© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Merenung Adab al-Ikhtilaf Dalam Isu Tawanan Perang Badar

Merenung Adab al-Ikhtilaf Dalam Isu Tawanan Perang Badar

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 12 November 2015


Ikhtilaf memberikan maksud percanggahan, perbezaan dan perselisihan pendapat, dan ikhtilaf ini berbeza dengan “tafarruq” yang membawa erti perpecahan. Ini kerana, tidak semua perbezaan pandangan itu membawa perpecahan, tetapi kebanyakan perpecahan berlaku selalunya bermula daripada salah urus terhadap perbezaan pandangan tersebut. Allah Taala menciptakan manusia berbeza-beza dengan harapan agar mereka saling kenal-mengenali.

Dalam ilmu fikah, fenomena ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah fenomena klasik yang sudah lama menjadi asam-garam kehidupan sejak generasi salaf sehinggalah sekarang ini, dan ia diterima di dalam ruang komuniti tersebut sebagai realiti yang tidak mungkin dapat disanggah atau dihilangkan sampai bila-bilapun, kerana suara-suara kritikan, penambah-baikan pasti akan berlaku dari semasa ke semasa. Para ulama menangani masalah-masalah tersebut dengan tenang penuh adab, sebagaimana pepatah Inggeris menyebut “a fault confessed is half redressed”.

Sedangkan perselisihan suami isteri boleh tercetus, inikan pula perselisihan yang melibatkan sebuah institusi yang lebih jauh marhalahnya. Namun, persoalannya di sini bagaimanakah kita memupuk sikap rasional ketika berlakunya ikhtilaf? Kerana adakalanya yang lebih banyak berlaku ialah emosi mengatasi rasionalisasi, dan itulah yang sering menjadi naratif sesebuah keruntuhan.

Maka, dihidangkan di sini kisah adab ikhtilaf generasi terbaik Islam mengenai isu keputusan hukuman terhadap tawanan perang Badar. Perang Badar merupakan peperangan pertama di antara kaum Muslimin dengan kaum musyrikin. Jumlah kaum Muslimin sangat sedikit, sedangkan jumlah kaum musyrikin lebih ramai. Peperangan Badar telah memperlihatkan kekentalan iman Para Sahabat dan kecintaan mereka kepada Allah melebihi kaum kerabatnya sendiri.

Di dalam perang Badar, Abu Ubaidah al-Jarrah radhiallahu anhu membunuh bapanya, Mus’ab bin Umair radhiallahu anhu membunuh saudaranya, Umar al-Khattab radhiallahu anhu dan Hamzah radhiallahu anhu membunuh kaum kerabatnya, termasuk juga Ali bin Abi Talib radhiallahu anhu yang turut membunuh saudara sekabilahnya.

Tegasnya, Islam mewajibkan umatnya menghubungkan silaturrahim dengan kaum keluarga, mempererat hubungan masyarakat walau berbilang kaum dan agama, serta wajib menghormati ibu bapa walaupun mereka menganut agama musyrik, tetapi apabila berlakunya pertembungan antara iman dan kufur, iaitu budaya jahiliyah yang mahu meranapkan cahaya tauhid, maka perjuangan ke atas iman mestilah dilaksanakan.
لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. (al-Mujaadilah ayat 22)

Apabila pertempuran yang berlaku di Badar dimenangi Islam, ia telah berjaya melemahkan moral pemimpin musyrikin Quraish, menghina kesombongan dan keangkuhan mereka yang selama ini dijadikan bahan momokan bagi umat yang beriman. Kemenangan di Badar membuatkan kaum musyrikin berkira-kira bahawa kekuatan yang kini dimiliki oleh umat Islam bukanlah kekuatan fizikal dan kelengkapan, tetapi kekuatan motivasi dan keyakinan mereka yang dipimpin Rasulullah sallallahualaihi wasallam.

Seterusnya isu kemenangan tersebut beralih pula perihal hukuman ke atas 70 orang musyrikin yang menjadi tawanan perang, mereka dijaga dan dikawal oleh pihak tentera Islam, sehingga diriwayatkan tentera-tentera Islam sanggup memakan tamar sedangkan para tawanan diberikan roti di saat lapar.

Rasulullah sallallahualaihi wasallam meminta keputusan musyawarah Para Sahabat berkenaan dengan isu tawanan perang tersebut, lantas Abu Bakar radhiallahu anhu berkata;
يَا رَسُولَ اللَّهِ، هُمْ بَنُو الْعَمِّ وَالْعَشِيرَةِ، أَرَى أَنْ تَأْخُذَ مِنْهُمُ الْفِدْيَةَ فَتَكُونَ لَنَا قُوَّةً عَلَى الْكُفَّارِ، فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُمْ لِلإِسْلامِ
“Wahai Rasul Allah, mereka masih kerabat kita, kenapa kita tidak mengarahkan mereka membayar tebusan sahaja. Tebusan itu nanti dapat kita manfaatkan sebagai bekal memperkuat pasukan Islam menentang kaum kuffar. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada mereka, lantas mereka menjadi pendukung kita.”

Manakala Umar al-Khattab radhiallahu anhu mengeluarkan pendapat; 
لا وَاللَّهِ، مَا أَرَى الَّذِي رَأَى أَبُو بَكْرٍ يَا نَبِيَّ اللَّهِ، كَذَّبُوك وَأَخْرَجُوك، قَدِّمْهُمْ وَاضْرِبْ أَعْنَاقَهُمْ
Demi Allah, saya tidak sependapat dengan Abu Bakar wahai Nabi Allah, mereka mendustaimu dan mereka memulaukan kamu, saya mengesyorkan agar pihak tawanan dibunuh sahaja.

Keputusan yang seumpama Umar turut disampaikan oleh Abdullah bin Rawahah agar semua tawanan tersebut dibunuh kerana pihak tawanan bukan orang sebarangan, mereka adalah pembesar-pembesar kaum kuffar yang sangat membenci Islam. Setelah mendengar keseluruhan pendapat Para Sahabat, ada pendapat yang seperti Abu Bakar dan ada juga pendapat seperti Umar, kemudian Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda;
إنَّ اللَّهَ لَيُلِينُ قُلُوبَ قَوْمٍ حَتَّى تَكُونَ أَلْيَنَ مِنْ اللِّينِ، وَيَشُدُّ قُلُوبَ قَوْمٍ حَتَّى تَكُونَ أَشَدَّ مِنْ الْحِجَارَةِ، وَإِنَّ مَثَلَك يَا أَبَا بَكْرٍ مَثَلُ إبْرَاهِيمَ إذْ قَالَ: {فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّك غَفُورٌ رَحِيمٌ}. وَمَثَلُ عِيسَى حِينَ قَالَ: {إنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُك}. أحكام القرآن لابن العربي 
Sesungguhnya Allah melunakkan hati seseorang sehingga menjadikan ia lebih lembut dari lembut cairan. Sesungguhnya Allah juga mengeraskan hati seseorang, sehingga menjadikan hati mereka sekekar batu. Sesungguhnya kamu Abu Bakar, jiwamu lembut diibaratkan seperti lembutnya jiwa Nabi Ibrahim alaihissalam ketika beliau berkata ((Sesiapa yang menurutkumaka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku, maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. --- surah Ibrahim ayat 36)), halus sifatmu seperti Nabi Isa alaihissalam ketika beliau berkata ((Jika Engkau menyeksa mereka, maka tiada yang menghalangi-Mu kerana sesungguhnya mereka adalah juga hamba-hamba-Mu. --- surah al-Maidah ayat 118)).

Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda pula kepada Umar;
وَمَثَلُك يَا عُمَرُ مَثَلُ نُوحٍ إذْ قَالَ: {رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنْ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا}. وَمَثَلُ مُوسَى إذْ قَالَ: {رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ}. أحكام القرآن لابن العربي
“Engkau pula wahai Umar seperti Nabi Nuh alaihissalam ketika beliau berdoa ((Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi --- surah Nuh ayat 26)), sikapmu seperti Nabi Musa alaihissalam ketika beliau berdoa ((Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka --- surah Yunus ayat 88)).

Rasulullah sallallahualaihi wasallam lebih cenderung memilih pandangan Abu Bakar, dengan harapan semoga tawanan sedar dan kemungkinan beriman kepada Allah Taala. Keputusan ini juga dibuat supaya dapat mengganti balik harta benda kaum Muhajirin yang tertinggal di Makkah sewaktu hijrah ke Yathrib, agar dengannya ia dapat memperbaiki urusan dunia kaum Muhajirin di Madinah. 

Lalu hukuman ke atas tawanan dilaksanakan sesuai dengan cadangan Abu Bakar. Harga tebusan ditentukan sekitar harga 4 000 dirham sehingga 1 000 dirham mengikut taraf dan kedudukan masing-masing. Ada juga di kalangan tebusan dibebaskan tanpa bayaran dengan syarat mengajar 10 orang kanak-kanak sehingga pandai seperti al-Muttalib bin Hantab, Saifi bin Abi Rifa’ah dan Abu Izzat al-Jamhi.

Sohail bin Amru, (sebelum Islam-nya - perunding perjanjian Hudaibiyah) terkenal dengan sikap suka mencela Nabi turut menjadi tawanan Badar. Umar al-Khattab meminta izin kepada Nabi untuk mencabut dua batang gigi Sohail dan menarik lidahnya supaya tidak dapat lagi mencela Nabi. Tetapi Baginda menolak cadangan Umar, dan mengusulkan Umar supaya membiarkan Sohail kembali ke Makkah selepas wang tebusan diberikan.

Kemudian wahyu turun kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam sebagai teguran (I’tab) daripada Allah sehingga membuatkan merinding seluruh bulu roma Nabi. 

Allah berfirman;
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Tidaklah patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah Taala menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
لَّوْلاَ كِتَابٌ مِّنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَا أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah (keizinan tentera Islam untuk mendapat harta ghanimah), nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil. (surah al-Anfal ayat 67-68)

Mendengar wahyu yang diturunkan Allah kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam itu, menyebabkan Baginda Nabi dan Abu Bakar menangis. Tidak lama kemudian Umar al-Khattab datang dan beliau mendapati Baginda Nabi dan Abu Bakar sedang menangis. Umar bertanya sebab tangisan Baginda itu lantas Baginda Nabi membacakan ayat dari surah al-Anfal ayat 67 hingga ayat 69. Peringatan Allah Taala ini direkodkan di dalam al-Quran adalah kerana kebanyakan tawanan perang Badar merupakan penjenayah-penjenayah besar terhadap Islam (rujuk Tafsir Ibnu Kathir dan Sofwatu al-Tafasir) dan juga segelintir manusia yang mengambil kesempatan memenuhkan nafsu keduniaan mereka. Ayat tersebut bukanlah kewajiban membunuh semua tawanan tetapi sebagai teguran daripada Allah agar tidak terpedaya dengan harta yang diperolehi dari pihak tebusan.

Walau bagaimanapun, keputusan Rasulullah sallallahualaihi wasallam ini terbit berdasarkan sifat kenabian Baginda yang luhur suci dan terpelihara dari dosa dan kesalahan, dan ia termasuklah hujah yang terdapat pada ayat Allah perihal hukuman ke atas tawanan perang sebelum ini :
فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاء حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاء اللَّهُ لانتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِن لِّيَبْلُوَ بَعْضَكُم بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَن يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ
“Demikian apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi (diperintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan ugamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. (surah Muhammad ayat 4)

Lantaran itu, setelah Umar mengetahui pendapatnya yang sebelum ini mengenai tawanan Badar diketepikan telah dibenarkan di dalam surah al-Anfal, Umar tidak lantas kegirangan, merasa ‘ujub apalagi sampai mengatakan, “...Haa... kan dulu aku dah cakap...

Justeru sebaliknya, Umar bin al-Khattab turut menangis bersama Abu Bakar dan Rasulullah sallallahualaihi wasallam, ini kerana teguran Allah itu tidak hanya ditujukan kepada Rasulullah dan Abu Bakar sahaja, tetapi juga kepada seluruh kaum Muslimin. Kerana, kaum Muslimin itu ibarat satu organ yang jika sebahagiannya merasa sakit, maka pasti yang lainnya juga turut merasai kesakitannya. Jika sahabat seperjuangannya dikritik, mereka yang lain turut merasa kritikan tersebut dan masing-masing mahu membelanya. Itulah realiti perjuangan dalam jemaah, perjuangan dalam organisasi, perjuangan yang meneruskan sunnaturrasul, ukhuwwah mendisiplinkan kita untuk saling bahu-membahu, bukannya jatuh-menjatuhkan.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-