© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Indahnya Adab Musyawarah : Sebuah Analisis Perang Uhud

Indahnya Adab Musyawarah : Sebuah Analisis Perang Uhud

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 14 May 2013


Ketika kekalahan di Uhud berlaku, pelbagai versi ulasan dibual-bicarakan yang merungkai faktor utama kekalahan kaum Muslimin. Salah satu versi yang berkembang disebarkan oleh kaum munafik ialah kerana kaum Muslimin yang terdiri di kalangan para sahabat RasuliLlah lebih mengutamakan syura (musyawarah) berbanding pendapat Rasulullah S.A.W sendiri.

Dalam rujukan Sirah Ibnu Hisham menceritakan, adalah sebelum peristiwa Uhud terjadi, Rasulullah S.A.W telah bermimpi melihat lembu disembelih, mata pedangnya sumbing kemudian tajam semula. Mimpi tersebut ditakwilkan Baginda sebagaimana berikut, "Lembu yang disembelih menandakan ada beberapa orang Sahabat Baginda yang terkorban syahid; Mata pedang sumbing menandakan kekalahan akan berlaku, namun selepas kekalahan tersebut akan mengundang kemenangan yang lebih besar." - Riwayat Muslim

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W telah diberikan petanda daripada Allah mengenai peperangan Uhud tersebut, lalu Baginda meminta para sahabat memberikan pendapat masing-masing dengan melakukan musyawarah sama ada mahu bertahan di Madinah atau bertempur di luar Madinah.

Rasulullah S.A.W telah mengusulkan kepada para sahabatnya agar tidak pergi ke medan Uhud dan berkubu sahaja di Madinah. Abdullah bin Ubai, si munafik sependapat dengan cadangan Baginda RasuliLlah, tetapi para sahabat yang terdiri dari anak muda tidak bersetuju, dan bersungguh-sungguh mahu berjihad di luar Madinah. Melihat pendapat Para Sahabat yang rata-ratanya mahu berperang di luar Madinah, Rasulullah S.A.W mengabaikan pendapatnya sendiri dan memutuskan untuk bertempur di medan terbuka.

Baginda memakai kelengkapan perang sambil di pinggangnya disarungkan pedang, sementara itu para sahabat tiba-tiba muncul perasaan menyesal dan serba salah kerana keputusan mereka telah menyebabkan Rasulullah S.A.W keluar ke medan Uhud. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang meminta mereka agar bertahan sahaja di Madinah. Menyedari keterlanjuran tersebut, kaum Muslimin yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar berkata kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah, kami tidak akan menyalahkanmu. Lakukanlah apa yang Tuan kehendaki. Jika Tuan ingin menetap di Madinah, lakukanlah."

Dengan tegas Rasulullah S.A.W menjawab, "Seorang Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuh-Nya."

Keputusan Para Sahabat untuk bertempur di luar Madinah bukanlah lahir dari sikap melawan terhadap keputusan Baginda S.A.W, tetapi lahir dari semangat jihad yang membara. Oleh kerana itu, keputusan Rasulullah S.A.W telah bulat dan sepakat menerima keputusan musyawarah yang berpihak kepada para sahabat. Mereka sama-sama keluar bertempur, medannya di bukit Uhud. Inilah keputusan bersama, apapun hasilnya juga menjadi tanggungjawab bersama.

Begitu jelas etika yang dipamerkan Rasulullah kepada hasil musyawarah sekalipun pendapat Rasulullah S.A.W secara peribadi lebih cenderung berkubu dan menunggu musuh di dalam kota Madinah. Dalam menilai tindakan Baginda S.A.W, Allah Taala berkomentar tentang peristiwa di Uhud sebagaimana firman-Nya :

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Para Sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakal-lah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya". (Al Imran:159)

Hal yang terjadi telah terjadi, hal diputuskan telah ditaqdirkan Allah, umat Islam menerima kekalahan walaupun pada pusingan pertama pertempuran di Uhud, bibit-bibit kemenangan memihak kepada tentera Islam. Namun, kealpaan pasukan tentera memanah menuruti arahan Rasulullah S.A.W mengundang seribu satu sebab mengapa tentera Islam tewas di medan Uhud. Baginda S.A.W turut terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amar Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut terbelah luka, pipi Baginda cedera dan giginya patah. Tidak kurang juga tentera Muslim yang lain, ada yang terkorban dan rata-ratanya mengalami kecederaan dahsyat akibat serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh tentera Quraish dengan penuh dendam.

Dalam peperangan Uhud, orang-orang munafik jelas menunjukkan belangnya. Hal ini juga menjadi ibrah penting kepada umat Islam. Pembelotan Abdullah bin Ubai dan tiga ratus orang pengikut-pengikutnya merupakan bukti kemunafikan yang sebelumnya tidak kelihatan. Kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud secara tidak langsung membantu mereka mengenali secara jelas identiti orang-orang munafik secerah mentari. 

Lalu apabila kaum munafik ini kembali ke Madinah, berkembanglah cakap-cakap mulut mereka yang mengatakan, "Peristiwa kekalahan di Uhud itu disebabkan kaum Muslimin lebih mementingkan hasil syura daripada pendapat Rasulullah S.A.W."

Memang benar keputusan syura saat itu terasa pahitnya, tetapi yang lebih pahit lagi ialah sekitar 1/3 pasukan kembali ke Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Alasannya kerana keberangkatan tentera Islam ke Uhud itu mengenepikan pendapat Rasulullah S.A.W yang sebenarnya mahu bertahan di dalam kota Madinah sahaja.

Tindakan Abdullah bin Ubai itu dilakukan kononnya tidak tega menyalahi pendapat Rasulullah, padahal saat Baginda S.A.W keluar ke medan Uhud tidak pula perlindungan diberikan kepada Rasulullah.

"(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal" (Ali Imran:122)

Dua puak di sini ialah dua puak yang terdiri di antara orang benar imannya dan orang yang palsu imannya. Orang yang palsu imannya kembali melontarkan kata-kata, "Kekalahan ini disebabkan kerana kaum Muslimin enggan mengikuti pendapat Muhammad, tetapi akur dengan musyawarah yang dipengaruhi oleh 'anak-anak muda'!".

Cakap-cakap mulut yang cuba menjatuhkan imej para sahabat dan orang-orang yang beriman menimbulkan kesedaran bahawa mereka turut mempunyai musuh dalam selimut yang mesti diwaspadai dan diperhatikan, sebagaimana perhatian Allah yang khusus kepada golongan ini di dalam surah "al-Munafiqun". Tabiat orang-orang munafik sememangnya lebih banyak bercakap daripada berusaha, lebih banyak meramal daripada beramal, lebih kerap beralasan daripada bertindak, lebih banyak mencari silap orang lain daripada memulihkan kesilapan diri sendiri.

Kesimpulan yang diberikan oleh Allah Taala tentang keputusan akhir di medan Uhud, sangat berbeza dengan luahan puak-puak munafik. Allah Taala menurunkan 80 ayat untuk menjelaskan pelbagai hal yang terjadi sebelum, saat berlangsung dan setelah perang Uhud (bermula dari ayat 120 sehingga ayat 200 dari surah Al Imran). Di antara ayat-ayat itu, Allah membangkitkan kembali semangat juang kaum Muslimin :

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (Ali-Imran:139)

Dalam tafsir "Fi Zilalil Quran" sekitar ayat 120 sehingga ayat 200 surah Ali Imran, Sayyid Qutub memberikan komentar tentang peristiwa di Uhud, "Sebenarnya, menjadi hak Rasulullah S.A.W untuk mengabaikan keputusan syura, akan tetapi Baginda tetap menjalankan syura meskipun Baginda S.A.W mengetahui apa yang tersirat di sebalik keputusan itu baik berupa kekalahan, kerugian dan pengorbanan, kerana menetapkan sebuah prinsip (prinsip syura) dapat mengajar jemaah, dan mentarbiyyah umat menanggung beban keputusan secara bersama baik berupa kemenangan mahupun kerugian yang bersifat sementara."

Hikmah dari arahan Allah supaya syura itu dilakukan kerana Islam ingin membangunkan satu umat yang ditarbiyah dan mempersiapkan diri sebagai umat contoh kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, sebaik-baik sarana mentarbiyah umat itu adalah dengan cara melaksanakan musyawarah, kerana ia secara tidak langsung mendidik mereka dengan prinsip musyawarah dan turut melatih mereka memikul beban hasil musyawarah tersebut, kerana manusia dengan segala sifat kelemahannya tidak akan dapat mengetahui mana yang benar kecuali setelah melakukan kesalahan, mereka boleh sahaja kalah dengan emosi dan perasaan.

Lantaran itu, Umat Islam tidak sepatutnya menghasilkan didikan anak bangsa seperti anak kecil yang tidak pernah dilatih berjalan dengan alasan agar tidak jatuh, namun pada akhirnya nanti anak kecil itu betul-betul tidak mampu berjalan!

Sebagai contoh, apabila Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengusulkan nama "Negara Berkebajikan", di sana timbul ahli yang bersetuju dan ahli yang tidak bersetuju, ada yang menerima dan ada yang membangkang. Ketahuilah bahawa setiap bangkangan dan persetujuan yang berlaku dalam sesi mesyuarat itu tiada dosa dan tiada salahnya. Ketika sesi musyawarah setiap orang berhak membangkang dan setiap orang berhak berhujjah, tetapi setelah musyawarah itu diputuskan maka wajib kita menanggungnya bersama.

Oleh sebab itu, dalam sesuatu musyawarah atau perbincangan, jika ada pandangan atau idea kita ditolak, ucapan yang wajar kita sebutkan ialah "Alhamdulillah", dan jika pandangan kita diterima jangan pula merasa bangga tetapi ber"istighfar"-lah sebanyaknya, pasti ia suatu ujian buat kita. Ramai yang terkeliru, apabila setiap perkara itu dilakukan secara musyawarah maka setiap keputusan itu pasti sempurna, pasti tiada silapnya atau pasti berjaya, sehingga ada yang menuduh "anda salah ijtihad", "keputusan anda tidak betul" dan sebagainya, padahal bukan begitu hakikat perlaksanaan syura.

Syura dilakukan adalah untuk mengajar kita merasai kejayaan, melaksanakan keputusan atau menanggung kekalahan bersama, kerana komitmen orang beriman pasti akan diuji Allah sama ada tergelincir ke jurang kekeliruan ataupun berjaya meragut hasilnya.

Oleh itu, belajarlah adab musyawarah kerana setiap perkara yang diputuskan itu pasti mengundang risiko seumpama kekalahan di Medan Uhud ataupun kemenangan di Medan Khandak.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-