© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Bilakah Perbezaan Pendapat Mampu Memperkaya Ilmu?

Bilakah Perbezaan Pendapat Mampu Memperkaya Ilmu?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 22 February 2013


Perbezaan pendapat di kalangan ulama dan ilmuan Islam adalah lumrah. Sejak dahulu lagi sehingga kini malah pada masa depan perbezaan akan terus berlaku. Berlaku perbezaan sudut pandangan dengan cara betul, adalah jalan bagi kebijaksanaan. Pendekatan feqah, ijmak di kalangan ulama, fatwa yang diputuskan dan ijtihad yang diambil pada prinsipnya tidak boleh menggugat faktor syarak yang terkanun dalam nas qat'ie.

Imam feqah yang utama sering berbeza pandangan dalam sesuatu perkara. Sifat zaman yang berubah dan banyak perkara baru muncul memerlukan jawapan dan pendekatan menanganinya. Imam Shafie umpamanya tidak ta'assub dengan pandangannya malah terbuka diikuti atau sebaliknya asal saja yang selari dengan maksud syarak. Beliau menganjurkan supaya yang terbaik dan benar yang harus diikuti. Kaedah ini memperkayakan khazanah ilmu dalam tradisi Islam dan perbezaan tidak menjadi isu yang mempertajamkan hubungan atau menuding jari dengan pandangan bahawa, "Aku saja yang betul dan orang lain semuanya cacat atau salah belaka".

Prof. Dr.Yusof al-Qaradawi dan Almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali sering memberikan pandangan dari sudut feqah dan syarak supaya masalah masa kini dapat diatasi tanpa perlanggaran batas syarak namun, adab berbeza pandangan tetap dipelihara.

Akhir-akhir ini sangat nyata perbezaan pendapat di kalangan ahli dalam hal agama atau di kalangan ulama yang mempunyai latar pendidikan berbeza atau di kalangan orang Islam yang tidak memiliki keahlian, cuba memberikan pandangan terhadap sesuatu isu yang menuntut keahlian dan kepakaran. Cara perbezaan itu berlaku boleh mengelirukan orang awam khususnya generasi muda.

Ulama adalah pewaris Para Nabi. Ulama adalah lambang keteguhan ilmu, prinsip dan hukum hakam Islam, namun apabila ada isu baru maka sering wujud perbezaan mendekatinya. Yang merisaukan ialah ada di kalangan mereka yang cuba mendekati isu kerana populariti. Ia pula diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang sentiasa ingin melagakan pandangan dengan maksud tertentu. Sepatutnya pandangan berbeza boleh diselesaikan di meja muzakarah (perbincangan). Sudah tentu dalam negara kita ada lembaga dan institusi bagaimana perbezaan pandangan itu dapat diselaraskan.

Pada prinsipnya, ulama faham nas mengenai isu berkaitan. Perbezaan kadang-kadang hanya bersifat teknikal bukan substantial, tetapi cara sesetengah pihak mempermainkan boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga menyebabkan khalayak menjadi bercelaru. Malah, ada tokoh merelakan dirinya menjadi umpan mempertajamkan lagi masalah berbangkit dan ia menjadi popular dengan maksud tersendiri. Lebih mengelirukan ialah sudut pandangan tidak didekati secara kaedah Islam. Ia didekati secara barat atau mengambil pendekatan seperti dilakukan oleh orientalis.

Dalam hal membabitkan hukum atau pengkhususan, ia menuntut di kalangan ahli memperjelaskannya supaya ada kuasa dalam membuat keputusan. Seorang doktor pakar dan ahli dalam bidangnya memiliki kelayakan untuk berbicara mengenai penyakit. Orang awam yang bukan ahli dalam penyakit itu sudah tentu perlu merujuk kepada pakar terbabit. Rasulullah berpesan pentingnya sesuatu itu diletakkan pada tempatnya (berasaskan keahlian atau kepakaran). Kalau tidak kehancuran dan kerosakan akan menyusul.

Ia tidak bermakna ulama tidak perlu dinamik. Ulama dalam maksud yang sebenarnya mendukung imej Islam, berpegang kepada prinsip, memahami zaman dan realiti dan mengambil pendekatan bijaksana supaya umat dipandu ke arah jalan agama yang betul di tengah cabaran semakin rencam. Apabila timbul di kalangan ulama atau ilmuan atau di kalangan tokoh yang berlagak seperti ulama membuat kenyataan kontroversi, ia tidak menyumbang ke arah kesatuan fikiran yang amat dituntut oleh umat.

Tidak dapat dinafikan, ada kerencaman dan kelainan orientasi bagaimana seseorang ulama dan ilmuan Islam itu lahir di sepanjang sejarah umat Islam. Tetapi titik persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan. Tidak harus ada pihak yang ingin menjadi juara konon dia tahu segala-galanya dengan menafikan kebolehan orang lain. Lebih tidak wajar lagi apabila seseorang yang berlagak tokoh, tahu sedikit mengenai pemikiran dan falsafah lalu berlagak sebagai ahli fekah atau syariah dan menyebabkan khalayak menjadi keliru.

Adab terhadap kelainan pendapat perlu ada. Adab al ikhtilaf yang boleh membawa kepada perbezaan pendapat harus tegak dengan prinsip dan nas yang sepakat. Hikmah di sebalik kelainan pendapat yang didekati dengan adab yang tinggi melahirkan tradisi bijaksana untuk mencerahkan lagi isu yang berbangkit bukan menambahkelirukan keadaan akibat kegopohan.

Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian. Asas ini penting supaya kelainan pendapat yang dilakukan secara berhemah mampu mendidik masyarakat dan memperjelaskan lagi arah dan maksud sesuatu isu berbangkit.

Intipati Jawapan :
  1. Perbezaan pandangan ulama harus diselesaikan di meja muzakarah atau di gelanggang yang tidak membangkitkan fitnah.
  2. Ulama dilarang mendekati isu kerana populariti kerana ia boleh mengelirukan ummah.
  3. Persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.
  4. Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian.


Biodata Penulis

Prof. Dato' Dr. Haron Din merupakan Naib Mursyidul 'Am Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cemerlang daripada Universiti Darul Ulum Kaherah (1972-1974). Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-