk membebaskan negara tersebut dari cengkaman militan. Tetapi kita tidak boleh mengetepikan sama sekali pendapat alternatif yang mengatakan bahawa konflik antarabangsa juga boleh dirancang secara sulit oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan di kawasan tersebut.

Sebagaimana yang sudah dijangka, keadaan persekitaran di Mali menjadi semakin tegang apabila Perancis masuk campur urusan negara tersebut dengan bertindak mengebom sepanjang perbatasan Algeria, negara yang berjiran dengan Mali yang didakwa kubu kumpulan puak Tuareg. Perancis, selaku negara bekas penjajah Mali pada 22 September 1960, mengambil tindakan campur tangan dengan 'keizinan' Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah pengawasan kelompok negara Afrika Barat (ECOWAS).

Tiada siapa tahu apakah matlamat utama campur tangan Perancis di Mali. Mali, yang pernah menjadi salah satu negara demokrasi yang stabil di Afrika Barat, mengalami ketidakseimbangan setelah kudeta pasukan tentera yang menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Kebangsaan bagi Penubuhan Demokrasi (CNRDR) berhasil menggulingkan Presiden Amadou Toumani Toure pada Mac 2012. CNRDR turut menggantung Perlembagaan negara tersebut.

Mali hanyalah sebuah negara majoriti Muslim di Afrika yang dikelilingi gurun, tetapi krisis yang berlarutan hampir setahun telah menarik perhatian negara-negara Barat. Selain itu, negara tersebut tidak mungkin menjadi penjana serantau kerana ia bukan penyumbang utama kepada ekonomi dunia. Ia juga bukan negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas aslinya sebagaimana Arab Saudi, tetapi saiz negara Mali hampir dua kali ganda lebih besar dari negara Perancis dan beberapa negara Eropah yang lain.

Maka, Barat khuatir jika negara tersebut tidak diberi kawalan ketat dan dibiarkan berada di tahap keselamatan yang rendah akan memberikan satu kelebihan kepada kumpulan yang didakwa militan untuk keluar dan masuk dengan bebas di Mali. Antara kumpulan militan yang didakwa aktif beroperasi di rantau tersebut adalah Al-Qaeda Islamic Maghribi (Aqim), Pergerakan Individu dan Jihad di Afrika Barat (Mujao), Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Azawad (MNLA), Boko Haram dan Anshar Ad-Din yang dipimpin Iyad ag Ghali (dari puak Tuareg mewakili kumpulan tempatan).

Manakala Menteri Pertahanan Algeria, Abdel Malik Guenaizia melaporkan berlaku kegiatan penyeludupan senjata secara berleluasa oleh kumpulan militan di Utara Mali hingga mewujudkan persekitaran tidak selamat di rantau itu. Kejatuhan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang dipercayai menjadi pelindung kumpulan puak Tuareg dahulunya juga menjadi punca senjata boleh diperoleh dengan mudah menerusi pasaran gelap.

Namun yang menjadi persoalan di sini, sejauh mana persiapan dan kemampuan kumpulan-kumpulan mujahidin seperti Anshar Ad-Din untuk mengekang kemaraan pasukan militari milik kerajaan Perancis.

Negara jiran Mali seperti Nigeria dan Mauritania turut terkena tempias campur tangan Perancis dan berhadapan dengan masalah kegiatan militan yang didakwa bersekongkol dengan Al-Qaeda. Dan difahamkan pada era 1990-an, penindasan kumpulan militan di rantau itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 100 000 ribu nyawa.

Bagaimanapun sebuah laman sesawang berita yang berpusat di United Kingdom memecahkan 'tembelang' sebenar campurtangan Perancis di Mali di sebalik dakwaan Presiden Francois Hollande dan Menteri Pertahanannya Jean-Yves Le Drian sebagai "war againts terror". Sebenarnya, sebuah syarikat tenaga Perancis, AREVA, telah lama mengetahui kewujudan sumber uranium di wilayah Mali di mana syarikat tersebut telah mengekstrak sumber tenaga di sana selama beberapa dekad.

Selain dari uranium, krisis di Mali ini telah menimbulkan dua andaian penting untuk difikirkan bersama. Pertama, ia merupakan satu isyarat kepada bermula satu episod baru "war on terror" yang diterajui Amerika dan sekutunya Perancis yang bakal memindahkan pusat aktiviti utama "war on terror" ini daripada benua Asia sebelum ini di Afghanistan dan Iraq, dan kini ke Afrika.

Andaian kedua pula, krisis di Mali ini mempunyai kaitan dengan faktor pengaruh China di benua Afrika. Menurut seorang sarjana hubungan antarabangsa Zimbabwe(dulu dikenal Rhodesia), Dr. Knocks Tapiwa Zengeni, dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Sino-African Concerns: Emerging Concerns and Dynamics" yang telah dibentangkan di The Fourth International Conference on International Studies (ICIS 2012), Kuala Lumpur menyebut bahawa benua Afrika yang diketahui kaya dengan pelbagai sumber galian, mineral dan ekonomi kini sedang menjadi 'emerging battleground' di antara dua buah negara kuasa besar dunia iaitu China dan Amerika Syarikat.

Inisiatif China di benua tersebut dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai satu bentuk ancaman kepada kepentingannya dan cubaan untuk mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat dalam dunia global termasuk di Afrika. Pada ketika ini, China merupakan negara pedagang utama di Afrika. Dagangan luar China dengan negara-negara di benua tersebut dikatakan telah meningkat lebih 16 kali ganda antara tahun 2000 hingga 2011.

Pada tahun 2011, jumlah dagangan antara China dan negara-negara Afrika telah mencapai hampir AS$106 bilion, satu jumlah yang tidak mampu dicapai oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya. Selain daripada itu, China juga dikatakan antara pengeksport utama senjata dan peralatan ketenteraan bagi negara-negara Afrika. Semua senjata keluaran China dikatakan dijual menerusi pasaran gelap kepada kumpulan-kumpulan pemberontak di beberapa negara di Afrika.

Ringkasnya, tujuan utama campur tangan Barat menerusi Perancis dalam krisis di Mali adalah sangat jelas iaitu untuk memelihara kepentingan negara-negara kuasa besar dunia di Afrika.

Apa yang pasti konflik di Mali ini telah menjerumuskan negara Afrika Barat tersebut ke dalam krisis kemanusiaan yang menyaksikan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian. Lebih 65 000 penduduk mendapat perlindungan di kem pelarian Mauritania juga terdedah dengan masalah kebuluran dan dijangkiti wabak penyakit malaria. Selain itu, kira-kira 200 000 orang melarikan diri ke selatan Mali mencari perlindungan di sana.

Usaha untuk mengekang perkembangan terorisme global mungkin juga penting. Tetapi negara-negara kuasa besar dunia ini sebenarnya ingin melihat lebih daripada itu. Apa yang utama bagi mereka ialah kepentingan mereka di benua Afrika dan dunia global tidak boleh diancam oleh sesiapa sahaja. - Islam Online



Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin di Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-